الحمد لله القائل (( وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة وذلك دين القيمة )) أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،
أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan berusaha melaksanakan setiap perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,
Hari ini kita akan membicarakan soal kewajipan menunaikan Solat. Tajuk ini dipilih kerana masih lagi kedapatan di kalangan umat Islam yang meremehkan solat malah meninggalkannya tanpa sebarang sebab. Malah di waktu kita menunaikan solat Jumaat pada hari ini ada di kalangan kaum lelaki yang mukallaf meninggalkan solat Jumaat tanpa rasa malu dan segan.
Solat adalah merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah Syahadah. Solat sangat penting kerana ia adalah lambang dan identiti bagi seorang yang mendakwa dirinya sebagai Muslim, justeru Allah SWT telah menfardhukan solat lima waktu sehari semalam, yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang mukallaf sebagai satu tanda dan bukti keIslaman seseorang lantas membezakan diri mereka dengan golongan yang kafir. Oleh itu Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya beza antara sesorang dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat”.
Sabda Baginda lagi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: Janji antara kita dan mereka ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkannya ia adalah kafir!)).
Oleh itu jika kedapat di waktu ini seorang muslim lelaki yang mukallaf tetapi tidak solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran maka mereka tiada bezanya dengan orang kafir dan syirik yang turut tidak solat pada waktu ini.
Sidang Jumaat sekelian,
Dalam kehidupan seorang muslim, solat sepatutnya menjadi agenda utama dan perlu diberikan perhatian dalam apa jua keadaan sekalipun kerana seorang muslim itu tidak harus meninggalkan solat sehinggalah ia meninggal dunia kerana ketika itu ia pula yang akan disolatkan.
Solat dalam kehidupan seorang muslim adalah merupakan kaedah paling berkesan di dalam membangunkan nilai-nilai mulia seperti kebersihan diri, taat kepada pemimpinan, menjernihkan hati, menepati waktu dan sebagainya.
Mengenai kebersihan diri, Islam mensyaratkan ‘taharah’ atau bersuci sebagai syarat utama keharusan atau kesahan seorang untuk menunaikan solat. Syariat Islam telah menjadikan wudhu sebagai syarat sah solat dan begitu juga dengan kebersihan diri dan pakaian serta tempat solat daripada najis. Ini secara tidak lansung mendidik umat Islam bahawa betapa pentingnya menjaga kebersihan malah ia merupakan sebahagian dari indikator keimanan seseorang.
Berkenaan dengan kepimpinan pula, melalui solat, khususnya solat secara berjamaah di Masjid seseorang itu akan terdidik bagaimanakah pentingnya mengikut pergerakan dan tingkah laku Imam yang memimpin kerana Imam adalah lambang kepimpinan yang mesti ditaati selagimana ia berada pada landasan yang betul. Sebaliknya jika Imam dalam solat tersalah atau tersilap maka wajib bagi makmun atau pengikut menegurnya dan ada ketikanya boleh bagi makmum bermufaraqah yakni keluar dari mengikut Imam jika sekiranya Imam tidak membetulkan kesilapannya dalam solat. Amalan inilah yang mesti dipraktikkan dalam kehidupan manusia samada dalam organisasi atau dalam soal bernegara. Mengikut pemimpin adalah wajib selagi dia taat kepada Allah dan RasulNya, tetapi sekiranya dia melanggar perintah Allah dan melakukan kezaliman maka pemimpin seperti ini wajib ditegur dan sekiranya tidak berubah maka wajib ditolak.
Berkenaan dengan kejernihan hati pula, melalui solat hati akan terdidik dengan sifat-sifat mahmudah seperti tenang, damai, merendah diri, sabar, benar dan lain-lain. Semua sifat-sifat ini akan tercerna apabila solat dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan ia boleh diperolehi melalui cara memandang ke tempat sujud ketika solat dan memahami makna-makna zikir dalam solat. Firman Allah Taala dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: ((Telah berjaya orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solat)).
Seterusnya mengenai menjaga masa pula, melalui solat seseorang itu akan sentiasa terdidik dengan budaya menghormati masa. Solat yang paling afdhal ialah dilaksanakan di awal waktu dan bukannya di hujung waktu kerana orang yang melaksanakan solat di hujung waktu adalah dianggap orang yang cuai dan lalai. Dengan solat seseorang itu sentiasa dapat membahagikan masanya dengan teratur dan sentiasa mengawasi masanya agar tidak terbiar begitu sahaja.
Sidang Jumaat sekelian,
Dalam konteks pembangunan insan solat sepatutnya dijadikan kayu ukur dan wasilah terpenting dalam membina keperibadian manusia. Manusia adalah ciptaan Allah dan pastinya Allah Taala lebih Mengetahui bagaimana kaedah terbaik membangun insan dan kaedah itu ialah melalui kefardhuan Solat. Justeru tidak hairanlah Allah Taala menegaskan bahawa melalui solat segala masalah keruntuhan nilai dan kerosakan akhlak akan dapat di atasi. FirmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 45:
(( إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر ))
Maksudnya: (( Sesungguhnya Solat dapat mencegah daripada perkara keji dan mungkar)).
Oleh itu bagi mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti latihan dan kursus samada melibatkan golongan dewasa seperti kakitangan kerajaan ataupun golongan remaja seperti para pelajar, hendaklah menjadikan solat dan solat berjemaah sebagai agenda utama yang dimasukkan dalam tentatif aktiviti yang hendak dijalankan. Ini adalah kerana melalui aktiviti solat dan solat berjamaah akan dapat memupuk nilai-nilai positif di kalangan mereka sepertimana yang telah dinyatakan tadi.
Sidang Jumaat sekelian,
Dewasa ini terdapat umat Islam yang meringan-ringankan solat hingga sanggup melambat-lambatkannya di hujung waktu malah ada yang meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Terdapat juga umat Islam yang sanggup meninggalkan solat semata-mata kerana bersukan, membeli belah, bermesyuarat, berkursus ataupun urusan-urusan dunia yang lain. Persoalannya apakah urusan dunia berkenaan terlalu penting bagi kita sehingga lupa kepada perintah Allah SWT?
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Mudathir ayat 42-43:
Maksudnya: "Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment