9/30/2015

Kuliah Maghrib Dato TITM


9/23/2015





6/10/2014

Khutbah Iktibar Ramadhan



Khutbah Iktibar Ramadhan
Oleh: Zuridan Mohd Daud al-Teminie

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 
أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تمَوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah Taala dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita menjadi umat yang bertaqwa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Bulan Ramadhan bukan sahaja merupakan saat dan peluang untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT semata-mata, malah ia juga mempunyai hikmah untuk kita hayati sebagai pedoman dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT, justeru bulan Ramadhan bukan sahaja digelar sebagai Syahrul Ibadah malah juga digelar sebagai Syahrul Jihad kerana Ramadhan yang dilalui oleh baginda SAW dan para sahabat serta umat terdahulu diwarnai dengan tinta perjuangan menegakkan kalimah Allah dan memerangi kemungkaran dan kesesatan.
Ibadah puasa Ramadhan di samping bertujuan melahirkan manusia yang bertaqwa dan taat kepada perintah Allah Taala dan sunnah Rasulullah Saw, ia juga berfungsi melahirkan para pejuang yang sanggup berkorban jiwa raga demi kedaulatan Islam. Keikhlasan, pengorbanan, kesusahan dan ketahanan diri melawan bisikan hawa nafsu ketika melaksanakan ibadah puasa adalah merupakan satu bentuk latihan bagi membentuk jiwa dan peribadi seorang pejuang di jalan Allah. Ini kerana dalam perjuangan pastinya ada cabaran yang datang sama ada dalam bentuk bisikan hawa nafsu ataupun dalam bentuk fitnah harta dan pangkat. Sepertimana yang berlaku kepada baginda SAW yang pernah ditawarkan dengan kedudukan yang tinggi dan harta yang banyak namun baginda SAW menolaknya demi menegakkan Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Dalam surah surah Ali Imran ayat 123 Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan peralatan perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Bulan Ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masehi. Ia adalah peperangan pertama yang dilalui oleh baginda dalam keadaan tentera Islam begitu sedikit jumlahnya dan berdepan dengan tentera musuh yang mencecah angka seribu orang dengan peralatan yang lengkap. Namun kemenangan dianugerahkan kepada tentera Islam kerana mendapat bantuan Allah SWT yang dijanjikan kepada golongan yang beriman.

Allah Taala menamakan peperangan Badar dengan Yaumul Furqan yang bermaksud pemisah antara dua pihak iaitu yang hak dan batil, yang beriman dan yang kufur. Ia menjadi peristiwa yang menguji antara perasaan iman kepada Allah dan perasaan asobiyah puak dan bangsa. Allah Taala menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia walaupun di kalangan mereka yang paling hampir hubungan kekeluargaannya yang akhirnya membawa kepada peperangan akibat daripada pertembungan aqidah.
Pada bulan Ramadhan juga berlakunya peristiwa Fathu Makkah iaitu pembukaan kota Mekah di tangan Rasulullah SAW dan para sahabat. Setelah mereka disiksa dan dihalau dari tanah air sendiri hingga terpaksa berhijrah ke Madinah baginda SAW telah menggunakan kesempatan tersebut untuk membina kekuatan iman umat Islam dan membangunkan negara dengan sistem Islam yang sempurna dan adil. Akhirnya pada tarikh 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah Rasulullah SAW kembali semula dan Islam dapat ditegakkan di bumi Makkah tanpa berlaku sebarang tentangan.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Fath ayat 1-3:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا, لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا, وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah memberi kemenangan kepadamu (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata. Kemenangan itu supaya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang akan dating dan menyempurnakan nikamy-Nya kepadamu serta memimpinmu ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hakamnya). Dan supaya Allah memberikan pertolongan (untuk mencapai kejayaan) kepadamu dengan pertolongan yang mulia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Abu Said r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah menjauhkan diri orang itu dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (Hadis Muttafaqun 'alaih)
Banyak lagi peristiwa-peristiwa jihad dan perjuangan yang berlaku di bulan Ramadhan meskipun dalam keadaan umat Islam berpuasa, antaranya ialah:
Pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah berlakunya peristiwa perang Tabuk yang akhirnya umat Islam menang setelah tentera Rom mengundur diri kerana takut kepada kekuatan tentera Islam.

Pada bulan Ramadhan tahun ke 10 Hijrah Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera di bawah pimpinan Saidina Ali r.a ke Yaman dengan membawa surat  daripada Nabi SAW. Akhirnya satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima  dan memeluk Islam pada hari itu juga.

Pada bulan Ramadhan tahun ke 91 Hijrah  pasukan tentera Islam mendarat di selatan pantai Andalusia iaitu Sepanyol dan terus melancarkan jihad ke atas musuh Islam dan pada bulan Ramadhan tahun ke-92 Hijrah  panglima Tariq bin Ziad mengalahkan Raja Frederick dalam perang Fashillah di Andalusia.
 
Pada bulan Ramadhan tahun ke-584 Hijrah pahlawan Islam Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bersama-sama kaum muslimin mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salibiyyah. Tentera Islam berjaya menguasai daerah-daerah yang sebelum ini dikuasai oleh tentera Salib. Penasihat-penasihat Sultan Salahuddin menyarankan agar beliau berehat kerana risau akan kesihatannya namun beliau menjawab, "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang di bina oleh musuh. 

Pada tarikh 25 Ramadhan tahun ke 658 Hijrah kerajaan Tartar berjaya dikalahkan oleh tentera Islam di bawah pimpinan panglima Saifudin Qutuz di
 kota ‘Ain Jalut, Palestin. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Cebisan kisah perjuangan dan jihad yang berlaku di bulan Ramadhan memberikan gambaran kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan rehat bagi umat Islam,  ia adalah bulan kesungguhan, perjuangan dan jihad pada jalan Allah.
Beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang sentiasa bergerak dengan dakwah dan jihad walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga. Peristiwa al-futuhat (pembukaan wilayah baharu) yang berlaku adalah bertujuan menghapuskan sebarang bentuk halangan fizikal yang menyekat perkembangan dakwah Islam untuk sampai kepada seluruh umat manusia. Sebagai Muslim, kita perlu sedar bahawa hidup kita di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan berjuang di atas jalan Nya. Suasana kehidupan Islam yang telah lenyap mestilah dikembalikan semula agar keindahan Islam yang syumul dapat dizahirkan.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra ayat 81:
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Maksudnya: Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang batil (kufur dan syirik). Sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

 

1/09/2014


12/16/2013

ZAKAT untuk mangsa malapetaka

Ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini saya diajukan soalan oleh beberapa penduduk yang ditemui mengapakah tiada bantuan khusus daripada dana zakat kepada mangsa-mangsa banjir. Meskipun sukarelawan dari institusi zakat dan institusi agama Islam negeri turun padang dan bertungkus lumus membantu namun ramai mangsa banjir yang tertanya-tanya apakah tiada dana khas dalam bentuk wang ringgit diberikan bagi meringankan beban mereka. Meskipun saya ada membaca bahawa sebanyak RM500,000.00 dari dana zakat ada disumbangkan namun mungkin kerana berita yang ditulis tiada menyebut ianya dari zakat maka ramai yang tidak mengetahuinya. Persoalannya apakah zakat turut berfungsi dalam membantu golongan yang ditimpa malapetaka sedangkan dalam lapan asnaf yang disebut oleh Al-Quran surah al-Taubah ayat 60 tidak disebut mengenainya.
Memang Jika diperhatikan secara sepintas lalu kita dapati bahawa tiada sebarang penekanan secara khusus dalam al-Quran khususnya dalam ayat zakat atau sedekah berkaitan dengan bantuan kepada mangsa malapetaka.

Namun begitu jika difahami dengan teliti situasi mangsa malapetaka seperti banjir maka golongan tersebut adalah berhak menerima zakat malah ada ketikanya mereka lebih utama diberikan bantuan dalam situasi-situasi seperti ini dengan alasan ‘al-Ashaddu Hajatan’ iaitu sangat memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak. Bagi saya situasi banjir di Kuantan baru-baru ini memang sangat terdesak kerana pada malam pertama banjir kawasan Permatang Badak dan Sg Isap khususnya (tempat yang saya pergi) seolah-olah seperti darurat dan ramai sahabat2 yang sms minta tolong kerana mereka kebuluran tiada makanan akibat terkandas di rumah masing-masing.
Mangsa banjir yang besar seperti ini hingga menyebabkan kehilangan harta benda seperti peralatan rumah yang rosak sepenuhnya, barangan elektrik yang tidak boleh diguna pakai dan ada juga yang kehilangan kenderaan kerana tenggelam dalam banjir boleh jatuh kepada status miskin. Situasi ini benar-benar berlaku akibat kesan banjir di Kuantan baru-baru ini dan saya sendiri bertemu selepas banjir dengan mereka yang berkata semua harta benda ‘total lost’ kerana banjir menenggelami rumah mereka hingga ke bumbung dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Keadaan lebih parah di kawasan rumah murah yang rata-rata penduduknya dalam keadaan sederhana kehidupan mereka. Para ulama fiqh ada juga yang menyentuh soal ini dan memasukkan golongan ditimpa musibah malapetaka di bawah asnaf al-Gharimin dengan alasan mereka yang musnah harta benda menanggung beban tinggi atas kehilangan harta benda mereka sehingga tidak mampu untuk membeli perkakasan rumah yang bersifat dharuri bagi menggantikannya.

Jangan lupa juga bahawa ketika musibah melanda ramai sukarelawan yang turun membantu. Terharu sungguh melihat sikap sebahagian rakyat Malasyia yang sangat perihatin dan sanggup bersusah payah membantu mereka yang terlibat samada dengan memasak dan mengagihkan makanan dan dengan cara membersih rumah kediaman, masjid, surau dan sekolah. Mereka ini sepatutnya turut diberikan zakat kerana termasuk dalam asnaf Fi Sabilillah yang bekerja membantu umat Islam semata-mata kerana Allah dan tanpa sebarang elaun. Bagi saya mereka wajar diberikan bantuan zakat di atas usaha mereka yang tidak mengharapkan sebarang publisiti dan bayaran daripada mana-mana pihak.

12/15/2013

ISLAM AGAMA RAHMAT


Jika diimbau sejarah sebelum kedatangan Rasulullah SAW maka kita akan bertemu dengan detik hitam dalam sejarah Tamadun Manusia bilamana hanya akal dan nafsu sahaja menjadi ukuran kehidupan. Dalam soal kepercayaan contohnya, apabila hanya akal menjadi rujukan maka lahirlah amalan penyembahan berhala dan mengagungkan manusia hingga diangkat menjadi dewa. Dalam soal ibadah pula ia dilakukan mengikut telahan akal yang membawa kepada amalan-amalan tahyul dan khurafat yang begitu dominan dalam masyarakat jahiliyyah. Manakala dalam hubungan sosial nafsu syahwat pula dijadikan ikutan yang menyebabkan bangsa Arab sebelum Islam hidup dalam keadaan kacau bilau sistem sosialnya apabila aktiviti-aktiviti perzinaan, perkosaan, perjudian, ketagihan arak dan pembunuhan menjadi resam kebiasaan hidup mereka.

Di atas sifat al-Rahman dan al-Raheem Allah SWT maka diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir yang membawa risalah ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ bagi memandu hidup manusia agar kembali kepada landasannya yang sebena, kerana jika hanya akal dan nafsu sahaja dibekalkan kepada manusia maka mereka pasti akan menempuh kehancuran justeru Allah SWT membekal ‘wahyu’ sebagai pemandu kepada akal dan nafsu dalam menterjemahkan nilai kehidupan yang sebenar.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan menjadi Rahmat kepada seluruh alam”.

Islam sesuainya dengan maksudnya sejahtera adalah pelengkap kepada ajaran Nabi-Nabi terdahulu yang kesemunya membawa risalah Rahmat dan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia.

Rahmat ertinya kebaikan, kemudahan, keringanan, kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian di dunia mahupun di akhirat. Ini jelas dibuktikan dalam setiap syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam soal aqidah, konsep kepercayaan dan keyakinannya adalah begitu mudah dan dapat difahami oleh setiap peringkat manusia yang berakal. Disebabkan soal aqidah adalah perkara prinsip yang tetap dan tidak berubah maka Allah SWT telah menurunkan surah Al-Ikhlas bagi menjelaskannya apabila pihak musyrikin Mekah bertanyakan Nabi SAW tentang bentuk Tuhannya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ikhlas ayat 1-4:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah! (Wahai Muhammad) Bahawa Dia (Allah) adalah satu, Allah adalah tempat bergantung harap, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya”.

Aqidah Islam sangat mudah dipelajari dan begitu jelas tanpa ragu-ragu dan ini berbeza dengan kepercayaan lain yang dicipta oleh akal manusia yang sangat jelas begitu sukar difahami dan bersifat karut serta rekaan semata-mata.

Dalam soal ibadah pula konsep Rahmat yang diterapkan adalah sangat jelas sekali dalam semua bentuk ibadah yang disyariatkan. Sebagai contoh ibadah solat, ketika Nabi SAW menerima perintah solat fardhu sebanyak 50 kali sehari semalam, baginda telah memohon dari Allah SWT pengurangannya sehingga ke 5 waktu kerana bagi memberikan keringanan kepada umat manusia. Ibadah solat juga boleh berubah sifat mengikut keadaan dan situasi bagi memberikan kemudahan dalam melaksanakannya seperti solat dalam keadaan duduk, solat ketika perang, solat jamak dan qasar . Dalam ibadah lain seperti keharusan berbuka puasa ketika musafir atau bagi wanita yang hamil, mengunakan tayammun ketika tiada air, keharusan memakan benda haram ketika dahrurah, kewajipan ibadah haji bagi yang mampu sahaja dan sebagainya adalah lambang penerapan konsep ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ dalam setiap hokum-hakam yang telah disyariatkan. Ini bertepan dengan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan tidak Dia menjadikan dalam agama sesuatu yang menyusahkan”.

Dalam urusan mualamat pula bagi menangani ketidakadilan agihan sumber kekayaan dan bagi mengelakkan tipudaya dalam perniagaan maka Islam telah mensyariatkan jual beli dan mengharamkan riba. Seterusnya kefardhuan zakat disyariatkan bagi memastikan agihan kekayaan bukan sahaja berlegar di kalangan orang kaya tetapi turut dapat dikecapi oleh mereka yang fakir dan miskin.

Sifat Rahmat yang mewarnai Islam bukan sahaja dalam soal aqidah dan ibadah malah ia turut menjadi asas dalam perlaksaan sistem ‘Uqubah atau undang-undang. Ketikamana seorang wanita membuat pengakuan bahawa beliau telah berizna dan bersedia untuk dihukum, Rasulullah SAW tidak menerima pengakuan tersebut bulat-bulat malah menyiasatnya sehinggalah terbukti benar. Kemudian apabila hendak dilaksanakan hukuman baginda SAW telah meminta para sahabat tampil untuk menjadi penjamin agar anak wanita tersebut ada orang yang menjaganya dan barulah hukuman dijatuhkan. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rh:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berlaku ihsan dalam setiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan ihsan, apabila kamu menyembelih sembelihlah dengan ihsan dan hendaklah kamu hendaklah tajamkan senjata kamu dan rehatkan sembelihanmu”.

Islam adalah agama Rahmat untuk semua justeru kita diperintahkan menyayangi keluarga, jiran tetangga dan anak-anak yatim. Kita juga dituntut agar sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa musibah dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sifat belas kasihan dan bersedia menolong bukan sahaja kepada sesama muslim malah terhadap golongan bukan Islam dan bukan sahaja kepada manusia malah kepada binatangpun kita dituntut untuk berbuat kebaikan. Disebut dalam kitab Riadhus Solihin bahawa terdapat seorang wanita jalang yang kehausan lalu minum air dari sebuah perigi dan kemudian dia terlihat seekor anjing yang kehausan tetapi tidak dapat minum dari perigi tersebut. Lantas wanita tersebut mengamb

 


 
 

9/24/2013

Ulama; kedudukan dan peranan mereka menurut al-Quran dan al-Hadis



Siapakah Ulama?

Perkataan ulama adalah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud orang-orang yang berilmu. Ulama adalah katanama jamak (plural) bagi perkataan mufrad (singular) ‘alim. Ulama bermakna orang-orang yang berilmu manakala ‘alim maknsnya seorang yang berilmu. Ulama adalah sinonim dengan ilmu kerana  seseorang itu digelar sebagai ‘alim kerana merujuk kepada ilmunya.

Dari aspek penggunaan semasa istilah ulama adalah secara khusus bermaksud mereka yang berilmu dalam bidang agama Islam. Ini adalah kerana sebutan perkataan ulama dalam al-Quran dan al-Sunnah merujuk kepada mereka yang mendalami Islam, mengetahui selok belok hukum Islam, menghayatinya dan sangat takut kepada Allah SWT.

Banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kepada golongan ini seperti mana yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar. Antaranya ialah fuqaha yang merujuk kepada ulama fiqh, mufassirun merujuk kepada ulama tafsir, ahlul kalam merujuk kepada ulama aqidah, usuliyyun merujuk kepada ulama usul fiqh,  muhaddithun yang merujuk kepada ulama hadis dan lain-lain lagi, semuanya adalah dianggap sebagai ulama dalam Islam.

Jika ada yang menyatakan bahawa ulama atau alim boleh digelar kepada sesiapa sahaja yang tahu dalam apa sahaja bidang ilmu maka ia adalah berdasarkan makna ulama dari segi bahasa Arab dan bukan merujuk istilah yang digunakan oleh al-Quran dan al-Sunnah.


Kedudukan Ulama
Dalam Islam kedudukan ulama adalah dipandang tinggi kerana mereka adalah golongan yang berilmu dan memahami agama dari sumbernya yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Para ulama mampu menafsirkan al-Quran dan menterjemahkan al-Hadis agar dapat difahami sebaiknya oleh umat Islam untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka. Dalam surah al-Zumar ayat 9 Allah SWT berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: ((Katakan (wahai Muhammad): Apakah sama kedudukan orang-orang yang berilmu (jika dibandingkan) dengan orang-orang yang tidak berilmu? Pastinya yang mengambil peringatan ialah golongan yang mempunyai akal)).

Pertanyaan: “Apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?...adalah dalam bentuk soalan penafian (Istifham Istinkar) yang secara jelas jawapannya ialah pasti tidak sama kedudukan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.

Ulama adalah mereka yang memimpin umat agar tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Kedudukan ulama adalah mulia, bukan kerana fizikal mereka tetapi kerana mereka memikul amanah dakwah dan menjadi pewaris kepada para Rasul yang diamanahkan membawa risalah tauhid kepada seluruh umat manusia. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (no: 2682) dan telah disahihkan oleh Syeikh Al-Bani:

مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَبتَغِيْ فِيْهِ عِلْمًا ، سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ ، وَإِنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ وَإِنَّ العَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِيْ السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِيْ الأرْضِ حتَّى الحِيْتَانُ فِيْ المَاءِ وَفَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ إنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ إنَّ الأنبياءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلَا دِرْهَمًا إنَّمَا وَرَّثُوْا العِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melalui satu jalan kerana menuntut ilmu, nescaya Allah akan membukakan jalan baginya menuju ke syurga, dan sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya kepada penuntut ilmu, dan sesungguhnya orang alim itu akan dipohon ampun baginya oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sehingga ikan di dalam air, dan kelebihan seorang alim jika dibandingkan dengan seorang abid (ahli ibadah yang jahil) seumpama perbandingan bulan ke atas segala bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar mahupun dirham sebaliknya mereka meninggalkan ilmu dan barangsiapa yang mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil sesuatu yang sangat berharga.”

Ulama dengan ilmu dan kefahaman yang dimiliki menjadikan mereka sangat takut kepada Allah SWT dan mereka sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Mereka juga bersikap tegas jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariat Islam. Sikap mereka ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Fatir ayat 23:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Maksudnya: ((Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah al-Ulama)).

Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya (Tafsir al-Kabir) makna ‘al-Khasyyah’ dalam ayat 23 surah Fatir ialah takut menurut kadar apa yang ditakuti. Al-‘Alim pula ialah orang yang mengenal Allah dan takut kepada-Nya serta mengharapkan-Nya (redha Allah SWT). Ini menunjukkan bahawa ‘alim lebih tinggi kedudukannya daripada seorang ‘abid (ahli ibadah) , kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: ((Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa (takutkan Allah SWT)). Ayat ini menerangkan bahawa kemuliaan seseorang adalah berdasarkan kepada ketaqwaan dan ketaqwaan pula diukur berdasarkan ilmu (kenal Allah SWT).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (al-Jami’ Li ahkam al-Quran: 14/308) menaqalkan riwayat Ali bin Abi Talhah dari Ibnu Abbas bahawa maksud ayat : ((Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah ulama)) ialah mereka yang tahu bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu dan Dia Maha Berkuasa. Al-Rabi’ bin Anas menjelaskan bahawa barangsiapa yang tidak takut kepada Allah bukanlah seorang alim. Mujahid berkata: “Sesungguhnya orang yang alim itu ialah yang takutkan Allah Azza wajalla.

Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya (6/544-545) menjelaskan maksud ayat tersebut ialah orang yang sebenarnya takutkan Allah ialah ulama yang benar-benar mengenali Allah kerana apabila seseorang itu kenal Tuhan Yang Maha Besar, Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui juga bersifat dengan segala sifat kesempurnaan maka itulah yang dinamakan sebenarnya ilmu pengetahuan yang sempurna.
 
Peranan Ulama
Jika difahami dari hadis yang menjelaskan bahawa ulama adalah pewaris kepada para Nabi, maka amat jelas tugas mereka ialah memimpin ummah, menyampaikan ilmu, memberikan contoh tauladan yang baik,  memberi nasihat dan menegur sebarang tindakan yang bercanggah dengan kehendak Allah SWT.

Mengenai kepentingan dan peranan ulama Allah SWT menjelaskannya dalam surah al-Taubah ayat 122 :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: ((Tidak sepatutnya orang-orang yang beriman keluar berjihad semuanya, hendaklah ada sekumpulan dari mereka yang mendalami ilmu agama agar mereka memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila pulang kepada mereka semoga mereka berawas)).

Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa maksud mendalami ilmu agama (al-Tafaqquh) dalam ayat ini  ialah mengetahui hukum-hakam agama berasaskan al-Quran dan al-Sunnah (Tafsir al-Baghawi:133).

Ulama adalah tempat rujukan masyarakat samada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 7:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالاً نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: ((Dan tidak Kami utuskan sebelum kamu melainkan lelaki-lelaki (para Rasul) yang kami wahyukan kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui)).

Tugas dan tanggungjawab ulama adalah sangat besar kerana jika diabaikan  umat manusia akan berdepan dengan wabak kejahilan dan kesesatan. Ulama yang lesu dan malas pasti mendapat murka dari Allah SWT, kerana mengabaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka justeru para ulama hendaklah sedar akan peranan mereka dan berada di barisan hadapan memimpin ummah melaksanakan amanah amar makruf  nahi mungkar.

Al-Quran telah mengingatkan para ulama bagaimana sikap mendiamkan diri terhadap kemungkaran seperti yang berlaku di kalangan bani Israel telah mengundang murka daripada Allah SWT, firman Nya dalam surah al-Maidah ayat 78:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيل عَلَى لِسَان دَاوُد وَعِيسَى اِبْن مَرْيَم ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَر فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Telah dilaknat golongan kafir dari kalangan bani Israel di atas lidah Nabi Daud, Isa ibnu Maryam, yang demikian itu adalah kerana maksiat yang mereka kerjakan dan mereka melampaui batas, mereka tidak mencegah kemungkaran yang dilakukan , amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Rasulullah SAW juga telah mengingatkan tentang situasi buruk yang bakal berlaku apabila tiadanya para ulama atau ulama tidak menjadi rujukan di kalangan umat Islam sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rh bahawa Nabi SAW telah bersabda:
إنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ العِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَمَاءِ، حَتىَّ إذَا لَمْ يُبْقِ عَالمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوْسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوْا، فَأفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوْا .
Maksudnya:  Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari jiwa hamba-hamba-Nya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama sehingga tiada seorangpun orang alim, manusia mengangkat orang-orang jahil sebagai ketua mereka, maka mereka ditanya lalu mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.

Saranan Ulama jangan diperkecilkan!
Dalam konteks masyarakat Islam masakini, para ulama hendaklah dijadikan pemimpin dan ikutan, kerana kefahaman mereka yang mendalam terhadap Islam akan memelihara ummah dari terjerumus kepada kesesatan. Juga dengan sifat mereka yang takutkan Allah Taala menjadikan para ulama sentiasa bertindak berdasarkan panduan wahyu al-Quran dan al-Sunnah yang akan memberikan jaminan tidak berlakunya sebarang penyelewengan.
Sebaliknya perbuatan memandang serong kepada para ulama, memperkecilkan kebolehan mereka, mempersendakan pendapat meraka adalah bibit-bibit yang akan membuahkan kebencian terhadap ulama. Ia adalah permulaan malapetaka yang bakal menimpa umat Islam kerana apabila jauhnya mereka dari pimpinan para ulama bermakna semakin jauhlah mereka dari  panduan al-Quran dan al-Sunnah.