8/28/2008

PROMOSI BUKU 29 TAZKIRAH SEPANJANG RAMADAN!!!

Alhamdulillah saya baru sahaja menyiapkan buku 29 Tazkirah Sepanjang Ramadan (edisi awal) untuk menjadi bahan rujukan dan bacaan sepanjang Ramadan akan datang. Amat baik dibaca di rumah bersama keluarga, di pejabat sesama staf atau di Masjid/Surau dalam Tazkirah Tarawih. Malam ini 28 Ogos 2008 saya lancarkan buku ini di Surau As-Salikin Beserah.

Sesiapa yang berminat boleh jumpa saya untuk tempahan. Buku tu saya cetak secara photostat saja dahulu. Insya Allah tahun depan akan keluar Buku Original kerana saya ingin mendapatkan pandangan dan teguran dalam edisi awal ini agar lebih mantap kandungannya.

8/26/2008

Cukuplah Konsert Mungkar!

Pihak yang meluluskan Konsert artis simbol seks Avril Lavigne berlansung sedangkan kita sedang menyambut Merdeka dan Ramadan wajar membatalkan kelulusan tersebut. Bukan atas sentimen politik tetapi atas nama membela kebenaran.

Entah apa yang difikirkan hingga membenarkan perosak bangsa dan agama bermaharajalela merosakkan anak-anak muda di tanahair kita! Yang lebih menyedihkan konsert ini berlansung di saat kita menyambut kemerdekaan negara dan ketibaan Ramadan al-Mubarak. Telah banyak kali hati kita terguris dengan sikap tidak prihatin seperti ini semata-mata untuk meraikan orang lain hinggakan adat dan agama kita terus ternoda! Kononnya atas nama kebebasan segala macam budaya peruntuh nilai-nilai murni yang ditanamkan selama ini. Saya pun tidak faham kenapa di satu pihak kita mempromosikan modal insan, nilai murni dan Islam Hadhari tetapi dalam masa yang sama kita membenarkan elemen perosak memamah rakus nilai-nilai tersebut. Ibarat kata Dr Yusof Al-Qardhawi: "Bagaimanakah sebuah bangunan akan siap jika hanya seorang yang membinanya sedangkan 10 orang lagi meruntuhkannya?.

Para ulamak harus bangkit menentang segala kemungkaran yang berlaku ditanahair kita tanpa rasa takut dan bimbang!!! Nyatakan suara anda di Masjid, Surau dan dalam dakwah anda!!!

8/25/2008

رمضان كريم


Selamat Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan Al-Mubarak


كل عام وأنتم بخير



8/22/2008

Pilihanraya Permatang Pauh!



Menjelang pilihanraya Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, banyak juga peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku sebagai usaha memenangi hati pengundi di sana. 2,3 hari ni media boleh di baca niatnya melalui paparan yang cuba menaikkan imej kerajaan dan menjatuhkan reputasi pembangkang. Itu adalah relaliti yang tidak boleh disanggah lagi. Cumanya dalam keghairahan berkempen sebaiknya janganlah sesekali membuat fitnah, penipuan dan pembohongan. Kerana berbohong adalah ciri pertama orang yang munafik. Munafik pula bererti kufur di hati, tetapi iman yang dizahirkan. Jika kedua-dua calon melayu yang bertanding melakukan pembohongan dan penipuan dalam kempen mereka ianya amat malang sekali kerana apabila salah seorang menang kita akan berhadapan pula dengan pemimpin yang pembohong. Kata pepatah melayu ada menyebut " Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri". Jangan pula peribahasa ini berubah menjadi "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri/mp".
Media seharusnya bertindak secara adil dan saksama dan jangan terlibat sama membuat pembohongan, kerana setiap yang terlibat menjayakan pembohongan pasti mendapat azab dari Allah Taala. Cumanya jika pengamal media sudah hilang imannya tentang azab neraka Allah, maka tiada bezalah antara menipu dan bercakap benar.
Memang begitu sedih melihat suasana negara kita ini. Akibat dari perebutan kuasa, semua pantang larang agama dan adat melayu di langgar begitu sahaja. Bohong, fitnah, rasuah dan kelucahan menjadi mainan dalam usaha memancing undi. Cubalah banyangkan bilamana seseorang itu ternobat sebagai YB hasil tipudaya dan rasuah! Segala rezeki dan elaunnya setelah menjawat jawatan YB adalah tidak halal kerana diperolehi hasil dari penipuan!!! Dan pastinya kemahiran menipu ketika pilihanraya menjadi kelaziman dalam kepimpinannya!!

Sabda Nabi s.a.w: "Tubuh yang membesar hasil dari rezeki yang haram maka nerakalah lebih utama baginya".
Daripada Abu Zar r.a katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w; “Wahai Rasulullah, apakah kamu mahu melantikku (beri jawatan)? Kata Abu Zar; Rasulullah s.a.w meletakkan tangannya di atas bahuku lalu bersabda; “ Wahai Abu Zar sesungguhnya engkau lemah, dan sesungguhnya ia (jawatan) adalah amanah, pada hari Qiamat nanti ia akan menjadi satu penghinaan dan kekecewaan, kecuali yang mengambilnya dengan hak dan menunaikannya…”. Riwayat Muslim.

MUSAFIR KELANA

Beberapa hari ni saya agak sibuk. Bermula dengan hari Sabtu 16 Ogos 2008 berforum di UIA Kuantan bersama ahli panel hebat seperti Dr Jamnul Azhar (Personaliti TV terkenal) dan Dr Khairusalleh (Ahli Akademik UIA), membincangkan tajuk "Menyelongkar Khazanah Sains, Memartabatkan Islam". Datang ke kampus UIA Kuantan ni memang sentiasa mengembalikan kenangan bersama sahabat-sahabat pelajar Medic dalam usrah dan dakwah satu ketika dahulu, tetapi sekarang agak kurang ke UIA kerana kekangan masa dan aktiviti dakwah.Pada 17 Ogos pula pukul 8.00am ke Sekolah Berasrama Penuh Integriti Kuantan kerana menyampaikan kertas kerja bertajuk "Kepimpinan Berintegriti" dalam program Nadwah Kepimpinan Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh peringkat Kebangsaan. Kemudian sebelah petang lebih kurang pukul 2.00pm saya ke Johor Bahru bersama Hj Nordin, Pak Leh dan Hisham kerana memenuhi jemputan ceramah di Masjid Bandar Baru Uda Johor Bahru. Pukul 7.30 pm sampai dan pukul 9.30 malam menyampaikan ceramah bertajuk "Persiapan Ramadan". Semasa di sini terpegun juga dengan pengurusan masjid yang cekap dan boleh dijadikan contoh. Masjid Jamek Bandaru Baru Uda ni dibina dengan hasil derma orang ramai dan mampu menggajikan staf masjid sendiri. Pukul 12.30pagi bertolak pulang ke Kuantan dan sampai di rumah pukul 3.30 pagi hari Isnin.Hari Isnin 18 Ogos 2008 lebih kurang pukul 8.00 pagi saya bertolak semula ke Johor Bahru bersama keluarga kerana menghadiri Konvokesyen anak saudara sulung di UTM Skudai pada 19 Ogos. Lebih kurang pukul 2.00 petang sampai. Malamnya saya, isteri dan anak-anak bersama keluarga abang ke Danga Bay melepaskan hajat anak-anak.Selepas Konvo anak saudara, kami pulang ke Kuantan dan sampai pukul 8.45 malam.

8/04/2008

Syaaban; Persiapan Menempuh Ramadan

Allah SWT berfirman yang bermaksud: ((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Surah Al-Taubah : 36.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis.
Abu Bakrah menceritakan bahawa Nabi SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (riwayat Imam Ahmad).
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah:
Muharram erti diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.
Safar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Rabiulawal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.
Jumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan air membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.
Rejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.
Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
Ramadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
Zulkaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.
Zulhijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.
Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Termasuklah juga dengan bulan Syaaban.
Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya.
Memanfaatkannya
Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.
Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.
Antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban. (riwayat Muslim).
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan. (riwayat Tirmidzi).
Aisyah r.a. juga meriwayatkan bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan. (riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban. Ini kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.
Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah melihat (amalan hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhluk-Nya (hamba-Nya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). (riwayat Ibnu Majah)
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah bersabda: Allah melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. (riwayat Imam Ahmad)
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.
Pelaksanaan ibadah bulan Syaaban adalah satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat.
Oleh itu, di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya.
Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan sama ada dari sudut ruhiah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah.
Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.