5/16/2013

Apakah keistimewaan bulan Rejab?




Menjadi sunnatullah, Allah Taala dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana memilih waktu-waktu tertentu dengan dikhususkan dengan beberapa kelebihan. Sebagai contoh dalam berdoa ada waktu-waktu tertentu ia sangat mustajab seperti berdoa sebelum berbuka puasa, di waktu khatib duduk antara dua khutbah, di waktu sujud dalam solat dan sebagainya. Dalam pemilihan hari, hari terbaik untuk bermusafir ialah hair khamis, hari tarbaik untuk puasa suant ialah Isnin dan Khamis manakala penghulu kepada segala hari ialah hari Jumaat.

Begitulah juga bagi bulan-bulan dalam kalender hijrah. Ada bulan-bulan tertentu yang mempunyai keistimewaan masing-masing kerana setiap bulan dalam kalender hijrah dinamakan sempena peristiwa yang berlaku dalam bulan tersebut.

Allah SWT berfirman:
                                 
Maksudnya:  Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi. Surah Al-Taubah : 36.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah Taala di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
" إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خلق الله السموات والأرض: السنة اثنا عشر شهراً، منها أربعةٌ حُرم : ثلاثةٌ متوالياتٌ: ذو القعدة وذو الحجة، والمحرم ، ورجبُ مُضرَ الذي بين جمادى وشعبان.."
Maksudnya: Ketahuilah bahawa masa berputar sepertimana hari Allah Taala menciptakan langit dan bumi, setahun ada dua belas bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa,  iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang pada asalnya digunakan sebelum kedatangan Islam telah diiktiraf sebagai bulan-bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a. Setiap bulan mempunyai maksudnya yang tersendiri iaitu seperti berikut: 

Muharram ertinya diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.
Safar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Rabiul Awal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.
Jumada Ula dan Jumada Akhir. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.Ini kerana pada waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan ari membeku.
Rejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata pada waktu ini dan dinamakan Rejab sebagai tanda menghormati dan memuliakannya.
Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan ini setelah duduk lama di rumah dan pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
Ramadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlakunya cuaca yang panas.
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu  pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
Zul Kaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.
Zul Hijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.

Bagi 12 bulan dalam kalender hijrah,  Allah SWT telah memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu. Allah SWT berfirman:

                                                                                          

Maksudnya: ((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Surah At-Taubah : Ayat 36.

Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya sepertimana diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Rejab sepertimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis al-Lughah bermaksud kebesaran dan keagungan kerana bangsa Arab sebelum Islam mengadakan gencatan senjata pada bulan ini.

Imam al-Baihaqi berkata: Orang-Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang.
Apabila Islam datang ke tanah Arab, amalan memuliakan bulan-bulan haram ini tetap diteruskan oleh Rasulullah SAW berpandukan perintah Allah SWT sepertimana firman Allah Taala yang bermaksud:  Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(dengan berperang). Surah al-Maidah : Ayat 2.

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram yang termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.
Allah SWT berfirman:

                       
Yang bermaksud: Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar...). Surah Al-Baqarah: Ayat 217.
Menurut amalan Arab jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala dan bukan kerana selain dariNya. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi SAW  pernah ditanya oleh seorang lelaki yang berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah (yakni pada bulan Rejab), apakah arahanmu(pendapatmu)? Jawab baginda SAW: “Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Hadis riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Mengenai amalan berpuasa secara khusus sempena tibanya bulan Rejab atau berniat puasa sunat Rejab pada hakikatnya tiada satupun hadis sahih yang boleh dijadikan sandaran mengenainya. Menurut par ulama berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu seperti juga berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Pendapat ini antara lainnya telah dinyatakan oleh Ibnu Hajar al-Asqallani yang berkata:
Maksudnya: “Tiada riwayat yang menyentuh tentang kelebihan bulan rejab, tidak juga tentang puasa (Rejab) malah puasa tertentu yang berkaitan dengannya, tidak juga berkenaan qiamullail yang khusus padanya, tiada sebarang hadis sahih yang boleh dijadikan hujjah…”( Rujuk Kitab ‘Tabyinul ‘Ajab fiima warada fi fadhli Rajab, oleh Ibnu Hajar ).

Meskipun demikian tidaklah menjadi kesalahan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan rejab seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini secara khusus seperti solat sunat Rejab, menziarahi kubur sempena Rejab dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Kecenderungan mengadakan perayaan berbentuk hiburan semata-mata, jamuan makan besar-besaran dan kenduri kendara dibimbangi akan melalaikan umat Islam dengan perkara-perkara berbentuk membuang masa dan wang ringgit sedangkan ia seharusnya disalurkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah dan kesedaran Islam.

Namun demikian mengadakan aktiviti seperti ceramah,forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan peristiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan menimbulkan kesedaran Islam kepada mereka.

Dalam pada itu bagi muslim yang sensitif dengan perjalanan masa, sudah pastinya ketibaan bulan baru akan mengingatkannya tentang masa yang semakin singkat, usianya semakin bertambah dan destinasi akhir hayatnya semakin hampir.

Oleh itu setiap ketibaan bulan yang baru pastinya disambut dengan terus meningkatkan ilmu dan amalan agar hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam dan esok akan bertambah baik dari hari ini.

Ketibaan bulan Rejab juga mengingatkan kita bahawa bahawa hanya tinggal dua bulan sahaja lagi untuk menempuh bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan. Maka telah tiba masanya menggiatkan diri dengan amal ibadah seperti membaca al-Quran, bersedekah, berdoa dan sebagainya sebagai persedian menempuh bulan Ramadan al-Mubarak yang bakal tiba.

No comments: