12/17/2012

Meredah Sg Berkelah...


Mukhayyam Tarbawi Remaja Surau




Perancangan mengadakan program Mukhayyam Remaja Surau Indera Sempurna dibuat lebih kurang dalam masa 3 minggu. Ia adalah lanjutan dari siri rehlah yang pernah dibuat sebelum ini. Pada tahun lepas Rehlah dibuat di Sg Mas di Sg Lembing. Alhamdulillah sokongan dari pihak surau dan ahli jamaah dewasa sangat menggalakkan. Ustaz Sayuti Bendahari surau , Tuan Haji Nordin, Wan Kamarulzaman, En Ibrahim, En Ghazali, En Ridhuan, En Roslan, Imam Muda Saifuddin, En Musa dan adiknya memberikan komitmen untuk turut serta menjayakan program ini. Para peserta di kalangan remaja mencapai sasaran iaitu seramai 20 orang.
Program kali ini diadakan pada 15 dan 16 Disember 2012 di tapak perkhemahan Berkelah, Maran. Sebanyak 7 kenderaan terlibat ke sana iaitu sebuah Triton, Hilux, Pajero, Exora, Suzuki APV, Wira dan Pesona. Pada jam 3.30pm semua peserta bertolak secara konvoi ke Berkelah. Dalam perjalanan kami singgah di Balai Polis Gambang untuk memaklumkan program ini kepada pihak PDRM bagi tujuan keselamatan peserta. Dalam perjalanan peserta konvoi Mukhayyam dapat menikmati suasana hutan yang masih terpelihara. Akibat dari jambatan menuju ke tapak perkhemahan runtuh, semua kenderaan terpaksa meredah 3 batang sungai bagi meneruskan perjalanan. Ia adalah pengalaman yang sangat menarik. Kira-kira jam 4.45pm kami sampai dan semua peserta terus ke sungai untuk berwuduk bagi menunaikan solat Asar berjamaah. Selesai solat Asar Imam Muda Saifuddin memberikan sedikit taklimat . Kem Komanden En Ghazali pula menyampaikan taklimat disiplin dan keselamatan. Selepas itu semua peserta membersihkan tapak perkhemahan dan memasang khemah masing-masing. Sebelah petangnya para peserta dibenarkan mandi manda di sg Berkelah yang begitu jernih dan nyaman. Urusetia bahagian masakan iaitu Haji Nordin, Ustaz Zuridan, Wan Kamarulzaman dan Riduan bekerjasama menyediakan juadah makan malam.
Apabila masuk waktu maghrib azan dikumandangkan dan semua peserta Mukhayyam solat berjamaah dengan diimamkan oleh Imam Muda. Kuliah Maghrib pula di sampaikan oleh Ustaz Sayuti dengan memberikan penekanan kepada soal peranan pemuda Islam. Setelah selesai solat Isyak peserta menikmati makan malam dengan makan berjamaah di dalam talam dan dihidangkan dengan menu nasi putih, gulai ayam kari dan sambal budu special….sangat menyelerakan.
Kira-kira jam 10.30 malam para peserta remaja yang diberikan dalam 4 kumpulan telah mempersembahkan lagu tema kumpulan masing dan memperkenalkan ahli kumpulan. Kem Komanden telah memberikan tugasan kepada setiap kumpulan membuat kawalan secara shift sehingga jam 4.30 pagi. Tepat jam 4.30 pagi siren dibunyikan dan semua peserta mukhayyam bangun untuk bersiap mendirikan qiamullail. Qiamullail dan solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Zuridan. Masuk waktu Subuh, azan berkumandang memcah kesunyian hutan belantara Berkelah yang tebal. Kuliah subuh menyentuh tentang kehebatan alam ciptaan Allah dan kisah remaja dalam surah al-Buruj yang disampaikan oleh Ustaz Zuridan.
Sarapan pagi pula disediakan oleh peserta dewasa dengan menu nasi goring Kastam dan roti telur goreng serta air nescafe susu….emm sangat menyegarkan.
Seusai sarapan semua peserta remaja berkumpul dan menyanyikan lagu negaraku dan berkawad yang dipimpin oleh instructor bertauliah En Wan Kamarulzaman. Kemudian peserta di bawa meneroka keindahan alam, dengan  meredah hutan dan meneroka air terjun yang begitu indah. Kira-kira jam 10.30 pagi setelah mandi-manda semua peserta dihidangkan dengan juadah nasi putih, gulai sardine, telur goreng dadar dan sambal kicap perah limau nipis…
Sebelum berkemas pulang para peserta mengadakan perlawanan polo air dengan begitu meriah sekali. Penutup program telah dilakukan oleh pengerusi Surau Fatimah Az-Zahra Ustaz Rosaidi yang meluangkan masa hadir pada penghujung mukhayyam kali ini…beliau telah memberikan kata-kata semangat kepada remaja yang terlibat dan berjanji akan meneruskan aktiviti seumpama ini.
Semua peserta bergerak pulang kira-kira jam 12.30 tengahari 16 Disember 2012 dan sampai ke surau Fatimah Az-Zahra jam 1.30 tgh. Selesai solat zohor berjamaah semua pesertapun bersurai….
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Tuan Haji Cikgu Din telah meminjamkan genset nya. En Razi telah meminjamkan tritonnya dan semua yang memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit...semua ia dinilai sebagai amal soleh insyaAllah.