8/26/2013

Nafsu; anugerah Allah yang perlu dibimbing



Oleh: Zuridan Mohd Daud.

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWTmempunyai nafsu. Nafsu ialah keinginan kepada sesuatu samada baik ataupun buruk. Nafsu yang terdapat pada manusia adalah anugerah Allah SWT yang mesti dipelihara sebaiknya oleh manusia justeru ia perlu dikawal dan dipelihara agar sentiasa menuju kepada kebaikan. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia dapat memelihara dirinya dari perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams ayat 7-8:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Maksudnya:  Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

Keinginan manusia kepada harta, pangkat, wanita, kenderaan dan sebagainya adalah merupakan fitrah namun jika tidak dikawal dengan iman dan pertimbangan akal maka keinginan itu membawa kepada sifat melampau batas yang di larang oleh Islam. Sebagai umat Islam kita dituntut supaya sentiasa melakukan penyucian jiwa dari nafsu dan keinginan yang merosakkannya.

Nafsu manusia sepertimana dijelaskan oleh al-Quran terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Pertama: Nafsu ‘Ammarah bissuk’ . Iaitu nafsu yang mendorong manusia melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah Yusof ayat 53:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِيَ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Nafsu ‘al-ammarah bissuk’ selalunya mendorong manusia agar melanggar perintah Allah dan menghasut dengan mengatakan bahawa dosa itu adalah perkara kecil serta menimbulkan rasa seronok dan suka kepada maksiat. Mereka yang menuruti nafsu ini akan merasa benci melakukan ibadah dan tidak senang dengan amalan-amalan agama. Dorongan jahat ini akan diperkuatkan dengan bisikan syaitan yang suka menipu daya manusia agar terjebak dengan maksiat.

Kedua: Nafsu ‘al-lawwamah’. Iaitu nafsu yang mencela tuannya kerana melakukan maksia. Ia selalunya berlaku kepada mereka yang sedar dan insaf akan kemungkaran yang dilakukan lantas mencela dirinya di atas perbuatan tersebut. Celaan itu bertujuan supaya timbul rasa bersalah dan benci untuk mengulangi semula perkara maksiat tersebut. Allah SWT telah bersumpah dengan nafsu ‘al-lawwamah’  dalam surah al-Qiyamah ayat 2:

وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ

Maksudnya:  Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).

Ketiga: Nafsu ‘al-mutmainnah’. Iaitu nafsu yang sentiasa damai dan tenang. Ia dicapai dengan keikhlasan kepada Allah SWT dan keyakinan terhadap iradahNya dalam menentukan samada yang baik mahupun yang buruk. Bagi seseorang yang mempunyai nafsu ‘al-mutmainnah’ dia akan sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT. Dia juga tidak berasa takut dalam berdepan dengan kezaliman manusia dan tidak berasa sedih dengan musibah yang menimpanya.

Mengenai nafsu ‘al-mutmainnah’ Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Fajr ayat 27-30:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
Maksudnya: Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.

Kata-kata hikmah ada menyebut:

وَنَفْسُكَ إنْ لَمْ تُشْغِلْهَا بِالطَّاعَةِ شَغَّلَتْكَ بِالمعْصِيَةِ
Ertinya: Nafsumu jika tidak disibukkan dengan amal ketaatan maka ia akan menyibukkanmu dengan perbuatan maksiat.

Selalunya manusia yang alpa akan dipengaruhi oleh hawa nafsunya agar melakukan sesuatu maksiat. Nafsu yang mendorong kepada maksiat akan menghasut pelakunya dengan bisikan-bisikan manis sehingga menyebabkan hilang rasa berdosa dan timbul rasa seronok melakukan maksiat. Si penzina merasakan dosanya kecil dan suka melakukan perzinaan. Si pencuri merasakan kesalahannya kecil dan bergembira dengan hasil rompakannya. Si pembunuh merasakan kekejamannya kecil dan berbangga dengan pembunuhan yang dilakukan. Begitulah akhirnya kerana terlalu terikut dengan bisikan hawa nafsu manusia akan hilang pertimbangan dan menjadi angkuh dengan kemungkaran yang dilakukannya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 43:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya: Terangkanlah kepada-Ku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya:

إِنَّ مِمَّا أَخْشَى عَلَيْكُمْ بَعْدِي بُطُونَكُمْ وَفُرُوجَكُمْ وَمُضِلَّاتِ الأَهْوَاءِ
Maksudnya: Sesungguhnya apa yang aku takuti menimpa kamu selepas dari kewafatanku ialah (apa yang kamu makan) dalam perutmu dan apa yang kamu lakukan (perbuatan keji dengan kemaluanmu) dan dorongan hawa nafsu.

Sebaliknya bagi mereka yang beriman ketakutan kepada azab Allah, kebimbangan terhadap suasana di alam kubur dan pembalasan di di padang mahsyar menjadikan mereka sentiasa berawas dalam tindakan agar tidak melanggar perintah Allah SWT. Nafsu yang disinari dengan iman akan sentiasa membisikkan ke dalam jiwa manusia agar menjauhi perbuatan maksiat kerana ia bakal mengundang bencana samada di dunia mahupun di akhirat. Ia juga akan mendorong seseorang itu meningkatkan amal kebaikan yang akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Naziat ayat 40 dan 41:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
Maksudnya: Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).

Kita seharusnya sentiasa memandang berat soal nafsu kerana ia menjadi pendorong kepada manusia sama ada memilih jalan dosa dan maksiat atau jalan pahala dan amal soleh. Oleh itu amalan penyucian jiwa perlulah sentiasa dilakukan dengan memperbanyakkan amalan-amalan zikir, membaca al-Quran, berpuasa sunat, bersedekah, menziarahi kubur, mendampingi orang yang soleh dan sebagainya. Amalan-amalan seumpama ini akan mewujudkan ketenangan di dalam jiwa manusia yang akan membuka pintu hatinya untuk melihat kebenaran lantas menurutinya. Sebaliknya jiwa yang kosong dari mengingati Allah SWT jauh dari amalan zikir, membaca al-Quran dan berselawat serta jarang berdampingan dengan alim ulama dan orang soleh akan dipenuhi dengan keinginan hawa nafsu yang mendorong kepada maksiat dan semakin jauh dari hidayah Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams ayat 9 dan 10:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.



No comments: