Khutbah Jumaat
(Bersatu Menentang Kezaliman Firaun Moden)
الحَمْدُ للهِ القائل:
إِنْ
يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ
ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ
الْمُؤْمِنُونَ
الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT,
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 30:
وَإِذْ
يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ
يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ
ۖ
وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai
Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya
terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan
tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik
yang menggagalkan tipu daya.”
Pada
hari ini setiap umat Islam yang prihatin pastinya amat sedih dan terhiris hati
dengan nasib malang yang menimpa saudara-saudara seislam kita di bumi Mesir.
Maklumat terkini yang diperolehi kira-kira 2000 lebih nyawa sahabat-sahabat
kita yang cintakan kedamaian dan pendokong perjuangan Islam melayang di tangan
tentera dan polis Mesir yang diberikan kebebasan menyembelih saudara mara
mereka, dan kira-kira 10,000 orang dirawat kerana cedera parah. Kononnya atas
alasan memelihara keamanan, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengarahkan rakyat yang
tidak bersenjata dan hanya memiliki naskhah al-Quran ditembak, diletupkan,
disodok dengan bulldozer dan dibakar hingga rentung. Bagi menyokong tindakan
zalim ini, tentera, polis dan samseng ada yang menyamar dan membawa senjata di
tengah-tengah rakyat Mesir yang berkhemah bagi melakukan propaganda pembohongan
mereka.
Inilah
keadaan yang tidak dapat dibayangkan berlaku di bumi Mesir pada hari ini, hanya
selepas Dr Morsi, Presiden Mesir yang sah dan naik dengan jalan demokrasi mengisytiharkan
langkah-langkah perubahan kepada dasar-dasar pemerintahan Islam. Di saat kita
masih merayakan Aidilfitri, saudara-saudara kita di Mesir berdepan dengan
keganasan pemerintah sekular yang zalim dan penyokong mereka yang melakukan
keganasan tanpa belas kasihan, malah lebih kejam dari binatang. Meskipun semua
saluran berita milik kerajaan begitu takut menyiarakan maklumat yang sahih
namun kita memperolehi berita dari sahabat-sahabat kita di sana bagaimana kekejaman
yang telah dilalukan. Ada yang hancur kepada, dibakar hingga rentung, dirobek
perut dan sebagainya!
Sidang
Jumaat yang dimuliakan,
Di
awal penggulingan kuasa yang berlaku di Mesir, amat jelas bahawa tindakan kejam
ini ada kaitan dengan hubungan pemerintah tentera Mesir dengan Yahudi Zionis
dan Amerika Syarikat. Bukitnya selang beberapa hari penggulingan kuasa, Jeneral
Al-Sisi mengarahkan supaya sempadan Rafah ditutup dan semua terowong yang
menjadi laluan rakyat Gaza mendapatkan bekalan makanan dan senjata untuk
mempertahankan diri dari Yahudi Zionis dimusnahkan. Presiden Barack Obama yang
kononnya membuat sidang akhbar kecewa dengan penggulingan kuasa tetapi
sebaliknya Amerika Syarikatlah yang memberikan bantuan besar kepada tentera Mesir
bagi membantai penyokong Dr Morsi. Sangat jelas bahawa Mesir yang dibayangi
oleh kuasa tentera sebenarnya mempunyai hubungan sangat rapat dengan Yahudi
Zionis dan Amerika Syarikat.
Kita
tercari-cari apakah sebenarnya yang menjadi punca kekejaman dan kegilaan ini
berlaku…apakah kerana Dr Morsi tidak dapat membangunkan ekonomi Mesir, apakah
kerana Dr Morsi membunuh rakyat Mesir yang tidak berdosa dan apakah kerana Dr
Morsi mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat? Jawapannya adalah tidak!
Dr Morsi yang hanya memerintah tidak sampai setahun pastinya belum dapat
merubah ekonomi Mesir yang sudah dimusnahkan oleh Hosni Mubarak selama berpuluh
tahun! Dr Morsi tidak pernah membunuh walau seorang rakyat Mesir dan Dr Morsi
sendiri melakukan lawatan muhibbah ke Amerika Syarikat dan negera-negara
Eropah.
Ketahuilah!
Kegawatan ini sebenarnya adalah berpunca dari hasrat Dr Morsi mahu membebaskan bumi
Palestin, mengembalikan Masjidil Aqsa ke tangan umat Islam, melaksanakan
syariat Islam dan menegakkan kembali khalifah. Antara ucapan Dr Morsi setelah
dilantik menjadi Presiden Mesir ialah:
“Tidak
ada kebaikan kepada umat ini, tiada keberkatan dan tiada kebangkitan melainkan
kembali melaksanakan syariat Islam. Dan saya berjanji dengan nama Allah dan
saya berjanji dengan kamu sekelian untuk melaksanakan undang-undang selari
dengan kehendak rakyat dan para ulamak…”.
Inilah
yang menjadi punca sebenar seluruh rangkaian musuh Islam bersatu menyekat
pemerintahan Dr Morsi yang hakikatnya dibayangi oleh Ikhwan Muslimin yang
merupakan sumber inspirasi kepada gerakan Islam seluruh dunia.
Muslimin
yang dirahmati Allah sekelian,
Keadaan
yang berlaku di Mesir pada hari ini tidak ubah seperti zaman pemerintahan
Firaun yang begitu angkuh dan zalim sehingga sanggup membunuh mana-mana rakyat
yang dianggap mengancam kuasanya. Allah SWT berifirman dalam surah al-Baqarah
ayat 49:
وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ مِنْ آلِ
فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ
نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ
Yang bermaksud: "Dan
(kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya,
yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih
anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang
kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar
daripada Tuhan kamu."
Kerana
terlalu bimbangkan kehilangan kuasa, Firaun mengarahkan mana-mana anak lelaki
yang lahir dibunuh kerana takut akan menjadi ancaman kepada tahtanya manakala
anak-anak perempuan dibiarkan hidup. Sebaliknya Jeneral Al-Sisi mengarahkan
supaya semua mereka yang terlibat berkumpul menyokong Dr Morsi dibunuh samada
wanita mahupun kanak-kanak dan mereka dibakar hidup-hidup di dalam khemah
mereka. Sesungguhnya Firaun zaman moden ini lebih kejam dan zalim!
Di atas kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ini kita berdoa agar
Allah SWT membalas tindakan mereka sepertimana yang pernah ditimpakan ke atas
firaun dan konco-konconya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr ayat 10-14:
وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ *
الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ * فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ * فَصَبَّ
عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ * إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ
"Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang
handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di
negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan
bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas
mereka berbagai paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas
(terutama balasan akhirat)."
Ikhwanil
Muslimin,
Apa yang berlaku di Mesir memberikan pengajaran kepada kita bahawa
sudah tiba saatnya umat Islam seluruh dunia bersatu di bawah naungan Al-Quran
dan Al-Sunnah. Kita mesti kembali memartabatkan syariat Islam dalam satu sof
dan berusaha mengembalikan khilafah Islam yang sudah lenyap di muka bumi
semenjak runtuhnya khilafah Othmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Akibat dari
tiadanya khilafah, umat Islam terus menerus diperkotak katikkan oleh golongan secular
dan nasionalis yang secara senyap bersekongkol dengan Yahudi Zonis dan Amerika
Syarikat bagi menyekat kebangkitan Islam.
Tragedi di Mesir juga memberikan amaran kepada kita bahawa musuh
Islam akan menggunakan apa sahaja cara bagi memastikan mereka yang mahu
menegakkan syariat Islam dalam pemerintahan Negara disekat samada dengan cara
halus iaitu melalui penipuan dan tohmahan jahat terhadap pendokong perjuangan
Islam ataupun melalui kekerasan sepertimana yang berlaku di Mesir dan Syria.
Sebagai umat Islam yang beriman, kita penuh yakin bahawa semakin
keras tindakan mereka dan semakin kuat kerja mereka mahu menyekat kebangkitan
Islam, tiba masanya Islam pasti akan bangkit. Yakinlah di mana-mana sahaja
kesedaran Islam semakin meningkat dan kita berdoa kepada Allah SWT agar seluruh
kuasa zalim yang sedang mencengkam bumi umat Islam runtuh satu persatu dan akan
digantikan dengan khilafah Islam! Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat
26:
قُلِ
اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ
مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ
إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: "Katakanlah
(wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang
memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment