3/25/2008

ISLAM MENOLAK PERKAUMAN


Bila badai PRU12 melanda negara bermacam-macam persepsi masyarakat terhadap masadepan tanahair tercinta ini. Yang agak menarik ialah sikap sesetengah orang melayu yang begitu marah kepada kaum lain. Kononnya akibat sokongan kepada Barisan Alternatif masadepan orang melayu terancam! Saya pernah mengikuti kursus BTN, memang antara topik yang hangat dibincangkan ialah soal survival orang melayu dan niat jahat bangsa lain. Itulah yang selalu disebut hinggakan selepas dari kursus BTN saya terus prejudis kepada kawan-kawan dari kaum lain khususnya bangsa Cina.

Namun dalam berhadapan dengan situasi ini sewajarnya bagi seorang muslim membuat pertimbangan berpandukan ajaran Rasulullah s.a.w. Nabi s.a.w bersabda:


Maksudnya: Bukan dari kalangan aku orang yang mengajak kepada 'Asobiyyah, dan bukan dari kalanganku orang yang berperang kerana 'Asobiyyah dan bukan dari kalanganku orang yang mati kerana 'Asobiyyah'. Sunan Abi Daud.

Hadis ini menjelaskan bahawa, jika kita terlalu taksub dengan bangsa sendiri hingga soal maruah dan halal haram tidak diambil kira maka inilah yang dimaksudkan 'Asobiyyah'.

Cuba perhatikan dakwah Nabi s.a.w. Allah Taala telah menyatakan bahawa pengutusan baginda adalah untuk seluruh alam. Bukan untuk sesuatu kaum sahaja. Justeru tidak pernah Nabi s.a.w menyuruh menjaga bangsa Arab atau memelihara survival bangsa Arab. Allah Taala berfirman:

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Maksudnya: Tidak Kami utuskan kamu wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat ke seluruh Alam. Surah Al-Anbiya:107

Perubahan landskap politik negara pastinya ada hikmah dari Allah Taala. Mungkin inilah saat terbaik untuk kita berfikir sejenak tentang usaha kita berdakwah kepada non-muslim. Daripada kita terus berantakan sesama kita dan berburuk sangka kepada kaum lain adalah lebih baik kita menggerakkan langkah menonjolkan kebaikan Islam kepada mereka agar mereka menerima Islam.

Cara Nabi s.a.w berdepan dengan berbagai puak dan kaum di tanah Arab ialah dengan berusaha mengislamkan mereka. Malah jika direnung akan situasi masyarakat Mekah sebelum Islam dan situasi masyarakat Malaysia sekarang adalah sama sahaja. Di Mekah Nabi s.a.w berdepan dengan penyembah berhala, kita di Malaysiapun sedang berdepan dengan penyembah berhala. Cuma bezanya kita dengan baginda ialah sikap kita yang Chauvinis sedangkan Nabi membawa mesej kasih sayang buat semua tanpa mengira warna kulit dan rupa....

No comments: