1. Muqaddimah
Satu
perkara yang sangat penting tetapi selalu di pandang enteng oleh para petugas
pilihanraya dan mereka yang menjadi calon ialah aspek akhlak. Apa yang sering
menjadi buah mulut di dalam pilihanraya ialah isu-isu yang berkaitan dengan
akhlak dan tingkahlaku para petugas pilihanraya dan calon yang bertanding.
Perbandingan antara parti-parti politikpun selalu dibuat berdasarkan isu akhlak.
Malah propaganda media yang menfokuskan kepada menjatuhkan seseorang calon
menggunakan isu akhlak atau moral yang ada kalanya benar dan adakalanya
direka-reka.
Meskipun
di dalam cabang syariah, akhlak berada pada kedudukan ketiga selepas aqidah dan
ibadah, namun dari sudut kepentingannya ia adalah sama penting dengan
kedua-duanya. Allah Taala menjelaskan bahawa pengutusan baginda SAW adalah di
atas akhlak yang mulia sepertimana firmanNya di dalam surah Al-Qalam ayat 4:
Maksudnya: ((… Dan bahawa
sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia)).
Malah
Nabi SAW menegaskan bahawa pengutusan baginda adalah atas tujuan penyempurnaan
akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda:
بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ حُسْنَ الأخْلاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia”[1].
Bagi
para pendokong parti Islam, jika kita menganggap pilihanraya sebagai satu jihad
di jalan Allah maka perjuangan jihad Rasulullah SAW, jihad para sahabat dan
solafus soleh mestilah dijadikan panduan. Kerana dengan itu pastinya kita akan
dapat melihat bagaimana peranan akhlak yang menjadi elemen penting di dalam jihad
untuk menembusi hati-hati manusia yang masih tebal dengan karat kesyirikan dan
amalan jahiliah.
Disebabkan
kepentingan akhlak ini Allah SWT sendiri telah membimbing Nabi SAW supaya
berakhlak dengan akhlak yang mulia kerana ia sangat berkesan di dalam
mencetuskan hidayah kepada umat manusia. Di dalam berdepan dengan penduduk Mekah yang masih
belum beriman Allah SWT telah menerapkan ilmu dan akhlak dakwah kepada baginda
SAW sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 159:
Maksudnya: “Maka dengan rahmat dari Allah kamu
menjadi lembut dengan mereka, jika kamu kasar dan berhati keras nescaya mereka
akan lari dari sekiling kamu, maka maafkanlah mereka dan minta ampun untuk
mereka dan berbincanglah dengan mereka di dalam apa-apa urusan. Maka apabila
kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang bertawakkal”. Surah Ali Imran ayat 156.
Ayat ini secara jelas menjadi satu panduan kepada Rasulullah SAW agar
sentiasa bersikap lemah-lembut, berkasih sayang dan bertoleransi di dalam
menyampaikan mesej dakwah dan jihad menentang jahiliah. Hinggakan di dalam
perangpun sikap ini masih lagi diperlukan khususnya di dalam berhadapan dengan
musuh yang sudah menyerah diri atau dengan golongan yang tidak berdaya seperti
wanita, kanak-kanak dan golongan tua. Meskipun mereka adalah musuh Islam,
mereka tetap dilayan dengan baik oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Di dalam surah ‘Abasa ayat 1 hingga 11, Allah SWT telah secara
terang-terangan menegur sikap Rasulullah SAW yang mengenepikan seorang lelaki
buta iaitu Abdullah Ibnu Ummi Maktum kerana melayani golongan bangsawan Quraisy
yang datang bertemu baginda SAW. Firman Allah Taala:
Maksudnya:
“Dia bermasam muka dan berpaling”. Surah ‘Abasa ayat 1.
Dua contoh dari al-Quran di atas memberikan gambaran jelas betapa
pentingnya peranan akhlak di dalam dakwah dan perjuangan Islam kerana akhlak
itu adalah tarikan utama yang akan menarik minat mereka yang bukan Islam atau
yang lemah imannya kepada menerima Islam
sebagai satu cara hidup.
Akhlak
adalah satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan muslim kerana ia bukan
sahaja dapat membantu pendokong Islam melebarkan dakwahnya melalui kesan
daripada akhlak tersebut, tetapi dengan akhlak juga ia dapat menjamin
kedudukannya di akhirat kelak.
Abu Hurairah r.a meriwayatan
bahawa suatu ketika Rasulullah SAW ditanya tentang kriteria orang yang paling
menyebabkan manusia masuk ke syurga. Baginda menjawab :
تَقْوَى اللَّهِ
وَحُسْنُ الْخُلُقِ
Tatkala
Rasulullah SAW menasihati para sahabatnya, baginda selalunya menyertakan bersama nasihat supaya bertaqwa
dan berakhlak mulia. Ini sepertimana sabda baginda: “Bertaqwalah kepada Allah dimanapun engkau berada dan
balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya kebaikan itu akan
menutupi keburukan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.[3]”
2. Akhlak dengan Allah Taala.
Dalam Islam, sebelum berakhlak dengan makhluk
seseorang itu mestilah berakhlak dengan Allah Taala. Apa sahaja situasi dan
keadaan yang didepani oleh seorang muslim, akhlak dengan Allah Taala tidak
boleh diabaikan kerana Dialah Yang Menentukan kejayaan dan keberkataan dalam
kehidupan manusia. Jika tenaga yang digembelingkan di dalam perjuangan
menegakkan Islam seperti melalui pilihanraya, dibuat tanpa mendapat keberkatan
dari Allah, pastinya perjuangan itu tidak mempunyai apa-apa nilai meskipun
secara zahirnya memperoleh kemenangan. Namun sebaliknya jika kalah di medan
jihad tetapi berjaya memelihara hubungan dengan Allah Taala, ia adalah juga
dikira sebagai satu kemenangan.
Erti berakhlak dengan Allah Taala ialah dengan
menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya serta yakin
akan janji-janjiNya. Di dalam pilihanraya seorang muslim tidak seharusnya
melanggar batasan Allah semata-mata demi mencapai kemenangan. Jika ini berlaku
maka tiada bezalah antara parti politik Islam dengan parti sekular.
Mereka yang terlibat dengan perjuangan Islam
melalui parti politik Islam mestilah membezakan diri mereka dari golongan yang
mengasingkan politik dari agama. Segala bentuk tindakan dan halatuju dalam
politik Islam mestilah sentiasa dibayangi dengan panduan Ilahi melalui Al-Quran
Al-Kareem.
Antara ciri-ciri penting berakhlak dengan Allah
Taala ialah:
2.1 Yakin kepada Janji-JanjiNya
dan berbaik sangka dengan ketentuanNya.
Iaitu sentiasa meyakini bahawa perjuangannya adalah
perjuangan yang benar dan diwarisi dari Rasulullah SAW. Dia mestilah yakin
bahawa usaha memartabatkan hukum Allah Taala adalah kewajipan utama baginya
berbanding dengan urusan yang lain. Dia juga mesti yakin bahawa tiada suatu sistem
yang lebih baik untuk memandu manusia di dunia ini melainkan sistem Islam, justeru
dia mesti berjuang bersungguh-sungguh untuknya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: ((Maka Demi
Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari
apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan
sepenuhnya))[4].
Meskipun pilihanraya tiada pada zaman Rasulullah
SAW ia tetap wajib menyertainya kerana berdasarkan kaedah-kaedah syarak yang
telah ditetapkan oleh para ulama pewaris Nabi SAW. Dengan wujudnya kepimpinan
ulama dia yakin bahawa perjuangannya di dalam parti Islam dan di dalam
pilihanraya samada sebagi petugas mahupun sebagai calon adalah merupakan
kewajipan dan amanah Allah Taala yang tidak boleh diabaikannya. Dia juga
hendaklah yakin bahawa Allah Taala akan memberikan kemenangan kepada mereka
yang menolong agamanya sebagaimana janjiNya di dalam Al-Quran di dalam Surah
Muhammad ayat 7:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (menegakkan Islam),
maka pastinya Allah akan menolong kamu dan menetapkan kedudukan kamu”.
Jika ditimpa kekalahan dia juga yakin bahawa ada hikmah disebaliknya dan
Allah Taala tidak pernah mengabaikan mereka yang taat kepadaNya dan berjuang
untuk menegakkan Islam. Ketikamana Islam ditekan di zaman awal kebangkitannya,
Rasulullah SAW didatangi oleh beberapa orang sahabat yang bertanya bilakah
bantuan Allah akan tiba, kerana mereka merasakan sudah terlalu lama berjuangan
dan tekanan semakin dahsyat dan terlalu perit menanggungnya. Maka Allah
SWTmenurunkan firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 214:
Maksudnya:” Apakah kamu sangka bahawa kamu boleh masuk syurga tanpa
ditimpa kepadamu ujian sepertimana mereka yang telah lalu. Mereka ditimpa
kesusahan dan kepayahan, kemudian mereka digoncang hingga berkata Rasul (Utusan
Allah) dan mereka yang bersamanya, bilakah bantuan Allah akan tiba? Ketahuilah
bahawa bantuan Allah itu adalah dekat”.
Bagi seorang petugas parti Islam, bukan soal menang atau kalah yang
menjadi keutamaannya, tetapi apa yang menjadi keutamaannya ialah sejauhmana
sumbangan yang dihulurkan dan pengorbanan yang dilakukan bagi menegakkan Islam.
Dia juga mesti bertanya kepada dirinya: “Apakah yang aku sumbangkan untuk Islam? Dan
bukannya: “Apakah yang Islam berikan untuk aku?.
2.2 Bertawakkal kepada-Nya
Akhlak yang kedua ialah tawakkal, yakni berserah
kepada Allah Taala di dalam semua urusannya. Tawakkal ini dilakukan setelah
usaha bersungguh-sungguh dilakukan kerana kita mesti yakin bahawa setiap
manusia diberikan kebolehan untuk berkerja dan berusaha kemudian Allah Taala
yang menentukan samada usaha tersebut berjaya atau sebaliknya. Di dalam
pilihanraya, semua ruang digunakan sebaiknya dan usaha mestilah dilakukan
semaksimun mungkin kemudian barulah boleh bertawakkal kepada Allah. Jika usaha
tidak seberapa dan kesungguhan tiada maka adalah tidak wajar kita terus
berserah kepada Allah Taala.
Oleh kerana itulah Rasulullah SAW apabila didatangi
seorang lelaki yang berkata kepada baginda: Aku lepaskan untaku dan aku
bertawakkal? Jawab baginda SAW: Ikatnya kemudian barulah bertawakkal![5].
Di dalam sirah Rasulullah SAW kita dapati bagaimana
baginda berusaha dan bekerja tanpa penat dan jemu demi menegakkan Islam,
meskipun baginda boleh berdoa sahaja agar diberikan kemenangan oleh Allah, namun
baginda melalui jalan yang susah dan penuh dengan onak sebagai satu teladan
kepada kita. Ini adalah kerana kemenangan yang paling manis ialah berjaya
setelah berusaha dengan gigih. Kemenangan Islam adalah sangat mahal, justeru ia
mesti dibayar dengan harga yang mahal!
Bagi seorang petugas pilihanraya parti Islam dia
mestilah sentiasa berpegang kepada Qadha dan Qadar yang telah ditetapkan oleh
Allah Taala. Dia hendaklah sentiasa berlapang dada menerima setiap ketetapan
Allah Taala selepas usaha dan tawakkal yang dilakukan. Jika apa yang diusahakan
mendapat hasil sepertimana yang diinginkan maka dia akan bersyukur, dan jika
sebaliknya berlaku dia pula akan bersabar. Kerana dia yakin bahawa setiap yang
ditetapkan oleh Allah Taala pasti ada kebaikan dan hikmahnya. Dalam soal ini
Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَاعِدٌ مَعَ أَصْحَابِهِ إِذْ ضَحِكَ فَقَالَ أَلَا تَسْأَلُونِي مِمَّ
أَضْحَكُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمِمَّ تَضْحَكُ قَالَ عَجِبْتُ لِأَمْرِ
الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ إِنْ أَصَابَهُ مَا يُحِبُّ حَمِدَ
اللَّهَ وَكَانَ لَهُ خَيْرٌ وَإِنْ أَصَابَهُ مَا يَكْرَهُ فَصَبَرَ كَانَ لَهُ
خَيْرٌ وَلَيْسَ كُلُّ أَحَدٍ أَمْرُهُ كُلُّهُ لَهُ خَيْرٌ إِلَّا الْمُؤْمِنُ
Dari Abdul Rahman bin Abi Laila meriwayatkan dari
Suhaib r.a bahawa dia berkata ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat-sahabatnya,
tiba-tiba baginda tertawa kemudian dia bertanya kepada mereka: Apakah kamu
tidak mahu bertanya apa yang menyebabkan aku tertawa? Para sahabatpun bertanya:
Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan kamu ketawa? Baginda berkata:
Sebenarnya aku sangat kagum dengan sikap orang yang beriman. Semuanya urusannya
adalah baik belak. Jika dia memperolehi apa yang disukainya di memuji Allah,
itu pastinya baik baginya. Dan jika ditimpa sesuatu yang dibencinya dia tetap
sabar dan itu pastinya baik baginya. Tidak ada orang yang semua keadaannya baik
melainkan bagi seorang mukmin![6].
2.3 Tidak Mengabaikan Ibadah
kepadaNya.
Seseorang petugas parti Islam dalam melaksanakan
amal Islaminya tidak harus mengabaikan kewajipan ibadah kepada Allah Taala.
Jika ini berlaku ia pada sebenarnya telah mengundang kemurkaan daripada Allah.
Apa sahaja amanah dan tanggungjawab yang dipikul dia hendaklah sentiasa memberikan
keutamaan kepada ibadahnya. Sebagai contohnya, jika ia bertugas di dalam
pilihanraya seperti menggantung poster, berkempen rumah ke rumah, berceramah,
bermesyuarat dan sebagainya, dia tidak boleh melewatkan atau mengabaikan
solatnya. Ibnu Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa dia bertanya Rasulullah SAW:
Apakah amalan yang paling afdhal? Baginda SAW menjawab:
"الصَّلاَةُ
عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ
أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ".
Maksudnya: Solat pada waktunya! Dia bertanya lag: Kemudian apa? Baginda
menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Kemudian apa? Baginda menjawab:
Jihad di jalan Allah.
Di samping menjaga solat fardhu lima waktu, dia juga hendaklah sentiasa
mengambil berat soal ibadah sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, solat Dhuha,
solat Tahajjud dan membaca Al-Quran. Rasulullah SAW bersabda[7]:
ثَلاثٌ هُنَّ عَلَيَّ فَرَائِضُ وَهُنَّ لَكُمْ تَطَوُّعٌ الْوَتْرُ
وَالنَّحْرُ وَصَلاةُ الضُّحَى
Maksudnya: Tiga perkara yang wajib ke atasku dan menjadi sunat ke atas
kamu (iaitu) Solat sunat Witir, ibadah korban dan Solat sunat Dhuha”.
Kemenangan perjuangan Islam bukan semata-mata
bergantung kepada kekuatan fizikal dan ketelitian strategi tetapi ia amat
bergantung kepada kekuatan hubungan dengan Allah Taala melalui amal ibadah.
2.4 Sentiasa Berdoa Memohon
BantuanNya.
Senjata terbaik baik seorang muslim ialah doa.
Selepas berusaha dan kemudiannya bertawakkal seseorang muslim itu hendaklah
memohon doa dari Allah Taala kerana doa adalah bekal kejayaan dalam perjuangan.
Ini menepati suruhan Allah SWT sepertimana di dalam firmanNya:
Maksudnya: ((Dan Tuhan kamu
berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan
berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina))[8].
عن جابر بن عبد
الله قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ألا أدلكم على ما ينجيكم من عدوكم ويدر
لكم أرزاقكم تدعون الله في ليلكم ونهاركم فإن الدعاء سلاح المؤمن
Jabir bin Abdullah r.a berkata bahawa Rasulullah
SAW telah bersabda: “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu yang boleh
menyelamatkan kamu dari musuhmu dan memperolehi rezeki kamu. Kamu berdoa kepada
Allah di malam hari dan di siang hari, sesungguhnya doa itu adalah senjata
orang beriman”[9].
Sebaik-baik doa ialah daripada Al-Quran dan
daripada sunnah Nabi SAW. Banyak doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quran yang
boleh dijadikan senjata di dalam menggerakkan kerja-kerja Islam. Sebagai contoh
doa yang dibaca oleh Nabi Musa a.s seperti yang dirakam di dalam Surah Taha
ayat 25-29:
Maksudnya: “Nabi Musa
berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan
mudahkanlah bagiku, tugasku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya
mereka faham perkataanku. Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari
keluargaku”[10].
- Berakhlak kepada diri sendiri.
Dalam pilihanraya seseorang
petugas parti Islam itu mestilah juga berakhlak terhadap dirinya sendiri. Ia
penting sebagai satu bentuk persediaan menempuh gelombang dugaan dan fitnah
yang bakal dihadapinya. Setelah dia berakhlak dengan Allah Taala seperti
menjaga solat fardhu, melaksanakan solat Tahajjud dan berpuasa dia mestilah
memelihara akhlak terhadap dirinya sendiri kerana ia merupakan satu hak yang
tidak boleh diabaikan.
Salman Al-Farisi pernah
berkata kepada Abu Al-Darda:
إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا
وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Maksudnya:
“Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak atas kamu, dan bagi dirimu ada hak atas kamu
dan bagi keluargamu ada hak atas kamu, maka berikan hak kepada setiap yang
berhak”. Riwayat Al-Bukhari.
Bagi seorang muslim setelah
dia memelihara akhlak dengan Tuhannnya, dia mestilah memelihara akhlak terhadap
dirinya sendiri kerana dirinya adalah cerminan kepada apa yang akan diutarakan
dan diketengahkan kepada orang di sekelilingnya.
3.1 Menjaga makan dan minum.
Seorang petugas amal Islami
hendaklah sentiasa memastikan tubuh badannya sentiasa berada di dalam keadaan
sihat. Ia menjadi perkara paling asas diberikan perhatian kerana tanpa fizikal
yang sihat maka seorang petugas Islam itu tidak mampu melaksanakan kerja-kerja
perjuangannya dengan baik. Makanan dan minumannya hendaklah sentiasa dari sumber
yang halal dan baik. Ia hendaklah mengawal dirinya agar tidak terlalu banyak
makan makanan yang boleh menyebabkan mengantuk atau malas. Mengambil makanan
seperti nasi secara berlebihan begitu juga dengan makanan berminyak, bersantan
dan berlemak akan mengundang rasa mengantuk, malas da lemah kepada fizikal.
Sebaiknya juga dihindari dari makan makanan pedas yang boleh menyebabkan sakit
perut yang pastinya akan menganggu kelancaran pergerakan seseorang.
Minumannya juga
perlulah sentiasa dikawal agar tidak terlibat mengambil minuman yang boleh
menjejaskan fizikalnya seperti terlalu banyak minum air bergas, air batu, kopi
dan sebagainya. Apa yang baik bagi seseroang petugas amal Islami ialah makan
dan minum secara bersederhana dan mengamalkan minum air kosong yang boleh
membantu menyegarkan tubuh badan sepanjang hari.
Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata:
إياكم والبطنة في الطعام والشراب فإنها مفسدة للجسد ، مورثة للسقم ،
مكسلة عن الصلاة ، وعليكم بالقصد فيهما فإنه أصلح للجسد ، وأبعد من السرف
”Jauhilah berlebihan di dalam
makanan dan minuman, sesungguhnya ia merosakkan tubuh badan, mewariskan
penyakit, menyebabkan malas untuk solat. Oleh itu hendaklah kamu bersenderhana
padanya (makan dan minum)! Kerana ia adalah baik untuk jasad, menjauhkan
perbuatan melampau”.
Bagi menjaga
tubuh badan juga hendaklah ada satu latihan fizikal seperti bersukan yang
dilaksanakan secara konsisten meskipun dalam masa yang tidak lama. Sukan
seperti berlari, bermain futsal, bermain badminton dan sebagainya yang boleh
mengekalkan stamina dan kecergasan tubuh badan. Ini diperlukan bagi
memanjangkan ketahanan tubuh badan dan tenaga ketika melaksanakan tugas-tugas
dakwah dan ketika berlansungnya pilihanraya yang dianggap sebagai jihad.
3.2 Menjaga kebersihan diri dan pakaian.
Bagi seorang
petugas Islam kebersihan lahiriah adalah merupakan gambaran kepada kebersihan
batiniyyah kerana keimanan kepada Allah Taala dan Rasulnya menuntut seseorang
itu sentiasa memelihara kebersihan dan penampilan dirinya.
Allah Taala berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang
Yang sentiasa mensucikan diri”. Surah Al-Baqarah ayat 222.
Seorang muslim
itu hendaklah menjaga kebersihan dirinya dari sebarang kekotoran seperti
tubuhnya, giginya, pakaiannya, rumahnya, kenderaan dan sebagainya. Sebab itulah
bagi orang Arab zaman dahulu, ketika suasana sukar untuk memperolehi airpun
Nabi SAW menganjurkan supaya mereka tetap mandi meskipun sekali seminggu iaitu
khususnya pada hari Jumaat. Sabda Nabi SAW :
”Mandilah pada
hari Jumaat, basuhlah kepala kamu, meskipun tidak dalam berhadas besar dan
pakaialah wangi-wangian” Hadis riwayat Al-Bukhari.
Memakai bauan
yang harum juga adalah merupakan aspek penting di dalam penampilan diri kerana
ia adalah merupakan sunnah Nabi SAW.
Imam Al-Bukhari
meriwayatkan bahawa Jabir r.a berkata:
”Sesungguhnya
Nabi SAW tidak melalui suatu jalan kemudian dilalui oleh orang lain melainkan
orang tersebut tahu bahawa baginda telah melaluinya kerana bau wangi baginda”.
Memakai
wangi-wangian hukum asalnya adalah harus bagi semua muslimin dan muslimat.
Namun bagi muslimat memakai wangi-wangian hanya harus bagi menghindarkan bau
busuk badan sahaja. Tetapi jika memakai wangian yang kuat baunya dan dengan
tujuan menarik minat orang lain, ia adalah ditegah dari segi syarak.
Di dalam melaksanakan
kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam, kebersihan diri dan bau yang
menyenangkan boleh menjadi penarik minat kepada orang ramai untuk mendekati dan
berdampingan dengan petugas Islam. Ini akan membantunya menyampaikan mesej Islam
dengan lebih mudah dan berkesan. Namun sebaliknya jika petugas Islam itu
memakai pakaian kotor dan bau yang busuk ia akan menghalang interaksi yang
lancar dengan orang ramai seterusnya mengganggu keberkesanan dakwah.
Termasuk juga di
dalam menjaga kebersihan diri ialah menjaga kekemasan rambut, mencukur atau
mengunting misai yang berserabut dan mengerat kuku.
3.3 Menjaga gaya dan penampilan diri.
Seseorang petugas
Islam itu seharusnya sedia maklum bahawa dirinya adalah cerminan kepada Islam
yang dianutinya. Dia mestilah sentiasa menjaga penampilan dirinya kerana setiap
mata akan memandang kepada dirinya dan membuat andaian bahawa itulah ajaran
Islam. Ia mestilah menjaga cara berpakaiannya, cara berjalannya, cara makannya,
cara bercakapnya dan cara bergaulnya. Malah kehidupan rumahtangga dan
keluarganya juga menjadi ukuran orang di sekelilingnya. Justeru para petugas
Islam adalah sangat dituntut menjaga dirinya dan keluarganya agar tidak menjadi
fitnah kepada perjuangan Islam yang diperjuangkannya.
Imam Muslim
meriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata: Ada satu rombongan dari sahabat-sahabat
Rasulullah SAW menunggu baginda di hadapan pintu rumah, lalu bagindapun pergi
untuk keluar bertemu mereka, di dalam rumah ada sebuah bekas(tempayan) di
dalamnya ada air. Maka baginda menoleh melihat wajahnya di dalam air tersebut
dan baginda meluruskan janggut dan rambutnya. Aisyah r.a berkata: Lalu aku
berkata kepada Rasulullah; Kamu buat begitu? Jawab baginda: Ya! Apabila
seseorang itu keluar bertemu dengan saudara-saudaranya, maka hendaklah ia
menyiapkan dirinya, sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan kepada yang indah”[11].
Berdasarkan contoh di atas, Islam mengajar pendokongnya agar sentiasa
mengambil berat soal penampilan diri agar sentiasa segak dan kemas kerana ia boleh
memberi kesan dalam dakwah. Namun begitu dalam masa yang sama juga Islam
melarang pendokongnya daripada berlebih-lebihan dalam menggayakan diri kerana
ia akan menimbulkan riak dan mengganggu perjuangannya. Antara punca kelesuan di
dalam perjuangan Islam ialah apabila penggeraknya sibuk dalam soal penampilan
diri yang berlebihan seperti suka kepada pakaian berjenama, terlalu sibuk
dengan soal membeli kereta baru yang mahal dan kehidupan serba mewah.
3.4 Menjaga akalnya.
Iaitu dengan
memastikan akal fikirannya sentiasa tajam dengan ilmu dan kefahaman yang
mendalam terhadap Islam. Caranya ialah dengan belajar bersungguh-sungguh dan
menghadiri aktiviti-aktiviti keilmuan. Jika pendokong Islam tiada ilmu dan
kefahaman ia akan mudah terjerumus kepada kesesatan dan terdedah kepada tindakan-tindakan
salah yang boleh menjadi fitnah kepada Islam. Dengan memiliki Ilmu yang dipandu
oleh Al-Quran dan As-Sunnah seorang petugas Islam itu akan sentiasa bertindak
dan membuat keputusan dengan tepat yang pastinya akan membawa kebaikan kepada
perjuangan Islam itu sendiri.
Oleh kerana
itulah Nabi SAW bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهُّ فِي
الدِّينِ
Maksudnya:
”Barangsiapa yang Allah hendakkan kebaikan baginya akan diberikan kefahaman
dalam agama”[12].
- Akhlak semasa pilihanraya
Bagi seorang muslim, pilihanraya adalah merupakan satu kewajipan yang mesti
dilaksanakan dengan sebaiknya kerana ia adalah merupakan satu peluang bagi
menentukan arah tuju kepimpinan dan corak pentadbiran sesebuah negara. Meskipun
ia adalah wujud dalam neraca yang dicipta oleh sekular, namun keengganan
melibatkan diri dengannya akan membawa kepada mudarat yang lebih besar kepada
Islam. Justeru keterlibatan di dalam apa jua aktiviti yang berkaitan dengan
pilihanraya adalah merupakan satu sumbangan dalam mendaulatkkan sistem pemerintahan
Islam pada hari ini yang bertujuan bagi melindungi Islam dan umatnya dari
ditimpa kemudaratan sistem pemerintahan sekular.
Suasasa semasa yang didominasi oleh politik ala kebaratan yang lebih
cenderung kepada ’matlamat menghalalkan cara’ telah menjadikan pilihanraya
suatu fenomena yang dipalit dengan budaya kotor dan cemar. Penipuan, fitnah,
ejekan, rasuah, pergaduhan dan bermacam budaya tidak sihat telah menyebabkan
politik dan pilihanraya dianggap kotor. Bagi pemerintah yang tiada memikirkan
soal dosa dan pahala mereka menganggap bahawa segala pencemaran yang dilakukan
dalam politik adalah kemestian bagi kelansungan kuasa mereka. Namun begitu bagi
pendokong Islam penglibatan di dalam politik dan pilihanraya adalah sebagai
cara terbaik mengetengahkan budaya dan akhlak Islam yang unggul di dalam berpolitik
dengan menampilkan sikap benar, amanah, bersih, tertib dan akhlak yang mulia. Ia
sebagai satu alternatif kepada sistem politik yang tercemar kini.
Justeru bagi mengetengahkan budaya berpolitik sihat dan pilihanraya yang
berakhlak, para pendokong Islam mestilah sentiasa menghayati nilai-nilai yang
telah digariskan oleh Islam.
4.1 Pemilihan calon pilihanraya
Di dalam memilih calon pilihanraya bagi mewakili parti Islam hendaklah
ada kriteria yang perlu dipatuhi. Allah SWT telah memberikan panduan secara
umum ciri-ciri terbaik bagi petugas Islam. Firman Allah Taala di dalam surah
Al-Qasas ayat 26:
Maksudnya:
((Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah,
ambilah Dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya
sebaik-baik orang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi
amanah")).
Berdasarkan ayat di atas ada dua ciri umum yang mesti diutamakan iaitu:
- Al-Qawie yakni kuat dan sihat tubuh badannya.
- Al-Amin yakni amanah iaitu sentiasa menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara khianat dan melaksanakan tugas sepertimana yang telah digariskan untuknya.
Al-Qawie adalah
merujuk kepada aspek fizikal, di mana mereka yang akan memikul amanah politik
dan kepimpinan mestilah di kalangan orang yang sihat tubuh badannya. Ini sangat
penting kerana setiap pemimpin itu berdepan dengan tuntutan menjaga kepentingan
rakyat yang memaksanya bergerak tangkas ke sana kemari bagi menyelesaikan
masalah mereka. Juga ia kemungkinan akan berdepan dengan ancaman-ancaman musuh
yang cemburu kepadanya. Tubuh badan yang sihat juga merujuk kepada sihat akal
fikiran. Ia sangat penting kerana di dalam politik ia memerlukan kebijaksanaan
membuat keputusan dan merancang di samping ketangkasan fizikal.
Al-Amin pula
merujuk kepada ketaatannya kepada perintah Allah Taala dan Rasulullah SAW. Ia
juga merujuk kepada ketaatannya kepada kepimpinan Islam dan sentiasa memastikan
segala kehendak agama dimartabatkan di dalam urusannya. Ia sentiasa merasakan
diri diawasi oleh Allah Taala di dalam setiap tindakannya.Ciri-ciri ini
menjadikannya boleh dipercayai untuk memikul amanah kepimpinan kerana ia akan
sentiasa terpelihara daripada pecah amanah dan rasuah yang menjadi ancaman
utama kepada politik masakini.
4.2 Akhlak semasa penamaan calon.
Di dalam konteks Malaysia, pilihanraya bolehlah dianggap sebagai
sebahagian dari situasi juhad yang wajib disertai oleh pejuang-pejuang Islam.
Kerana tujuannya adalah bagi memartabatkan hukum Allah Taala. Oleh itu di dalam
menyertai pilihanraya pendokong Islam mestilah menjadikan akhlak di dalam jihad
sebagai panduannya.
Bermula dengan waktu penamaan calon, hendaklah kita sentiasa menjaga
adab dan tingkahlaku. Perbuatan mencela peribadi calon lawan, mengejek dan
mencela dengan kata-kata kasar adalah tindakan yang mencemar akhlak Islam.
Meskipun betapa keji bahawa yang dilemparkan oleh musuh kita hendaklah sentiasa
menjaga lidah dari turut sama mengeluarkan kata-kata keji.
Di dalam peperangan Uhud ketika umat Islam kalah dalam peperangan
tersebut, golongan musyrikin telah mengejek-ngejek Nabi SAW dengan mendakwa
Tuhan orang Islam tidak mampu memenangkan mereka. Namun Nabi SAW tidak menjawab
celaan tersebut dengan mengejek pula Tuhan orang kafir. Tetapi sebaliknya
baginda bersabda: ”Orang yang mati di kalangan kamu masuk neraka manakala orang
yang mati di kalangan kami akan masuk syurga”.
Bagi parti Islam, perarakan ketika penamaan calon mestilah menjadi medan
mempamerkan akhlak dan disiplin pendokong Islam yang jauh berbeza dengan
pendokong sekular. Ketertiban tingkahlaku, pakaian menutup aurat, tuturkata
yang baik, uniform yang segak, saf yang lurus dan teratur, alunan laungan
slogan yang sekata dan panji-panji yang hebat boleh mendatangkan kegerunan
kepada musuh.
Di dalam peperangan Tabuk, tentera Islam yang berkhemah selama 20 hari
di Tabuk telah menunjukkan disiplin yang tinggi hingga menyebabkan pengintip
tentera Kristian berasa gerun dan menasihati panglima mereka agar tidak
berperang dengan tentera Islam. Kerana jika berperang mereka akan berdepan
dengan suasana yang sukar. Akibatnya perang Tabuk tidak berlaku!
4.3 Akhlak semasa berkempen.
Ketika melaksanakan kempen para pendokong Islam mestilah sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku
mereka. Kerana ia menjadi cerminan kepada kebenaran yang diperjuangkan.
Sebaliknya jika akhlak buruk yang dipamerkan ia akan menjadi ancaman kepada
keberkesanan kempen yang dilakukan kerana manusia secara fitrahnya tidak suka
kepada sikap dan tangkahlaku yang buruk. Justeru di dalam tempoh berkempen
semua mereka yang terlibat samada secara khusus atau tidak mestilah sentiasa
menjaga akhlak dan keperibadian mereka meskipun pelbagai provokasi dan tohmahan
dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda:
اتَّقِ
اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا
وَخَالِقْ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: ”Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan
balaslah perbuatan jahat dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskan kejahatan
itu, dan gaulilah manusia dengan akhlak yang baik”[13].
Antara
adab yang perlu dijaga ialah:
- Tidak mencela peribadi calon lawan.
- Tidak melakukan rasuah.
- Tidak menipu dalam tuturkatanya.
- Sentiasa merendah diri.
- Tidak membiarkan dirinya terjebak dengan skandal wanita.
- Tidak merokok.
- Mesra media.
- Berwalakkan kepimpinan jamaah.
- Bekerja secara teamwork
- Tidak meninggalkan solat berjamaah.
- Tidak meninggalkan solat Tahajjud.
- Tidak meninggalkan solat Dhuha.
- Tidak meninggalkan membaca al-Quran.
- Sentiasa berdoa kepada Allah Taala.
- Bertawakkal kepada Allah Taala.
Dalam berkempen, di samping kehebatan strategi yang diatur sepanjang
tempoh berkempen pendokong Islam juga mestilah mengatur aktiviti munajat kepada
Allah Taala. Ketika kumpulan kempen rumah ke rumah melaksanakan tugasnya atau
para petugas menggantung poster dan bendera parti, hendaklah ada satu kumpulan
lagi melakukan munajat di markaz-markaz atau di bilik-bilik gerakan. Kumpulan
ini hendaklah berdoa, membaca al-Quran, beristighfar, berzikir, solat hajat dan
bermunajat kepada Allah Taala agar diberikan kemudahan kepada para petugas
melaksanakan kerja mereka dan agar diberikan kemenangan kepada calon parti
Islam.
4.4 Akhlak selepas pilihanraya
Bagi pendokong parti Islam, kalah dan menang di dalam pilihanraya
bukanlah suatu yang boleh ditentukan oleh strategi atau kekuatan parti. Mereka
hanya dituntut bekerja dan berjuang bersungguh-sungguh sedangkan hasilnya
ditentukan oleh Allah Taala dan bergantung kepada ketetapanNya. Jika
ditakdirkan menang di dalam pertandingan pilihanraya, pendokong parti Islam
akan melaungkan takbir, tahmid dan tasbih. Mereka memanjatkan syukur kepada
Allah Taala dengan meningkatkan ketaatan kepadaNya[14].
Maksudnya: ((Iaitu
mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan)).
Mereka juga akan berusaha bersungguh-sungguh mengotakan segala janji
yang telah dibuat. Kerana mereka yakin mengingkari janji dan amanah akan
mengundang hukuman dari Allah Taala. Firman Allah Taala[15]:
Maksudnya: ((Wahai
orang-orang Yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian…)).
Jika kalah pula, pendokong Islam tidak rasa kecewa sebaliknya sentiasa
berbaik sangka dengan ketentuan Allah Taala. Kerana mereka yakin bahawa setiap
ketetapanNya pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Kekalahan menjadikan
mereka terbuka untuk mengakui kelemahan dan mengenalpasti punca kekalahan dan
memperbaikinya segera. Mereka tidak akan samasekali menyalahkan sesama sahabat
seperjuangan dan berusaha menjauhi segala macam fitnah yang muncul. Mereka juga
tetap yakin bahawa kemenangan pasti akan tiba juga satu masa kelak kerana Allah
Taala tidak pernah mengabaikan doa para pejuang agamanya. Kekalahan tidak
pernah mengecewakan para pendokong parti Islam kerana hakikat kemenangan yang
mereka idamkan ialah mendapat keredhaaan Allah Taala. Allah Taala berfirman[16]:
Maksudnya:
((..dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan
menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan
menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan
mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman)).
Kesimpulan.
Akhlak memainkan
peranan sangat penting dalam kehidupan seseorang muslim. Dalam melaksanakan
amanah dakwah yang menjadi kewajipan kepada setiap muslim, ilmu sahaja tidak
mencukupi, kerana ramai orang berilmu telah merosakkan dakwah akibat dari
tingkahlaku mereka yang sombong dengan ilmu mereka. Justeru ilmu mestilah
digabungjalinkan dengan akhlak barulah dakwah dapat memberikan kesan yang
maksima dalam masyarakat. Setiap pendokong parti Islam mestilah berusaha
menghayati nilai akhlak yang mulia di setiap masa dan ketika, bukan sahaja
ketika pilihanraya. Penghayatan kepada nilai akhlak yang mulia dalam setiap
lapisan pendokong parti dan jamaah Islam akan mewujudkan suasana harmoni dan
berkasih sayang di dalam lingkungan jamaah yang pasti akan memperkukuhkannya,
manakala di luar jamaah masyarakat pastinya pula akan tertarik untuk sama-sama
berjuang dengannya.
[2] Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi, juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Lihat
Riyadus Sholihin no.627, tahqiq Rabbah dan Daqqaq).
[3] Hadis riwayat Al-Tirmizi, ia berkata: hadits
hasan, dan dishahihkan oleh syaikh Al Salim Al Hilali.
[4] Surah Al-Nisa ayat 65.
[6] Muslim,
Sahih Muslim, jilid 14, hlm 280, Ahmad, Musnad Ahmad, jilid 48 hlm 456, dan Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Hibban, jilid 12
hlm 281.
[9] Al-Haithami,
Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, jilid 4 hlm 404. Menurut Al-Haithami
hadis ini dhaif. Namun begitu hadis dhaif boleh dijadikan panduan di dalam
kelebihan beramal.
No comments:
Post a Comment