2/28/2011

Nejmuddin Erbakan; Jurutera gerakan Islam

Prof Dr Nejmuddin Erbakan adalah merupakan seorang pemimpin ulung gerakan Islam di Turki pada zaman moden. Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga tahun 1997 dan dianggap sebagai Al-Mursyid Al-Ruhiy kepada gerakan Islam Turki. Pada tanggal 27 Feb 2011 yang lalu beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun selepas ditimpa penyakit dalam tempoh yang agak lama.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1926 di Bandar Sinop, Turki. Bapanya ialah Mehmet Sabri merupakan seorang hakim di Bandar Cilicia dan ibunya ialah Kamer.

Pada tahun 1943 beliau telah menamatkan pengajian menengahnya di Istanbul dan pada tahun 1948 beliau telah mendapat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan Mekanikal di Istanbul Technical University (ITU) dengan pencapaian CGPA 4.00. Kecemerlangannya telah menarik minat pihak Universiti dan menawarkannya kerja sebagai tutor. Kemudiannya pihak Universiti telah menghantar beliau menyambung pengajian di RWTH Aachen University, German di mana beliau telah mendalami bidang pembangunan enjin kereta kebal.

Kemudian beliau kembali semula ke Turki dan dilantik sebagai Profesor di ITU pada tahun 1965 sedangkan umurnya baru 29 tahun. Nejmuddin Erbakan mula aktif dalam politik setelah tamat pengajian di Fakulti Kejuruteraan dan setelah mendapat pengalaman yang luas dalam bidang industri. Pada tahun1969 beliau telah menjadi ahli Parlimen di Bandar Konya.

Pada tahun 1970 Erbakan dengan kerjasama gerakan tarekat Al-Nursiyyah telah menubuhkan sebuah Parti Islam pertama di Turki yang kemudiannya diharamkan oleh kerajaan. Pada tahun 1972 beliau menubuhkan pula Parti Sejahtera Nasional. Pada tahun 1980 beliau dipenjarakan kerana menggerakkan demonstrasi besar-besaran di Turki bagi menentang penjajahan Yahudi ke atas Palestin.

Pada tahun 1996 Erbakan telah menubuhkan Parti Refah dan memenangi 185 kerusi yang dipertandingkan dan berjaya membentuk kerajaan campuran di Turki bersama dengan Parti Jalan Benar.

Pada tahun 1998 Parti Refah diharamkan dan Erbakan dilucutkan jawatan kerana dituduh mencemarkan dan melakukan aktiviti menggugat kedaulatan sekular di Turki. Beliau juga dihalang terlibat dengan politik selama lima tahun. Namun beliau telah menubuhkan parti baru bernama Parti Fadhilah yang digerakkan oleh salah seorang pembantunya tetapi turut diharamkan pada tahun 2000. Selepas tamat tempoh halangan berpolitik pada tahun 2003 Erbakan kembali menubuhkan Parti baru iaitu Parti Sa’adah namun pergerakannya yang cenderung kepada perjuangan Islam dapat dihidu oleh pemerintah sekular dan akhirnya beliau ditangkap dan dipenjarakan selama dua tahun ketika umurnya mencecah 77 tahun.

Pada tahun 2008 kerajaan Turki di bawah Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan telah mengeluarkan kenyataan rasmi pengampunan ke atas Erbakan. Erdogan adalah merupakan anak didik Erbakan dan berjaya meneruskan usaha yang pernah di asaskan oleh Najmuddin Erbakan melalui Parti Keadilan dan Pembangunan Turki yang juga mempunyai kecenderungan Islam. Asas kesedaran Islam yang dipupuk oleh Erbakan akhirnya berputik dan disambung oleh Erdogan yang memerintah Turki hingga kini.

Begitulah kisah hidup ringkas seorang pejuang yang lahir dalam sebuah negara sekular yang sangat anti kepada setiap usaha mengembalikan kedaulatan pemerintahan khilafah Islam di Turki yang lumpuh pada semenjak 1924. Kegigihan Nejmuddin Erbakan di dalam mengasaskan gerakan Islam dan menubuhkan Parti Islam di Turki, kini telah menampakkan hasilnya di mana sokongan semakin meningkat terhadap gerakan Islam di Turki. Semoga Allah Taala memberkati segala usaha beliau dan merahamti rohnya serta ditempatkan bersama golongan para Syuhada dan Solihin.

2/24/2011

Ancaman bagi mereka yang menipu zakat!!


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَأَلَ وَلَهُ مَا يُغْنِيهِ جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ خُمُوشٌ أَوْ خُدُوشٌ أَوْ كُدُوحٌ فِي وَجْهِهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْغِنَى قَالَ خَمْسُونَ دِرْهَمًا أَوْ قِيمَتُهَا مِنْ الذَّهَبِ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abdullah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang meminta-minta sedekah sedangkan dia kaya yakni padanya apa yang mencukupinya, maka pada hari Qiamat kelak akan menimpa mukanya kesan luka, calar dan kesan gigitan. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kaya? Jawab baginda: Lima puluh dirham atau nilaiannya daripada emas[1].

Al-Sahanfuri di dalam menghuraikan hadis ini menyatakan bahawa mereka yang kaya adalah haram meminta sedekah atau zakat. Maksud kaya ialah mereka yang memiliki harta untuk makan dan minum serta keperluan asasi dalam setiap waktu atau kebanyakan waktu[2].


[1] Abu Daud Sulaiman bin Al-Asy ‘ath (M275H), Sunan Abi Daud, Maktabah Al-Ma ‘aarif, Al-Riyadh, Kitab Al-Zakah, hlm 282.

[2] Khalil Ahmad Al-Sahanfuri (M1346H), Bazlu Al-majhud Fi Hall Abi Daud, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, jilid 8, hlm 153-154.