11/27/2010

Kenangan bersama Arwah Abg Ibrahim Selimbar.


Pada 14 Nov 2010 abg Ibrahim (baju kemeja berkotak coklat) kembali ke rahmatullah selepas mengadu tidak sihat. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Jerantut dengan ditemani oleh isterinya Kak Leha. Gambar ini adalah kenangan terakhir bersamanya semasa kami menziarahi keluarganya di Selimbar pada tahun 2009. Semoga Allah Taala merahmati rohnya dan menempatkannya di dalam syurga...Amin!!

9/28/2010

"Muallaf" menurut sisi pandangan fiqh Zakat


Mengenai asnaf Muallaf Qulubuhum, Imam Al-Tabari di dalam menafsirkan ayat 60 Surah Al-Taubah berkata bahawa Allah SWT menjadikan sedekah (zakat) dalam dua maksud iaitu, pertama bagi menampung keperluan orang-orang Islam dan keduanya bagi membantu Islam dan memperkuatkannya. Dalam usaha membantu Islam dan memperkuatkannya zakat diberikan samada kepada golongan fakir miskin dan kaya kerana ia diberikan bukan atas dasar keperluan kepada zakat (seperti orang fakir dan miskin memerlukannya) tetapi ia diberikan seperti kepada orang yang berjihad di jalan Allah. Ia diberikan samada kepada kaya atau miskin bagi tujuan berperang dan bukannya memenuhi keperluan hidupnya. Begitulah bagi golongan Muallaf Qulubuhum, mereka diberikan zakat meskipun kaya bagi membaiki keadaan agama Islam mereka dan supaya menjadi pendokongnya[1].
Berkenaan dengan makna Muallaf Qulubuhum pula, Hassan Ayub (1973) berpendapat ia adalah merujuk kepada golongan yang dijinakkan hati samadan kafir atau Islam. Bagi orang kafir zakat diberikan bukan kerana mereka fakir tetapi tujuan diberikan zakat kepada mereka adalah supaya mereka dapat menerima Islam dan mengelakkan kemudaratan yang dilakukan mereka terhadap Islam. Manakala bagi mereka yang memeluk Islam zakat diberikan bertujuan untuk kebaikan mereka yakni memperkukuhkan pegangan Islam mereka[2].
Muhammad ’Ali Al-Sobuni (1997) pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam[3]. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi”[4].

Muhammad ’Uqlah (1985) berpendapat bahawa golongan ini diberikan zakat adalah demi kemaslahatan dakwah dan negara Islam. Ini kerana dengannya dapat meningkatkan lagi kekuatan Islam dan mendapat sokongan dari orang Islam dan bukan Islam seterusnya mampu melemahkan musuh Islam[5].
Secara umumnya asnaf Muallaf Qulubuhum terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
Pertama: Golongan yang diberikan zakat oleh Nabi SAW bagi tujuan menjinakkan hati mereka agar mereka dan kaum mereka memeluk Islam.
Kedua: Golongan yang sudah masuk Islam, tetapi masih lemah Islamnya, oleh itu diberikan zakat bagi tujuan menguatkan Islam mereka.
Ketiga: Golongan kafir yang diberikan zakat bagi mengelakkan kejahatan mereka terhadap Islam.
Para ulama berbeza pendapat dalam soal penerusan agihan zakat kepada asnaf Muallaf Qulubuhum pada zaman ini kepada dua pendapat iaitu:
Pertama: Asnaf Muallaf Qulubuhum diberikan zakat kerana maksud dari pemberian tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih wujud sehingga ke hari ini.
Kedua: Tidak diberikan zakat kepada asnaf ini kerana para khulafa Al-Rasyidin selepas baginda SAW dan para sahabat tidak memberikannya zakat.
Pendapat kedua ini adalah pendapat jumhur ulama iaitu Mazhab Maliki, Al-Syafie dan Abu Hanifah. Dalil mereka adalah berdasarkan kepada tindakan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang tidak memberikan zakat kepada asnaf ini dan ianya dipersetujui oleh Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. Ini berdasarkan dalil berikut:
روي أن عيينة بن حصن والأقرع بن حابس وعباس بن مرداس، جاءوا إلى أبي بكر الصديق، وطلبوا منه نصيبهم – من سهم المؤلفة قلوبهم- فكتب لهم به كتابا....
Diriwayatkan oleh ’Uyainah bin Hisn, Al-’Aqra’ bin Habis dan ’Abbas bin Mirdas di mana mereka telah bertemu dengan Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan mereka meminta darinya (zakat) dari asnaf Muallaf Qulubuhum. Lalu (Abu Bakar) menulis surat untuk mereka. Kemudian mereka menemui Umar Al-Khattab r.a dan menyerahkan surat tersebut. Namun Umar enggan memberikan zakat kepada mereka dan beliau mengoyak surat tersebut sambil berkata: Ini (zakat) diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu adalah sebagai menjinakkan hati kamu kepada Islam. Jika kamu tetap dengan Islam, dan sekiranya tidak maka antara kami dan kamu adalah pedang!! Lalu beliau membacakan firman Allah Taala:
وقل الحق من ربكم ومن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر) ﭽ ﭼ الكهف: ٢٩ )
Maksudnya: (( dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya...)).
Kemudian mereka kembali bertemu Abu Bakar r.a dan berkata kepadanya: Wahai Amir Al-Mukminin, apakah kamu Khalifah atau Umar? Engkau tuliskan untuk kami surat, kemudian dikoyakkan oleh Umar. Jawab Abu Bakar: Dialah khalifah kalau dia mahu[6].
Umar bin Al-Khattab r.a juga pernah berkata:
"كنا نؤلف حين كان الإسلام في ضعف، أما الآن وقد عز وقويت شوكته فلا حاجة بنا للتأليف"
Maksudnya: “Kami menjinakkan hati ketikamana Islam lemah, adapun sekarang ia telah muliah dan kuat, maka tiada keperluan lagi untuk menjinakkan (dengan zakat)”.
Mereka yang berpihak kepada pendapat kedua berpendapat bahawa dalil di atas menunjukkan bahawa Khalifah Abu Bakar r.a telah bersetuju dengan tindakan Umar Al-Khattab r.a dan menurut mereka tiada sebarang riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat termasuk Uthman Al-Affan r.a dan Ali r.a memberikan zakat bagi asnaf berkenaan[7].
Pendapat pertama pula ialah pandangan di kalangan Mazhab Hanbali yang melihat bahawa tindakan Umar Al-Khattab r.a dan para sahabat bukanlah pemansuhan kepada asnaf tersebut. Ia adalah penilaian semasa adakah wujud atau tidak keperluan memberikan zakat kepada asnaf berkenaan ketika itu. Pada zaman Umar Al-Khattab beliau melihat bahawa sebab pemberian kepada asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi menjinakkan hati sudah tidak wujud. Kerana Islam pada pendapatnya sudah kuat maka tidak perlu diberikan zakat kepada asnaf ini. Namun begitu bahagian zakat bagi asnaf ini tetap ada sepertimana disebut di dalam Al-Quran dan tidak dimansuhkan. Justeru jika wujudnya kembali sebab untuk menjinakkan hati bagi asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi memperkukuhkan dan mempertahankan Islam, maka golongan ini bolehlah diberikan zakat semula sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
[1] Al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Takwil Al-Quran, jilid 14 hlm 316.
[2] Hassan Ayub, Al-Zakah Fi Al-Islam,1973, Dar Al-Qalam Kuwait, hlm 107.
[3] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, 1997 Dar Al-quran Al-Karim, Beirut. hlm 107.
[4] Ibnu Jarir Al-Tobari, Jami Al-Bayan, jld10 hlm 157.
[5] Muhammad ‘Uqlah Al-Ibrahim, Al-Tatbiqat Al-Tarikhiyyah Wa Al-Mu’asirah Li Faridhah Al-Zakah, Dar Al-Dhiya, Beirut, hlm 79.
[6] إعلاء السنن 9/72 والذخيرة للقرافي 3/146.
[7] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, hlm 109.

9/21/2010

Promo Agihan Zakat

Zakat & Ramadhan

Biasanya bila tiba bulan Ramadhan maka bermulalah kempen zakat oleh banyak institusi zakat di negara kita kerana mengambil peluang keterbukaan hati umat Islam untuk bersedekah di bulan Ramadhan .
Meskipun pada bulan Ramadhan hanya zakat fitrah sahaja yang menjadi keutamaan syarak yang menjadi kewajipan kepada semua umat Islam, hingga yang lahir sebelum maghrib hari terakhir Ramadhanpun dimestikan zakat fitrah, namun semacam sudah menjadi kelaziman, apabila tibanya bulan Ramadhan berlumba-lumbalah orang-orang kaya mahupun syarikat-syarikat korporat mengeluarkan zakat harta mereka dan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan. Perkara ini tidaklah menjadi kesalahan tetapi ia wajar diperjelaskan agar mereka yang terlibat dengan perniagaan dan mereka yang memiliki harta yang mesti dizakatkan tidak tersalah anggap bahawa bulan Ramadhan adalah waktu yang ditetapkan oleh syarak untuk mengeluarkan zakat harta. Sedangkan zakat harta mahupun pertanian wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya atau cukup nisabnya sahaja tidak kira dalam bulan apa sekalipun kerana bantuan kepada golongan memerlukan adalah tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja. Zakat fitrah disyariatkan sempena Ramadhan adalah secara khusus bertujuan membantu dan menggembirakan mereka yang memerlukan bagi menyambut hariraya Aidilfitri.
Di samping itu berdasarkan pemerhatian saya, kini sudah menjadi satu trend zakat harta diagihkan sendiri atau diwakilkan terus kepada pihak-pihak berkepentingan dan bukannya institusi yang diamanahkan. Akibatnya banyak majlis-majlis agihan zakat yang diadakan khusus pada bulan Ramadhan tidak menepati sasaran asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak. Sebagai contoh mereka yang mengagihkan bantuan Ramadhan yang diterima dari pihak yang mengeluarkan zakat, menetapkan hanya dua kumpulan sahaja yang akan diberikan bantuan kepada mereka iaitu ibu tunggal dan warga emas. Sedangkan mereka ini ada yang tidak termasuk di dalam asnaf fakir dan miskin. Ada juga yang mengagihkan zakat mereka terus kepada anak-anak yatim atau institusi yang menguruskan anak-anak yatim hinggakan melebihi dari keperluan anak-anak yatim tersebut. Hinggakan ada yang tersalah anggap bahawa anak yatim juga termasuk di dalam asnaf zakat.
Dari segi syaraknya agihan zakat tidak boleh dilakukan dengan sewenangnya atau berdasarkan andaian sahaja. Kesemua lapan asnaf zakat ditetapkan oleh nas Al-Quran (Surah Al-Taubah ayat 60) yang menunjukkan bahawa Allah Taala tidak membenarkan agihan zakat dibuat berdasarkan hawa nafsu dan andaian manusia. Harta zakat adalah amanah dari pemilik harta dan mesti disampaikan kepada mereka yang telah dinyatakan oleh Allah Taala sahaja kerana Ia lebih Mengetahui siapakah di kalangan hambaNya yang sangat memerlukan pertolongan. Jika berlaku salah agihan akibat dari kecuaian atau sengaja melakukannya, maka pihak yang mengagihkan zakat tersebut adalah berdosa di hadapan Allah Taala kerana mengubah ketetapanNya.
Melihat kepada fenomena inilah barulah sahaja teringat akan pendapat Imam Al-Syafie bahawa zakat mesti diserahkan kepada pemerintah atau institusi yang dilantik bagi menguruskannya selagimana tiada sebarang bukti berlaku penyelewengan harta zakat. Malah jika sekiranya seorang pemerintah itu fasiq dan zalim tetapi ia tetap adil dalam agihan zakat maka wajib diserahkan zakat kepada pemerintah. Ini bagi memastikan harta zakat tidak diagihkan kepada bukan asnaf atau diagihkan secara tidak adil kepada asnaf kerana dalam mazhab Al-Syafie harta zakat hendaklah diagihkan kepada semua asnaf yang lapan jika kesemuanya wujud. Pendapat beliau ini adalah bersandarkan amalan Rasulullah SAW dan Khulafa Al-Rasyidin. Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah Taala di dalam Surah Al-Taubah ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah dari harta mereka sedekah (zakat) yang membersihkan dan menyucikan mereka…”.
Dalam pada itu pihak institusi zakat pula terutamanya yang terlibat secara lanusng dengan agihan, wajar menangani segera persepsi bahawa pemerintah tidak mengagihkan zakat secara adil atau harta zakat digunakan untuk kepentingan lain. Ia walaupun satu persepsi tetapi kesannya sangat kuat di dalam mempengaruhi pembayar-pembayar zakat sehingga mereka merasakan lebih yakin mengagihkan zakat sendiri atau disalurkan kepada pihak-pihak lain untuk mengagihkannya. Institusi yang mengagihkan zakat wajar meningkatkan kecekapan dalam agihan dan mempromosikan pelbagai bentuk agihan yang dilakukan serta mewar-warkannya agar segala persepsi yang salah ini dapat ditangani dengan baik. Kewibawaan institusi zakat bukan sahaja dilihat kepada kemampuannya mengumpulkan zakat berjuta ringgit tetapi turut dilihat dari sudut kemampuannya menyalurkan harta zakat kepada asnafnya dengan tepat dan efisien.

9/18/2010

Ziarah Raya Ke Kuala Lipis


Sempena Aidilfitri kali ini sepertimana tradisinya kami sekeluarga beramai-ramai menziarahi sanak saudara di Kuala Lipis. Alhamdulillah ziarah sehari ke sana dapat kembali menghangatkan hubungan persaudaraan sesama ahli keluarga yang sudah lama tidak berjumpa. Semoga Allah Taala meneruskan hubungan ini sehinggalah ke generasi akan datang. Ibarat kata pepatah "Air dicincang tidak akan putus".








































9/06/2010

Anak-anak buah UMP berbuka di rumah











8/09/2010

Sehari di Taman Negara

Pada 7 Ogos 2010 saya berpeluang sekali lagi ke Taman Negara Kuala Tahan Jerantut. Saya ke sana atas jemputan BSN Pahang bagi mengisi slot Motivasi Pelajar sempena program BSN bersama rakyat di Kuala Tahan. Kali ini saya ke sana bersama-sama dengan Hj Nordin dan Hj Salleh. Pada pagi hari Sabtu tersebut saya berkesempatan solat berjamaah bersama-sama pelajar Sek Menengah Kuala Tahan dan menyampaikan kuliah Subuh kepada mereka. Kira-kira jam 9.00pagi pula saya menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar Sek Keb Kuala Tahan serta ibubapa mereka. Selepas tamat program tersebut saya, Hj Nordin dan Hj Salleh menaiki bot meredah sungai Tahan. Masyaallah pemandangan dan suasana yang begitu menakjubkan dapat dilihat sepanjang perjalanan....Selepas solat jamak Zohor dan Asar di masjid Kuala Tahan dan tidur sekejap, kami bertolak ke Kuantan kira-kira jam 4 petang.