12/30/2008

Hijrah Menuntut Muhasabah

Tanpa disedari tahun 1429 Hijrah sudah meninggalkan kita. Bermulalah tahun baru1430 Hijrah. Ini bermakna helaian catatan perjalanan hidup kita bagi tahun 1429 turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara-perkara kebaikan, kebajikan dan amal soleh ata sebaliknya. Berlalunya tahun 1429 Hijrah bererti usia kita semakin lanjut dan destinasi terakhir hidup di dunia ini semakin hampir. Hakikatnya waktu begitu pantas berlalu. Hampir-hampir tidak terasa perjalanan tahun 1429 Hijrah. Kepantasan masa dan kelajuan waktu inilah yang telah dikhabarkan oleh baginda Nabi Muhammad di dalam sabdanya yang bermaksud:
”Tidak akan berlaku Kiamat sehingga ilmu diangkat, banyak berlaku gempa bumi, masa menjadi hampir(pantas berlalu), berlaku fitnah, banyak berlaku al-Harj’ iaitu pembunuhan dan hingga harta menjadi banyak melimpah-ruah”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
Berdasarkan hadis di atas dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa tanda amaran dari Rasulullah s.a.w tentang kedatangan hari kiamat yang semakin hampir dengan ketibaan tahun baru. Kerana setiap kali tibanya tahun baru bererti semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah berlakunya kiamat. Justeru Nabi Muhammad s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita tanda-tanda kiamat sebagai satu amaran agar kita sentiasa bersiap-sedia menempuhnya. Tanda-tanda tersebut ialah ilmu yang semakin berkurang akibat daripada jumlah pencinta ilmu semakin sedikit. Ini dapat dilihat melalui kecenderungan manusia kepada sesuatu yang bersifat hiburan melebihi daripada aktiviti keilmuan. Malah program-program ilmu juga terpaksa dibuat dalam bentuk hiburan bagi menarik orang ramai menghadirinya. Tanda kedua ialah banyaknya berlaku gempa bumi. Tanda ini juga sudah begitu kerap berlaku di serata dunia. Tanda ketiga ialah masa semakin hampir, iaitu jarak masa menjadi begitu dekat dan kita dapat rasakan bagaimana pantasnya masa berlalu. Tanda keempat ialah banyaknya berlaku fitnah yang telah menjadi amalan biasa di kalangan umat Islam khususnya. Demi mencapai cita-cita dunia seperti pangkat dan harta. Tanda kelima ialah banyaknya berlaku kematian akibat pembunuhan dan peperangan dan tanda yang keenam ialah harta menjadi banyak dan hartawan menjadi begitu ramai sehinggakan orang-orang kaya begitu bangga mempamerkan kekayaan mereka dan suasana ini telah menjadi fenomena biasa di kalangan umat manusia.
Hijrah sepatutnya menjadi saat paling baik kita melakukan muhasabah diri agar hari-hari yang mendatang dipenuhi dengan amalan dan kebaikan sebagai bekalan menempuh perjalanan yang tiada penghujungnya di akhirat kelak. Ini bertepatan dengan saranan Al-Quran yang memerintahkan golongan yang beriman agar sentiasa merenung apa yang telah dikerjakan sebagai bekalan untuk kemudian hari. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan setiap diri itu hendaklah melihat apa yang telah dilakukan (sebagai persiapan) untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Surah al-Hasyr ayat: 18.
Bagi umat Islam sambutan tahun baru 1430 Hijrah seharusnya berbeza dengan suasana sambutan tahun baru Masehi 2009 yang selalunya diwarnai dengan pesta dan aktiviti hiburan. Ini adalah kerana kalender umat Islam bermula dengan berlakunya peristiwa hijrah yang tercatat di dalamnya kisah perjuangan dan jihad mempertahankan Iman dan Islam. Malah Saidina Umar al-Khattab yang mempopularkan kalender hijrah amat jelas hasratnya mahu menjadikan umat Islam sebagai umat beridentiti dan bukannya menjadi bangsa pengikut kepada apa sahaja yang datang dari dunia bukan Islam. Justeru adalah menjadi suatu yang menyedihkan apabila kedapatan umat Islam yang mengadakan pesta berunsur maksiat sebagai menyambut ketibaan tahun baru Masehi setiap tahun dan melupakan tarikh keramat dalam kalender umat Islam yang bermula dengan bulan Muharram. Saidina Umar al-Khattab r.a apabila bersetuju dengan cadangan para sahabat lain supaya memulakan kalender Islam dengan tarikh peristiwa hijrah dan menolak cadangan memulakannya dengan tarikh kelahiran, kewafatan atau pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul adalah kerana beliau melihat peristiwa hijrah adalah peristiwa terpenting dalam sejarah perubahan perkembangan Islam. Bermula dengan jumlah pengikut yang sedikit di Mekah, sering ditindas, sukar beribadah, disakiti dan dibuli, akhirnya selepas hijrah ke Madinah umat Islam telah memperolehi tanahair, memerintah negara sendiri, bebas beribadah dan berdakwah, jumlah penganut yang semakin ramai malah telah menjadi umat yang kuat dan digeruni. Peristiwa hijrah juga amat penting kerana bukan sahaja dijayakan oleh Rasulullah s.a.w seorang sahaja malah dijayakan oleh semua golongan dan peringkat umur para sahabat, samada muda mahupun tua, lelaki atau wanita. Juga tidak boleh dilupakan bagaimana peranan orang kafir iaitu Abdullah bin Uraiqit yang dilantik oleh baginda s.a.w sebagai penunjuk jalan dalam perjalanan hijrahnya. Ini boleh menjadi dalil keharusan menjadikan orang kafir yang setia, dalam membantu dan menjayakan urusan perjuangan Islam dan dakwah. Hijrah juga telah menjadi satu permulaan kepada keberjayaan Nabi s.a.w di dalam membebaskan kembali bumi Mekah yang akhirnya jatuh ke tangan Islam sehinggalah ke hari ini!
Disebabkan keagungan peristiwa hijrah inilah Saidina Umar al-Khattab telah memutuskan bahawa tahun 1 Hijrah adalah merupakan permulaan kepada kalender umat Islam dan ianya telah dipersetujui secara ijmak di kalangan umat Islam.
Di atas kepentingan peristiwa hijrah inilah kita mestilah mengambil manfaat dari ketibaan tahun baru bagi kalender Islam ini dan sewajarnyalah dilakukan muhasabah secara menyeluruh terhadap pencapaian dan kemajuan umat Islam serta cabaran yang dihadapi di dalam masa mendatang. Umat Islam jika dilihat masih lagi terkebelakang dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam bidang ekonomi sebagai contoh meskipun kekayaan hasil bumi berada di tangan umat Islam namun ianya tidak mampu digunakan untuk membangunkan sains dan teknologi yang rata-rata masih lagi diterajui oleh negara-negara bukan Islam malah banyak negara Islam yang masih dikonkong dengan kemiskinan dan kemunduran akibat pengurusan sumber kekayaan alam tidak digunakan sebaiknya. Begitu juga dari aspek siasah, negara umat Islam majoritinya masih terbelenggu dengan sistem pemerintahan yang tidak demokratik dan mengongkong kebebasan bersuara dalam memilih kerajaan secara adil dan telus. Negara Islam juga masih dicemari dengan peperangan saudara dan perebutan kuasa yang membantutkan kemajuan dan menghalang pembangunan. Lebih menyedihkan lagi apabila umat Islam terus ditekan dan tidak mampu bangkit menghalang penindasan ke atas saudara-saudara seislam seperti yang berlaku di Palestin. Ini berpunca dari tiadanya kesatuan hati di kalangan negara-negara Islam.
Hijrah mengajar kita bahawa dua asas utama kekuatan yang perlu dibangunkan segera bagi memperkasa umat Islam iaitu peranan institusi Masjid dan peranan ukhuwwah atau ikatan persaudaraan di kalangan sesama Islam. Keputusan Nabi s.a.w melakukan pembinaan masjid seawal baginda tiba di Madinah al-Munawwarah bukanlah menjadi suatu kebetulan sahaja sebaliknya satu sunnah yang mengajar kita bahawa sumber kekuatan utama Islam ialah masjid. Masjid hendaklah menjadi tempat membina hubungan dengan Allah, mengatur urusan negara, tempat bermusywarah dan juga menjadi universiti terbuka kepada umat Islam. Masjid juga seharusnya menjadi tempat berkumpulnya para pemimpin dan rakyat untuk sama-sama merasakan sifat kehambaan dan tiada erti perbezaan di kalangan manusia melainkan taqwa. Keagungan peranan masjid dapat dilihat melalui tindakan Nabi s.a.w menjadikannya sebagai pusat pentadbiran negara dan menguruskan manusia. Manakala usaha Nabi s.a.w mempersatukan hati golongan muhajirin dan ansar adalah merupakan petanda bahawa kekuatan ummah tidak akan wujud tanpa adanya kesatuan. Dengan kesatuanlah segala macam bentuk ancaman dapat ditangkis dan usaha meruntuhkan kerajaan Islam dapat digagalkan.
Dalam konteks kehidupan individu pula, hijrah sepatutnya menjadi pemangkin memperkasakan diri agar berubah kepada keadaan yang lebih baik samada dari aspek ekonomi, ilmu dan sahsiah. Dan yang lebih utama daripada itu ialah perubahan ke arah keimanan yang lebih mantap dengan meyakini bahawa hanya kembali kepada ajaran Islam secara syumul sahajalah kita akan dapat mengangkat semula maruah dan harga diri umat Islam yang sudah lama tercalar. Hijrah seharusnya mengingatkan kita semua bahawa berlalunya masa dan berubahnya tahun bererti usia kita semakin meningkat. Meningkatnya usia pula bererti saat hijrah abadi kita iaitu ke alam barzakh sudah semakin hampir. Oleh itu dengan tibanya tahun baru hijrah sewajarnya kita bermuhasabah tentang pencapaian amalan pada tahun yang lalu. Solat kita, puasa kita, zikir kita, sedekah kita, amanah kita dan sebagainya, apakah sudah ditunaikan atau sebaliknya. Amat malang jika soal dunia kita mampu membuat perubahan tetapi soal akhirat tiada sebarang perubahan malah semakin merosot. Amat malang juga jika soal dunia kita berusaha meningkatkan produktiviti dan kualitinya, tetapi soal akhirat tiada sebarang peningkatan produktiviti dan tiada kualitinya.
Hijrah melangkah ke tahun 1430 mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil, namun hanya mereka yang benar-benar beriman sahaja yang mengambil pengajaran, sebaliknya mereka yang tidak beriman terus alpa dan lalai meskipun lambaian barzakh semakin hampir. Berkata Saidina Umar Al-Khattab r.a: ”Muhasabahlah dirimu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalanmu sebelum ianya ditimbang dan bersiaplah untuk hari pameran terbesar (hari Kiamat) ”.

No comments: