7/29/2010

SMK Hamil Melaka...bakal jadi kenyataan?


Sudah lama juga pelbagai cadangan di buat bagi membendung gejala social yang semakin parah melanda muda-mudi dalam negara kita. Dulu saya masih ingat, apabila meningkatnya kejadian rogol melibatkan remaja, guru dan surirumah maka bermacam-macam idea diketengahkan oleh mereka yang berkedudukan dalam negera samada di pihak kerajaan mahupun NGO wanita. Ada yang mencadangkan dikasi kemaluan perogol, ada yang mencadangkan dibunuh sahaja dan yang menggelikan hati ada yang mencadangkan supaya wanita-wanita memakai cawat@seluar dalam besi sebagai langkah keselamatan…Kalaulah cadangan seumpama ini diterima, agak-agaknya universiti mana pula yang diminta membuat kajian mencipta cawat besi yang sesuai untuk wanita!
Sehari dua ini isu social remaja kembali hangat dengan kejadian buang anak yang tidak kenal erti surut. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa buang anak adalah berpunca dari zina yang semakin berleluasa kini. Maka bergemalah pula cadangan Kerajaan Melaka supaya ditubuhkan sekolah hamil@mengandung. Meskipun kementerian pelajaran Malaysia menyuarakan bantahannya namun Ketua Menteri Melaka bertegas akan melaksanakannya.
Cadangan tersebut meskipun dibuat dengan ikhlas bagi menjaga kebajikan mereka yang sudah berzina dan mengandung anak luar nikah, namun ia menunjukkan betapa tidak mahunya kita menyelesaikan masalah seumpama ini sampai ke akarnya. Idea-idea seumpama ini dan begitu juga idea menyediakan tempat khas membuang anak adalah lebih bersifat memotong ranting-ranting pokok sahaja yang pastinya akan tumbuh kembali kerana akarnya masih utuh.
Bukahkah semua pihak menyedari bahawa buang anak adalah berpunca dari zina? Zina pula berpunca dari pergaulan bebas remaja lelaki dan perempuan, video lucah, kelab malam, pusat hiburan, taman bunga yang selesa untuk buat maksiat, pusat-pusat rekreasi yang tersembunyi dari pandangan ramai, hotel-hotel bujet yang dimiliki oleh tokey bapak ayam dan sebagainya, yang kesemuanya menjadi lokasi selesa berzina dan penggalak kepada zina yang akhirnya menatijahkan buang anak.
Bagi saya, sebelum pergi kepada menubuhkan sekolah hamil atau pusat buang bayi eloknya pihak berkuasa bertindak membasmi terlebih dahulu segala punca yang membawa kepada perzinaan. Mungkih boleh ditubuhkan dahulu Pusat Membasmi Zina dahulu sebelum sekolah hamil.
Usaha membendung buang anak ini harus bermula dari sekolah yang sedia ada terlebih dahulu sebelum pergi ke sekolah hamil. Bagi saya adalah lebih baik pelajar lelaki dan perempuan terus diasingkan sahaja bilik darjahnya. Kerana percampuran dalam bilik darjah sebenarnya menjadi titik permulaan hilangnya sifat malu antara lelaki dan perempuan sedangkan ‘Malu adalah sebahagian dari iman’ seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW dan baginda juga bersabda: ‘Jika kamu tidak malu maka kamu buat apa sahaja’. Saya difahamkan rata-rata pelajar-pelajar perempuan sekarang sudah tidak malu bercerita mengenai kedatangan haid dan seks bersama rakan-rakan lelaki mereka di sekolah (ini belum lagi diperkenalkan pendidikan seks). Sikap ini akan menjadi pendorong kepada rasa ingin mencuba yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak ke lembah zina. Di sekolah juga tidak seharusnya aktiviti ko kurikulm dibiarkan percampuran lelaki perempuan kerana ada sesetengah aktiviti yang memaksa persentuhan pelajar lelaki dan perempuan yang akhirnya menghilangkan rasa berdosa bersentuh antara bukan mahram. Bukankah ini juga yang menatijahkan amalan meraba alat sulit yang akhirnya membawa kepada zina yang sering didedahkan di dada-dada akhbar?. Di sekolah juga sepatutnya guru-guru janganlah mengadakan majlis atau aktiviti bersifat hiburan yang melalaikan seperti pertandingan karoeke, tarian dan budaya yang mengusutkan intelektual pelajar. Bukanlah maksud saya aktiviti seni itu mesti dihapuskan terus, cuma ianya elok dikurangkan dan penumpuan lebih diberikan kepada aktiviti mengasah minda dan rekacipta sains. Saya pernah melihat di dalam You Tube sebuah sekolah rendah di Malaysia yang guru-gurunya membenarkan pelajar-pelajar mengadakan pertandingan tarian shuffle dengan dikelilingi oleh pelajar lelaki dan perempuan sambil muzik dimainkan kuat dan mereka bersorak beramai-ramai. Sayapun tak faham apa kaitannya aktiviti tersebut dengan pendidikan pelajar! Tapi ada juga yang memberi komen bahawa itu adalah idea yang kreatif guru-guru sekolah tersebut!?
Di luar sekolah begitu juga, banyak betul punca yang mendorong kepada perzinaan sekarang ini. Tempat rekreasi seperti taman bunga dan pantai peranginan sudah menjadi sinonim dengan budaya muqaddimah zina. Kalau di Kuantan contohnya, siapa tidak kenal dengan Telok Cempedak yang menjadi saksi perlakuan tidak bermoral dan zina yang seolah-olah tidak terkawal lagi. Jika aktiviti pencegahan melalui serbuan Jabatan Agama tidak berkesan lebih baik tempat seumpama ini di rombak keadaannya agar tiada ruang untuk aktiviti muqaddimah zina di dalam khemah dan sebalik batu yang sering berlaku. Saya sendiri sudah tidak berselera membawa keluarga ke tempat-tempat seumpama ini kerana amat jelik dengan tingkah anak muda yang bercumbuan tanpa kenal halal haram ini. Oleh itu pihak yang berkuasa harus memikirkan semula samada terus memperbanyakkan taman-taman bunga dan tempat-tempat rekreasi atau sebaliknya. Kerana fungsinya yang asal sebagai tempat rehlah keluarga sudah bertukar menjadi lokasi maksiat muda-mudi.
Begitu juga cyber café yang menjadi lokasi buang masa dan lepak-lepak remaja, hotel-hotel bujet kepunyaan tokey yang menyediakan ruang berzina mestilah ditutup sahaja jika melanggar peraturan. Tetapi yang peliknya banyak hotel yang diserbu 4,5 kali kononnya menganjurkan aktiviti maksiat yang sama kemudian dibenarkan beroperasi semula.
Pendek kata jika diperturunkan satu persatu penyebab kepada zina yang menjadi punca hamil luar nikah pastinya tidak cukup ruang untuk membicarakannya dalam ruang yang terhad ini.
Oleh itu cadangan buat sekolah hamil jika betul-betul hendak dibuat janganlah mengabaikan usaha memadamkan terlebih dahulu semua jalan dan punca zina yang saya sebutkan tadi atau yang saya tidak sebutkan. Jika tidak, bimbang akhirnya sekolah yang awalnya muncul di Melaka akan muncul pula ke negeri-negeri lain. Dari sebuah akan menjadi berbuah-buah…Banyak benda yang kita buat hari ini seumpama mencurah air di daun keladi!


7/26/2010

SYAABAN; Menuju gerbang Ramadan

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: (( Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram(Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Suarah Al-Taubah : 36.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah Taala di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis. ‏
Abu Bakrah menceritakan bahawa Nabi s.a.w memberikan khutbah ketika ibadah Haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar sepertimana hari Allah Taala menciptakan langit dan bumi, setahun ada dua belas bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a ialah:
Muharram ertinya diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.Safar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.Rabiul Awal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasamnya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.Jumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan ari membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.Rejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
Ramadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
Zul Kaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.Zul Hijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.Berdasarkan makna setiap bulan yang telah dinyatakan pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaanya.Termasuklah juga dengan bulan Syaaban. Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimana kepada Allah Taala dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Kerana hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Sebagai muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya. Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadhilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.
Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya. Antaranya ialah:
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad s.a.w) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah Taala tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah s.a.w. ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban. Hadis riwayat Imam Muslim.
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda s.a.w. berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan. Hadis riwayat Imam Tarmizi.
Aisyah r.a. juga telah meriwayat bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w. untuk berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan. Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad.
Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.
Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya ialah:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi s.a.w: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekalian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. Hadis riwayat Imam Nasai dan Imam Ahmad.
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Taala melihat (amalan hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhlukNya (hambaNya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). Hadis riwayat Ibnu Majah.
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah Taala melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan tentang kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu bulan Ramadan.
Bentuk perlaksanaan ibadah pada bulan Syaaban adalah merupakan satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat. Oleh itu di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadan. Pada kebiasanya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hariraya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hariraya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya. Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan samada dari sudut ruhiah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah. Bulan Syaaban juga elok dijadikan sebagai saat untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah Taala dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.