Siapakah Ulama?
Perkataan
ulama adalah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud orang-orang yang berilmu. Ulama
adalah katanama jamak (plural) bagi perkataan mufrad (singular) ‘alim. Ulama bermakna
orang-orang yang berilmu manakala ‘alim maknsnya seorang yang berilmu. Ulama
adalah sinonim dengan ilmu kerana
seseorang itu digelar sebagai ‘alim kerana merujuk kepada ilmunya.
Dari
aspek penggunaan semasa istilah ulama adalah secara khusus bermaksud mereka
yang berilmu dalam bidang agama Islam. Ini adalah kerana sebutan perkataan
ulama dalam al-Quran dan al-Sunnah merujuk kepada mereka yang mendalami Islam, mengetahui
selok belok hukum Islam, menghayatinya dan sangat takut kepada Allah SWT.
Banyak
istilah yang digunakan untuk merujuk kepada golongan ini seperti mana yang
terdapat di dalam kitab-kitab muktabar. Antaranya ialah fuqaha yang
merujuk kepada ulama fiqh, mufassirun merujuk kepada ulama tafsir, ahlul
kalam merujuk kepada ulama aqidah, usuliyyun merujuk kepada ulama usul
fiqh, muhaddithun yang merujuk
kepada ulama hadis dan lain-lain lagi, semuanya adalah dianggap sebagai ulama
dalam Islam.
Jika
ada yang menyatakan bahawa ulama atau alim boleh digelar kepada sesiapa sahaja
yang tahu dalam apa sahaja bidang ilmu maka ia adalah berdasarkan makna ulama dari
segi bahasa Arab dan bukan merujuk istilah yang digunakan oleh al-Quran dan
al-Sunnah.
Kedudukan
Ulama
Dalam
Islam kedudukan ulama adalah dipandang tinggi kerana mereka adalah golongan
yang berilmu dan memahami agama dari sumbernya yang utama iaitu al-Quran dan
al-Sunnah. Para ulama mampu menafsirkan al-Quran dan menterjemahkan al-Hadis
agar dapat difahami sebaiknya oleh umat Islam untuk dilaksanakan dalam
kehidupan mereka. Dalam surah al-Zumar ayat 9 Allah SWT berfirman:
قُلْ هَلْ
يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا
يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya:
((Katakan (wahai Muhammad): Apakah sama kedudukan orang-orang yang berilmu
(jika dibandingkan) dengan orang-orang yang tidak berilmu? Pastinya yang
mengambil peringatan ialah golongan yang mempunyai akal)).
Pertanyaan:
“Apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?...adalah dalam
bentuk soalan penafian (Istifham Istinkar) yang secara jelas jawapannya
ialah pasti tidak sama kedudukan orang yang berilmu dengan orang yang tidak
berilmu.
Ulama
adalah mereka yang memimpin umat agar tunduk dan patuh kepada perintah Allah
SWT. Kedudukan ulama adalah mulia, bukan kerana fizikal mereka tetapi kerana
mereka memikul amanah dakwah dan menjadi pewaris kepada para Rasul yang
diamanahkan membawa risalah tauhid kepada seluruh umat manusia. Nabi SAW bersabda
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (no: 2682) dan telah
disahihkan oleh Syeikh Al-Bani:
مَنْ
سَلَكَ طَرِيْقًا يَبتَغِيْ فِيْهِ عِلْمًا ، سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيْقًا إِلَى
الجَنَّةِ ، وَإِنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ وَإِنَّ
العَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِيْ السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِيْ الأرْضِ حتَّى
الحِيْتَانُ فِيْ المَاءِ وَفَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ عَلَى
سَائِرِ الكَوَاكِبِ إنَّ العُلَمَاءَ
وَرَثَةُ
الأَنْبِيَاءِ
إنَّ الأنبياءَ
لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلَا دِرْهَمًا إنَّمَا وَرَّثُوْا العِلْمَ فَمَنْ
أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melalui satu jalan kerana menuntut
ilmu, nescaya Allah akan membukakan jalan baginya menuju ke syurga, dan
sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya kepada penuntut ilmu, dan
sesungguhnya orang alim itu akan dipohon ampun baginya oleh makhluk yang berada
di langit dan di bumi sehingga ikan di dalam air, dan kelebihan seorang alim
jika dibandingkan dengan seorang abid (ahli ibadah yang jahil) seumpama
perbandingan bulan ke atas segala bintang. Sesungguhnya para
ulama adalah pewaris para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar
mahupun dirham sebaliknya mereka meninggalkan ilmu dan barangsiapa yang
mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil sesuatu yang sangat berharga.”
Ulama
dengan ilmu dan kefahaman yang dimiliki menjadikan mereka sangat takut kepada
Allah SWT dan mereka sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang
dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Mereka juga bersikap tegas
jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariat Islam. Sikap
mereka ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Fatir ayat 23:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ
عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Maksudnya:
((Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah
al-Ulama)).
Menurut
Imam al-Razi dalam tafsirnya (Tafsir al-Kabir) makna ‘al-Khasyyah’ dalam ayat
23 surah Fatir ialah takut menurut kadar apa yang ditakuti. Al-‘Alim
pula ialah orang yang mengenal Allah dan takut kepada-Nya serta
mengharapkan-Nya (redha Allah SWT). Ini menunjukkan bahawa ‘alim lebih
tinggi kedudukannya daripada seorang ‘abid (ahli ibadah) , kerana
Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: ((Sesungguhnya
orang yang paling mulia dari kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa
(takutkan Allah SWT)). Ayat ini menerangkan bahawa kemuliaan seseorang adalah
berdasarkan kepada ketaqwaan dan ketaqwaan pula diukur berdasarkan ilmu (kenal
Allah SWT).
Imam
al-Qurtubi dalam tafsirnya (al-Jami’ Li ahkam al-Quran: 14/308) menaqalkan
riwayat Ali bin Abi Talhah dari Ibnu Abbas bahawa maksud ayat : ((Sesungguhnya
yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah ulama)) ialah
mereka yang tahu bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu dan Dia Maha
Berkuasa. Al-Rabi’ bin Anas menjelaskan bahawa barangsiapa yang tidak takut
kepada Allah bukanlah seorang alim. Mujahid berkata: “Sesungguhnya orang yang
alim itu ialah yang takutkan Allah Azza wajalla.
Imam
Ibnu Katsir dalam tafsirnya (6/544-545) menjelaskan maksud ayat tersebut ialah
orang yang sebenarnya takutkan Allah ialah ulama yang benar-benar mengenali
Allah kerana apabila seseorang itu kenal Tuhan Yang Maha Besar, Yang Maha
Berkuasa dan Maha Mengetahui juga bersifat dengan segala sifat kesempurnaan
maka itulah yang dinamakan sebenarnya ilmu pengetahuan yang sempurna.
Peranan
Ulama
Jika difahami
dari hadis yang menjelaskan bahawa ulama adalah pewaris kepada para Nabi, maka
amat jelas tugas mereka ialah memimpin ummah, menyampaikan ilmu, memberikan
contoh tauladan yang baik, memberi
nasihat dan menegur sebarang tindakan yang bercanggah dengan kehendak Allah
SWT.
Mengenai
kepentingan dan peranan ulama Allah SWT menjelaskannya dalam surah al-Taubah ayat
122 :
وَمَا كَانَ
الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ
مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا
رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: ((Tidak
sepatutnya orang-orang yang beriman keluar berjihad semuanya, hendaklah ada
sekumpulan dari mereka yang mendalami ilmu agama agar mereka memberikan
peringatan kepada kaum mereka apabila pulang kepada mereka semoga mereka
berawas)).
Imam
al-Baghawi menjelaskan bahawa maksud mendalami ilmu agama (al-Tafaqquh)
dalam ayat ini ialah mengetahui
hukum-hakam agama berasaskan al-Quran dan al-Sunnah (Tafsir al-Baghawi:133).
Ulama adalah
tempat rujukan masyarakat samada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Allah SWT
berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 7:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا
رِجَالاً نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: ((Dan
tidak Kami utuskan sebelum kamu melainkan lelaki-lelaki (para Rasul) yang kami
wahyukan kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang berilmu sekiranya
kamu tidak mengetahui)).
Tugas dan
tanggungjawab ulama adalah sangat besar kerana jika diabaikan umat manusia akan berdepan dengan wabak
kejahilan dan kesesatan. Ulama yang lesu dan malas pasti mendapat murka dari
Allah SWT, kerana mengabaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada
mereka justeru para ulama hendaklah sedar akan peranan mereka dan berada di
barisan hadapan memimpin ummah melaksanakan amanah amar makruf nahi mungkar.
Al-Quran
telah mengingatkan para ulama bagaimana sikap mendiamkan diri terhadap
kemungkaran seperti yang berlaku di kalangan bani Israel telah mengundang murka
daripada Allah SWT, firman Nya dalam surah al-Maidah ayat 78:
لُعِنَ
الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيل عَلَى لِسَان دَاوُد وَعِيسَى اِبْن
مَرْيَم ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ
عَنْ مُنْكَر فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Telah
dilaknat golongan kafir dari kalangan bani Israel di atas lidah Nabi Daud, Isa
ibnu Maryam, yang demikian itu adalah kerana maksiat yang mereka kerjakan dan
mereka melampaui batas, mereka tidak mencegah kemungkaran yang dilakukan , amat
buruklah apa yang telah mereka kerjakan.
Rasulullah SAW
juga telah mengingatkan tentang situasi buruk yang bakal berlaku apabila
tiadanya para ulama atau ulama tidak menjadi rujukan di kalangan umat Islam
sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rh bahawa Nabi
SAW telah bersabda:
إنَّ
اللهَ لاَ يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ العِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ
العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَمَاءِ، حَتىَّ إذَا لَمْ يُبْقِ عَالمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ
رُؤوْسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوْا، فَأفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوْا
.
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari jiwa
hamba-hamba-Nya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama
sehingga tiada seorangpun orang alim, manusia mengangkat orang-orang jahil
sebagai ketua mereka, maka mereka ditanya lalu mereka memberikan fatwa tanpa
asas ilmu, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.
Saranan Ulama jangan diperkecilkan!
Dalam konteks masyarakat Islam masakini, para ulama hendaklah
dijadikan pemimpin dan ikutan, kerana kefahaman mereka yang mendalam terhadap
Islam akan memelihara ummah dari terjerumus kepada kesesatan. Juga dengan sifat
mereka yang takutkan Allah Taala menjadikan para ulama sentiasa bertindak
berdasarkan panduan wahyu al-Quran dan al-Sunnah yang akan memberikan jaminan
tidak berlakunya sebarang penyelewengan.
Sebaliknya perbuatan memandang serong kepada para ulama,
memperkecilkan kebolehan mereka, mempersendakan pendapat meraka adalah
bibit-bibit yang akan membuahkan kebencian terhadap ulama. Ia adalah permulaan
malapetaka yang bakal menimpa umat Islam kerana apabila jauhnya mereka dari
pimpinan para ulama bermakna semakin jauhlah mereka dari panduan al-Quran dan al-Sunnah.