8/29/2013

Khutbah Kemerdekaan



Mencari erti Kemerdekaan


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan berusaha melaksanakan setiap perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Amalan menyambut hari kemerdekaan negara meskipun tidak dinyatakan di dalam nas samada al-Quran mahupun al-Hadis, namun ia merupakan suatu yang harus dilakukan bagi tujuan menimbulkan semangat cintakan tanahair. Meskipun dalam Islam hanya ada dua hariraya yang dianggap sunnah dan ibadah iaitu Hariraya Aidilfitri dan Aidiladha namun tiada larangan khusus bagi sambutan hari-hari bersejarah bagi umat Islam.

Kaedah Feqah ada menyebut:
الأَصْلُ فيْ الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ
Maksudnya: Asal sesuatu perkara adalah harus.

Oleh itu sambutan hari kemerdekaan negara dengan hasrat menimbulkan kesedaran tentang tanggungjawab kepada tanahair dan membangkitkan rasa kasih kepada negara adalah sangat baik di sisi Islam selagimana tiada unsur maksiat dalam menyambutnya. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika keluar dari kota Mekah berhijrah ke kota Madinah telah bersabda:

وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
Maksudnya: Demi Allah! Sesungguhnya engkau (Mekah) adalah sebaik-baik muka bumi Allah dan lebih dikasihi oleh Allah Azza wajalla dan jika aku tidak dihalau keluar nescaya aku tidak akan keluar (meninggalkanmu).

Hadis ini memberikan gambaran bagaimana perasaan sayang dan kasih baginda Rasulullah SAW kepada Mekah tanahairnya sendiri yang merupakan bumi penuh barakah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam Bahasa Arab kemerdekaan disebut dengan perkataan ’al- Istiqlal’  yang bermaksud bebas mentadbir sendiri. Kemerdekaan juga sinonim dengan perkataan ’al-Hurriyyah’ yang menggambarkan kemerdekaan dengan maksud bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak atau dikongkong oleh mana-mana kuasa yang menyekat pergerakan dan mengekang kebebasan berfikir. 

Kemerdekaan negara mempunyai pengertian yang besar kerana ia melambangkan maruah dan harga diri sesebuah bangsa yang dapat menguasai dan memerintah tanah air sendiri. Sebaliknya penjajahan bererti kongkongan atau sekatan kebebasan bagi anak watan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu terhadap tanahair sendiri.
Kemerdekaan perlu dilihat dengan maksud yang lebih luas iaitu bukan sahaja bebas dari penjajah pada aspek fizikal sahaja. Malah juga berkaitan dengan kebebasan dari segi berfikir, berbudaya, berpolitik, berekonomi, bersosial dan sebagainya. Negara yang bebas dari cengkaman penjajah masih belum bebas sepenuhnya sekiranya cara berfikir dan budaya masyarakatnya masih terbelenggu dengan kongkongan budaya penjajah yang merosakkan.
Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:

مَـتـَى استـَعْبَدْتـُـمُ النـَّاسَ وَقـَدْ وَلـَدَتـْهُـمْ أمَّهـَاتـُهُمْ أحْـرَارًا

Ertinya: Bilakah kamu mula memperhambakan manusia sedangkan mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas?

Saidina Ali bin Abi Talib RA juga ada menyebut:

لا تـَكـُنْ عَـبـْدَ غَيـْرِكَ وَقـَدْ جـَعـَلـَكَ اللهُ حُرًّا
Ertinya: Janganlah kamu menjadi hamba kepada orang lain kerana Allah telah menjadikan kamu bebas.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kemerdekaan negara perlulah dilihat sebagai satu amanah dari Allah SWT yang dipertanggungjawab kepada kita supaya memeliharanya dengan baik. Dari sudut agama sepatutnya ia digunakan untuk membangunkan negara dan membina masyarakat ke arah mentauhidkan serta memperhambakan diri kepada Allah Taala.

Allah SWT telah mengingatkan kita bagaimana situasi Nabi Musa AS dan para pengikutnya yang terselamat dari kekejaman Firaun agar bersyukur. Firman Allah Taala dalam surah Ibrahim ayat 6 dan 7:


Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu dari (Firaun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelalkimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cubaan yang besar dari Tuhanmu." Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Dalam surah al-Nasr ayat 1 hingga 3 Allah SWT telah berfirman:


Maksudnya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam konteks kehidupan di sebuah negara, amat berbeza sekali kehidupan di dalam sebuah negara yang dijajah dengan kehidupan di dalam sebuah negara yang merdeka. Apa yang nyata, penjajah lebih gemar melakukan sesuatu yang boleh memecah belahkan perpaduan sesama masyarakat. Mereka mempunyai strategi yang licik untuk melihat kekuatan umat khususnya orang-orang Islam (Melayu) menjadi lemah apabila mereka berpecah dan sering bergaduh antara satu sama lain. Idea mewujudkan balai raya di dalam sesebuah kariah atau kampung di samping kewujudan masjid telah menyebabkan urusan kehidupan harian tidak lagi dibincangkan di dalam masjid. Inilah bibit-bibit kepada penerapan ideologi sekularisme. Dan dengan begitu licik mereka berjaya mengkesampingkan peranan agama di dalam urusan keduniaan dan pembangunan negara. Agama hanya dilihat sebagai amalan-amalan rutin ibadah yang berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji, kematian, nikah dan cerai. Namun soal-soal pendidikan, ekonomi, politik dan pembangunan diuruskan tanpa panduan agama.
Penjajah juga dengan sengaja telah meletakkan kaum Cina di bandar, membiarkan orang Melayu di kampung dan kaum India pula dihantar ladang. Penjajah turut memutarbelitkan fakta sejarah terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan tokoh-tokoh rakyat dalam perjuangan kemerdekaan. Kepahlawanan Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh dan lain-lain ditukar menjadi pemberontak. Manakala FrancisLight, J.W.Birch dan lain-lain disanjung sebagai seorang tokoh. Peranan tulisan jawi turut dikesampingkan dengan memperkenalkan tulisan rumi yang digunapakai secara meluas dan akhirnya setelah 56 tahun merdeka tulisan jawi hanya tinggal nyawa-nyawa ikan dan di sesetengah tempat ia sudah berkubur tanpa batu nisan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak bagi memartabatkan kembali tulisan jawi tidak mendapat sambutan kerana ia seolah-olah satu benda yang asing dan janggal di kalangan masyarakat kita.

Setelah  56 tahun merdeka dan setelah bermacam projek pembangunan aspek fizikal dilaksanakan janganlah kita lupa kepada teras pembangunan negara iaitu pembangunan nilai dalam masyarakat. Kita tidak harus berbangga hanya dengan bangunan tinggi pencakar langit sedangkan yang menghuninya terlibat dengan rasuah dan pecah amanah. Kita juga tidak harus berbangga dengan kemajuan teknolgi maklumat tetapi digunakan bagi menyebarkan fitnah, bahan lucah, aktiviti perjudian, ajaran sesat dan sebagainya.
Persoalannya apakah kita benar-benar sudah merdeka? Ya! Secara fizikal memang negara kita sudah merdeka dari penjajah, namun sedarkah kita bahawa kini muncul pula penjajahan dalam bentuk baru yang lebih merbahaya. Penjajahan yang bertopengkan dasar pensejagatan yang cuba menjajah minda dan budaya masyarakat. Kebudayaan masyarakat negara kita yang berpaksikan Islam sebagai agama rasmi terus menerus diancam melalui penjajahan budaya global yang berteraskan hedonisme atau kehidupan bebas. Cara berfikir, berutur, berpakaian, makanan, bersukan malah pendidikan dicorakkan menurut acuan barat. Minda juga turut dirosakkan dengan menanamkan rasa rendah diri dan malu jika mengamalkan budaya Islam dan budaya tradisional Melayu. Bahasa juga dinodai dengan menonjolkan kehebatan bahasa asing dan menimbulkan rasa malu bertutur di dalam bahasa ibunda sendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Meskipun telah merdeka, proses memerdekakan minda dan nilai harus terus dilaksanakan dan antara perkara yang perlu diberikan penekanan ialah pembebasan umat daripada perkara-perkara seperti berikut:
1.    Ajaran dan fahaman yang menyeleweng dari Islam seperti ajaran sesat, syiah, sekularisme, liberalisme, pluralisme dan lain-lain.
2.    Aktiviti-aktiviti yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah seperti minum arak, perjudian, perzinaan, rasuah, pecah amanah, penipuan dan sebagainya.
3.    Ekploitasi wanita dengan menjadikannya bahan kepuasan hawa nafsu dan mendikriminasikan kedudukan mereka dalam masyarakat.
4.    Tidak meyakini bahawa Islam boleh menjadi rujukan dalam setiap aspek urusan kehidupan manusia sama ada berkait dengan pentadbiran negara, pendidikan, ekonomi dan sebagainya sebaliknya percaya kepada sistem peninggalan penjajah.
Sebagai umat Islam sepatutnya kita sama-sama berjuang agar prinsip-prinsip kebebasan yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dapat dilaksanakan.
Sambutan kemerdekaan negara ke  56 sewajarnya menjadi waktu yang tepat untuk kita bermuhasabah diri sejauhmanakah pengisian yang dilakukan. Apakah ianya mampu melahirkan generasi fahamn akan tanggungjawab kepada negara dan yang benar-benar merdeka dari penjajah? Atau sebaliknya mereka terus terbelenggu dengan pemikiran dan budaya hidup ala penjajah tanpa disedari?
Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 50:
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

8/26/2013

Nafsu; anugerah Allah yang perlu dibimbing



Oleh: Zuridan Mohd Daud.

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWTmempunyai nafsu. Nafsu ialah keinginan kepada sesuatu samada baik ataupun buruk. Nafsu yang terdapat pada manusia adalah anugerah Allah SWT yang mesti dipelihara sebaiknya oleh manusia justeru ia perlu dikawal dan dipelihara agar sentiasa menuju kepada kebaikan. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia dapat memelihara dirinya dari perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams ayat 7-8:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Maksudnya:  Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

Keinginan manusia kepada harta, pangkat, wanita, kenderaan dan sebagainya adalah merupakan fitrah namun jika tidak dikawal dengan iman dan pertimbangan akal maka keinginan itu membawa kepada sifat melampau batas yang di larang oleh Islam. Sebagai umat Islam kita dituntut supaya sentiasa melakukan penyucian jiwa dari nafsu dan keinginan yang merosakkannya.

Nafsu manusia sepertimana dijelaskan oleh al-Quran terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Pertama: Nafsu ‘Ammarah bissuk’ . Iaitu nafsu yang mendorong manusia melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah Yusof ayat 53:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِيَ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Nafsu ‘al-ammarah bissuk’ selalunya mendorong manusia agar melanggar perintah Allah dan menghasut dengan mengatakan bahawa dosa itu adalah perkara kecil serta menimbulkan rasa seronok dan suka kepada maksiat. Mereka yang menuruti nafsu ini akan merasa benci melakukan ibadah dan tidak senang dengan amalan-amalan agama. Dorongan jahat ini akan diperkuatkan dengan bisikan syaitan yang suka menipu daya manusia agar terjebak dengan maksiat.

Kedua: Nafsu ‘al-lawwamah’. Iaitu nafsu yang mencela tuannya kerana melakukan maksia. Ia selalunya berlaku kepada mereka yang sedar dan insaf akan kemungkaran yang dilakukan lantas mencela dirinya di atas perbuatan tersebut. Celaan itu bertujuan supaya timbul rasa bersalah dan benci untuk mengulangi semula perkara maksiat tersebut. Allah SWT telah bersumpah dengan nafsu ‘al-lawwamah’  dalam surah al-Qiyamah ayat 2:

وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ

Maksudnya:  Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).

Ketiga: Nafsu ‘al-mutmainnah’. Iaitu nafsu yang sentiasa damai dan tenang. Ia dicapai dengan keikhlasan kepada Allah SWT dan keyakinan terhadap iradahNya dalam menentukan samada yang baik mahupun yang buruk. Bagi seseorang yang mempunyai nafsu ‘al-mutmainnah’ dia akan sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT. Dia juga tidak berasa takut dalam berdepan dengan kezaliman manusia dan tidak berasa sedih dengan musibah yang menimpanya.

Mengenai nafsu ‘al-mutmainnah’ Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Fajr ayat 27-30:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
Maksudnya: Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.

Kata-kata hikmah ada menyebut:

وَنَفْسُكَ إنْ لَمْ تُشْغِلْهَا بِالطَّاعَةِ شَغَّلَتْكَ بِالمعْصِيَةِ
Ertinya: Nafsumu jika tidak disibukkan dengan amal ketaatan maka ia akan menyibukkanmu dengan perbuatan maksiat.

Selalunya manusia yang alpa akan dipengaruhi oleh hawa nafsunya agar melakukan sesuatu maksiat. Nafsu yang mendorong kepada maksiat akan menghasut pelakunya dengan bisikan-bisikan manis sehingga menyebabkan hilang rasa berdosa dan timbul rasa seronok melakukan maksiat. Si penzina merasakan dosanya kecil dan suka melakukan perzinaan. Si pencuri merasakan kesalahannya kecil dan bergembira dengan hasil rompakannya. Si pembunuh merasakan kekejamannya kecil dan berbangga dengan pembunuhan yang dilakukan. Begitulah akhirnya kerana terlalu terikut dengan bisikan hawa nafsu manusia akan hilang pertimbangan dan menjadi angkuh dengan kemungkaran yang dilakukannya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 43:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya: Terangkanlah kepada-Ku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya:

إِنَّ مِمَّا أَخْشَى عَلَيْكُمْ بَعْدِي بُطُونَكُمْ وَفُرُوجَكُمْ وَمُضِلَّاتِ الأَهْوَاءِ
Maksudnya: Sesungguhnya apa yang aku takuti menimpa kamu selepas dari kewafatanku ialah (apa yang kamu makan) dalam perutmu dan apa yang kamu lakukan (perbuatan keji dengan kemaluanmu) dan dorongan hawa nafsu.

Sebaliknya bagi mereka yang beriman ketakutan kepada azab Allah, kebimbangan terhadap suasana di alam kubur dan pembalasan di di padang mahsyar menjadikan mereka sentiasa berawas dalam tindakan agar tidak melanggar perintah Allah SWT. Nafsu yang disinari dengan iman akan sentiasa membisikkan ke dalam jiwa manusia agar menjauhi perbuatan maksiat kerana ia bakal mengundang bencana samada di dunia mahupun di akhirat. Ia juga akan mendorong seseorang itu meningkatkan amal kebaikan yang akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Naziat ayat 40 dan 41:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
Maksudnya: Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).

Kita seharusnya sentiasa memandang berat soal nafsu kerana ia menjadi pendorong kepada manusia sama ada memilih jalan dosa dan maksiat atau jalan pahala dan amal soleh. Oleh itu amalan penyucian jiwa perlulah sentiasa dilakukan dengan memperbanyakkan amalan-amalan zikir, membaca al-Quran, berpuasa sunat, bersedekah, menziarahi kubur, mendampingi orang yang soleh dan sebagainya. Amalan-amalan seumpama ini akan mewujudkan ketenangan di dalam jiwa manusia yang akan membuka pintu hatinya untuk melihat kebenaran lantas menurutinya. Sebaliknya jiwa yang kosong dari mengingati Allah SWT jauh dari amalan zikir, membaca al-Quran dan berselawat serta jarang berdampingan dengan alim ulama dan orang soleh akan dipenuhi dengan keinginan hawa nafsu yang mendorong kepada maksiat dan semakin jauh dari hidayah Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams ayat 9 dan 10:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.



8/16/2013

Khutbah Menentang Firaun Zaman Moden



Khutbah Jumaat
(Bersatu Menentang Kezaliman Firaun Moden)

الحَمْدُ للهِ القائل:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT,
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 30:
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”
Pada hari ini setiap umat Islam yang prihatin pastinya amat sedih dan terhiris hati dengan nasib malang yang menimpa saudara-saudara seislam kita di bumi Mesir. Maklumat terkini yang diperolehi kira-kira 2000 lebih nyawa sahabat-sahabat kita yang cintakan kedamaian dan pendokong perjuangan Islam melayang di tangan tentera dan polis Mesir yang diberikan kebebasan menyembelih saudara mara mereka, dan kira-kira 10,000 orang dirawat kerana cedera parah. Kononnya atas alasan memelihara keamanan, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengarahkan rakyat yang tidak bersenjata dan hanya memiliki naskhah al-Quran ditembak, diletupkan, disodok dengan bulldozer dan dibakar hingga rentung. Bagi menyokong tindakan zalim ini, tentera, polis dan samseng ada yang menyamar dan membawa senjata di tengah-tengah rakyat Mesir yang berkhemah bagi melakukan propaganda pembohongan mereka.
Inilah keadaan yang tidak dapat dibayangkan berlaku di bumi Mesir pada hari ini, hanya selepas Dr Morsi, Presiden Mesir yang sah dan naik dengan jalan demokrasi mengisytiharkan langkah-langkah perubahan kepada dasar-dasar pemerintahan Islam. Di saat kita masih merayakan Aidilfitri, saudara-saudara kita di Mesir berdepan dengan keganasan pemerintah sekular yang zalim dan penyokong mereka yang melakukan keganasan tanpa belas kasihan, malah lebih kejam dari binatang. Meskipun semua saluran berita milik kerajaan begitu takut menyiarakan maklumat yang sahih namun kita memperolehi berita dari sahabat-sahabat kita di sana bagaimana kekejaman yang telah dilalukan. Ada yang hancur kepada, dibakar hingga rentung, dirobek perut dan sebagainya!

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Di awal penggulingan kuasa yang berlaku di Mesir, amat jelas bahawa tindakan kejam ini ada kaitan dengan hubungan pemerintah tentera Mesir dengan Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat. Bukitnya selang beberapa hari penggulingan kuasa, Jeneral Al-Sisi mengarahkan supaya sempadan Rafah ditutup dan semua terowong yang menjadi laluan rakyat Gaza mendapatkan bekalan makanan dan senjata untuk mempertahankan diri dari Yahudi Zionis dimusnahkan. Presiden Barack Obama yang kononnya membuat sidang akhbar kecewa dengan penggulingan kuasa tetapi sebaliknya Amerika Syarikatlah yang memberikan bantuan besar kepada tentera Mesir bagi membantai penyokong Dr Morsi. Sangat jelas bahawa Mesir yang dibayangi oleh kuasa tentera sebenarnya mempunyai hubungan sangat rapat dengan Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat.
Kita tercari-cari apakah sebenarnya yang menjadi punca kekejaman dan kegilaan ini berlaku…apakah kerana Dr Morsi tidak dapat membangunkan ekonomi Mesir, apakah kerana Dr Morsi membunuh rakyat Mesir yang tidak berdosa dan apakah kerana Dr Morsi mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat? Jawapannya adalah tidak! Dr Morsi yang hanya memerintah tidak sampai setahun pastinya belum dapat merubah ekonomi Mesir yang sudah dimusnahkan oleh Hosni Mubarak selama berpuluh tahun! Dr Morsi tidak pernah membunuh walau seorang rakyat Mesir dan Dr Morsi sendiri melakukan lawatan muhibbah ke Amerika Syarikat dan negera-negara Eropah.
Ketahuilah! Kegawatan ini sebenarnya adalah berpunca dari hasrat Dr Morsi mahu membebaskan bumi Palestin, mengembalikan Masjidil Aqsa ke tangan umat Islam, melaksanakan syariat Islam dan menegakkan kembali khalifah. Antara ucapan Dr Morsi setelah dilantik menjadi Presiden Mesir ialah:
“Tidak ada kebaikan kepada umat ini, tiada keberkatan dan tiada kebangkitan melainkan kembali melaksanakan syariat Islam. Dan saya berjanji dengan nama Allah dan saya berjanji dengan kamu sekelian untuk melaksanakan undang-undang selari dengan kehendak rakyat dan para ulamak…”.
Inilah yang menjadi punca sebenar seluruh rangkaian musuh Islam bersatu menyekat pemerintahan Dr Morsi yang hakikatnya dibayangi oleh Ikhwan Muslimin yang merupakan sumber inspirasi kepada gerakan Islam seluruh dunia.


Muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Keadaan yang berlaku di Mesir pada hari ini tidak ubah seperti zaman pemerintahan Firaun yang begitu angkuh dan zalim sehingga sanggup membunuh mana-mana rakyat yang dianggap mengancam kuasanya. Allah SWT berifirman dalam surah al-Baqarah ayat 49:
وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ
Yang bermaksud: "Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan kamu."
Kerana terlalu bimbangkan kehilangan kuasa, Firaun mengarahkan mana-mana anak lelaki yang lahir dibunuh kerana takut akan menjadi ancaman kepada tahtanya manakala anak-anak perempuan dibiarkan hidup. Sebaliknya Jeneral Al-Sisi mengarahkan supaya semua mereka yang terlibat berkumpul menyokong Dr Morsi dibunuh samada wanita mahupun kanak-kanak dan mereka dibakar hidup-hidup di dalam khemah mereka. Sesungguhnya Firaun zaman moden ini lebih kejam dan zalim!
Di atas kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ini kita berdoa agar Allah SWT membalas tindakan mereka sepertimana yang pernah ditimpakan ke atas firaun dan konco-konconya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr ayat 10-14:
وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ * الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ * فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ * فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ * إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ
"Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas (terutama balasan akhirat)."

Ikhwanil Muslimin,
Apa yang berlaku di Mesir memberikan pengajaran kepada kita bahawa sudah tiba saatnya umat Islam seluruh dunia bersatu di bawah naungan Al-Quran dan Al-Sunnah. Kita mesti kembali memartabatkan syariat Islam dalam satu sof dan berusaha mengembalikan khilafah Islam yang sudah lenyap di muka bumi semenjak runtuhnya khilafah Othmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Akibat dari tiadanya khilafah, umat Islam terus menerus diperkotak katikkan oleh golongan secular dan nasionalis yang secara senyap bersekongkol dengan Yahudi Zonis dan Amerika Syarikat bagi menyekat kebangkitan Islam.
Tragedi di Mesir juga memberikan amaran kepada kita bahawa musuh Islam akan menggunakan apa sahaja cara bagi memastikan mereka yang mahu menegakkan syariat Islam dalam pemerintahan Negara disekat samada dengan cara halus iaitu melalui penipuan dan tohmahan jahat terhadap pendokong perjuangan Islam ataupun melalui kekerasan sepertimana yang berlaku di Mesir dan Syria.
Sebagai umat Islam yang beriman, kita penuh yakin bahawa semakin keras tindakan mereka dan semakin kuat kerja mereka mahu menyekat kebangkitan Islam, tiba masanya Islam pasti akan bangkit. Yakinlah di mana-mana sahaja kesedaran Islam semakin meningkat dan kita berdoa kepada Allah SWT agar seluruh kuasa zalim yang sedang mencengkam bumi umat Islam runtuh satu persatu dan akan digantikan dengan khilafah Islam! Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 26:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." 


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ