11/12/2008

IKIM.FM

Pagi ni sempat saya mendengar sembang-sembang di IKIM yang di hoskan oleh 2 juruhebah utama IKIM.FM iaitu Ustaz Zamri dan (tak silapnya) Cik Maslina. Isu berlegar tentang kes kecurian di kedai-kedai yang beroperasi 24 jam. Ini merujuk kepada kejadian pada 11 Nov di mana seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Perak yang meninggal dunia ditetak penyamun ketika bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Perak. Menarik juga bila dengar bermacam-macam idea dan saranan pendengar yang prihatin terhadap isu-isu jenayah seumpama ini. Cuma yang saya agak pelik ialah sikap juruhebah IKIM.FM yang seolah-olah tidak memberi perhatian apabila ada saranan supaya hukum Allah atau undang-undang Hudud dilaksanakan. Bila ada sahaja pendengar yang membuat saranan seperti ini terus diminta berhenti secara indirect dengan berbagai helah. Saya tidak pasti apakah juruhebah terlalu takut menyentuh soal hudud atau ada arahan supaya jangan membincangkannya sedangkan Hukum Hudud ini perlu dibincangkan dengan lebih terbuka dan meluas supaya sebarang ketidakfahaman dan prejudis dapat dibetulkan. Bukan sekadar melihat kekerasan hukuman semata-mata tetapi dengan melihat kewajarannya sebagai kaedah yang dianugerahkan oleh Allah Taala bertujuan mencegah merebaknya jenayah dalam masyarakat. Kalaulah boleh saya mencadangkan kepada IKIM untuk mengadakan seminar Perlaksanaan Hukum Hudud dalam masyarakat moden untuk mendedahkan kepada umum kewajaran dan keserasian hukum Allah Taala dalam semua zaman dan tempat.
Sikap tidak prihatin juruhebah IKIM.FM pagi ini kepada beberapa cadangan pendengar amat menyedihkan. Saya rasa tidak salah membahaskan perkara ini secara panjang lebar kerana ia adalah sebahagian hukum Allah Taala yang diturunkan di dalam Al-Quran dan hukum Allah Taala tidak boleh di pandang secara prejudis oleh mereka yang bergelar Muslim!
Agaknya, berleluasanya jenayah hari ini adalah akibat keenganan kita kembali kepada hukum Allah dan ketakutan para ulama memperjuangkan hukum Allah Taala!

No comments: