3/25/2008

ISLAM MENOLAK PERKAUMAN


Bila badai PRU12 melanda negara bermacam-macam persepsi masyarakat terhadap masadepan tanahair tercinta ini. Yang agak menarik ialah sikap sesetengah orang melayu yang begitu marah kepada kaum lain. Kononnya akibat sokongan kepada Barisan Alternatif masadepan orang melayu terancam! Saya pernah mengikuti kursus BTN, memang antara topik yang hangat dibincangkan ialah soal survival orang melayu dan niat jahat bangsa lain. Itulah yang selalu disebut hinggakan selepas dari kursus BTN saya terus prejudis kepada kawan-kawan dari kaum lain khususnya bangsa Cina.

Namun dalam berhadapan dengan situasi ini sewajarnya bagi seorang muslim membuat pertimbangan berpandukan ajaran Rasulullah s.a.w. Nabi s.a.w bersabda:


Maksudnya: Bukan dari kalangan aku orang yang mengajak kepada 'Asobiyyah, dan bukan dari kalanganku orang yang berperang kerana 'Asobiyyah dan bukan dari kalanganku orang yang mati kerana 'Asobiyyah'. Sunan Abi Daud.

Hadis ini menjelaskan bahawa, jika kita terlalu taksub dengan bangsa sendiri hingga soal maruah dan halal haram tidak diambil kira maka inilah yang dimaksudkan 'Asobiyyah'.

Cuba perhatikan dakwah Nabi s.a.w. Allah Taala telah menyatakan bahawa pengutusan baginda adalah untuk seluruh alam. Bukan untuk sesuatu kaum sahaja. Justeru tidak pernah Nabi s.a.w menyuruh menjaga bangsa Arab atau memelihara survival bangsa Arab. Allah Taala berfirman:

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Maksudnya: Tidak Kami utuskan kamu wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat ke seluruh Alam. Surah Al-Anbiya:107

Perubahan landskap politik negara pastinya ada hikmah dari Allah Taala. Mungkin inilah saat terbaik untuk kita berfikir sejenak tentang usaha kita berdakwah kepada non-muslim. Daripada kita terus berantakan sesama kita dan berburuk sangka kepada kaum lain adalah lebih baik kita menggerakkan langkah menonjolkan kebaikan Islam kepada mereka agar mereka menerima Islam.

Cara Nabi s.a.w berdepan dengan berbagai puak dan kaum di tanah Arab ialah dengan berusaha mengislamkan mereka. Malah jika direnung akan situasi masyarakat Mekah sebelum Islam dan situasi masyarakat Malaysia sekarang adalah sama sahaja. Di Mekah Nabi s.a.w berdepan dengan penyembah berhala, kita di Malaysiapun sedang berdepan dengan penyembah berhala. Cuma bezanya kita dengan baginda ialah sikap kita yang Chauvinis sedangkan Nabi membawa mesej kasih sayang buat semua tanpa mengira warna kulit dan rupa....

QUDWAH HASANAH


Pemimpin yang baik ialah mereka yang mengamalkan akhlak mulia dan mempamerkan contoh terbaik kepada seluruh rakyat....

3/21/2008


MENGHAYATI PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W

Tiada ungkapan bagi menceritakan kehalusan akhlak Rasulullah s.a.w. Baginda adalah contoh dan tauladan yang paling agung di dalam sejarah kehidupan manusia. Bukan sahaja seluruh makhluk menyayanginya bahkan Allah s.w.t amat menyayanginya.
Di dalam sebuah hadith Qudsi ada dinyatakan yang mafhumnya : " Kalau tidak kerana engkau, wahai Muhammad, nescaya Aku tidak ciptakan alam semesta ini."
Di dalam Surah Saba' ayat 28 pula, Allah s.w.t berfirman : " Tidaklah kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa khabar gembira (rahmat) kepada umat manusia (seluruh alam) dan memberi peringatan-peringatan, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
Di dalam surah Al-Ahzab ayat 21, Allah berfirman : " Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh teladan yang baik untuk kamu." Begitulah puji-pujian yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kekasihnya Rasulullah s.a.w. Kita sebagai umatnya harus berbangga dan sewajarnya memikul tugas untuk mengembangkan risalah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Dengan itu semoga Allah akan terus merahmati umatnya dengan mengurniakan kesejahteraan dan keamanan.
Sepanjang bulan Rabiul Awwal ini, umat Islam merayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Sememangnya dengan mengingati sejarah perjuangan baginda s.a.w akan menyegarkan rasa cinta dan kasih kita kepada beliau. Masih basah diingatan menerusi sejarah yang kita baca perihal halusnya akhlak baginda yang sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya daripada dirinya sendiri. Sehingga di kala sakaratul maut pun baginda masih menyebut dan mengingati umatnya. Seorang rasul yang duduk dikalangan para sahabatnya sehingga sama-sama berlapar dikala ketiadaan makanan sedangkan di tangannya tesimpan khazanah perbendaharaan langit dan bumi sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ja'far Al Barzanji di dalam Maulid Al Barzanji : " Rasul ikat perutnya dengan batu di ketika lapar, sedangkan ditangannya tersimpan kunci khazanah langit dan bumi."
Seorang Rasul yang sentiasa meminta dijauhkan dunia daripadanya dan meminta dimuliakan sebagai seorang yang miskin. Yang sentiasa bertaubat dan meminta ampun dari Allah sedangkan baginda adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa dan maksiat. Yang sentiasa gagah di medan juang menegakkan agama Allah sehingga luka dan patah gigi beliau di dalam peperangan . Begitulah tingginya keperibadian Rasulullah s.a.w yang patut kita contohi, agar dengan itu kita berharap akan beroleh barakah dan syafaat dan menjadi pendorong di dalam kita menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Mengenai perayaan Maulidur Rasul mengikut riwayat Al Asyqawi bahawa ianya dilakukan selepas kurun yang ketiga Hijrah. Orang yang mula-mula melakukan sambutan Maulidur Rasul ialah Malik Muzaffar Abu Said yang memerintah pada tahun 586 Hijrah dan perayaan tersebut telah dihadiri oleh para ulama' besar dan para ahli sufi, pembesar-pembesar dan seluruh rakyat. Kebanyakan para ulama merestui Majlis Maulidur Rasul itu diadakan kerana ia banyak membawa kemenfaatan.
Mengikut Al Hafidz Ibnu Hajar, bahawa mengadakan Maulidur Rasul itu tidak menyalahi sunnah. Terdapat di dalam Kitab Sohih Al Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa A'syura (10 Muharram), Rasulullah s.a.w bertanya : "Mengapa kamu berpuasa ?" Orang Yahudi menjawab : "Pada Hari Asyura ini, Fir'aun karam dibinasakan oleh Allah dan Nabi Musa a.s mendapat kemenangan . Kami berpuasa kerana bersyukur kepada Allah di atas rahmatNya itu." Mendengar jawapan Yahudi tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda : "Kami yang lebih patut menghargai Nabi Musa daripada kamu," Berdasarkan riwayat ini para ulama' berpendapat, bahawa Rasulullah s.a.w mengakui perbuatan Yahudi tersebut yang mengingati peristiwa Nabi Musa a.s. Malah Rasulullah berkata bagindalah sepatutnya lebih mengingati peristiwa tersebut. Oleh kerana itu, para ulama' berpendapat tidak salah kita mengingati sejarah dan hari keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w berdasarkah qias kepada riwayat tentang mengingati Nabi Musa a.s. Demikian menurut ijma' jumhur ulama'.
Tujuan utama di adakan Maulidur Rasul itu ialah untuk meniupkan semangat jihad di kalangan umat untuk menegakkan agama Allah di samping untuk kita mencontohi peribadi, akhlak dan perjuangan baginda serta mendapat barakah daripada bacaan Maulid.

3/13/2008

Kejutan PRU12 lambang Kuasa Ilahi


Kejutan PRU 12 memang tidak dapat disangkal lagi. Semua pihak menyatakan rasa hairan dengan apa yang termaktub pada tanggal 8 Mac 2008 lalu. Semalam saya terserempak dengan seroang rakan pemuda UMNO dan beliau ucapkan tahniah kepada saya. Hairan jugak kenapa tahniah? Saya bukan wakil rakyat yang menang! Mungkin dia anggap saya antara 1.4 bilion golongan muda yang menyatakan silent protest sepertimana yang dinayatakan oleh ZAM bekas menteri penerangan yang turut kecundang.

Namun apa yang saya ingin nyatakan ialah inilah masa dan saat paling baik untuk kita kembali insaf bahawa tiada yang kekal berkuasa di atas muka bumi ini. Bukankah 'kuasa' tu milik Allah. Dia berikan kepada siapa yang dikehendaki dan Dia tarik balik dari pada sesiapa sahaja yang Dia telah berikan kuasa. PRU 12 juga membuktikan bahawa sifat 'angkuh' hanya akan meranapkan diri. Sebelum PRU 12 ramai yang menunjukkan lagak 'angkuh' seolah-olah tiada kuasa yang boleh mengalahkan kita. Namun hakikatnya yang perlu di terima iala Kuasa Allah Taala adalah segala-galanya......ALLAHUAKBAR!!!

Cuma ada satu kemusykilan yang masih belum terungkai iaitu pendekatan DAP yang mula menampakkan sikap agresif menukar dan membatalkan dasar-dasar tertentu tanpa menilai risikonya terhadap rakyat. Contohnya spt DEB. Memanglah hasilnya tidak nampak tetapi untuk menghapuskannya tidak sepatutnya terlalu awal. Cukup sekadar perbetulkan mana yang silap dan letakkan pada landasan yang betul. Sebagai Melayu Muslim memang ada terguris dengan sikap Lim Guan Eng yang agaknya tidak mengambil kira bahawa ia berada di Malaysia Tanah Melayu dan bukannya di Tanah Besar China.!!

3/04/2008

FATWA MENGUMPAT DIBOLEHKAN?



Saya, apabila mendengar dendangan media memainkan isu fatwa mengumpat tidaklah berminat sangat untuk mengikutinya. Kerana ini semua adalah satu permainan politik. Namun apa yang menjadi kebimbangan saya ialah kecenderungan orang ramai yang menelan bulat-bulat kenyataan bahawa mengumpat secara total tidak dibolehkan dan tiada ruang yang dibernarkan oleh Islam.
Bagi menjelaskan isu fatwa mengumpat ini suka saya menukilkan apa yang diutarakan oleh Al-Syeikh Abdul kadir bin Abdul Mutalib Al-Mandili di dalam bukunya ‘Penawar bagi hati’.
Kata beliau: “…dan ketahui olehmu bahawa mengumpat itu haram dengan ijmak, melainkan pada enam tempat diharuskan padanya mengumpat:
(Pertama) Orang yang mengadu kepada raja. Berkata ia si anu menzalim ia akan daku, dan menyebut ia akan kejahatan itu.
(Yang kedua) Orang yang minta tolong pada menghilangkan maksiat, maka harus baginya bahawa berkata ia: “Si anu mengerjakan maksiat, tolong olehmu akan daku pada menghilangkannya”. Dan menyebut ia akan nama maksiat itu.
(Yangketiga) orang yang minta fatwa. Apabila berhajat kepada menyebut pertanyaan seperti berkata oleh isteri: “Suami aku seorang yang kikir (kedekut) tiada memberi ia bagiku akan yang memadai daripada nafkah, maka adakah harus aku ambil daripada hartanya setengah yang memada bagiku.
(Keempat) Yang menakutkan akan orang Islam daripada kejahatan orang yang lain. Seperti berkata ia: “Perempuan itu jahat kelakuannya maka jangan engkau berkahwin dengan dia”. Dan menyebut ia kan nama kejahatan itu.
(Yang Kelima) Bahawa ada seorang yang masyhur ia dengan nama yang ada padanya kecelaan seperti Al-‘Araj ertinya capik (tempang).
(Yang Keenam) Bahawa ada ia menzahirkan akan kejahatan maka harus disebutkan kejahatan yang dizahirkannya itu. Sila rujuk kitab ‘Penawar Bagi hati mukasurat 30-31 edisi jawi.
Demikianlah apa yang dinyatakan dalam buku tersebut. Sengaja saya tidak membawa pandangan dari ulama lain atau kitab lain kerana cukup dengan membawakan nukilan dalam kitab ini yang menjadi bahan bacaan para ustaz di masjid-masjid dan surau-surau.
Dengan itu jelaslah bahawa kenyataan mengumpat dibolehkan bukanlah satu fatwa baru tetapi ia selari dengan ajaran Islam yang membenarkan kita menghebahkan kejahatan seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat agar kita menolaknya dan memilih pemimpin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala.