1/30/2010

Dulu haram sekarang halal?


Alhamdulillah, setelah 20 tahun terlibat dengan sahabat-sahabat dalam dakwah di Pahang baru hari ini(30/01/10) saya rasa lega kerana mendapat kebenaran (tauliah) secara bertulis kebenaran mengajar agama dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan. Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Hamdan Yusi yang proaktif dalam usaha membuka seluas-luasnya medan dakwah di Kuantan khususnya. Kalau dahulu seolah-olahnya saya mengajar agama tanpa logo halal, tetapi dengan penerimaan sijil kebenaran mengajar ini mungkin kuliah saya sudah berlogo halal. Meskipun sijil ini hanya laku di daerah Kuantan dan perlu diperbaharui setiap tahun, tetapi ia amat bernilai bagi saya dan kawan-kawan pendakwah yang lain, kerana ketika ini terdapat segelintir umat Islam yang selalu mempertikai dan memperlekeh para pendakwah. Malah ada sesetengah Masjid yang tidak mengadakan kuliah dan majlis ilmu kerana ada ajk yang mendakwa para pendakwah tiada tauliah! Mudah-mudahan dengan kebenaran mengajar secara besar-besaran ini dapat merungkai perkara tersebut dan tidak timbul lagi ada Masjid di daerah Kuantan yang mempunyai simpanan wang beribu ringgit tetapi amat kedekut untuk mengadakan kuliah dan majlis ilmu.

Saya juga gembira kerana dengan adanya majlis pada hari ini (30/01/10) dapat bertemu dengan guru-guru, para ulama dan rakan-rakan ustaz. Ramai betul jumlahnya...Yang senior dan yang junior semuanya ada. Dalam hati saya berkata, jika semua tenaga pendakwah dalam anggaran 300 orang ini betul-betul berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya, saya yakin Kuantan akan dapat di tukar menjadi Bandaraya Islam yang baru selepas Kota Bharu, insyaAllah!

Dalam ucapan Tuan Kadi, saya amat tertarik dengan ideanya memilih tiga buah Masjid yang diterapkan sistem pengajian secara bersilibus yang lebih mirip kepada pengajian pondok. Ini satu idea yang sangat baik kerana semua masjid dan surau seharusnya menyusun sebaik-baiknya program pengajian ilmu yang diadakan agar benar-benar dapat memberi manfaat kepada ahli qariah. Malah sudah terbukti mana-mana masjid dan surau yang aktif dengan kuliah dan majlis ilmunya pasti ahli jamaahnya ramai. Lihat sebagai contoh Masjid Cenderawasih, surau Al-Ikhwan Bukit Setongkol, surau Ittifaqiyyah Inderapura dan lain-lain lagi....

Semoga usaha yang dilakukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan ini menjadi contoh kepada PAID di daerah-daerah lain di Pahang, kerana ia bakal memacu perkembangan dakwah di Pahang dengan lebih pesat....

Syukur kerana sekarang sudah ada sijil halal!

1/25/2010

Dr Yusof Al-Qardhawi :“Allah” adalah untuk semua!...


Saya kurang pasti apakah isu penggunaan nama 'Allah' sudah reda atau masih panas. Pada peringkat awal isu ini tercetus sengaja saya tidak memberikan apa-apa komen secara bertulis kerana menunggu mereka yang berautoriti memberikan pendapat dan pandangan. Bukan kerana tidak yakin dengan pandangan sendiri tetapi dalam soal seumpama ini biarlah mereka yang benar-benar berlayakan dan memegang amanah seperti Mufti menjelaskannya supaya tidak mengeruhkan keadaan. Benar telahan saya apabila semua orang mahu meluahkan pendapatnya maka macam-macam kekalutan telah berlaku. Saya juga melihat ada sesetengah NGO Islam dan Melayu yang tidak didokong oleh para ulama berwibawa begitu cepat menunjukkan reaksinya tanpa berfikir panjang hingga mengundang tindakan yang tidak didasari oleh ilmu Islam. Dalam masa yang sama mereka pula mahu mengambil kesempatan menonjolkan diri dan kononnya menjadi hero mempertahankan Islam!

Akhirnya majoriti para ulama dan pemimpin gerakan Islam Malaysia sependapat bahawa menggunakan nama 'Allah' pada orang Kristian adalah hak mereka dan ini sudah terakam dalam sejarah perkembangan Islam....Pendirian ini juga telah disokong oleh pendapat Ketua Kesatuan Ulama Sedunia As-Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi sepertimana yang disiarkan oleh laman web Islamonlie.net. Pendapat beliau ini telah menambah yakin lagi kebenaran apa yang saya fahami selama ini dalam isu penggunaan nama 'Allah' di kalangan ahli Kitab khusunya Kristian. Oleh itu untuk lebih jelas bersama ini saya terjemahkan pendapat beliau seperti berikut:

(Terjemahan bebas dari Islamonline.net 23 Jan 2010)


Doha- Al-Allamah Dr Yusof Al-Qardhawi, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia menempelak beberapa kejadian pertembungan di antara orang-orang Islam dan Kristian yang berlaku di beberapa negara Arab dan Islam termasuk serangan yang berlaku ke atas gereja-gereja dan beliau menegaskan bahawa ia adalah berpunca dari kejahilan dan bukannya semangat taksub kepada Islam. Beliau berpendapat bahawa serangan-serangan yang berlaku khususnya di Malaysia yang berpunca dari penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Kristian tidak sepatutnya berlaku kerana Allah adalah Tuhan Sekelian Alam’ dan bukannya kepada orang Islam sahaja.


Dalam Khutbah Jumaatnya pada 22 Jan 2010 yang lalu di Masjid Umar Al-Khattab di Doha ibu negara Qatar, Al-Qardhawi berkata bahawa: “Kejadian yang berlaku di antara orang-orang Islam dan kristian di beberapa negara adalah sebahagian besarnya berpunca dari kejahilan, dan bukannya sikap taksub orang Islam (yg sebenar). Orang Islam pada hakikatnya adalah sangat bertolak ansur, Al-Quran mengajar mereka bertolak ansur kerana Allah Taala sendiri Yang Menciptakan manusia dengan berbeza-beza (bangsa dan agama).

Kemudian beliau menegaskan: “Jika Allah menginginkan supaya semua manusia disatukan nescaya akan disatukan, tetapi Allah jua telah berfirman: ((Dialah Yang Menjadikan kamu, maka ada di kalangan kamu orang kafir dan ada di kalangan kamu orang yang beriman)) Surah Al-Taghabun ayat 2.((Jika Tuhanmu menginginkan nescaya dijadikan semua manusia sebagai satu ummah, sedangkan mereka masih berselisih kecuali sesiapa yang di rahmati oleh Tuhanmu)). Surah Hud 118-119. Perbezaan manusia dalam soal agama adalah merupakan kehendak Allah dan tiada siapa yang boleh menentang kehendak Allah dan memaksa manusia semuanya menjadi muslim!.

Beliau juga menjelaskan bahawa sesungguhnya perselisihan yang berlaku di kalangan manusia dalam soal agama antara orang beriman dengan agama dan orang yang ingkar dengan agama tidak akan memisahkan kita kaum muslimin (dengan mereka) di dunia ini. Sesungguhnya Allah Taala akan mengasingkannya di akhirat kelak. Sebagaimana firman-Nya: ((Jika mereka berdebat dengan kamu maka katakanlah, Allah lebih Mengetahui apa yang kamu lakukan. Allah lah Yang Menghukum di antara kamu pada hari Qiamat kelak di atas apa yang telah kamu perselisihkan)) Surah Al-Hajj ayat 68-69. ((Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu, tiada hujjah di antara kami dan kamu, Allah lah Yang Menghimpunkan kami dan kepada-Nyalah (kami) akan kembali)) Surah As-Syura ayat 15.
Berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di Malaysia dan serangan yang berlaku ke atas beberapa gereja, Al-Qardhawi mengulas: Sesungguhnya serangan yang berlaku ke atas gereja di Malaysia adalah tidak sepatutnya berlaku. Beliau turut tidak bersetuju dengan punca kejadian itu berlaku iaitu penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam terjemahan mereka, dengan berkata: Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia?