7/29/2010

SMK Hamil Melaka...bakal jadi kenyataan?


Sudah lama juga pelbagai cadangan di buat bagi membendung gejala social yang semakin parah melanda muda-mudi dalam negara kita. Dulu saya masih ingat, apabila meningkatnya kejadian rogol melibatkan remaja, guru dan surirumah maka bermacam-macam idea diketengahkan oleh mereka yang berkedudukan dalam negera samada di pihak kerajaan mahupun NGO wanita. Ada yang mencadangkan dikasi kemaluan perogol, ada yang mencadangkan dibunuh sahaja dan yang menggelikan hati ada yang mencadangkan supaya wanita-wanita memakai cawat@seluar dalam besi sebagai langkah keselamatan…Kalaulah cadangan seumpama ini diterima, agak-agaknya universiti mana pula yang diminta membuat kajian mencipta cawat besi yang sesuai untuk wanita!
Sehari dua ini isu social remaja kembali hangat dengan kejadian buang anak yang tidak kenal erti surut. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa buang anak adalah berpunca dari zina yang semakin berleluasa kini. Maka bergemalah pula cadangan Kerajaan Melaka supaya ditubuhkan sekolah hamil@mengandung. Meskipun kementerian pelajaran Malaysia menyuarakan bantahannya namun Ketua Menteri Melaka bertegas akan melaksanakannya.
Cadangan tersebut meskipun dibuat dengan ikhlas bagi menjaga kebajikan mereka yang sudah berzina dan mengandung anak luar nikah, namun ia menunjukkan betapa tidak mahunya kita menyelesaikan masalah seumpama ini sampai ke akarnya. Idea-idea seumpama ini dan begitu juga idea menyediakan tempat khas membuang anak adalah lebih bersifat memotong ranting-ranting pokok sahaja yang pastinya akan tumbuh kembali kerana akarnya masih utuh.
Bukahkah semua pihak menyedari bahawa buang anak adalah berpunca dari zina? Zina pula berpunca dari pergaulan bebas remaja lelaki dan perempuan, video lucah, kelab malam, pusat hiburan, taman bunga yang selesa untuk buat maksiat, pusat-pusat rekreasi yang tersembunyi dari pandangan ramai, hotel-hotel bujet yang dimiliki oleh tokey bapak ayam dan sebagainya, yang kesemuanya menjadi lokasi selesa berzina dan penggalak kepada zina yang akhirnya menatijahkan buang anak.
Bagi saya, sebelum pergi kepada menubuhkan sekolah hamil atau pusat buang bayi eloknya pihak berkuasa bertindak membasmi terlebih dahulu segala punca yang membawa kepada perzinaan. Mungkih boleh ditubuhkan dahulu Pusat Membasmi Zina dahulu sebelum sekolah hamil.
Usaha membendung buang anak ini harus bermula dari sekolah yang sedia ada terlebih dahulu sebelum pergi ke sekolah hamil. Bagi saya adalah lebih baik pelajar lelaki dan perempuan terus diasingkan sahaja bilik darjahnya. Kerana percampuran dalam bilik darjah sebenarnya menjadi titik permulaan hilangnya sifat malu antara lelaki dan perempuan sedangkan ‘Malu adalah sebahagian dari iman’ seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW dan baginda juga bersabda: ‘Jika kamu tidak malu maka kamu buat apa sahaja’. Saya difahamkan rata-rata pelajar-pelajar perempuan sekarang sudah tidak malu bercerita mengenai kedatangan haid dan seks bersama rakan-rakan lelaki mereka di sekolah (ini belum lagi diperkenalkan pendidikan seks). Sikap ini akan menjadi pendorong kepada rasa ingin mencuba yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak ke lembah zina. Di sekolah juga tidak seharusnya aktiviti ko kurikulm dibiarkan percampuran lelaki perempuan kerana ada sesetengah aktiviti yang memaksa persentuhan pelajar lelaki dan perempuan yang akhirnya menghilangkan rasa berdosa bersentuh antara bukan mahram. Bukankah ini juga yang menatijahkan amalan meraba alat sulit yang akhirnya membawa kepada zina yang sering didedahkan di dada-dada akhbar?. Di sekolah juga sepatutnya guru-guru janganlah mengadakan majlis atau aktiviti bersifat hiburan yang melalaikan seperti pertandingan karoeke, tarian dan budaya yang mengusutkan intelektual pelajar. Bukanlah maksud saya aktiviti seni itu mesti dihapuskan terus, cuma ianya elok dikurangkan dan penumpuan lebih diberikan kepada aktiviti mengasah minda dan rekacipta sains. Saya pernah melihat di dalam You Tube sebuah sekolah rendah di Malaysia yang guru-gurunya membenarkan pelajar-pelajar mengadakan pertandingan tarian shuffle dengan dikelilingi oleh pelajar lelaki dan perempuan sambil muzik dimainkan kuat dan mereka bersorak beramai-ramai. Sayapun tak faham apa kaitannya aktiviti tersebut dengan pendidikan pelajar! Tapi ada juga yang memberi komen bahawa itu adalah idea yang kreatif guru-guru sekolah tersebut!?
Di luar sekolah begitu juga, banyak betul punca yang mendorong kepada perzinaan sekarang ini. Tempat rekreasi seperti taman bunga dan pantai peranginan sudah menjadi sinonim dengan budaya muqaddimah zina. Kalau di Kuantan contohnya, siapa tidak kenal dengan Telok Cempedak yang menjadi saksi perlakuan tidak bermoral dan zina yang seolah-olah tidak terkawal lagi. Jika aktiviti pencegahan melalui serbuan Jabatan Agama tidak berkesan lebih baik tempat seumpama ini di rombak keadaannya agar tiada ruang untuk aktiviti muqaddimah zina di dalam khemah dan sebalik batu yang sering berlaku. Saya sendiri sudah tidak berselera membawa keluarga ke tempat-tempat seumpama ini kerana amat jelik dengan tingkah anak muda yang bercumbuan tanpa kenal halal haram ini. Oleh itu pihak yang berkuasa harus memikirkan semula samada terus memperbanyakkan taman-taman bunga dan tempat-tempat rekreasi atau sebaliknya. Kerana fungsinya yang asal sebagai tempat rehlah keluarga sudah bertukar menjadi lokasi maksiat muda-mudi.
Begitu juga cyber café yang menjadi lokasi buang masa dan lepak-lepak remaja, hotel-hotel bujet kepunyaan tokey yang menyediakan ruang berzina mestilah ditutup sahaja jika melanggar peraturan. Tetapi yang peliknya banyak hotel yang diserbu 4,5 kali kononnya menganjurkan aktiviti maksiat yang sama kemudian dibenarkan beroperasi semula.
Pendek kata jika diperturunkan satu persatu penyebab kepada zina yang menjadi punca hamil luar nikah pastinya tidak cukup ruang untuk membicarakannya dalam ruang yang terhad ini.
Oleh itu cadangan buat sekolah hamil jika betul-betul hendak dibuat janganlah mengabaikan usaha memadamkan terlebih dahulu semua jalan dan punca zina yang saya sebutkan tadi atau yang saya tidak sebutkan. Jika tidak, bimbang akhirnya sekolah yang awalnya muncul di Melaka akan muncul pula ke negeri-negeri lain. Dari sebuah akan menjadi berbuah-buah…Banyak benda yang kita buat hari ini seumpama mencurah air di daun keladi!


No comments: