8/26/2011

Solat berjamaah dalam masjid yang ada pintu atau hadangan antara imam dan makmum, camna hukumnya?




Dalam menziarahi beberapa buah surau dan masjid sempena Ramadan ini, saya dapati antara soalan yang sering ditanya ialah berkenaan dengan sejauhmana makmum boleh dianggap mengikut imam dalam situasi bangunan yang berdinding atau berpintu (sliding door) dan ada pengadang yang memisahkan makmum dan imam.
Berikut adalah pendapat fuqoha Al-Syafi ‘iyyah mengenai isu tersebut:
Disyaratkan sah ikut imam dalam solat berjamaah dengan maklumnya makmun segala pergerakan imam, samada dengan melihatnya, atau melihat sebahagian sof, atau mendengarnya, atau mendengar melalui muballigh (orang yang mengulang laungan takbir intiqal imam) walaupun dia tidak solat.
Jika imam dan makmum dalam satu masjid, sah mengikut imam walaupun jaraknya jauh lebih dari 300 hasta, atau terpisah dengan bangunan seperti dinding dan menara, atau ditutup pintu ketika solat. Kalau seseorang itu solat di hujung masjid dan imam di depan, sah mengikut imam dengan syarat antara keduanya tiada halangan untuk makmun sampai kepada imam seperti pintu yang dipaku (tidak boleh dibuka) sebelum ia mula solat. Termasuk dalam hukum masjid ialah bahagian atasnya dan juga bahagian luarnya (koridor).
Adapun jika imam dan makmum bukan di masjid, seperti di padang pasir maka sah solat berjamaah dengan syarat jarak antara imam dan makmum dan antara setiap sof tidak lebih dari 300 hasta dan tidak boleh ada pintu tertutup atau tingkap. Jika imam di dalam masjid dan makmum di luar masjid maka jaraknya tidak boleh lebih dari 300 hasta (iaitu jarak antara bangunan masjid dengan makmum di luar). Tiada masalah jika ada pemisah (antara imam dan makmum) seperti jalan atau sungai.
(Rujuk Al-Syarbinie, Mughni Al-Muhtaj, 1/248-251, Al-Zuhaily, Fiqh Islamiy, 2/231-232).

No comments: