12/17/2012

Meredah Sg Berkelah...


Mukhayyam Tarbawi Remaja Surau




Perancangan mengadakan program Mukhayyam Remaja Surau Indera Sempurna dibuat lebih kurang dalam masa 3 minggu. Ia adalah lanjutan dari siri rehlah yang pernah dibuat sebelum ini. Pada tahun lepas Rehlah dibuat di Sg Mas di Sg Lembing. Alhamdulillah sokongan dari pihak surau dan ahli jamaah dewasa sangat menggalakkan. Ustaz Sayuti Bendahari surau , Tuan Haji Nordin, Wan Kamarulzaman, En Ibrahim, En Ghazali, En Ridhuan, En Roslan, Imam Muda Saifuddin, En Musa dan adiknya memberikan komitmen untuk turut serta menjayakan program ini. Para peserta di kalangan remaja mencapai sasaran iaitu seramai 20 orang.
Program kali ini diadakan pada 15 dan 16 Disember 2012 di tapak perkhemahan Berkelah, Maran. Sebanyak 7 kenderaan terlibat ke sana iaitu sebuah Triton, Hilux, Pajero, Exora, Suzuki APV, Wira dan Pesona. Pada jam 3.30pm semua peserta bertolak secara konvoi ke Berkelah. Dalam perjalanan kami singgah di Balai Polis Gambang untuk memaklumkan program ini kepada pihak PDRM bagi tujuan keselamatan peserta. Dalam perjalanan peserta konvoi Mukhayyam dapat menikmati suasana hutan yang masih terpelihara. Akibat dari jambatan menuju ke tapak perkhemahan runtuh, semua kenderaan terpaksa meredah 3 batang sungai bagi meneruskan perjalanan. Ia adalah pengalaman yang sangat menarik. Kira-kira jam 4.45pm kami sampai dan semua peserta terus ke sungai untuk berwuduk bagi menunaikan solat Asar berjamaah. Selesai solat Asar Imam Muda Saifuddin memberikan sedikit taklimat . Kem Komanden En Ghazali pula menyampaikan taklimat disiplin dan keselamatan. Selepas itu semua peserta membersihkan tapak perkhemahan dan memasang khemah masing-masing. Sebelah petangnya para peserta dibenarkan mandi manda di sg Berkelah yang begitu jernih dan nyaman. Urusetia bahagian masakan iaitu Haji Nordin, Ustaz Zuridan, Wan Kamarulzaman dan Riduan bekerjasama menyediakan juadah makan malam.
Apabila masuk waktu maghrib azan dikumandangkan dan semua peserta Mukhayyam solat berjamaah dengan diimamkan oleh Imam Muda. Kuliah Maghrib pula di sampaikan oleh Ustaz Sayuti dengan memberikan penekanan kepada soal peranan pemuda Islam. Setelah selesai solat Isyak peserta menikmati makan malam dengan makan berjamaah di dalam talam dan dihidangkan dengan menu nasi putih, gulai ayam kari dan sambal budu special….sangat menyelerakan.
Kira-kira jam 10.30 malam para peserta remaja yang diberikan dalam 4 kumpulan telah mempersembahkan lagu tema kumpulan masing dan memperkenalkan ahli kumpulan. Kem Komanden telah memberikan tugasan kepada setiap kumpulan membuat kawalan secara shift sehingga jam 4.30 pagi. Tepat jam 4.30 pagi siren dibunyikan dan semua peserta mukhayyam bangun untuk bersiap mendirikan qiamullail. Qiamullail dan solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Zuridan. Masuk waktu Subuh, azan berkumandang memcah kesunyian hutan belantara Berkelah yang tebal. Kuliah subuh menyentuh tentang kehebatan alam ciptaan Allah dan kisah remaja dalam surah al-Buruj yang disampaikan oleh Ustaz Zuridan.
Sarapan pagi pula disediakan oleh peserta dewasa dengan menu nasi goring Kastam dan roti telur goreng serta air nescafe susu….emm sangat menyegarkan.
Seusai sarapan semua peserta remaja berkumpul dan menyanyikan lagu negaraku dan berkawad yang dipimpin oleh instructor bertauliah En Wan Kamarulzaman. Kemudian peserta di bawa meneroka keindahan alam, dengan  meredah hutan dan meneroka air terjun yang begitu indah. Kira-kira jam 10.30 pagi setelah mandi-manda semua peserta dihidangkan dengan juadah nasi putih, gulai sardine, telur goreng dadar dan sambal kicap perah limau nipis…
Sebelum berkemas pulang para peserta mengadakan perlawanan polo air dengan begitu meriah sekali. Penutup program telah dilakukan oleh pengerusi Surau Fatimah Az-Zahra Ustaz Rosaidi yang meluangkan masa hadir pada penghujung mukhayyam kali ini…beliau telah memberikan kata-kata semangat kepada remaja yang terlibat dan berjanji akan meneruskan aktiviti seumpama ini.
Semua peserta bergerak pulang kira-kira jam 12.30 tengahari 16 Disember 2012 dan sampai ke surau Fatimah Az-Zahra jam 1.30 tgh. Selesai solat zohor berjamaah semua pesertapun bersurai….
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Tuan Haji Cikgu Din telah meminjamkan genset nya. En Razi telah meminjamkan tritonnya dan semua yang memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit...semua ia dinilai sebagai amal soleh insyaAllah.








11/06/2012

1434 Hijrah



Selamat Menyambut Tahu Baru 1434Hijrah!
Tanpa disedari tahun 1433 Hijrah bakal meninggalkan kita, dan kini kita bakal melangkah ke tahun baru1434 Hijrah. Jika diinsafi secara mendalam, berlalunya tahun 1433 Hijrah bermakna usia kita semakin lanjut dan destinasi terakhir hidup di dunia ini semakin hampir. Hakikatnya, perjalanan masa yang bergerak begitu pantas ini adalah sebahagian dari tanda bahawa kita telah berada di akhir zaman. Ini bertepatan dengan apa yang pernah diingatkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW di dalam sabdanya:  
((لا تقوم الساعة حتى يقبض العلم، وتكثر الزلازل، ويتقارب الزمان، وتظهر الفتن ويكثر الهرج وهو القتل))
Maksudnya: "Tidak akan berlaku Kiamat sehingga ilmu diangkat, banyak berlaku gempa bumi, masa menjadi hampir(pantas berlalu), berlaku fitnah dan banyak berlaku al-Harj’ iaitu pembunuhan”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
 Berdasarkan hadis ini dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa tanda amaran dari Rasulullah s.a.w tentang kedatangan hari kiamat yang semakin hampir apabila tibanya tahun baru. Nabi Muhammad SAW telah mengkhabarkan kepada kita tanda-tanda kiamat tersebut sebagai satu amaran agar kita sentiasa bersiap-sedia menempuhnya. Antara tanda-tanda tersebut ialah ilmu yang semakin berkurang akibat daripada jumlah pencinta ilmu semakin sedikit dan dalam masa yang sama orang berilmu lebih suka berehat dan menyembunyikan ilmunya. Ini dapat dilihat melalui kecenderungan manusia kepada sesuatu yang bersifat hiburan melebihi daripada aktiviti keilmuan. Malah program-program ilmu juga terpaksa dibuat dalam bentuk hiburan bagi menarik orang ramai menghadirinya. Tanda kedua ialah banyaknya berlaku gempa bumi. Tanda ini juga sudah begitu kerap berlaku di serata dunia. Tanda ketiga ialah masa semakin hampir, iaitu jarak masa menjadi begitu dekat dan kita dapat rasakan bagaimana pantasnya masa berlalu. Tanda keempat ialah banyaknya berlaku fitnah yang telah menjadi amalan biasa di kalangan umat Islam khususnya. Demi mencapai cita-cita dunia seperti pangkat dan harta. Tanda kelima ialah banyaknya berlaku kematian akibat pembunuhan dan peperangan dan tanda yang keenam ialah harta menjadi banyak dan hartawan menjadi begitu ramai sehinggakan orang-orang kaya begitu bangga mempamerkan kekayaan mereka dan suasana ini telah menjadi fenomena biasa di kalangan umat manusia.
Sabda Rasulullah SAW di dalan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih:
((لا تقوم الساعة حتى يتقارب الزمان، فتكون السنة كالشهر، ويكون الشهر كالجمعة، وتكون الجمعة كاليوم، ويكون اليوم كالساعة، وتكون الساعة كاحتراق السعفة))
Awal Muharram sepatutnya menjadi saat paling baik bagi kita melakukan muhasabah diri dengan menyesali segala dosa yang telah dilakukan. Ini bertepatan dengan saranan Al-Quran yang memerintahkan golongan yang beriman agar sentiasa merenung apa yang telah dikerjakan sebagai bekalan untuk kemudian hari. Firman Allah Taala yang bermaksud:

((يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون))

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan setiap diri itu hendaklah melihat apa yang telah dilakukan (sebagai persiapan) untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Surah al-Hasyr ayat: 18.

 Bagi umat Islam sambutan tahun baru 1434 Hijrah seharusnya berbeza dengan suasana sambutan tahun baru Masehi  yang selalunya diwarnai dengan pesta dan aktiviti hiburan. Ini adalah kerana kalender umat Islam bermula dengan berlakunya peristiwa hijrah yang tercatat di dalamnya kisah perjuangan dan jihad mempertahankan Iman dan Islam. Malah Saidina Umar al-Khattab yang mempopularkan kalender hijrah amat jelas hasratnya mahu menjadikan umat Islam sebagai umat beridentiti dan bukannya menjadi bangsa pengikut kepada apa sahaja yang datang dari dunia bukan Islam. Justeru adalah menjadi suatu yang menyedihkan apabila kedapatan umat Islam yang mengadakan pesta berunsur maksiat sebagai menyambut ketibaan tahun baru Masehi setiap tahun. Saidina Umar al-Khattab r.a apabila bersetuju dengan cadangan para sahabat lain supaya memulakan kalender Islam dengan tarikh peristiwa hijrah dan menolak cadangan memulakannya dengan tarikh kelahiran, kewafatan atau pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul adalah kerana beliau melihat peristiwa hijrah adalah peristiwa terpenting dalam sejarah perubahan perkembangan Islam. Bermula dengan jumlah pengikut yang sedikit di Mekah, sering ditindas, sukar beribadah, disakiti dan dibuli, akhirnya selepas hijrah ke Madinah umat Islam telah memperolehi tanahair, memerintah negara sendiri, bebas beribadah dan berdakwah, jumlah penganut yang semakin ramai malah telah menjadi umat yang kuat dan digeruni.
Peristiwa Hijrah juga menjadi sangat penting kerana ia menunjukkan kepada kita bahawa sunnah baginda SAW bukan sahaja dalam bentuk dakwah ke masjid tetapi lebih luas iaitu dakwah membawa ummah menegakkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan terlaksana di dalamnya semua syariat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana dengan tertegaknya sebuah negera yang melaksanakan syariat Islam maka seluruh aspek kehidupan manusia akan sentiasa terpelihara dari sebarang bentuk kezaliman dan penyelewengan. Seterusnya akan membawa kepada keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 96:


((ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون))


Maksudnya: ((Dan jika penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa nesacaya akan Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi sebaliknya mereka mendustakan (ajaran Islam), maka Kami timpakan kepada mereka hukuman di atas apa yang tekah mereka kerjakan)).
             Hijrah mengajar kita bahawa dua asas utama kekuatan yang perlu dibangunkan segera bagi memperkasa umat Islam iaitu peranan institusi Masjid dan peranan ukhuwwah atau ikatan persaudaraan di kalangan sesama Islam. Keputusan Nabi SAW melakukan pembinaan masjid seawal baginda tiba di Madinah al-Munawwarah bukanlah menjadi suatu kebetulan sahaja sebaliknya satu sunnah yang mengajar kita bahawa sumber kekuatan utama Islam ialah masjid. Masjid hendaklah menjadi tempat membina hubungan dengan Allah, mengatur urusan negara, tempat bermusywarah dan juga menjadi universiti terbuka kepada umat Islam. Masjid juga seharusnya menjadi tempat berkumpulnya para pemimpin dan rakyat untuk sama-sama merasakan sifat kehambaan dan tiada erti perbezaan di kalangan manusia melainkan taqwa. Keagungan peranan masjid dapat dilihat melalui tindakan Nabi s.a.w menjadikannya sebagai pusat pentadbiran negara dan menguruskan manusia. Manakala usaha Nabi s.a.w mempersaudarakan  muhajirin dan ansar adalah merupakan bukti bahawa kekuatan umat Islam adalah bergantung kepada kesatuan hati atas asas iman kepada Allah Taala. Dengan kesatuanlah segala macam bentuk ancaman dapat ditangkis dan usaha meruntuhkan kerajaan Islam dapat digagalkan. Kesatuan pula mestilah diasaskan kepada menegakkan keadilan Islam dan memerangi sebarang bentuk kezaliman.
Dalam konteks kehidupan individu pula, hijrah sepatutnya menjadi pemangkin memperkasakan diri agar berubah kepada keadaan yang lebih baik samada dari aspek ekonomi, ilmu dan sahsiah. Hijrah juga menuntut perubahan ke arah keimanan yang lebih mantap dengan meyakini bahawa hanya kembali kepada ajaran Islam secara syumul sahajalah kita akan dapat mengangkat kembali maruah dan harga diri umat Islam. Hijrah seharusnya mengingatkan kita semua bahawa berlalunya masa dan berubahnya tahun bererti usia kita semakin meningkat. Meningkatnya usia pula bererti saat hijrah abadi kita iaitu ke alam barzakh sudah semakin hampir. Oleh itu dengan tibanya tahun baru hijrah sewajarnya kita bermuhasabah tentang pencapaian amalan pada tahun yang lalu. Solat kita, puasa kita, zikir kita, sedekah kita, amanah kita dan sebagainya, apakah sudah ditunaikan atau sebaliknya. Amat malang jika soal dunia kita mampu membuat perubahan tetapi soal akhirat tiada sebarang perubahan malah semakin merosot.
Berkata Saidina Umar Al-Khattab r.a: ”Muhasabahlah dirimu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalanmu sebelum ianya ditimbang dan bersiaplah untuk hari pameran terbesar (hari Kiamat) ”.