Perancangan
mengadakan program Mukhayyam Remaja Surau Indera Sempurna dibuat lebih kurang
dalam masa 3 minggu. Ia adalah lanjutan dari siri rehlah yang pernah dibuat
sebelum ini. Pada tahun lepas Rehlah dibuat di Sg Mas di Sg Lembing. Alhamdulillah
sokongan dari pihak surau dan ahli jamaah dewasa sangat menggalakkan. Ustaz
Sayuti Bendahari surau , Tuan Haji Nordin, Wan Kamarulzaman, En Ibrahim, En Ghazali, En Ridhuan, En
Roslan, Imam Muda Saifuddin, En Musa dan adiknya memberikan komitmen untuk turut
serta menjayakan program ini. Para peserta di kalangan remaja mencapai sasaran
iaitu seramai 20 orang.
Program
kali ini diadakan pada 15 dan 16 Disember 2012 di tapak perkhemahan Berkelah,
Maran. Sebanyak 7 kenderaan terlibat ke sana iaitu sebuah Triton, Hilux, Pajero,
Exora, Suzuki APV, Wira dan Pesona. Pada jam 3.30pm semua peserta bertolak
secara konvoi ke Berkelah. Dalam perjalanan kami singgah di Balai Polis Gambang
untuk memaklumkan program ini kepada pihak PDRM bagi tujuan keselamatan
peserta. Dalam perjalanan peserta konvoi Mukhayyam dapat menikmati suasana
hutan yang masih terpelihara. Akibat dari jambatan menuju ke tapak perkhemahan
runtuh, semua kenderaan terpaksa meredah 3 batang sungai bagi meneruskan
perjalanan. Ia adalah pengalaman yang sangat menarik. Kira-kira jam 4.45pm kami
sampai dan semua peserta terus ke sungai untuk berwuduk bagi menunaikan solat Asar berjamaah.
Selesai solat Asar Imam Muda Saifuddin memberikan sedikit taklimat . Kem Komanden
En Ghazali pula menyampaikan taklimat disiplin dan keselamatan. Selepas itu
semua peserta membersihkan tapak perkhemahan dan memasang khemah masing-masing.
Sebelah petangnya para peserta dibenarkan mandi manda di sg Berkelah yang
begitu jernih dan nyaman. Urusetia bahagian masakan iaitu Haji Nordin, Ustaz
Zuridan, Wan Kamarulzaman dan Riduan bekerjasama menyediakan juadah makan
malam.
Apabila
masuk waktu maghrib azan dikumandangkan dan semua peserta Mukhayyam solat
berjamaah dengan diimamkan oleh Imam Muda. Kuliah Maghrib pula di sampaikan
oleh Ustaz Sayuti dengan memberikan penekanan kepada soal peranan pemuda Islam.
Setelah selesai solat Isyak peserta menikmati makan malam dengan makan
berjamaah di dalam talam dan dihidangkan dengan menu nasi putih, gulai ayam
kari dan sambal budu special….sangat menyelerakan.
Kira-kira
jam 10.30 malam para peserta remaja yang diberikan dalam 4 kumpulan telah
mempersembahkan lagu tema kumpulan masing dan memperkenalkan ahli kumpulan. Kem
Komanden telah memberikan tugasan kepada setiap kumpulan membuat kawalan secara
shift sehingga jam 4.30 pagi. Tepat jam 4.30 pagi siren dibunyikan dan semua
peserta mukhayyam bangun untuk bersiap mendirikan qiamullail. Qiamullail dan
solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Zuridan. Masuk waktu Subuh, azan berkumandang memcah
kesunyian hutan belantara Berkelah yang tebal. Kuliah subuh menyentuh tentang
kehebatan alam ciptaan Allah dan kisah remaja dalam surah al-Buruj yang
disampaikan oleh Ustaz Zuridan.
Sarapan
pagi pula disediakan oleh peserta dewasa dengan menu nasi goring Kastam dan
roti telur goreng serta air nescafe susu….emm sangat menyegarkan.
Seusai
sarapan semua peserta remaja berkumpul dan menyanyikan lagu negaraku dan
berkawad yang dipimpin oleh instructor bertauliah En Wan Kamarulzaman. Kemudian
peserta di bawa meneroka keindahan alam, dengan
meredah hutan dan meneroka air terjun yang begitu indah. Kira-kira jam
10.30 pagi setelah mandi-manda semua peserta dihidangkan dengan juadah nasi
putih, gulai sardine, telur goreng dadar dan sambal kicap perah limau nipis…
Sebelum
berkemas pulang para peserta mengadakan perlawanan polo air dengan begitu
meriah sekali. Penutup program telah dilakukan oleh pengerusi Surau Fatimah
Az-Zahra Ustaz Rosaidi yang meluangkan masa hadir pada penghujung mukhayyam
kali ini…beliau telah memberikan kata-kata semangat kepada remaja yang terlibat
dan berjanji akan meneruskan aktiviti seumpama ini.
Semua
peserta bergerak pulang kira-kira jam 12.30 tengahari 16 Disember 2012 dan
sampai ke surau Fatimah Az-Zahra jam 1.30 tgh. Selesai solat zohor berjamaah
semua pesertapun bersurai….
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Tuan Haji Cikgu Din telah meminjamkan genset nya. En Razi telah meminjamkan tritonnya dan semua yang memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit...semua ia dinilai sebagai amal soleh insyaAllah.
No comments:
Post a Comment