2/15/2012

Pentadbir Zakat tidak wajar menggunakan harta zakat bagi kepentingan lain.

Isu berkaitan penggunakan harta zakat oleh individu atau institusi zakat semakin menjadi-jadi sejak mutakhir ini. Meskipun pelbagai hujjah dan alasan diberikan, pada hakikatnya harta zakat tidak harus digunakan melainkan diserahkan kepada asnaf. Menurut para fuqaha dan ahli tafsir. Penggunaan huruf 'Li' di awal asnaf empat dan 'Fi' bagi empat asnaf berikutnya dalam surah Al-Taubah ayat 60 sudah menunjukkan hak asnaf bagi harta zakat dan menafikan masuk campur pengurus dan pentadbir zakat menggunakan harta tersebut. Dalam surah Al-Taubah ayat 60 Allah Taala berfirman:

 إنما الصدقات للفقراء والمساكين والعاملين عليها والمؤلفة قلوبهم وفي الرقاب والغارمين وفي سبيل الله وابن السبيل فريضة من الله والله عليم حكيم

'Li' bagi empat asnaf iaitu fakir, miskin, amil dan muallaf menunjukkan harta tersebut menjadi milik sempurna bagi mereka dan boleh digunakan untuk apa sahaja bagi urusan kehidupan asnaf tersebut. Manakala 'Fi' bagi ansaf al-Riqab, al-Gharimin, Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil menunjukkan harta zakat tersebut mesti dimanfaatkan dalam skop yang telah ditetapkan oleh syarak.

Bagi pihak pentadbir urusan zakat mereka sepatutnya mesti berwaspada dalam menguruskan zakat kerana sejurus harta zakat diserahkan kepada mereka, hak asnaf yang lapan mesti ditunaikan segera. Oleh itu para ulama sangat prihatin dalam soal agihan zakat supaya tidak berlaku sebarang kesilapan yang menjadi punca kezaliman terhadap golongan asnaf. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji para pengarangnya iaitu Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugho dan Syeikh Ali Al-Syarbaji telah memberikan peringatan yang amat jelas kepada setiap mereka yang terlibat dengan pentadbiran zakat umat Islam dengan menukilkan kenyataan berikut:

"Di sini kami ingin menarik perhatian para pengurus pertubuhan-pertubuhan kebajikan (yang menguruskan zakat). Kami ingin jelaskan kepada mereka bahawa menyimpan sejumlah harta zakat (yang diserahkan oleh pengeluar zakat) sebagai dana modal putaran untuk kepentingan pertubuhan itu ataupun disimpan dalam simpanannya, begitu juga menyimpan sejumlah tertentu harta zakat untuk diserahkan kepada orang yang berhak selama setahun dalam bentuk ansuran bulanan adalah perkara yang tidak dibenarkan oleh syarak dan bertentangan dengan apa yang sabit dalam hukum Allah Taala yang mewajibkan memilikinya. Perkara itu juga bertentangan dengan hikmah disyariatkan zakat yang bermatlamatkan mencukupkan keperluan orang fakir dan orang yang sepertinya dengan memberikan mereka sejumlah harta yang mungkin membantu mereka menyediakan kerja yang mulia yang menjadi sumber rezeki yang berterusan untuk mereka. Dengan itu akan mengeluarkan mereka daripada senarai orang fakir dan mereka yang perlukan bantuan dan memasukkan mereka ke dalam senarai orang yang berinfaq dan baik hati lagi bersedekah. Kita tidak dipertanggungjawab untuk mengurus (harta) orang mukallaf iaitu pemilik hak (harta zakat) selagi dia berakal dan waras dari sudut zahirnya.

Dengan ini kami merayu para pengurus pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang ikhlas supaya tidak melakukan kesalahan ini agar mereka mendapat ganjaran di sisi Allah Azza Wajalla dan usaha yang dicurahkan untuk memberi khidmat kepada orang yang memerlukan tidak menjadi sia-sia" (al-Fiqh al-Manhaji jil 2 hal 368-369).

.




No comments: