1/30/2011

Tipu Zakat?


Baru-baru ni ada sahabat bertanya mengenai hukum membuat helah dalam memohon zakat. Katanya ada individu yang menyambung pangajian di IPTA memohon bantuan zakat dari majlis Agama Islam Negeri. Tetapi dia telah berbohong dengan mendakwa dia belajar secara full time sedangkan dia masih bekerja dan belajar secara part time. Dengan alasan itu dia telah dapat bantuan zakat secara penuh sedangkan dia mempunyai gaji tetap dan sepatutnya tidak layak mendapat zakat secara penuh.
Dalam hati saya berkata, ada juga orang menipu duit zakat! Yang buat pula tu lepasan agama! Teringat saya masa belajar dulu ramai juga rakan-rakan yang dah dapat biasiswa tetapi masih memohon wang zakat. Pihak institusi zakat mungkin terlepas pandang lalu ramai juga yang dapat double bantuan pendidikan mereka. Persoalannya ialah boleh ke kita ambil zakat yang bukan hak kita? Imam Al-Nawawi di kitab Raudhah Al-Tolibin ada menyebut bahawa sesiapa yang tersalah mengambil zakat yang bukan haknya dia wajib memulangkannya kerana hukunya adalah haram!

1/25/2011

Isu bersalaman?


Ada ketikanya isu-isu yang berbangkit ketika bahang pilihanraya memanas adalah tidak relevan sama sekali pada mata kasar kita. Namun siapa tahu isu-isu yang berbangkit sebenarnya mempunyai hikmah tertentu yang hanya di ketahui oleh Allah Taala.

Sebagai contoh, PRK Tenang menjadi sedikit panas apabila seorang Menteri bukan Islam membangkitkan calon lawan PR tidak mesra kerana enggan bersalaman dengan lelaki dan tidak mahu ke Tokong. Meskipun soal bersalaman dan bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram@ajnabi dalam Islam sudah menjadi hukum sedia maklum secara mesti bagi setiap muslim, namun di Tenang ia dimanipulasi sedemikian rupa bagi meraih sokongan undi.

Bersalaman sebenarnya adalah merupakan satu sunnah Nabi SAW yang dituntut bagi mengeratkan silaturrahim. Menurut sunnah apabila bertemu kita boleh bersalam atau mencium dahi sahabat kita sebagai tanda ukhuwwah. Manakala jika pula dari safar atau lama tidak bertemu kita digalakkan supaya berpelukan.

Anas r.a meriwayatkan:

"كان أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم إذا تلاقوا تصافحوا ، وإذا قدموا من سفر تعانقوا".

Maksudnya: “Bahawa para sahabat Nabi SAW apa bertemu mereka bersalam-salaman dan apabila pulang dari safar (perjalanan jauh) mereka berpeluk-pelukan”. Hadis sohih riwayat Al-Tobrani.

Isu yang timbul di Tenang lain pula. Sebenarnya bukan isu tidak boleh bersalaman dengan bukan Islam seperti mana yang dimainkan oleh media yang sepatutnya dibahaskan, tetapi ia adalah soal hukum bersalaman antara wanita dan lelaki yang bukan mahram yang sudah ada di bahaskan oleh para ulama silam.

Bagi bukan Islam pada hemat saya, mereka adalah wajar berasa kekok dan hairan dengan persoalan ini kerana mereka tiada ilmu yang mendalam tentang Islam. Tetapi yang menghairankan apabila ada orang Islam yang turut sama mengiyakannya dan tidak lansung cuba memperjelaskan kepada bukan Islam berkenaan dengan perkara tersebut. Agaknya sikap sedemikianlah yang menyebabkan Islam terhijab dari hati orang bukan Islam semenjak sekian lama!

Saya cuba menggarap persoaalan ini dari sudut hukum dan bukannya dari segi strategi pilihanraya kerana bimbang ia bersifat bias terhadap mana-mana pihak. Dalam membahaskan isu bersalaman dengan wanita bolehlah kita bicarakan dari dua sudut:

Pertama: Bersalaman dengan wanita mahram. Maka ia adalah harus berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Tirmizi: “Bahawa Nabi SAW pernah mencium Fatimah r.a dan Fatimah mencium baginda SAW apabila bertemu dengannya”. Jika bercium diharuskan maka bersalaman lagilah boleh, ia berdasarkan kaedah fiqh “Mafhum Muwafaqah”.

Kedua: Bersalaman dengan wanita yang bukan mahram@ajnabiyyah. Jika wanita itu sudah lanjut usia di mana ia tiada nafsu syahwat dan jika orang bersalam dengannya pun tiada nafsu terhadanya maka ia adalah harus iaitu selagimana kedua-dua pihak terhindar dari nafsu syahwat ketika bersalaman. Namun Mazhab Syafie tetap mengharamkannya dan tiada pengecualian di dalam isu bersalaman dengan wanita bukan mahram yang sudah tua.

Jika wanita tersebut masih muda pula, telah sepakat ulama empat mazhab mengharamkan bersalaman dengannya. Malah di dalam mazhab Hanbali ada yang mengharamkannya meskipun berlapik.

Pendapat ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ma’qal bin Yasaar:

"لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له" رواه الطبراني والبيهقي.

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi lebih baik baginya daripada bersalaman dengan wanita yang tidak halal baginya (mahram)”. Hadis riwayat Al-Tobrani dan Al-Baihaqi.

Di dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata:

" والله ما أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم النساء قط إلا بما أمره الله تعالى، وما مست كف رسول الله صلى الله عليه وسلم كف امرأة قط، وكان يقول لهن إذا أخذ عليهن البيعة: "قد بايعتكن كلام".

Maksudnya: “Demi Allah! Rasulullah SAW tidak pernah mengambil wanita melainkan apa yang diperintahkan Allah Taala ke atasnya dan tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita (bukan mahram), dan apabila berbai’ah baginda SAW akan berkata: Sesungguhnya aku telah berbai’ah dengan kamu secara percakapan sahaja”.

Meskipun ada pendapat yang menyatakan bahawa seorang sahabat telah mengaku bersalaman dengan wanita dan Nabi SAW tidak menegurnya, namun ia adalah pendapat yang lemah kerana bersandarkan riwayat yang tidak sahih malah bertentangan dengan larangan umum dari Nabi SAW daripada bersalaman dengan wanita yang bukan mahram. Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menolak pendapat ini dengan berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa tangan Nabi SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita yang bukan mahram di dalam ‘Bai’ah’ (Fath Al-Bari 8/488).

Syeikh Nasiruddin Al-Bani pula menegaskan bahawa semua riwayat berkenaan dengan Bai’ah secara bersalaman dengan wanita (ajnabiah) adalah Hadis Mursal yang tidak boelh dijadikan hujjah.

Hikmah pensyariatan hukum ini adalah sebagai menepati kaedah “Sadd Al-Zaraie” yakni berbentuk pencegahan yang bertujuan bagi memelihara maruah wanita daripada dimanipulasi oleh lelaki dan memelihara keselamatan diri mereka.

Kesimpulannya, bagi seorang muslim atau muslimah dia hendaklah faham soal hukum bersalaman antara lelaki dan wanita bukan mahram dan bukannya terbelenggu dalam tempurung politik yang sempit. Apa yang membimbangkan saya ialah apabila adanya pemimpin hari ini di kalangan orang Islam yang bersalaman antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa menghiraukan soal hukum. Malah seringkali kita lihat di dalam media ada anak-anak gadis dan wanita yang bersalaman dengan pemimpin lelaki beragama Islam sambil mencium tangan. Budaya ini juga turut dipopularkan oleh artis-artis di dalam media elektronik sehingga menjadikannya satu budaya yang kononnya menjadi amalan yang bersopan bagi orang Melayu Islam. Amalan ini semakin menjadi-jadi bila tibanya hariraya...Saya cadangkan TV3 melalui Al-Kuliyyah, TV1 melalui Forum Perdana dan TV9 melalui Tanyalah Ustaz memberikan ruang untuk dibicarakan tajuk ini oleh para ulama kita secara bebas supaya kita dapat memahami dengan baik dan mengamalkannya.

1/10/2011

Ustaz Joha, teruskan perjuangan di tempat baru...

Surau Fatimah Az-Zahra kehilangan seorang tenaga daie yang banyak menyumbang kepada pembangunan aktivitinya apabila Al-Fadhil Ustaz Joha diarahkan bertukar kerja ke Sekolah Menengan Sains Kuala Berang Terengganu. Bagi menghargai jasanya di Indera Sempurna pihak surau telah mengadakan majlis perpisahan pada 7 Jan 2011. Majlis ini digabungkan dengan ceramah bulanan dan majlis aqiqah. Semoga Allah Taala memberikan kekuatan kepada beliau dalam meneruskan perjuangan Islam di tempat baharu. Bagi pendokong dakwah hijrah adalah merupakan proses biasa mematangkan diri dan memperkayakan pengalaman....bak kata Imam Al-Syafie:
سافر تجد عوضا عن من تفارقه , ertinya "Bermusafirlah, kamu akan menemui pengganti orang yang kamu tinggalkan...".
Ustaz Joha (kanan) semasa Kem Remaja Islam Surau Fatimah Az-Zahra 2008.

Ustaz Abdullah Mahmod menyampaikan ceramah bertajuk "Rezeki Allah".
Jamaah yang hadir memenuhi surau Fatimah Az-Zahra
Sahabat-sahabat yang menghantar ustaz Joha ke Kuala Berang (dari kiri) Hisham, Abang Mat, Wan, Ustaz Radzi, Mat dan Sarjan Mi.
Tokey lori Ustaz Sukardi.
Ustaz Radzi Imam Surau Fatimah Az-Zahra dan Haji Nordin bendahari Pasti Al-Hikmah Indera Sempurna.
Abang Mat dan Pak Arif tengah berbincang sesuatu....mungkin strategi PRU 13.
Bro Mat, Pak Arif, Ustaz Sayuti, Cikgu Zein dan Ustaz Ayub bertungkus lumus mengangkat barang.
Sarjan Mi, Hisham dan Ustaz Sayuti (Naqib Surau Fatimah Az-Zahra).
Ada sesuatu yang mungkin menggelikan hati orang kuat Indera Sempurna Haji Nordin, Ustaz Radzi, Abang Mat dan Wan Kastam.
Bergambar beramai-ramai di hadapan kuarters Ustaz Joha selepas mengangkat barang.
Encik Ibrahim (paling kiri) dan semua sahabat berdoa kepada Allah Taala semoga dikurniakan keselamatan dan tetap istiqomah dalam perjuangan.

1/06/2011