9/08/2009

Mengfungsikan kembali Al-Quran

Realiti umat Islam hari ini dalam beramal dengan Al-Quran adalah seumpama seorang pegawai keselamatan yang bersenjata tetapi terlupa akan senjatanya atau sengaja tidak mahu menggunakannya apabila berdepan dengan penjenayah. Akibatnya penjenayah tersebut tidak lansung merasa takut, malah berani melakukan jenayah sewenang-wenangnya!
Begitulah waqi umat Islam yang rata-rata tidak mampu bangkit menjadi satu kuasa yang boleh menggerunkan musuh-musuhnya malah tidak berdaya menangkis serangan demi serangan yang dlakukan ke atas umat Islam dan negara-negara Islam samada dalam bentuk serangan pemikiran mahupun serangan ketenteraan. Kelemahan yang melanda umat Islam ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada dalam aspek ekonomi, pendidikan, perundangan, ketenteraan mahupun politik. Ini ditambah pula dengan keruntuhan nilai dan budaya yang semakin parah melanda umat Islam. Semua ini adalah berpunca dari keengganan umat Islam kembali kepada sumber kekuatan mereka yang sebenar iaitu Al-Quranul Kareem.
Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam bukunya ‘Kaifa Nata ’aamalu Ma ’a al-Quran’ (Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran) telah menyatakan bahawa situasi umat Islam hari ini agak pelik kerana mereka hanya menganggap bahawa tanggungjawab terhadap Al-Quran ialah membacanya sahaja dan tidak melebihi halqum mereka. Maka tidak hairanlah pada hari ini majoriti umat Islam cenderung kepada mempelajari ilmu tajwid, bertarannum dan mengadakan musabaqah tilwayah. Malah jika terdapat golongan ilmuan Islam di menara gading yang mengkhusus dalam bidang Al-Quran mereka lebih cenderung menjadikan Al-Quran bahan untuk membuat kajian ilmiah sahaja tetapi amalan dan tingkah laku mereka tidak mencerminkan keperibadian al-Quran. Sedangkan erti membaca atau ’Qara a’ bukan sekadar tillawah malah ia memberi erti memahami dan bertadabbur seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai sumber kepada sistem kehidupan. Firman Allah Taala:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. Surah Shaad : 29.

Natijah dari kecenderungan menjdikan Al-Quran sebagai bahan bacaan dan bertarannum sahaja telah menyebabkan umat Islam hanya merujuk Al-Quran apabila tibanya majlis-majlis kebesara Islam, kematian, menjadi pembuka majlis, digunakan sebagai alat rawatan gangguan makhlus halus dan dijadikan perhiasan di dinding-dinding rumah sahaja. Ramai di kalangan umat Islam tidak memahami apa yang mereka baca dan tidak tahu apakah sebab turun ayat-ayat di dalam Al-Quran. Justeru itu umat Islam tidak mampu mengolah Al-Quran sehingga menjadi rujukan dalam menentukan asas kepada sistem kehidupan mereka dan panduan di dalam menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda umat Islam.
Fungsi Al-Quran sebenarnya telah dinyatakan sendiri oleh Allah Taala melalui firmanNya:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا. وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: Dan Katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. Surah Al-Isra:81-82.

Menurut ahli tafsir seperti Imam Al-Tabari yang dimaksudkan dengan Al-Hak (Kebenaran) di dalam ayat di atas ialah Al-Quran. Ini adalah kerana Al-Quran mengandung semua perkara kebenaran dan tiada sebarang pembohong kerana ianya merupakan kalam Allah Tuhan Yang Maha Suci dari sifat-sifat tercela seperti berbohong. Oleh itu segala kisah-kisah silam, hukum-hakam, panduan-panduan kehidupan dan khabar berita mengenai hari qiamat, padang mahsya, hisab, syurga dan neraka adalah benar semuanya.
Imam Ibnu Katsir pula telah menguraikan fungsi Al-Quran sebagai Syifa dengan katanya : “Allah Taala telah menerangkan tentang KitabNya kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa ia (Al-Quran) adalah merupakan penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Iaitu (Al-Quran) mampu membuag penyakit-penyakit di dalam hati manusia seperti rasa syak dan sifat munafik, syirik, penyelewengan dan kesesatan. Al-Quran menjadi penyembuh kepada semua penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi satu rajmat yang dengannya akan membawa kepada keimanan, hikmah, kebaikan dan keinginan tinggi untuk melakukan sesuatu kebaikan.
Berdasarkan huraian Imam Ibnu Katsir di atas adalah amat jelas kepada kita bahawa Al-Quran bukanlah kitab yang sekadar dituntut kepada kita membacanya sahaja. Tetapi ia berfungsi menjadi dasar kepada ilmu pengetahuan yang dengannya akan menjadikan umat Islam sentiasa bertindak di atas landasan ilmu dan rasional serta terhindar dari rasa ragu dan tidak percaya kepada hukum-hukum Allah yang memiliki sifat suci dari sebarang kelemahan. Rasa syak dari ragu kepada kemampuan hokum-hukum Al-Quran untuk dilaksanakan sepenuhnya pada hari ini adalah berpunca dari hati yang berpenyakit. Kerana keraguan seumpama ini adalah merupakan titik tolak kepada lahirnya sifat munafik seterusnya mewujudkan golongan munafik yang mendakwa diri mereka muslim dan kononnya mahukan Islam tetapi hati mereka amat ragu terhadap Islam malah menyimpan kebencian terhadap syariat Islam. Islam hanya dijadikan rujukan di dalam perkara yang dirasakan sesuai dengan hidup mereka sahaja. Manakala jika bertembung antara kehendak nafsu mereka dengan Al-Quran maka Al-Quran diabaikan dengan pelbagai alasan dan helah.
Allah SWT telah menempelak golongan yang mendakwa beriman tetapi mereka hanya mempraktikkan sebahagian hukum Al-Quran dan menolak sebahagian yang lain dengan firmanNya:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya :Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat . Surah Al-Baqarah : 85.

Ayat di atas meskipun diturunkan kepada kaum Yahudi namun pengajarannya adalah umum merangkumi umat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam ertikata lain sikap dan tingkahlaku golongan Yahudi yang menolak sebahagian hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat telah menyebabkan mereka menjadi bangsa yang hina . Begitulah juga apa yang bakal menimpa malah sudah menimpa umat Islam hari ini. Rata-rata umat Islam di mana sahaja mengkesampingkan dan menghadkan peranan Al-Quran. Malah ada yang merasakan bahawa Al-Quran hanya wajar dibaca untuk mendapat berkat sahaja dan untuk mengiringi orang yang baru meninggal dunia. Di peringkat pemerintah negara-negara Islam pula ramai pemimpin yang melihat Al-Quran sebagai bahan untuk bersumpah dan cara terbaik untuk berselindung bagi menzahirkan diri kononnya mereka mahukan kepada Islam agar sokongan orang Islam terhadap mereka terus kekal. Sedangkan dalam sistem ekonomi, pendidikan, undang-undang dan politik dirujuk kepada ideologi-ideologi ciptaan manusia yang bersumberkan falsafah yang sesat lagi menyesatkan. Malah tingkahlaku dan cara hidup mereka tidak mencerminkan keperibadian Al-Quran, sedangkan Nabi s.a.w sebagai contoh terbaik kepimpinan Islam apabila diminta kepada Asiyah r.a menceritakan akhlak baginda, Aisyah r.a berkata : ”Akhlak baginda adalah Al-Quran!.

No comments: