2/04/2013

Contohilah Kepimpinan Rasulullah SAW




Sebagai umat Islam, kita mestilah menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai ikutan dalam segenap aspek kehidupan kita. Ketika ini topik yang sering menjadi perbahasan ialah soal kepimpinan. Justeru dalam menentukan kepimpinan samada di peringkat organisasi mahupun negara adalah wajar kita mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman dalam al-Ahzab ayat 21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Yang bermaksud: ((Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasanbaik) hariAkhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah)).

Dalam soal kepimpinan, Islam menjelaskanbahawaiabukanlahsatukemuliaanyang dikejar, sebaliknya ia adalah amanah yang mesti ditunaikan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kepimpinan juga bukanlah suatu kedudukan yang perlu direbut tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka yang layak dan mampu melaksanakannya dengan baik. Justeru Nabi SAW menasihati Abu Zar RA yang meminta diberikan jawatan dengan bersabda:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau lemah, ia adalah amanah, pada hari Kiamat ia akan menjadi punca kehinanaan dan kekecewaan. Kecuali jika sesiapa yang mengambilnya dengan hak dan ditunaikan tanggungjawab tersebut”. Hadis riwayat Muslim.

Hadis ini memberikan gambaran bahawa tugas kepimpinan bukanlah suatu yang harus direbut, kerana jika seseorang itu memilikinya dengan jalan yang salah seperti berbohong dan melakukan rasuah sedangkan dia tidak layak maka di hujung hidupnya dia akan menyesal akibat dari tindakannya itu. Sebaliknya mereka yang memegang tugas sebagai pemimpin kerana kebolehan dan sifat-sifat mulia  yang ada pada diri mereka, nescaya Allah akan membantu mereka melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, malah di akhirat kelak mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW  adalah sebagai contoh pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang sempurna seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Jika diteliti perjalanan sirah, sebelum kerasulannya lagi masyarakat Quraish sudah menggelarkan baginda “al-Amin” kerana keunggulan peribadinya. Contoh keperibadian yang unggul inilah yang menjadi tarikan ramai untuk menerima dakwah dan mengikuti segala tunjuk ajar baginda SAW.

Walau bagaimanapun sebagai pemimpin, cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW meninggalkan perjuangan Islam. Namun, Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu yang merupakan racun yang akan merosakkan keperibadian baginda SAW sebagai seorang pemimpin ummah yang menjadi tauladan.

Abu Jahal pula, adalah lambang dan watak kepimpinan korup yang tidak bermaruah sehingga merosakkan negara dan memecah belahkan masyarakat yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya  seperti juga yang pernah berlaku kepada Fir'aun, Haman, dan Qarun.

Kepimpinan adalah antara perkara penting yang mencorakkan kehidupan umat Islam, kerana baik pemimpin baiklah rakyatnya dan apabila rosaknya pemimpin maka rosaklah rakyatnya. Kepimpinan adalah bermula dari institusi yang kecil iaitu keluarga, kemudian dalam organisasi, institusi masyarakat hinggalah kepimpinan negara.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً
Yang bermaksud: “Dan (ingatlah, wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…”.

Ayat ini menjelaskan tentang tugas Rasulullah SAW sebagai ‘khalifah’ yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk memimpin dan mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah SWT, supaya kehidupan mereka teratur dan memperolehi keredhaan Allah SWT.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam kepimpinan. Baginda SAW telah mengingatkan umat Islam bahawa setiap orang adalah pemimpin yang mempunyai tanggungjawab masing-masing yang wajib dilaksanakan dengan sempurna, sabdanya baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud:

Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab atasrakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya.Seorang khadam (pembantu) adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas harta tuannya (majikannya). Dan seorang anak lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap penggunaan harta bapanya.”

Hadis ini menjelaskan tentang skop kepimpinan dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atas diri seseorang. Rasulullah SAW telah menyebut lima model pemimpin yang menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, iaitu:

1. Imam iaitu pemimpin masyarakat, ia merujuk kepada semua pemimpin dalam masyarakat dari gelaran kecil hinggalahgelaran besar atau dari jawatan ketua rumah, ketua pejabat, ketua organisasi, ketua institusi, ketuajabatan, ketua syarikat, ketua daerah hinggalah kepada ketua negeri dan negara.
2. Suami, ia merujuk kepada ketua keluarga dalam sebuah rumahtangga yang mempunyai anak isteri. Dia mempunyai tanggungjawab dan amanah besar dalam mendidik keluarganya.
3. Isteri adalah sebagai ketua dalam menguruskan rumahtangga termasuk memelihara hartamilik suami dan menjaga maruahnya.
4. Khadam atau pembantu. Merujuk kepada semua yang bergelar pembantu dalam apa jua urusan organisasiatau institusi. Mereka bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan oleh majikan.
5. Anak lelaki. Merujuk kepada anak-anak yang akan berfungsi sebagai ketua dalam melaksanakan tanggungjawabmenjaga dan mengurus harta bapa mereka khususnya selepas kematiannya. Anak-anak juga wajib memelihara nama keluarga dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mengaibkan ibubapa.

Kelima-lima contoh pemimpin yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW ini memberikan gambaran betapa luasnya skop kepimpinan dalam Islam. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa amanah kepimpinan akan dibangkitkan di akhirat kelak. Seorang pemimpin akan melalui mahkamah Allah dengan mudah sekiranya dia melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, sebaliknya perjalanannya di akhirat menjadi sukar sekiranya dia mengkhianati amanah yang diberikan.

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh rasa tanggungjawab yang besar dalam urusan kepimpinan baginda. Sebagai contoh dalam soal harta zakat. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW solat Asar bersama para sahabat, selepas solat baginda bergegas masuk ke rumahnya. Kemudian sahabat bertanya kenapakah baginda bergegas masuk ke rumah. Baginda SAW menjelaskan bahawa selepas solat, baginda teringat di dalam rumahnya ada ketulan emas dari harta zakat, lantas baginda masuk mengambilnya untuk diagihkan segera kerana baginda bimbang harta tersebut dibiarkan bermalam di rumahnya dan lewat diagihkan kepada mereka yang sangat memerlukan.

Baginda SAW juga telah menunjukkan kepada kita bahawa pemimpin mestilah menjadi contoh kepada rakyatnya. Dalam peperangan Khandak, apabila ada sahabat mengadu kepada baginda betapa sukarnya untuk memecahkan seketul batu besar ketika menggali parit, baginda SAW sendiri terjun ke dalam parit dan memecahkannya sendiri. Inilah yang sebenarnya contoh kepimpinan melalui tauladan yang sanggup melakukan apa sahaja demi rakyatnya. Adalah tidak wajar pada hari ini jika ada pemimpin yang menunjukkan tingkahlaku yang tidak baik dan mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka. Pemimpin yang berakhlak mulia, mentaati Allah SWT dan menunaikan amanah akan sentiasa disayangi dan dekat di hati rakyat.



No comments: