12/16/2009

Hijrah, saat terbaik bermuhasabah diri!


Masa itu Emas! Begitulah ungkapan peribahasa Melayu yang sentiasa meniti di bibir kita yang merujuk kepada begitu pentingnya masa dalam kehidupan kita. Masa sememangnya suatu yang sangat bernilai, malah ia lebih mahal dari emas dan harta benda. Kerana itulah kewujudan bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun unggul dunia adalah didiami oleh mereka yang tahu menilai masa dan sangat mengambil berat soal masa dalam kehidupan seharian mereka.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-‘Asr ayat 1-3 yang bermaksud:
((Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka menyeru kepada kebenaran dan mereka menyeru dengan kesabaran)).
Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru Hijrah 1432 dan tahun Masehi 2010. Pada hakikatnya fenomena kepantasan waktu adalah suatu petanda bahawa dunia sudah semakin di penghujung usianya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW did ala hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, bagind telah bersabda:
"Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". H.R.Termizi
Dengan beralihnya kita ke dalam tahun baru, kerisauan sepatutnya dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita. Bukan sahaja masa depan hidup di dunia ini tetapi masadepan di akhirat kelak kerana ia adalah destinasi terakhir kita sebagai manusia. Pelbagai soalan perlu diajukan. Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Allah Taala dan apakah sanggup kita menahan seksaan azab api neraka-Nya?
Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Hasyr ayat 18-20 yang bermaksud:
((Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang Telah dilakukannya (sebagai persiapan) untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri , mereka Itulah orang-orang yang fasik. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah mereka yang benar-benar beruntung)).
Insaflah! Bahawa berlalunya masa bermakna semakin tualah usia kita. Lihatlah tubuh kita yang suatu masa dahulu begitu cergas tetapi kita pergerakan sudah menjadi lambat. Rambut kita, dahulunya hitam kini sudah ada kilauan warna putih beruban. Kulit kita, dulunya tegang tetapi kini sudah menampakkan kedutannya. Kerisauan tentang usia ini seharus dilayan dan dipupuk bukannya dimatikan dengan membuat pembedahan plastik bagi menegangkan kulit atau mewarna rambut bagi menyembunyikan uban kerana semua itu akan menghilangkan keinsafan di dalam diri seseorang dan menjauhkannya dari taubat.
Sedarlah! Bahawa bermulanya tahu baru bermakna semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah saat ketibaan hari Kiamat. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai tanda bermulanya akhir zamann, kini baginda SAW. telah semakin lama meninggalkan yangh member makna usia dunia pastinya benar-benar sangat lanjut. Ini lebih nyata lagi dengan berbagai-bagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku. Seluruh dunia dalam tahun 1430 Hijrah menyaksikan pelbagai kejadian bencana alam yang tidak terkawal. Begitu juga dengan kejadian jenayah, pembunuhan dan peperangan yang seolah-olah tiada noktahnya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu hai Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".Hadis Riwayat Ibnu Majah.
Masa yang menjadi semakin singkat ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja dan hendaklah kita menggunakan sebaiknya. Kerana kepentingan masa inilah Allah SWT bersumpah dengan Wal Asri iaitu Demi masa!. Manusia akan sentiasa berada di dalam kerugian sekiranya tidak memanfaatkan masa dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat. Suasana umat Islam hari ini seolah-olah lebih cenderung kepada memenuhi kehidupan mereka dengan keseronokan dan hiburan sebaliknya tidak berminat dengan akitiviti lebih bermanfaat seperti beribadah di Masjid ataupun menuntut ilmu. Ini dapat dilihat apabila masjid-masjid sentiasa suram dengan penghuninya sebaliknya tempat-tempat hiburan sentiasa penuh dengan pengunjungnya.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
((Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang)) Hadis Riwayat Imam Bukhari.
Masa dalam kehidupan seorang muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit. Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu. Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdalnya munajat kepada Allah Taala. Bulan Ramadan pula ialah waktu diturunkan barakah dan keampunan Allah. Ini semua member erti bahawa seorang muslim tidak harus membiarkan waktunya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang amalan yang boleh membahagiakannya di akhirat kelak. Bagi seorang muslim masa di dunia adalah waktu untuk bersusah payah dahulu mengumpul bekalan sebelum mengecapi kegembiraan di akhirat kelak!
Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda tidak dapat dikembalikan. Begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah”. Hadis riwayat Al-Hakim.
Masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini. Kerana apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah semakin sedikit.
Diriwayatkan bahawa malaikat maut telah datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Maka Nabi Yaakub bertanya: “Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apakah permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya!. Kemudian malaikat mautpun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok”.
Masa juga mestilah dipelihara ketika kita melaksanakan kerja dan tugas harian. Sebagai muslim menghargai masa dan menepatinya adalah satu kewajiban manakala tidak menepatinya adalah satu dosa kerana ia adalah tanda sifat munafik. Apa yang berlaku dewasa ini ialah meremehkan masa dan selalu lambat yang semakin menular di kalangan umat Islam. Pada masa ini orang Arab sering dikaitkan sikap lambat, suka bertangguh, tidak tepati janji dan begitu juga dengan masyarakat Melayu hingga munculnya ungkapan ‘janji Melayu’. Penyakit lambat ini telah memberikan imej yang tidak baik kepada Islam itu sendiri kerana bangsa Arab dan bangsa Melayu adalah sinonim dengan Islam. Contohnya di tempat kerja, suasana lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan adalah menjadi lumrah. Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan biasanya budaya inilah yang membantutkan kemajuan. Lihat sahaja apa yang berlaku di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Amat susah untuk melihat sesuatu mesyuarat dimulakan tepat pada waktunya. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk menghalalkan kelewatan. Dan ia amat malang sekali jika kelewatan itu berpunca daripada sikap ketua yang tidak prihatin. Malah ada sesetengah tempat, masa yang tercatat sengaja diawalkan kerana sudah sedia maklum pasti akan berlaku kelewatan dalam memulakan sesuatu majlis.
Masa dalam masyarakat yang maju sangat bernilai. Bangsa Jepun, Jerman dan Yahudi sudah terkenal dengan sikap ambil berat mereka terhadap masa. Di Jepun kelewatan beberapa saat sahaja menyebabkan seseorang tertinggal keretapi. Di Jerman para pelajar dan pensyarah universiti masuk ke dewan kuliah lebih awal dari waktunya. Manakala di Israel pula, bangsa Yahudi diajar mengejar masa agar matlamat mereka menakluki bumi Palestin tercapai. Meskipun mereka bukan Islam tetapi nilai yang diajar oleh Islam itu ada dalam diri mereka maka selayaknya mereka mengecapi hasil kesungguhan mereka menjaga masa dan menghargainya. Tetapi sikap kita umat Islam yang masih kurang menghargai masa menyebabkan kemajuan kita terbantut dan terhalang.
Biasanya pada setiap penghujung tahun setiap orang akan menilai prestasi mereka dan juga yang dinilai oleh majikan bagi melayakkan mereka mendapat kenaikan pangkat atau menerima anugerah tertentu. Namun apakah pernah kita turut sama membuat penialian kepada amal ibadah kita? Pernahkah ditanya, berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah? Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim? Apakah aku sudah bertaubat dari dosa-dosa besar yang telah aku lakukan?
Pernahkah juga kita bertanya diri sendiri tentang peningkatan ilmu dan kefahaman kita? Berapa buah buku ilmiah yang telah aku baca? Berapakah tulisan yang pernah aku hasilkan? Berapa kali aku menghadiri majlis ilmu? Apakah aku termasuk dalam golongan pencinta ilmu atau golongan pencinta hiburan?
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang sama dua harinya maka ia adalah orang yang rugi, dan barang siapa yang semalamnya lebih baik dari hari ini maka ia adalah orang yang ternafi dari kebaikan, dan barang siapa yang tiada peningkatan maka ia akan sentiasa berkurang, maka barang siapa sentiasa berkurang maka perut bumi lebih baik baginya daripada permukaannya (lebih baik mati sahaja)”.
Dalam menyambut tahun baru sewajarnya kita tidak terjerumus di dalam aktiviti-aktiviti hiburan dan pesta-pesta maksiat yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya di dalam masyarakat kita sedangkan ia adalah budaya masyarakat Barat yang sudah tenggelam dalam kegilaan berhibur.Kita juga tidak seharusny menjadi penganjur kepada aktiviti seumpama ini yang hanya akan menambahkan saham dosa kita sahaja. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim". Hadis riwayat Al-Hakim.
Saat ketibaan tahun baru adalah waktu paling sesuai melakukan musahabah diri kerana ia akan menjadi garis panduan setiap langkah yang akan disusun buat memenuhi ruang sepanjang tahun yang akan datang. Berkata Saidina Umar bin Al-Khattab r.a :
“Muhasabahlah dirimu sebelum dirimu dihisab dan timbanglah amalanmu sebelum ia ditimbang, sesungguhnya hari penghisaban di akhirat akan menjadi mudah jika kamu bermuhasabah pada hari ini. Berhiaslah (dengan amalan) untuk hari pameran terbesar (di akhirat kelak), pada hari tersebut semua amalan akan dipamerkan tanpa sebarang penyembunyian”.

12/09/2009

Ancaman fahaman Islam liberal




Islam sebagai sebuah agama yang benar dan istimewa sering dicemburui oleh musuh-musuhnya. Oleh sebab itulah pelbagai usaha dilakukan bagi menjatuhkan Islam dan menggugat keyakinan penganutnya terhadap kesucian syariat Islam. Usaha-usaha musuh Islam ini dilakukan samada melalui usaha meruntuhkan nilai-nilai budaya Islam ataupun dalam bentuk menyerapkan kefahaman-kefahaman yang menjejaskan aqidah umat Islam. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Sof ayat 8:

Ertinya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Mutakhir ini umat Islam berhadapan dengan munculnya fahaman-fahaman baru yang bersembunyi di sebalik nama Islam tetapi hakikatnya didasari oleh ideologi yang sesat. Antaranya ialah fahaman Islam Liberal yang didokongi oleh sekelompok umat Islam yang mendakwa ingin membawa pembaharuan dalam Islam. Perjuangan golongan ini adalah kononnya mahu melihat Islam yang lebih progresif, terbuka dan sesuai dengan perkembangan semasa. Dalam sejarah Islam moden kemunculan ideologi sesat bermula dengan fahaman yang dibawa oleh Seorang Sarjana Mesir iaitu Ali Abdul Raziq yang menjadi hakim Mahkamah Syariah Mesir pada tahun 1925. Akibat dari terlalu terpengaruh dengan fahaman sekular Barat Ali Abdul Raziq mengarang sebuah buku yang bertajuk ”Al-Islam Wa Usulul Ahkam” yang mengandungi fakta-fakta songsang tentang Islam. Antara kandungan buku ini ialah:

1. Mendakwa bahawa syariat Islam hanya bersifat kerohanian sahaja, tidak ada hubungan dengan soal keduniaan dan pemerintahan negara.
2. Mendakwa bahawa jihad tiada kaitan dengan agama dan wahyu Allah. Ia hanya usaha Nabi SAW untuk menguasai negara sahaja.
3. Menuduh bahawa perlaksanakan hukum pada zaman Nabi SAW adalah kabur, tidak stabil dan menimbulkan tanda tanya.
4. Menyatakan bahawa utusan Nabi SAW hanya bersifat menyampaikan risalah Islam dan bukannya menjadi pemerintah umat Islam.
5. Mendakwa bahawa pemerintahan khulafa Ar-Rasyidin bukan bersifat agama sebaliknya hanya keduniaan semata-mata.
Demikianlah fahaman Ali Abdul Raziq yang cuba dikembangkan dan akhirnya ulama-ulama Mesir sepakat menjatuhkan hukuman sesat keatasnya. Ini adalah kerana dakwaan-dakwaan beliau amat jelas bertentang dengan Al-Quran yang menjelaskan bahawa Nabi SAW bukan sahaja memandu manusia dalam urusan kerohanian tetapi merangkumi bidang urusan keduniaan dan pemerintahan negara. Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 105:

Ertinya: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Di dalam negara kita kemunculan fahaman-fahaman baru yang bertopengkan Islam juga semakin menular. Fahaman-fahaman ini biasanya menyandarkan nama kumpulan mereka dengan nama Islam tetapi sebaliknya membawa satu gerakan menghancurkan aqidah Islam yang tulin.

Fahaman Islam Liberal yang berkembang dewasa ini adalah akibat dari sikap umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan sesuatu yang baru dan melihat Islam hanya dalam aspek ibadah khusus semata-mata tanpa menjadikannya landasan dalam urusan dunia. Akibat dari perkembangan fahaman Islam liberal di negara kita maka muncullah tulisan-tulisan dan kenyataan-kenyatan yang bercanggah dengan Islam. Antara aliran pemikiran yang wujud hasil dari fahaman liberal itu ini ialah:

1. Mendakwa semua agama membawa kepada kebaikan.
2. Mendakwa bahawa soal sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat khusus adalah hak-hak individu dan tidak perlu kepada paksaan.
3. Mendakwa bahawa lelaki dan wanita adalah sama haknya.
4. Menuduh sesetengah syariat Islam tidak adil kepada wanita seperti hukum nikah kahwin dan hukum harta pusaka.
5. Menuduh bahawa undang-undang Islam sudah lapok dan tidak sesuai untuk dilaksanakan pada zaman moden.
6. Mendakwa bahawa maksiat seperti minum arak, berkhalwat, berzina dan berjudi adalah hak individu dan tidak perlu ada undang-undang yang menyekatnya.
7. Menyeru supaya Al-Quran ditafsir semula dan agama Islam perlu diberikan definisi baru.
8. Menerapkan fahaman plurarisme (kesamarataan) dalam kehidupan beragama di kalangan umat Islam dan penganut-penganut agama yang lain.
9. Mendakwa bahawa setiap orang Islam bebas menukar agamanya dan hukuman murtad tidak sesuai lagi pada zaman sekarang.

Apa yang menggusarkan kita ialah fahaman-fahaman ini mendapat perhatian di kalangan sesetangah umat Islam yang merasakan syariat Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW menghalang kebebasan hidup mereka. Akibat dari penularan budaya hiburan dan pergaulan bebas yang dikembangkan oleh Barat maka ianya dilihat amat bersesuaian dengan khidupan moden. Maka tidak hairanlah fahaman-fahaman baru seperti Islam Liberal ini sangat diminati oleh golongan muda kerana ianya memberi lebih kebebasan kepada mereka tanpa menyedari bahawa kebebasan tersebut membawa kehancuran kepada hidup mereka.

Islam adalah agama yang membawa kebahagian kepada manusia dengan sentiasa memelihara tuntutan fitrah manusia dan memberikan kebebasan kepada mereka dalam urusan kehidupan mereka. Oleh itu kita dapati setiap syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak ada yang menghalang manusia untuk bekerja, bersosial, berumahtangga, berhibur, bersukan dan mencari kekayaan hidup. Islam juga memberika kebebasan kepada umatnya untuk bersuara dan berkarya. Mengenai keduduka wanita dalam Islam ia adalah sama dengan kedudukan seorang lelaki malah tidak pernah dicatatkan dalam sejarah islam bahawa wanita dihalang dari turut serta menjalani kehidupan mereka seperti kaum lelaki. Di dalam Islam wanita dibenarkan keluar menuntut ilmu dan bekerja tetapi dengan syarat memelihara syariat dan adab-adabnya.
Dalam memberikan kekebasan kepada manusia Islam juga amat prihatin dalam soal menjaga kemaslahatan mereka. Kebebasan yang diberikan mestilah sentiasa dikawal oleh prinsip tidak membawa kemudaratan kepada diri dan orang ramai. Oleh itu Islam telah menetapkan hukum-hakam sebagai pengawal kepada kebebasan manusia agar mereka tidak tersalah dalam memilih kehidupan mereka. Sebagai contoh Islam memberikan kebebasan beragama di mana tiada sebarang paksaan bagi orang kafir memeluk Islam. Namun setelah memeluk Islam seroang muslim tidak diberikan kebebasan mutlak untuk menukar agamanya kerana perkara tersebut pastinya membawa kehancuran kepada dirinya sendiri maka Islam telah menetapkan hukum hudud bagi orang yang murtad sebagai satu kaedah pencegahan. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 217:

Ertinya: Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Begitu juga dalam mengumpul kekayaan. Setiap orang Islam diberikan kebebasan terlibat untuk makan apa sahaja tetapi ianya hendaklah halal dan tidak membazir. Manakala dalam perniagaan bagi mencari kekayaan sebanyak mungkin. Namun dalam masa yang sama Islam melarang pembaziran dan melarang sebarang aktiviti penipuan dalam perniagaan serta pencerobohan kepada harta orang lain. Manakala dalam soal makan minum, setiap umat Islam dibenarkan makan apa sahaja tetapi dengan syarat ianya halal dan tidak membazir. Allah SWT berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 31:

Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Semua kenyataan di atas adalah membuktikan bahawa setiap hukum dan undang-undang yang ditetapkan di dalam Islam adalah bertujuan memastikan kemaslahatan manusia sentiasa terpelihara dan terjamin sekaligus menyangkal setiap dakwaan golongan pendokong fahaman Islam Liberal.
Dalam berhadapan dengan situasi kemunculan fahaman-fahaman dan ideologi-ideologi yang menyesatkan umat Islam ini maka sewajiblah umat Islam sentiasa berhati-hati dan bertindak membuat persediaan diri agar kita dapat memelihara kesucian aqidah yang menjadi teras keunggulan umat Islam. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

1. Banyak menghadiri kuliah-kuliah agama, forum, diskusi dan wacana Ilmu yang menjelaskan isu-isu aqidah umat Islam.
2. Memastikan ilmu agama yang diperolehi diajar oleh para ustaz dan ulama yang jelas aqidahnya dan mempunyai kelulusan dalam bidang masing-masingnya.
3. Membuat pemantauan terhadap ahli keluarga dan anak-anak yang menuntut ilmu agama agar tidak terjebak dengan fahaman-fahaman sesat.
4. Memilih bahan bacaan agama yang berlandaskankefahaman Islam yang betul.
5. Jika timbul keraguan dalam sesuatu majlis ilmu atau pada bahan bacaan berkaitan dengan Islam hendaklah membuat rujukan kepada mereka yang berautoriti dalam bidang agama seperti Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan juga para alim ulama.

Demikianlah beberapa langkah yang boleh diambil sebagai perisai mempertahankan kesucian aqidah umat Islam. Sebagai umat Islam yang prihatin kita seharusnya sentiasa berwaspada terhadap setiap fahaman-fahaman baru yang mula bertapak di negara kita kerana ia akan menggugat keharmonian dan kedamaian hidup kita.

12/02/2009

Yang Baik Jadi Jahat..


Sudah menjadi lumrah dewasa ini sesuatu yang baik cuba digambarkan bahawa ianya buruk dan jahat manakala sesuatu yang tidak baik pula cuba digambarkan sebagai baik dan beretika. Ia bermula dengan apa yang dilakukan diperingkat antarabangsa bilamana Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat cuba sedaya upaya melalui propagandanya menggambarkan bahawa Islam dan setiap yang berjuang atas dasar Islam adalah jahat. Sebagai contoh di Palestin, rakyat Palestinlah yang digambarkan sebagai bersalah dan ganas kerana memulakan serangan ke atas Yahudi manakala Yahudi diibarat umpama orang baik yang terpaksa mempertahankan diri. Setiap pembunuhan, rampasan tanah dan tindakan ganas disandarkan kepada kewajaran sebagai tindakabalas terhadap kelakuan rakyat Palestin yang kononnya selalu memulakan kekacauan, sedangkan Yahudi yang disokong AS lah yang secara terang-terangan merampas tanah hak milik sah rakyat Palestin!
Dalam isu di Afghanistan pula, kerajaan Taliban yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar dan ulama yang telah Berjaya menghalau penjajah Rusia dan mengembalikan suasana beragama dan berpegang pada adat budaya di Afghanistan akhirnya bertukar menjadi pengganas paling dikehendaki akibat dari propapanga memerangai keganasan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat! Malah imej anbiya dan ulama yang terdapat pada Osama bin Laden telah dimomokkan sebagai kepala pengganas manakala imej korporat pemimpin-pemimpin Amerika dan Yahudi seolah-olah menjadi lambang kepada keamanan sejagat.

Usaha berterusan memburukkan imej Islam ini dilakukan terus-terusan sehingga berjangkit ke dalam Negara-negara umat Islam sendiri dan mungkin inilah yang dimahukan oleh musuh Islam. Hari ini mereka yang mengepalai negara-negara Islam tanpa disedari telah menuruti jejak Yahudi dan Amerika Syarikat apabila menghalakan serangan kepada tokoh-tokoh ulama dan para pendakwah serta gerakan Islam yang dituduh membawa ajaran salah dan menggugat keamanan negara. Tokoh-tokoh Islam cuba digambarkan sebagai keterlaluan dan tidak berakhlak sedangkan dalam masa yang sama para menteri dan pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah, mengumpul kekayaan negara malah ada yang terlibat dengan konspirasi pembunuhan digambarkan sebagai pemimpin bertaraf dunia dan sangat prihatin kepada rakyat. Gerakan Islam dan Parti Islam dimomokkan sebagai hilang pengaruh, tiada prinsip dan membawa rakyat ke belakang manakala kumpulan berideologikan fahaman kebangsaan, liberal dan sekular adalah sangat baik dan berjuang demi rakyat.

Agaknya inilah juga yang sedang berlaku di dalam negara kita, saban waktu dan hari media massa memainkan isu memburuk-burukkan YAB Menteri Besar Kelantan. Pada mulanya berminat juga mengikuti pelbagai isu yang dibongkarkan, tetapi akhirnya ia menjadi muak kerana ia sudah menjadi agak keterlaluan. Umpama makan nasi, jika terlalu banyak dan lauk yang sama pula setiap hari akhirnya akan jadi meloya dan muntah! Jika tidak suka dengan beliaupun cukuplah sekadar dengan memintanya berundur , bukannya membelasahnya tanpa adab dan etika. Jika ada orang yang mendakwa Nik Aziz bukan ulama, bukan tokoh agama dan tidak baik lakunya, maka orang yang mendakwa itu seharusnya dilihat lebih baik dan sewajibnya mengamalkan agama dalam diri sendiri, isteri, keluarga dan kumpulannya. Tetapi jika cuba mendakwa MB Kelantan mengamalkan kronisme, mengumpul kekayaan dan tidak Islamik sedangkan orang yang berkata demikian 2 x 5 atau mungkin lebih hodoh lakunya ia hanya seperti kata pepatah “Mengata dulang paku serpih mengata orang awak yang lebih”.
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya:Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik". H.R. Thabrani

Dalam negara kita nampaknya pemimpin yang hidup mewah, mempunyai rumah bernilai jutaan ringgit, isteri mendedah aurat dan berpakaian mahal serta bertabarujj, kurang ke Masjid tetapi banyak menghadiri majlis-majlis berprestij di hotel-hotel lima bintang, memiliki deretan kenderaan mewah dan hidup bersenang lenang dianggap lebih mulia dari seorang pemimpin yang sederhana, rumah sederhana, tiada deretan kenderaan mewah, banyak masanya di Masjid bersama orang kampung, mengajar agama dan kuat ibadatnya. Malang seribu kali malang jika inilah budaya yang sedang ditanamkan oleh media massa kepada rakyat Malaysia hari ini, kerana jika ia benar-benar diterima sebagai satu pegangan maka akan rosak binasalah negara kita pada masa akan datang! Agaknya kita kena banyak membaca sejarah pemimpin agung Islam zaman silam seperti Saidina Umar r.a atau Khalifah Umar bin Abdul Aziz, kemudian barulah kita membuat penilaian kepada situasi yang berlaku sekarang supaya kita tidak menjadi pak turut kepada Yahudi dan AS yang suka hati melihat tingkah laku kita yang pastinya amat menguntungkan kempen mereka! Juga kita bimbang tersilap membenci dan berlaku zalim kepada seorang manusia sedangkan ia disayangi oleh para Malaikat di langit....
Sabda Rasulullah SAW:
Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." .H.R Ahmad

12/01/2009

Mengatur aktiviti anak-anak di musim cuti sekolah

Sedar tidak sedar cuti sekolahpun bermula. Ini adalah saat yang paling ditunggu oleh anak-anak. Khususnya mereka yang masih di bangku sekolah. Musim cuti disambut seperti menyambut kemerdekaan kerana seolah-olah ia menandakan bermulanya kebebasan dari beban bangun pagi ke sekolah, beban keletihan mendengar celoteh guru dan beban membuat ulangkaji sebelum peperiksaan tiba.
Cuba jengok di luar rumah kita. Rata-rata kita lihat anak-anak berkumpul di simpang jalan, menunggang motosikal ke hulu ke hilir dan ada yang mundar mandir bersama pasangan masing-masing kononnya tengah kemaruk bercinta. Aktiviti ini biasanya tamat hinggalah ke larut malam dan yang merunsingkan kita ialah tiadanya sebarang halangan daripada ibubapa. Apa agaknya sikap ibubapa apabila anak-anak balik lewat malam? Biasa sahaja? Atau mereka merasakan kebebasan wajar diberikan untuk anak-anak selepas penat belajar? Sepatutnya ibubapa lebih sensitif dengan gelagat dan tingkahlaku anak-anak. Kerana mereka adalah anugerah dan amanah Allah yang perlu dipelihara dan dijaga oleh ibubapa:
Firman Allah Taala yang bermaksud: Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah ?" Surah An-Nahl : 72.
Perkara yang menjadi persoalan ialah mengapa ada di kalangan ibubapa yang tidak mengambil berat soal didikan nilai mulia di kalangan anak-anak? Nampaknya generasi akan datang bertambah parah lagi kerana melalui pemerhatian ramai di kalangan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah sudah ketagih rokok, melakukan hubungan seksual malah ada yang terlibat dengan jenayah berat seperti, ketagih dadah, menyamun dan merogol.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w: Tidak ada satu sedekah yang dikurniakan oleh seorang bapa kepada anaknya lebih baik daripada adab yang mulia. Hadis riwayat Tirmizi.Rasanya belum terlewat untuk kita sama-sama beringat bagi memastikan anak-anak kita menjalani waktu cuti sekolah dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah kepada mereka. Jika dilihat kepada iklan yang tersebar bermacam-macam aktiviti yang ditawarkan di musim cuti. Namun yang kurang sedapanya ialah majoriti tawaran tersebut bersifat komersial semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesesuaiannya kepada anak-anak. Tetapi tidak dinafikan bahawa terdapat juga aktiviti berfaedah yang dianjurkan meskipun dengan kos yang agak mahal. Ibubapa seharusnya jangan terlalu berkira untuk menghantar anak-anak ke program cuti sekolah yang bermanfaat kerana ia merupakan satu pelaburan untuk masa hadapan dan bukannya satu pembaziran. Antara program yang baik disertai oleh anak-anak kita ialah ialah seperti perkhemahan bina sahsiah , kursus hafazan al-Quran musim cuti, kursus intensif bahasa dan pelbagai lagi. Ibubapa seharusnya peka dan proaktif membuat tinjauan terhadap aktiviti yang sesuai sebelum berlalunya cuti sekolah.
Jika sekiranya ibubapa tidak berminat untuk menghantar anak-anak ke program seperti yang telah dinyatakan ada baiknya ibubapa sendiri perlu menyusun jadual harian sepanjang cuti sekolah. Pastikan waktu solat dijadikan agenda utama dengan memberikan penekanan kepada solat subuh dan solat secara berjamaah samada di masjid mahupun di rumah. Solat mesti diprogramkan sebagai agenda utama di dalam pembetukan sahsiah anak-anak dan sekiranya ingin dilaksanakan hendaklah dimulakan seawal usia.
Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan nersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki darimu, Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. Surah Taha:132.
Nabi s.a.w bersabda: Suruhlah anakmu solat apabila umurnya menjangkau tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak solat) apabila menjangkau sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka . Hadis hasan sahih riwayat Abu Daud.
Berpandukan hadis di atas amat jelas kepada kita bahawa usia 7 tahun iaitu ketika anak-anak mula melangkah kaki ke tahun satu sekolah rendah adalah saat yang paling wajar diberikan penekanan tentang solat. Apa yang difahami dari hadis ini ialah perlunya ibubapa secara konsisten menyuruh anak-anak solat tidak sepertimana ketika usianya di bawah tujuh tahun. Sikap sambil lewa dan alpa tentang solat anak-anak di awal usia tujuh tahun boleh menanamkan sikap memandang ringan terhadap kewajipan kepada Allah Taala. Meremehkan kewajipan kepada Allah Taala menjadi penyebab utama terbentuknya nilai negatif dalam diri anak-anak. Ini adalah kerana solat merupakan manifestasi kepada Iman dan ketaqwaan. Di samping itu penekanan Rasulullah s.a.w kepada usia tujuh tahun ini juga memberikan kefahaman kepada kita bahawa jika hendak menerapkan nilai dan menanamkan pemikiran yang positif kepada anak-anak hendaklah dilakukan secara konsisten di peringkat usia ini.
Kemudian apabila umur anak-anak menjangkau sepuluh tahun Rasulullah s.a.w menganjurkan kita menghukum anak-anak yang tidak solat iaitu dengan memukul atau merotannya. Saranan ini menjelaskan kepada kita bahawa penguatkuasaan undang-undang dan hukuman dalam mendidik anak-anak mestilah dilakukan secara konsisten di peringkat usia sepuluh tahun atau ketikmana mereka berada di tahun empat sekolah rendah. Kecuian menghukum dengan tegas terhadap anak-anak di usia ini apabila mereka melakukan kesalahan seperti meninggalkan solat akan menebalkan lagi rasa ketidakhirauan mereka kepada tanggungjawab sebagai seorang Islam. Kecuaian menghukum di usia sepuluh tahun juga boleh mengakibatkan anak-anak hilang rasa takut dan hormat kepada suruhan ibubapa.
Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. kami tidak meminta rezeki kepadamu, kamilah yang memberi rezki kepadamu. dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. Surah Taha : 132.
Ibubapa juga seharusnya mengambil kesempatan di musim cuti sekolah menanamkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak seperti bangun awal, mengemas rumah, minat membaca dan sebagainya dengan memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka. Sebagai contoh jika anak-anak ingin diterapkan dengan budaya membaca, ibubapa seharusnya membudayakan minat membaca dalam diri mereka terlebih dahulu kerana bak kata pepatah Melayu, ‘Bapa borek anak rintik’. Ia juga menepati slogan ‘Kepimpinan melalui tauladan’. Pembentukan nilai positif di dalam diri anak-anak khususnya di musim cuti ini tidak akan berhasil sekiranya ibubapa tidak menunjukkan contoh dan tauladan yang mulia kepada mereka.