11/04/2012

Hidup Berjiran....




Masih teringat lagi suasana kejiranan dan semangat gotong royong yang begitu kuat di kalangan masyarakat kita di kampung-kampung satu ketika dahulu. Bukan sahaja dalam soal kenduri kendara malah dalam urusan mencegah kemungkaranpun semangat saling ingat mengingat sangat kuat diamalkan.
Namun kini, suasana tersebut semakin pudar, budaya bergotong royong, bertegur sapa, bertukar-tukar pemberian dan ingat mengingati sudah hilang ditelan zaman. Jika di kampong keadaan ini semakin pupus, sementelahan pula lah di bandar-bandar. Mungkin disebabkan faktor kesibukan dengan urusan kerja menjadikan sebahagian masyarakat kita tidak menghiraukan soal kejiranan dan hak-haknya. Juga ditambah dengan kurangnya pengetahuan agama mengenai amanah dan tanggungjawab sebagai jiran turut menjadi faktor wujudnya sikap sedemikian.
Keadaan ini sebenarnya telah memberikan kesan negatif kepada masyarakat kita yang pada mulanya terkenal dengan sikap bergotong royong dalam banyak hal tetapi sebaliknya telah bertukar menjadi masyarakat yang hidup ‘nafsi nafsi’. Natijahnya, kerja-kerja yang sepatutnya boleh dibuat secara gotong royong terpaksa disediakan upah manakala amalan tegur menegur dianggap seperti menjaga tepi kain orang!

Positifnya kesan daripada amalan kejiranan yang baik menyebabkan Islam sangat memberatinya dalam kehidupan setiap muslim. Islam melihat bahawa memelihara hak-hak jiran adalah perkara agama yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Oleh kerana itu Allah SWT telah menyatakan tentang tanggungjawab kejiranan di dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat 36:

Maksudnya: (( Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,
Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
" من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت "
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia tidak menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata perkara kebaikan atau dia diam sahaja”.


Jiran adalah berasal dari perkataan Bahasa Arab iaitu ‘Jaar’ yang bererti bersebelahan. Jiran ialah mereka yang tinggal di kawasan rumah yang bersebelahan manakala kejiranan pula ialah keadaan hidup bersama iaitu saling tinggal berhampiran rumah antara satu sama lain.
Imam al-Syaukani berkata: Al-Qurtubi meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW kemudian dia mengadu tentang jirannya, maka Nabi SAW mengarahkan dipanggil jirannya itu ke depan pintu masjid dan berkata: Ketahuilah bahawa 40 buah rumah adalah jiran”.  Al-Zuhri berkata: Empat puluh itu ialah begini, 40 begini dan 40 begini dengan menunjukkan kepada empat arah. (kiri, kanan, depan, belakang).
Dalam konteks semasa, kejiranan itu boleh juga diertikan dengan mereka yang hidup sekampung atau setaman yang mempunyai hubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain.

No comments: