12/16/2013

ZAKAT untuk mangsa malapetaka

Ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini saya diajukan soalan oleh beberapa penduduk yang ditemui mengapakah tiada bantuan khusus daripada dana zakat kepada mangsa-mangsa banjir. Meskipun sukarelawan dari institusi zakat dan institusi agama Islam negeri turun padang dan bertungkus lumus membantu namun ramai mangsa banjir yang tertanya-tanya apakah tiada dana khas dalam bentuk wang ringgit diberikan bagi meringankan beban mereka. Meskipun saya ada membaca bahawa sebanyak RM500,000.00 dari dana zakat ada disumbangkan namun mungkin kerana berita yang ditulis tiada menyebut ianya dari zakat maka ramai yang tidak mengetahuinya. Persoalannya apakah zakat turut berfungsi dalam membantu golongan yang ditimpa malapetaka sedangkan dalam lapan asnaf yang disebut oleh Al-Quran surah al-Taubah ayat 60 tidak disebut mengenainya.
Memang Jika diperhatikan secara sepintas lalu kita dapati bahawa tiada sebarang penekanan secara khusus dalam al-Quran khususnya dalam ayat zakat atau sedekah berkaitan dengan bantuan kepada mangsa malapetaka.

Namun begitu jika difahami dengan teliti situasi mangsa malapetaka seperti banjir maka golongan tersebut adalah berhak menerima zakat malah ada ketikanya mereka lebih utama diberikan bantuan dalam situasi-situasi seperti ini dengan alasan ‘al-Ashaddu Hajatan’ iaitu sangat memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak. Bagi saya situasi banjir di Kuantan baru-baru ini memang sangat terdesak kerana pada malam pertama banjir kawasan Permatang Badak dan Sg Isap khususnya (tempat yang saya pergi) seolah-olah seperti darurat dan ramai sahabat2 yang sms minta tolong kerana mereka kebuluran tiada makanan akibat terkandas di rumah masing-masing.
Mangsa banjir yang besar seperti ini hingga menyebabkan kehilangan harta benda seperti peralatan rumah yang rosak sepenuhnya, barangan elektrik yang tidak boleh diguna pakai dan ada juga yang kehilangan kenderaan kerana tenggelam dalam banjir boleh jatuh kepada status miskin. Situasi ini benar-benar berlaku akibat kesan banjir di Kuantan baru-baru ini dan saya sendiri bertemu selepas banjir dengan mereka yang berkata semua harta benda ‘total lost’ kerana banjir menenggelami rumah mereka hingga ke bumbung dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Keadaan lebih parah di kawasan rumah murah yang rata-rata penduduknya dalam keadaan sederhana kehidupan mereka. Para ulama fiqh ada juga yang menyentuh soal ini dan memasukkan golongan ditimpa musibah malapetaka di bawah asnaf al-Gharimin dengan alasan mereka yang musnah harta benda menanggung beban tinggi atas kehilangan harta benda mereka sehingga tidak mampu untuk membeli perkakasan rumah yang bersifat dharuri bagi menggantikannya.

Jangan lupa juga bahawa ketika musibah melanda ramai sukarelawan yang turun membantu. Terharu sungguh melihat sikap sebahagian rakyat Malasyia yang sangat perihatin dan sanggup bersusah payah membantu mereka yang terlibat samada dengan memasak dan mengagihkan makanan dan dengan cara membersih rumah kediaman, masjid, surau dan sekolah. Mereka ini sepatutnya turut diberikan zakat kerana termasuk dalam asnaf Fi Sabilillah yang bekerja membantu umat Islam semata-mata kerana Allah dan tanpa sebarang elaun. Bagi saya mereka wajar diberikan bantuan zakat di atas usaha mereka yang tidak mengharapkan sebarang publisiti dan bayaran daripada mana-mana pihak.

12/15/2013

ISLAM AGAMA RAHMAT


Jika diimbau sejarah sebelum kedatangan Rasulullah SAW maka kita akan bertemu dengan detik hitam dalam sejarah Tamadun Manusia bilamana hanya akal dan nafsu sahaja menjadi ukuran kehidupan. Dalam soal kepercayaan contohnya, apabila hanya akal menjadi rujukan maka lahirlah amalan penyembahan berhala dan mengagungkan manusia hingga diangkat menjadi dewa. Dalam soal ibadah pula ia dilakukan mengikut telahan akal yang membawa kepada amalan-amalan tahyul dan khurafat yang begitu dominan dalam masyarakat jahiliyyah. Manakala dalam hubungan sosial nafsu syahwat pula dijadikan ikutan yang menyebabkan bangsa Arab sebelum Islam hidup dalam keadaan kacau bilau sistem sosialnya apabila aktiviti-aktiviti perzinaan, perkosaan, perjudian, ketagihan arak dan pembunuhan menjadi resam kebiasaan hidup mereka.

Di atas sifat al-Rahman dan al-Raheem Allah SWT maka diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir yang membawa risalah ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ bagi memandu hidup manusia agar kembali kepada landasannya yang sebena, kerana jika hanya akal dan nafsu sahaja dibekalkan kepada manusia maka mereka pasti akan menempuh kehancuran justeru Allah SWT membekal ‘wahyu’ sebagai pemandu kepada akal dan nafsu dalam menterjemahkan nilai kehidupan yang sebenar.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan menjadi Rahmat kepada seluruh alam”.

Islam sesuainya dengan maksudnya sejahtera adalah pelengkap kepada ajaran Nabi-Nabi terdahulu yang kesemunya membawa risalah Rahmat dan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia.

Rahmat ertinya kebaikan, kemudahan, keringanan, kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian di dunia mahupun di akhirat. Ini jelas dibuktikan dalam setiap syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam soal aqidah, konsep kepercayaan dan keyakinannya adalah begitu mudah dan dapat difahami oleh setiap peringkat manusia yang berakal. Disebabkan soal aqidah adalah perkara prinsip yang tetap dan tidak berubah maka Allah SWT telah menurunkan surah Al-Ikhlas bagi menjelaskannya apabila pihak musyrikin Mekah bertanyakan Nabi SAW tentang bentuk Tuhannya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ikhlas ayat 1-4:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah! (Wahai Muhammad) Bahawa Dia (Allah) adalah satu, Allah adalah tempat bergantung harap, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya”.

Aqidah Islam sangat mudah dipelajari dan begitu jelas tanpa ragu-ragu dan ini berbeza dengan kepercayaan lain yang dicipta oleh akal manusia yang sangat jelas begitu sukar difahami dan bersifat karut serta rekaan semata-mata.

Dalam soal ibadah pula konsep Rahmat yang diterapkan adalah sangat jelas sekali dalam semua bentuk ibadah yang disyariatkan. Sebagai contoh ibadah solat, ketika Nabi SAW menerima perintah solat fardhu sebanyak 50 kali sehari semalam, baginda telah memohon dari Allah SWT pengurangannya sehingga ke 5 waktu kerana bagi memberikan keringanan kepada umat manusia. Ibadah solat juga boleh berubah sifat mengikut keadaan dan situasi bagi memberikan kemudahan dalam melaksanakannya seperti solat dalam keadaan duduk, solat ketika perang, solat jamak dan qasar . Dalam ibadah lain seperti keharusan berbuka puasa ketika musafir atau bagi wanita yang hamil, mengunakan tayammun ketika tiada air, keharusan memakan benda haram ketika dahrurah, kewajipan ibadah haji bagi yang mampu sahaja dan sebagainya adalah lambang penerapan konsep ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ dalam setiap hokum-hakam yang telah disyariatkan. Ini bertepan dengan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan tidak Dia menjadikan dalam agama sesuatu yang menyusahkan”.

Dalam urusan mualamat pula bagi menangani ketidakadilan agihan sumber kekayaan dan bagi mengelakkan tipudaya dalam perniagaan maka Islam telah mensyariatkan jual beli dan mengharamkan riba. Seterusnya kefardhuan zakat disyariatkan bagi memastikan agihan kekayaan bukan sahaja berlegar di kalangan orang kaya tetapi turut dapat dikecapi oleh mereka yang fakir dan miskin.

Sifat Rahmat yang mewarnai Islam bukan sahaja dalam soal aqidah dan ibadah malah ia turut menjadi asas dalam perlaksaan sistem ‘Uqubah atau undang-undang. Ketikamana seorang wanita membuat pengakuan bahawa beliau telah berizna dan bersedia untuk dihukum, Rasulullah SAW tidak menerima pengakuan tersebut bulat-bulat malah menyiasatnya sehinggalah terbukti benar. Kemudian apabila hendak dilaksanakan hukuman baginda SAW telah meminta para sahabat tampil untuk menjadi penjamin agar anak wanita tersebut ada orang yang menjaganya dan barulah hukuman dijatuhkan. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rh:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berlaku ihsan dalam setiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan ihsan, apabila kamu menyembelih sembelihlah dengan ihsan dan hendaklah kamu hendaklah tajamkan senjata kamu dan rehatkan sembelihanmu”.

Islam adalah agama Rahmat untuk semua justeru kita diperintahkan menyayangi keluarga, jiran tetangga dan anak-anak yatim. Kita juga dituntut agar sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa musibah dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sifat belas kasihan dan bersedia menolong bukan sahaja kepada sesama muslim malah terhadap golongan bukan Islam dan bukan sahaja kepada manusia malah kepada binatangpun kita dituntut untuk berbuat kebaikan. Disebut dalam kitab Riadhus Solihin bahawa terdapat seorang wanita jalang yang kehausan lalu minum air dari sebuah perigi dan kemudian dia terlihat seekor anjing yang kehausan tetapi tidak dapat minum dari perigi tersebut. Lantas wanita tersebut mengamb