
Ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini saya
diajukan soalan oleh beberapa penduduk yang ditemui mengapakah tiada bantuan
khusus daripada dana zakat kepada mangsa-mangsa banjir. Meskipun sukarelawan dari
institusi zakat dan institusi agama Islam negeri turun padang dan bertungkus
lumus membantu namun ramai mangsa banjir yang tertanya-tanya apakah tiada dana
khas dalam bentuk wang ringgit diberikan bagi meringankan beban mereka.
Meskipun saya ada membaca bahawa sebanyak RM500,000.00 dari dana zakat ada
disumbangkan namun mungkin kerana berita yang ditulis tiada menyebut ianya dari
zakat maka ramai yang tidak mengetahuinya. Persoalannya apakah zakat turut
berfungsi dalam membantu golongan yang ditimpa malapetaka sedangkan dalam lapan
asnaf yang disebut oleh Al-Quran surah al-Taubah ayat 60 tidak disebut
mengenainya.

Memang Jika diperhatikan secara sepintas lalu kita dapati
bahawa tiada sebarang penekanan secara khusus dalam al-Quran khususnya dalam
ayat zakat atau sedekah berkaitan dengan bantuan kepada mangsa malapetaka.
Namun
begitu jika difahami dengan teliti situasi mangsa malapetaka seperti banjir
maka golongan tersebut adalah berhak menerima zakat malah ada ketikanya mereka
lebih utama diberikan bantuan dalam situasi-situasi seperti ini dengan alasan ‘al-Ashaddu
Hajatan’ iaitu sangat memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak. Bagi saya
situasi banjir di Kuantan baru-baru ini memang sangat terdesak kerana pada
malam pertama banjir kawasan Permatang Badak dan Sg Isap khususnya (tempat yang
saya pergi) seolah-olah seperti darurat dan ramai sahabat2 yang sms minta
tolong kerana mereka kebuluran tiada makanan akibat terkandas di rumah
masing-masing.

Mangsa banjir yang besar seperti ini hingga menyebabkan
kehilangan harta benda seperti peralatan rumah yang rosak sepenuhnya, barangan
elektrik yang tidak boleh diguna pakai dan ada juga yang kehilangan kenderaan
kerana tenggelam dalam banjir boleh jatuh kepada status miskin. Situasi ini benar-benar
berlaku akibat kesan banjir di Kuantan baru-baru ini dan saya sendiri bertemu
selepas banjir dengan mereka yang berkata semua harta benda ‘total lost’ kerana
banjir menenggelami rumah mereka hingga ke bumbung dan tidak sempat menyelamatkan
apa-apa. Keadaan lebih parah di kawasan rumah murah yang rata-rata penduduknya
dalam keadaan sederhana kehidupan mereka. Para ulama fiqh ada juga yang menyentuh soal ini dan memasukkan golongan ditimpa musibah malapetaka di bawah asnaf al-Gharimin dengan alasan mereka yang musnah harta benda menanggung beban tinggi atas kehilangan harta benda mereka sehingga tidak mampu untuk membeli perkakasan rumah yang bersifat dharuri bagi menggantikannya.

Jangan lupa juga bahawa ketika musibah melanda ramai sukarelawan
yang turun membantu. Terharu sungguh melihat sikap sebahagian rakyat Malasyia
yang sangat perihatin dan sanggup bersusah payah membantu mereka yang terlibat
samada dengan memasak dan mengagihkan makanan dan dengan cara membersih rumah
kediaman, masjid, surau dan sekolah. Mereka ini sepatutnya turut diberikan
zakat kerana termasuk dalam asnaf Fi Sabilillah yang bekerja membantu umat
Islam semata-mata kerana Allah dan tanpa sebarang elaun. Bagi saya mereka wajar
diberikan bantuan zakat di atas usaha mereka yang tidak mengharapkan sebarang publisiti dan bayaran daripada mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment