7/29/2008

9 Tabiat Kecemerlangan

(Disampaikan dalam ‘Friday Wisdom’ 25 Julai 08 di WDK UMP)

1) INSAFLAH
• Siapa diri anda?
• Ingat amanah yang diberikan.
• Jangan menconteng arang ke wajah ibubapa.
• Jauhi dosa kerana ia menghalang kejayaan.

2) BERSEGARALAH
• Mula dari sekarang.
• Tiada istilah bertangguh.
• Peluang hanya datang sekali.
• Rebutlah peluang :
– Muda sebelum tua.
– Lapang sebelum sempit.
– Kaya sebelum miskin.
– Sihat sebelum sakit.
– Hidup sebelum mati.

3) FIKIR POSITIF
• Mulakan berfikir tentang kebaikan.
• Kisah lalu jangan jadikan halangan.
• Berimaginasilah tentang kejayaan.
• Berazamlah melakukan kebaikan.

4) UTAMAKAN YANG AWLA
• Kenali apa yang paling utama dalam hidup.
• Usaha selesaikan yang utama dahulu.
• Jangan jadikan perkara kecil sebagai penghalang.

5) BELAJARLAH
• Belajarlah dari mereka yang berjaya.
• Belajarlah dari kesilapan.
• Merendah diri pasti beroleh ilmu.
• Meninggi diri menumpulkan akal.
• Belajar tiada noktah.

6) OPTIMISLAH
• Yakinlah kesungguhan membawa kejayaan.
• Usaha banyak hasilnya banyak.
• Usaha sedikit hasilnya sedikit.
• Allah tidak akan mensia-siakan usaha dan doa.

7) BISIKKAN DIJIWA
• Ungkapkan ransangan kejayaan pada diri.
• Nyahkan suara-suara negatif.
• Ulangi bisikan kebaikan setiap hari.
• Ungkapkan keazaman diri.

8) ASAH BELAKANG PARANG
• Semua berpotensi.
• Gilap diri selalu.
• Tingkat potensi diri dengan latihan.
• Kejayaan bermula dengan kegagalan.
• Kesenangan bermula dengan kesusahan.

9) BOLA DIKAKI ANDA
• Mulakan dengan diri anda.
• Tepuk dada tanya selera.
• Rezeki tidak akan datang bergolek.
• Usalah kemudian tawakkal

7/24/2008

ألف مبروك


Tahniah diucapkan kepada pasangan Siti Aminah Ramli & Syamsul Khairi yang selamat diijabkabulkan pada 4 Julai 2008. Moga Allah Taala memberkati mereka berdua hingga ke anak cucu!

Inilah first time saya jadi ketua rombongan bagi pihak lelaki. Mula-mula gabra juga sebab kedua-dua pengantin bukan calang-calang orang. Ingatkan selepas akad nikah dah selesai tugas, tapi diminta pulak bercakap sebagai wakil rombongan....tu yang berpeluh tu, nasib baiklah Akh Ust Hilmi ada kat sebelah.



بـارك الله فيكما وجمع بينكما في خير



7/20/2008

Forum Remaja

Pada 20 Julai 2008 Madrasah As-Saadah Kuantan telah berjaya mengadakan Forum Remaja yang berkisar tentang isu-isu gejala sosial remaja masakini serta peranan ibubapa, masyarakat dan pemimpin di dalam menanganinya. Forum ini diadakan pada 9.00 pagi hingga 12.00 tgh.
Alhamdulillah sambutan kaum ibu amat menggalakkan dan banyak ilmu yang dapat dikongsi bersama ahli- ahli panel yang lain iaitu Ustazah Safiah Abd Razak daripada KIPSAS, Ustaz Syed Anis pendakwah dan moderatornya ialah Ustaz Supian Abdul Majid KIPSAS.

Lawatan ke Raudhatus Sakinah

Pada 19 Julai 2008 saya dan beberapa pelajar
UMP berpeluang mengadakan khidmat di Pusat
Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Selangor. Hiba rasa di hati apabila merenung wajah adik-adik yang rata-rata telah terlanjur samada melakukan zina mahupun terjebak dengan aktiviti maksiat yang lain seperti black metal, samseng malah murtadpun ada.

Namun keinsafan jelas terpancar di wajah mereka. Moga-moga Allah Taala memberikan kekuatan kepada mereka untuk kembali ke jalan yang betul.

7/15/2008

KUASA JADIKAN MANUSIA BUTA

Ketika berbicara soal kuasa
Terasa senak di dada, buntu akal memikirkannya
Begitu rosaknya manusia bila berebut kuasa
Hancur musnah tatasusila dan nilai agama
Akibat gila kuasa
Kuasa, boleh masukkan kita ke syurga jika keadilan dibela
Kuasa, boleh menjunamkan kita ke lembah neraka jika kezaliman bertakhta
Ya! Kuasa bolah jadikan kita bertambah dekat dengan Yang Esa
Apabila rasa hamba terpahat dijiwa
Ya! Kuasa juga boleh jadikan kita sombong mengatasi Yang Esa
Apabila rasa bertuhan tercabut dari jiwa
Kuasa, menjadikan manusia sanggup mengadu domba
Semata untuk memastikan diri terus di singgahsana
Asalkan kuasa terus digenggaman, halal dan haram tiada beza,
Tuduhan, fitnah, sumpah, seranah sudah menjadi mainan sahaja
Yang penting terus berada di atas kerusi empuk mahligai istana
Berapa ramai yang bersahabat asalnya
Kini menjadi musuh ketat kerana berebut kuasa
Kuasa ternyata merubah manusia
Dari siuman kepada gila
Hingga sanggup menfitnah, menyeksa sesama saudara seagama
Entah bila akan reda
Mungkin ia reda apabila qiamat sudah tiba
Barulah semua penguasa kenal siapakah dirinya!
Dan ketika itu, terdengarlah rintihan jiwa
"Alangkah baiknya aku dahulu(di dunia) hanya seketul tanah sahaja!".

7/10/2008

REJAB BULAN YANG DIMULIAKAN ISLAM

Allah Taala dengan sifatNya Yang Maha Bijaksana memilih waktu-waktu tertentu dengan kelebihan-kelebihannya. Berkenaan dengan bulan-bulan dalam Islam, Allah Taala memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Surah At-Taubah : Ayat 36.

Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya di dalam hadis berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis Lughah, sebab dinamakan bulan ini dengan Rejab adalah kerana orang Arab membesarkan dan memuliakan bulan ini. Rejab itu sendiri maksudnya ialah kebesaran dan keagungan. Sebagai meneruskan tradisis ini Islampun memuliakan bulan ini.
Imam al-Baihaqi berkata: Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang.
Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(berperang) )). Surah al-Maidah : Ayat 2.
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram dan termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.
Allah Taala berfirman yang bermaksud:
(( Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar)). Surah Al-Baqarah: Ayat 217.
Para jumhur ulama telah menyatakan bahawa larangan berperang yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas telah dimansukhkan dengan turunnya firman Allah Taala:
((Maka apabila berlalunya bulan-bulan haram maka perangilah golongan musyrikin di mana sahaja kamu temui mereka)). Surah At-Taubah : Ayat 5.

Ulama juga berpandukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda telah memerangi penduduk Taif yang kufur pada bulan Zul Kaedah iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram. Namun ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak boleh memulakan peperangan pada bulan haram tetapi sekiranya ia bermula sebelum bulan-bulan tersebut tetapi berlanjutan hingga ke bulan-bulan haram maka ia diharuskan. Kerana peperangan yang berlaku di Taif adalah dimulai dengan peperangan di Hunain yang berlaku pada bulan Syawal. Manakala sekiranya Negara umat Islam diserang maka peperangan adalah harus demi mempertahakan tanahair meskipun ia berlaku di bulan-bulan haram.

Menurut amalan Arab Jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki dengan berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah yakni pada bulan Rejab, apakah arahanmu(pendapatmu)? Jawab baginda s.a.w: Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Menyentuh pula tentang puasa khusus sempena bulan Rejab jika diteliti tiada satupun hadis sohih yang boleh dijadikan sandaran. Berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu seperti berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Imam Ibnu Hajar al-Asqallani berpendapat tiada sebarang hadis sohih yang menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab secara khusus. Tetapi tidak menjadi kesalahan untuk berpuasa sunat seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini seperti Solat Sunat bulan Rejab, menziarahi kubur dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Mengadakan aktiviti seperti ceramah,forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan persitiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan mencetuskan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap Islam.

7/08/2008

Ingatlah wahai jiwa yang alpa!


Seorang sahabat memberikan tazkirah
Katanya; Ramai di kalangan ustaz dan pendakwah hanya pandai berhujah,
Sibuk hari-harinya dengan jadual ceramah
Tetapi malangnya ibadah amat lemah
Jarang-jarang berzikrullah
Kadang-kadang sahaja solat berjamaah,
Memang, nak cari orang beramal agak susah
Yang mudahnya ialah mencari penceramah
Inilah agaknya fenomena akhir zaman yang sudah berubah
Berbanding di zaman bersama Rasulullah
Juga zaman para sahabah
Senangnya mendengar kumandang zikrullah
Malam hari diwarnai dengan ibadah
Siang hari bergelanggang di medan dakwah




Firman Allah Taala:

أتأمرون الناس بالبر وتنسون أنفسكم

Maksudnya: Apakah kamu menyuruh orang buat baik sedangkan kamu lupa diri sendiri? Al-Baqarah:44.

7/04/2008

Berita sedih...

Berita sedih diterima jam 6.25 petang semalam 3 Julai 08
apabila Allahyarhamah Aina Mardiah Shahrial 17 tahun meninggal dunia setelah koma akibat terjatuh di rumahnya. Allahyarhamah merupakan anak mangsa ISA iaitu Shahrial Sirin yang di tahan selama 7 tahun. Yang lebih menyedihkan apabila anak gadis ini dipisahkan dari bapanya seawal usia 10 tahun dan hinggalah ia saat hujung hayatnya ia tidak dapat bersua muka dengan bapa tercinta. Begitu jugalah si bapa, tidak dapat digambarkan rasa hati seorang bapa yang terpisah dengan isteri dan anak-anak sekian lama, hingga anak sulung dikasihi pergi mengadap ilahi. ISA memenjarakan seseorang tanpa bicara secara terang melanggar syariat Islam dan akal manusia yang berperikemanusiaan...kecualilah kita sudah hilang sifat manusiawi dan digantikan dengan haiwani!!! CUBALAH BAYANGKAN KITA BERADA DI TEMPAT MEREKA, SANGGUPKAH KITA MENGHADAPINYA?

6/29/2008

Ingat Mati!



Syeikh Said Hawwa rahimahullah di dalam bukunya "Al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs", telah menyenaraikan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala. Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: (Orang yang bijak) ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.

Menurut al Imamul Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati:

Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu lansung ingatkan mati. Kalau ingatpun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama. Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anknya nanti. Golongan ini merasa tidak penting ke Masjid kecuali hari Jumaat atau hari raya sahaja. Waktu lain dihabiskan dengan hiburan. Kerja dunia dilaksanakan bersungguh-sungguh dan bermatia-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar sahaja. Soal menutup aurat dianggap terlalu enteng dan remeh.. Amat bencikan alim ulama, para hafiz al-quran dan pendakwah. Golongan ini memang susah untuk dilihat di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, tetapi begitu senang melihat mereka di pesta-pesta hiburan dan konsert-konsert nyanyian yang melalaikan.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Imam Ghazali juga telah mengajar kepada kita bagaimanakah cara mengingati mati, antaranya:
1) Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita.
2) Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini.
3) Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.
4) Ziarahi orang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

Diriwayatkan bahawa seorang alim iaitu Ibnu Mutie, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Berkata pula Kaab r.a: “ Barangsiapa mengerti tentang dahsyatnya kematian, maka ringan baginya semua musibah dan kesulitan hidup di dunia yang fana ini”.

Imam Syaddad rahimahullah pernah berkata: “Kematian adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak di dalam kawah menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

Para pemimpin terdahulu adalah terdiri dari golongan yangs sangat kuat iman dan ketaqwaan mereka. Mereka amat bimbang akan kuasa yang diamanahkan boleh membawa petaka kepada mereka di dalam kubur sekiranya amanah kepimpinan diabaikan atau digunakan sebagai jalan memburu kekayaan. Mereka amat takut jika ada rakyatnya hidup papa kedana sedangkan mereka tenggelam dalam kemewahan dan kemegahan duniawi.

Sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya. Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

Imam Sufyan at Thauri rahimahullah pula apabila terdengar ada kematian atau terdengar cerita tentang kepedihan mati, sepanjang hari beliau tidak makan dan tidak berseronok.

Seorang ahli sufi pula telah mengungkapkan sajaknya dengan berkata:
Lihatlah penguasa-penguasa dunia,
Sibuk mengumpul kemewahan segalanya,
Apakah dia boleh lepas dari lilitan benang dan lembaran kain kafan?

Kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat. Kaya atau Miskin. Tua atau muda. Sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak.