4/01/2008

Islam agama kedamaian


Islam sering menjadi mangsa fitnah dan tuduhan serta serangan yang tidak pernah padam. Semenjak dari zaman kelahirannya, Islam menjadi bahan tohmahan dengan pelbagai gambaran buruk seperti penganjur perpecahan, menggalakan diskriminasi terhadap kaum wanita, mempromosikan undang-undang yang kejam, membawa kepada kemunduran dan berbagai lagi tuduhan. Malah Nabi Muhammad s.a.w seringkali ditohmah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas samasekali.

Seringkali Islam difitnah dengan label sebuah ajaran yang berkembang melalui mata pedang. Mata pedang adalah sebagai lambang keganasan dan kekejaman. Apa yang menghiris hati ialah apabila tohmahan ini turtu datang dari seorang ketua agama Kristian yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah penganjur keganasan dan penyebab kepada berlakunya huru-hara peperangan. Kemudian umat Islam sekali lagi terluka dengan penyiaran karikatur Nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk yang hina oleh akhbar Denmark dan terbaru ialah di saat umat Islam baru sahaja mengadakan sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, sekali lagi Barat menunjukkan kebenciannya kepada Islam melalui penyiaran filem pendek anti-Islam garapan anggota Parlimen Belanda, Geert Wilders. Sebelum penyiaran filem itu pula, Wilders telah melukis kitab suci umat Islam sebagai ‘buku fasis’ yang menghasut orang untuk melakukan kekerasan.
Siri kecaman dan penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pihak Barat ini membuktikan betapa mereka begitu memusuhi Islam dan melakukan apa sahaja bagi memberikan imej buruk kepada Islam. Akibat dari tindakan tidak bertamadun Barat ini maka pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh umat Islam. Banyak pihak di kalangan umat Islam yang menyarankan diboikot sahaja setiap barangan dari negara Belanda. Namun setakat ini tiada sebarang tindakan menghina Nabi Isa atau Nabi Musa a.s dan ajaran keduanya. Ini adalah kerana umat Islam diajar supaya sentiasa mengasihi para Nabi dan menghormati ajaran mereka. Malah umat Islam yakin bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah penyambung kepada perjuangan Nabi-Nabi terdahulu. Justeru Al-Quranul Karim telah memberikan panduan dalam berinteraksi dengan agama-agama lain, bukan sahaja dengan agama Yahudi dan Kristian malah dengan semua agama di dunia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

((Janganlah kamu menghina (tuhan) orang yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan menghina Allah secara bermusuhan tanpa sebarang ilmu)). Surah al-An ‘am : 108

Di dalam tafsir at-Tabari ada diriwayatkan bahawa Qatadah r.a menyatakan bahawa pada asalnya terdapat orang Islam yang menghina berhala orang-orang kafir, lalu mereka(orang kafir) membalasnya dengan menghina Allah Taala tanpa mereka tahu apa-apa tentang keagunganNya. Lantas Allah Taala menurunkan ayat ini.
Ayat ini secara jelas telah mengatur kaedah interaksi antara agama di mana umat Islam di larang sama sekali mencerca agama dan anutan orang lain. Kerana perbuatan ini akan membawa kepada timbulnya suasana balas-membalas penghinaan yang tidak membawa kepada kebaikan kepada umat manusia.
Menyentuh tentang tuduhan yang menyatakan Islam berkembang dengan mata pedang, pada hakikatnya adalah merupakan satu kenyataan yang tidak disusuli dengan fakta dan bukti. Malah ia hanya berasaskan kepada beberapa siri lakonan filem yang direka oleh propagandis Zionis dan Kristian untuk menggambarkan kekejaman orang Islam yang menyembelih manusia dengan berlatar belakangkan kalimah syahadah dan melaungkan takbir .Inilah juga pendekatan yang dibuat melalui filem Fitna yang menayangkan ayat-ayat Al-Quran dan berlatarbelakangkan peristiwa serangan berani mati di New York, Madrid dan London.
Tohmahan yang dibuat oleh Geert Wilders’ adalah tidak berasas sama sekali. Ayat-ayat al-Quran yang diutarakannya dalam filem tersebut antara lain adalah berkaitan dengan situasi peperangan di mana sememangnya apabila berperang pastinya musuh dibunuh kerana jika tidak, musuh akan membunuh kita. Apakah peperangan yang dikepalai oleh kristian dalam perang Salib tiada pembunuhan dan penyembelihan? Malah jika diteliti fakta sejarah tentera-tentera kafir yang berperang dengan Islam sangat kejam hingga sanggup membunuh kaum wanita, anak-anak dan golongan tidak berdaya! Agaknya umat Islam perlu membuat sebuah dokumentari mengisahkan tragedi penyembelihan umat Islam di Bosnia yang dikepalai oleh penganut kristian.

Antara ayat yang diketengahkan oleh Geert Wilders’ ialah firman Allah Taala yang bermaksud:

((Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) Maka pancunglah batang leher mereka sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki niscaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka)). Surah Muhammad : 4

Ayat di atas diturunkan sebagai panduan dalam peperangan dan bukannya arahan membunuh secara membabi buta. Bagi melengkapkan pemahaman kepada ayat ini sepatutnya dibaca pula ayat 190 dari surah Al-Baqarah di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:
((Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas)). Surah AL-Baqarah:190
Berdasarkan ayat inilah tentera-tentera Islam dilarang samasekali membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan ketua-ketua agama (paderi, tok sami dll) serta dilarang merosakkan tanaman dan binatang ternakan ketika berperang.
Meskipun tercatat di dalam buku-buku sirah senarai peperangan yang banyak namun bila diteliti peperangan tersebut tercetus adalah berpunca dari hasrat mempertahankan diri dan bukan untuk memusnah dan membunuh sesama manusia. Malah ada juga situasi di mana perang tidak berlaku seperti dalam peristiwa Tabuk serta Perang Khandak atau Ahzab. Di dalam perang Tabuk sebagai contoh, Rasulullah s.a.w mengerahkan para sahabat keluar bagi mempertahankan Islam dan Kota Madinah dari ancaman tentera Rom yang diketuai oleh Maharaja Qaisar. Rom yang begitu tamak mahu menguasai semenanjung Arab keluar dengan kekuatan tentera yang begitu hebat ditambah dengan sokongan beberapa kumpulan bangsa Arab yang tunduk kepada kuasa Rom. Rasulullah s.a.w telah mengambil keputusan keluar ke Tabuk untuk menyekat Rom. Di Tabuk tentera Islam berkhemah hampir 20 hari. Berita kehebatan tentera Islam yang berkhemah di Tabuk sampai ke pengetahuan tentera Rom dan menggerunkan mereka. Akhirnya mereka berundur dari medan perang kerana bimbangkan kekalahan di tangan tentera Islam.

Begitu juga dengan Perang Khandak atau Ahzab. Tentera gabungan antara kaum musyrikin Mekah dan Yahudi yang berkampung di luar kota Madinah dengan tujuan untuk menyerangnya telah lari bertempiaran apabila ribut taufan melanda. Akhirnya perang Ahzabpun tidak berlaku. Perang Badar pula adalah berpunca dari keegoan pembesar musyrikin Mekah yang mahu menghancurkan Islam meskipun umat Islam yang keluar adalah bertujuan mengambil balik harta mereka dari kafilah Quraish. Umat Islam yang keluar gagal merampasnya namun tentera musyrikin tetap mahu memerangi mereka maka tercetuslah perang Badar.
Hakikatnya Islam yang sinonim dengan maksud sejahtera dan keamanan adalah agama yang mempromosikan kedamaian di dalam setiap aspek ajarannya. Jika diteliti dan dihayati setiap sudut dari syariat Islam semuanya adalah berteraskan konsep harmoni dan kedamaian. Sebagai contoh, konsep aqidah dalam ajaran Islam adalah berteraskan kepada kewarasan akal yakni meyakini bahawa hanya ada satu tuhan sahaj yang layak disembah iaitu Allah. Manakala dari segi ibadat pula hendaklah tiada jurang atau perbezaan di kalangan sesama manusia di dalam beribadat. Keunikan ibadat dalam Islam ini telah menarik minat Sarojini Naidu seorang penyair India dengan katanya:

"It was the first religion that preached and practiced democracy; for, in the mosque, when the call for prayer is sounded and worshippers are gathered together, the democracy of Islam is embodied five times a day when the peasant and king kneel side by side and proclaim: 'God Alone is Great'... I have been struck over and over again by this indivisible unity of Islam that makes man instinctively a brother."

Maksudnya: (Islam) adalah agama pertama yang menyeru dan mempraktikkan demokrasi, di dalam Masjid apabila azan berkumandang dan umat Islam berkumpul bersama untuk solat, demokrasi Islam ini terjelma setiap kali solat lima waktu, di mana orang biasa boleh berdiri bersentuh bahu dengan raja dan masing-masing mengucapkan “Allahuakbar!”. Saya amat takjub dengan kesatuan umat Islam yang menjadikan setiap orang bersaudara.

No comments: