10/31/2011

Himpunan Haji berbeza....



عن عائشة رضي الله عنها قالت: إنَّ رسول الله صلَّى الله عليه وسلَّم قال: ((مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يَعْتِقَ اللهُ فِيْهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة، وَإنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِيْ بِهِمُ الملائِكَةُ، فَيَقُوْل: مَا أرادَ هؤلاء؟
Aisyah RA meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak Allah membebaskan seorang hamba daripada api neraka daripada hari Arafah, sesungguhnya Dia turun kemudian para Malaikta berbangga dengan mereka, kemudian bertanya: “ Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu? Hadis riwayat Muslim.
Hari ini bermacam himpunan dan ijtima yang dilakukan dan dianjurkan oleh manusia. Ada yang berlatarbelakangkan hiburan, sukan, anutan kepercayaan atau fahaman politik. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan diseluruh pelusuk dunia oleh pelbagai latarbelakang manusia, dan dengan bermacam tujuan ini, meskipun besar saiznya namun ianya adalah bersifat terhad kepada tujuan duniawi. Penglibatan pula adalah dari kelompok manusia tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja. Justeru himpunan-himpunan tersebut mengangkat pelbagai slogan berbeza, warna bendera yang berbeza dan di perjuangkan oleh kelompok yang berbeza. Zahirnya berhimpun tetapi pada lumrahnya, batin berbeza!
Perhimpunan-perhimpunan sedemikian, meskipun ada yang menjangkau ratusan ribu manusia tetapi pada hakikatnya ia masih belum mampu menandingi himpunan ibadah terbesar umat Islam di Mekah iaitu ibadah haji. Himpunan atau tajammuk tahunan umat Islam ini amat istimewa kerana ia melangkau batasan warna kulit, bahasa, negara, politik, darjat, pengaruh dan status kekayaan. Ia adalah himpunan terbesar yang diatur oleh Islam bagi mempertemukan seluruh umat Islam di dunia bagi menyatakan kesatuan hati di atas warna aqidah yang sama dan laungan slogan yang sama.
عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ؛ أَفَلا نُجَاهِدُ؟ قَالَ: "لا! لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ".
Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Kami lihat jihad adalah sebaik-baik amalan, apakah kami tidak kena berjihad? Jawab baginda: Tidak! Tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur. Hadis riwayat Imam al-Bukhari.
Himpunan ibadah haji sangat istimewa kerana sesiapa yang menyertainya mesti menanggalkan segala bentuk pakaian kebesaran dirinya serta darjah kebesaran sebaliknya mesti memakai pakaian seragam yang sama iaitu kain ihram berwarna putih. Ia adalah simbolik bahawa pangkat dan harta adalah tipuan dunia semata-mata kerana semuanya bakal ditanggal secara paksa apabila maut sudah menjemput kelak. Pergerakan fizikal, zikir dan niatnya adalah sama, tiada tujuan yang lain melainkan untuk mendapat redha Allah Taala.
Ketika himpunan Haji, semua raja-raja dan pembesar dunia apabila sudah menjejakkan kaki ke bumi Mekah, mesti ingat bahawa yang paling berkuasa ialah Allah Taala! Tiada lagi slogan mengampu dan membodek yang diucapkan. Hanya satu sahaja slogan yang dikumandangkan iaitu:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَريْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إنَّ الحَمْدَ والنِّعْمَةَ لَكَ وَالملْكُ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ.
Maksudnya: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu, Tidak ada sekutu bagiMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu.Tidak ada sekutu bagiMu.”

No comments: