Mencari erti Kemerdekaan
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ
الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan
berusaha melaksanakan
setiap perintah dan
meninggalkan segala
larangan-Nya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Amalan menyambut
hari kemerdekaan negara meskipun tidak dinyatakan di dalam nas samada al-Quran
mahupun al-Hadis, namun ia merupakan suatu yang harus dilakukan bagi tujuan
menimbulkan semangat cintakan tanahair. Meskipun dalam Islam hanya ada dua
hariraya yang dianggap sunnah dan ibadah iaitu Hariraya Aidilfitri dan
Aidiladha namun tiada larangan khusus bagi sambutan hari-hari bersejarah bagi
umat Islam.
Kaedah Feqah ada menyebut:
الأَصْلُ فيْ الأَشْيَاءِ
الإِبَاحَةُ
Maksudnya: Asal
sesuatu perkara adalah harus.
Oleh itu sambutan
hari kemerdekaan negara dengan hasrat menimbulkan kesedaran tentang
tanggungjawab kepada tanahair dan membangkitkan rasa kasih kepada negara adalah
sangat baik di sisi Islam selagimana tiada unsur maksiat dalam menyambutnya. Imam
Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika keluar dari kota Mekah
berhijrah ke kota Madinah telah bersabda:
وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ
أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلَوْلَا
أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
Maksudnya: Demi
Allah! Sesungguhnya engkau (Mekah) adalah sebaik-baik muka bumi Allah dan lebih
dikasihi oleh Allah Azza wajalla dan jika aku tidak dihalau keluar nescaya aku
tidak akan keluar (meninggalkanmu).
Hadis ini
memberikan gambaran bagaimana perasaan sayang dan kasih baginda Rasulullah SAW
kepada Mekah tanahairnya sendiri yang merupakan bumi penuh barakah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam Bahasa Arab kemerdekaan
disebut dengan perkataan ’al- Istiqlal’ yang bermaksud bebas mentadbir sendiri. Kemerdekaan juga sinonim dengan perkataan ’al-Hurriyyah’
yang menggambarkan kemerdekaan dengan maksud bebas tanpa terikat dengan
mana-mana pihak atau dikongkong oleh mana-mana kuasa yang menyekat pergerakan
dan mengekang kebebasan berfikir.
Kemerdekaan negara mempunyai
pengertian yang besar kerana ia melambangkan maruah dan harga diri sesebuah
bangsa yang dapat menguasai dan
memerintah tanah air sendiri. Sebaliknya penjajahan bererti kongkongan atau sekatan kebebasan bagi
anak watan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu terhadap tanahair
sendiri.
Kemerdekaan perlu dilihat dengan
maksud yang lebih luas iaitu bukan sahaja bebas dari penjajah pada aspek
fizikal sahaja. Malah juga berkaitan
dengan kebebasan dari segi berfikir, berbudaya, berpolitik, berekonomi, bersosial
dan sebagainya. Negara yang bebas dari cengkaman penjajah masih belum bebas
sepenuhnya sekiranya cara berfikir dan budaya masyarakatnya masih terbelenggu
dengan kongkongan budaya penjajah yang merosakkan.
Saidina Umar bin
al-Khattab RA pernah berkata:
مَـتـَى استـَعْبَدْتـُـمُ
النـَّاسَ وَقـَدْ وَلـَدَتـْهُـمْ أمَّهـَاتـُهُمْ أحْـرَارًا
Ertinya: Bilakah kamu mula memperhambakan manusia
sedangkan mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas?
Saidina Ali bin
Abi Talib RA juga ada menyebut:
لا
تـَكـُنْ عَـبـْدَ غَيـْرِكَ وَقـَدْ جـَعـَلـَكَ اللهُ حُرًّا
Ertinya: Janganlah kamu menjadi hamba kepada orang lain kerana Allah telah
menjadikan kamu bebas.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kemerdekaan negara
perlulah dilihat sebagai satu amanah dari Allah SWT yang dipertanggungjawab
kepada kita supaya memeliharanya dengan baik. Dari sudut agama sepatutnya ia
digunakan untuk membangunkan negara dan membina masyarakat ke arah mentauhidkan
serta memperhambakan diri kepada Allah Taala.
Allah SWT telah
mengingatkan kita bagaimana situasi Nabi Musa AS dan para pengikutnya yang
terselamat dari kekejaman Firaun agar bersyukur. Firman Allah Taala dalam surah
Ibrahim ayat 6 dan 7:
وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا
نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنْجَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ
سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي
ذَلِكُمْ بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ , وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ
لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ .
Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika
Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia
menyelamatkan kamu dari (Firaun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu
dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelalkimu, membiarkan
hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cubaan yang besar
dari Tuhanmu." Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan;
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat)
kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku
sangat pedih."
Dalam surah al-Nasr ayat 1 hingga 3
Allah SWT telah berfirman:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ , وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ
اللَّهِ أَفْوَاجًا , فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ
وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya: Apabila telah datang
pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah
dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah
ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam konteks kehidupan di sebuah
negara, amat berbeza sekali kehidupan di dalam sebuah negara yang dijajah
dengan kehidupan di dalam sebuah negara yang merdeka. Apa yang nyata, penjajah lebih gemar melakukan sesuatu yang
boleh memecah belahkan perpaduan sesama masyarakat. Mereka mempunyai
strategi yang licik untuk melihat kekuatan umat khususnya orang-orang Islam
(Melayu) menjadi lemah apabila mereka berpecah dan sering bergaduh antara satu
sama lain. Idea mewujudkan balai raya di dalam sesebuah kariah atau kampung di
samping kewujudan masjid telah menyebabkan urusan kehidupan harian tidak lagi
dibincangkan di dalam masjid. Inilah bibit-bibit kepada penerapan ideologi
sekularisme. Dan dengan begitu licik mereka berjaya mengkesampingkan peranan
agama di dalam urusan keduniaan dan pembangunan negara. Agama hanya dilihat
sebagai amalan-amalan rutin ibadah yang berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji,
kematian, nikah dan cerai. Namun soal-soal pendidikan, ekonomi, politik dan
pembangunan diuruskan tanpa panduan agama.
Penjajah juga dengan
sengaja telah meletakkan kaum Cina di bandar, membiarkan orang Melayu di
kampung dan kaum India pula dihantar ladang. Penjajah turut memutarbelitkan
fakta sejarah terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan tokoh-tokoh rakyat dalam
perjuangan kemerdekaan. Kepahlawanan Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat
Salleh dan lain-lain ditukar menjadi pemberontak. Manakala FrancisLight,
J.W.Birch dan lain-lain disanjung sebagai seorang tokoh. Peranan tulisan jawi
turut dikesampingkan dengan memperkenalkan tulisan rumi yang digunapakai secara
meluas dan akhirnya setelah 56 tahun merdeka tulisan jawi hanya tinggal
nyawa-nyawa ikan dan di sesetengah tempat ia sudah berkubur tanpa batu nisan.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak bagi memartabatkan kembali
tulisan jawi tidak mendapat sambutan kerana ia seolah-olah satu benda yang
asing dan janggal di kalangan masyarakat kita.
Setelah 56 tahun merdeka dan setelah bermacam projek
pembangunan aspek fizikal dilaksanakan janganlah kita lupa kepada teras
pembangunan negara iaitu pembangunan nilai dalam masyarakat. Kita tidak harus
berbangga hanya dengan bangunan tinggi pencakar langit sedangkan yang
menghuninya terlibat dengan rasuah dan pecah amanah. Kita juga tidak harus
berbangga dengan kemajuan teknolgi maklumat tetapi digunakan bagi menyebarkan
fitnah, bahan lucah, aktiviti perjudian, ajaran sesat dan sebagainya.
Persoalannya apakah kita benar-benar
sudah merdeka? Ya! Secara fizikal memang negara kita sudah merdeka dari
penjajah, namun sedarkah kita bahawa kini muncul pula penjajahan dalam bentuk
baru yang lebih merbahaya. Penjajahan yang bertopengkan dasar pensejagatan yang
cuba menjajah minda dan budaya
masyarakat. Kebudayaan masyarakat negara kita yang berpaksikan Islam
sebagai agama rasmi terus menerus diancam melalui penjajahan budaya global yang
berteraskan hedonisme atau kehidupan bebas. Cara berfikir, berutur, berpakaian,
makanan, bersukan malah pendidikan dicorakkan menurut acuan barat. Minda juga turut
dirosakkan dengan menanamkan rasa rendah diri dan malu jika mengamalkan budaya
Islam dan budaya tradisional Melayu. Bahasa juga dinodai dengan menonjolkan
kehebatan bahasa asing dan menimbulkan rasa malu bertutur di dalam bahasa
ibunda sendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Meskipun telah
merdeka, proses memerdekakan minda dan nilai harus terus dilaksanakan dan
antara perkara yang perlu diberikan penekanan ialah pembebasan umat daripada
perkara-perkara seperti berikut:
1.
Ajaran dan
fahaman yang menyeleweng dari Islam seperti ajaran sesat, syiah, sekularisme,
liberalisme, pluralisme dan lain-lain.
2.
Aktiviti-aktiviti
yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah seperti minum arak, perjudian,
perzinaan, rasuah, pecah amanah, penipuan dan sebagainya.
3.
Ekploitasi wanita
dengan menjadikannya bahan kepuasan hawa nafsu dan mendikriminasikan kedudukan
mereka dalam masyarakat.
4.
Tidak meyakini
bahawa Islam boleh menjadi rujukan dalam setiap aspek urusan kehidupan manusia
sama ada berkait dengan pentadbiran negara, pendidikan, ekonomi dan sebagainya
sebaliknya percaya kepada sistem peninggalan penjajah.
Sebagai umat Islam sepatutnya kita
sama-sama berjuang agar prinsip-prinsip kebebasan yang telah ditetapkan di
dalam Al-Quran dapat dilaksanakan.
Sambutan kemerdekaan negara ke 56 sewajarnya menjadi waktu yang tepat untuk
kita bermuhasabah diri sejauhmanakah pengisian yang dilakukan. Apakah ianya
mampu melahirkan generasi fahamn akan tanggungjawab kepada negara dan yang
benar-benar merdeka dari penjajah? Atau sebaliknya mereka terus terbelenggu
dengan pemikiran dan budaya hidup ala penjajah tanpa disedari?
Allah SWT berfirman dalam surah
al-Maidah ayat 50:
بَارَكَ
اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا
وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ
وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment