7/29/2011

Solat Tarawih


Di bulan Ramadhan ibadat sunat yang paling afdal dilaksanakan di malam hari ialah solat sunat Tarawih. Solat sunat Tarawih secara berjamaah beramai-ramai telah dipopularkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a. Nabi Muhammad s.a.w melakukannya beberapa hari sahaja secara berjamaah di Masjid kerana bimbangkan umatnya akan mengutamakannya lebih dari perkara  wajib sedangkan ia adalah sunat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w solat (tarawih) di Masjid maka ramailah yang mengikutinya. Kemudian hari kedua baginda solat lagi maka semakin ramai yang datang. Kemudian hari ketiga mereka berhimpun beramai-ramai tetapi Nabi s.a.w tidak keluar (untuk solat bersama). Apabila selesai solat subuh baginda bersabda: Aku lihat apa yang kamu kerjakan. Sebenarnya tiada apa yang menghalangku untuk keluar (solat tarawih), melainkan aku bimbang seolah-olah kamu menganggapnya suatu kefardhuan. Ia berlaku di bulan Ramadhan.
Selepas zaman Rasulullah s.a.w ada di kalangan umat Islam yang solat tarawih secara berjamaah dan ada juga yang solat secara bersendirian. Namun di zaman Saidina Umar al-Khattab r.a beliau melihat perlunya dihimpun semua umat Islam setempat untuk solat di belakang seorang Imam yang Qari (membaca al-Quran dengan baik). Selepas itu budaya solat secara berjamaah di bulan Ramadan dilakukan berterusan.
Para ulama telah berselisih pendapat tentang jumlah rakaat solat Tarawih dan Witir. Ada yang menyatakan 39 rakaat, 29 rakaat, 23 rakaat, 19 rakaat, 13 rakaat dan 11 rakaat. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Aisyah r.a pernah ditanya bagaimanakah solat Tarawih Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadhan? Jawabnya: Solat baginda tidak lebih daripada 11 rakaat.
Di dalam kitab al-Muwatta karangan Imam Malik, dinyatakan satu riwayat dari as-Sa ib bin Yazid r.a di mana beliau berkata: Saidina Umar al-Khattab r.a telah mengarahkan Ubay bin Kaab dan Tamim ad-Dariy supaya mengajak orang ramai solat sebanyak 11 rakaat.
Dalam konteks masyarakat kita sepatutnya persoalan jumlah rakaat solat Tarawih tidak menjadi satu topik perdebatan. Kerana apa yang penting ialah solat Tarawih merupakan solat sunat yang sangat dituntut pada bulan Ramadan. Namun demikian bersatu hati dan bersaudara adalah wajib. Jika isu rakaat dalam solat Tarawih diperdebatkan ia akan membawa perpecahan di kalangan umat Islam dan ia adalah suatu yang haram. Justeru golongan ahli agama sepatutnya mencari jalan penyelesaian dengan melihat kemaslahatan umat dan bukannya untuk kepentingan peribadi.  Di samping itu masih terdapat di kalangan umat Islam yang hanya datang ke Masjid pada bulan Ramadan semata-mata untuk solat Tarawih berjamaah sahaja. Sedangkan solat fardhu lima waktu tidak dilaksanakan secara berjamah dan dilakukan di rumah. Sedangkan keutamaan ialah pada solat lima waktu yang wajib. Kerana meskipun solat Tarawih mempunyai kelebihannya yang tersendiri namun ia tidak boleh menandingi kelebihan solat fardhu lima waktu.

No comments: