9/28/2010

"Muallaf" menurut sisi pandangan fiqh Zakat


Mengenai asnaf Muallaf Qulubuhum, Imam Al-Tabari di dalam menafsirkan ayat 60 Surah Al-Taubah berkata bahawa Allah SWT menjadikan sedekah (zakat) dalam dua maksud iaitu, pertama bagi menampung keperluan orang-orang Islam dan keduanya bagi membantu Islam dan memperkuatkannya. Dalam usaha membantu Islam dan memperkuatkannya zakat diberikan samada kepada golongan fakir miskin dan kaya kerana ia diberikan bukan atas dasar keperluan kepada zakat (seperti orang fakir dan miskin memerlukannya) tetapi ia diberikan seperti kepada orang yang berjihad di jalan Allah. Ia diberikan samada kepada kaya atau miskin bagi tujuan berperang dan bukannya memenuhi keperluan hidupnya. Begitulah bagi golongan Muallaf Qulubuhum, mereka diberikan zakat meskipun kaya bagi membaiki keadaan agama Islam mereka dan supaya menjadi pendokongnya[1].
Berkenaan dengan makna Muallaf Qulubuhum pula, Hassan Ayub (1973) berpendapat ia adalah merujuk kepada golongan yang dijinakkan hati samadan kafir atau Islam. Bagi orang kafir zakat diberikan bukan kerana mereka fakir tetapi tujuan diberikan zakat kepada mereka adalah supaya mereka dapat menerima Islam dan mengelakkan kemudaratan yang dilakukan mereka terhadap Islam. Manakala bagi mereka yang memeluk Islam zakat diberikan bertujuan untuk kebaikan mereka yakni memperkukuhkan pegangan Islam mereka[2].
Muhammad ’Ali Al-Sobuni (1997) pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam[3]. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi”[4].

Muhammad ’Uqlah (1985) berpendapat bahawa golongan ini diberikan zakat adalah demi kemaslahatan dakwah dan negara Islam. Ini kerana dengannya dapat meningkatkan lagi kekuatan Islam dan mendapat sokongan dari orang Islam dan bukan Islam seterusnya mampu melemahkan musuh Islam[5].
Secara umumnya asnaf Muallaf Qulubuhum terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
Pertama: Golongan yang diberikan zakat oleh Nabi SAW bagi tujuan menjinakkan hati mereka agar mereka dan kaum mereka memeluk Islam.
Kedua: Golongan yang sudah masuk Islam, tetapi masih lemah Islamnya, oleh itu diberikan zakat bagi tujuan menguatkan Islam mereka.
Ketiga: Golongan kafir yang diberikan zakat bagi mengelakkan kejahatan mereka terhadap Islam.
Para ulama berbeza pendapat dalam soal penerusan agihan zakat kepada asnaf Muallaf Qulubuhum pada zaman ini kepada dua pendapat iaitu:
Pertama: Asnaf Muallaf Qulubuhum diberikan zakat kerana maksud dari pemberian tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih wujud sehingga ke hari ini.
Kedua: Tidak diberikan zakat kepada asnaf ini kerana para khulafa Al-Rasyidin selepas baginda SAW dan para sahabat tidak memberikannya zakat.
Pendapat kedua ini adalah pendapat jumhur ulama iaitu Mazhab Maliki, Al-Syafie dan Abu Hanifah. Dalil mereka adalah berdasarkan kepada tindakan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang tidak memberikan zakat kepada asnaf ini dan ianya dipersetujui oleh Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. Ini berdasarkan dalil berikut:
روي أن عيينة بن حصن والأقرع بن حابس وعباس بن مرداس، جاءوا إلى أبي بكر الصديق، وطلبوا منه نصيبهم – من سهم المؤلفة قلوبهم- فكتب لهم به كتابا....
Diriwayatkan oleh ’Uyainah bin Hisn, Al-’Aqra’ bin Habis dan ’Abbas bin Mirdas di mana mereka telah bertemu dengan Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan mereka meminta darinya (zakat) dari asnaf Muallaf Qulubuhum. Lalu (Abu Bakar) menulis surat untuk mereka. Kemudian mereka menemui Umar Al-Khattab r.a dan menyerahkan surat tersebut. Namun Umar enggan memberikan zakat kepada mereka dan beliau mengoyak surat tersebut sambil berkata: Ini (zakat) diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu adalah sebagai menjinakkan hati kamu kepada Islam. Jika kamu tetap dengan Islam, dan sekiranya tidak maka antara kami dan kamu adalah pedang!! Lalu beliau membacakan firman Allah Taala:
وقل الحق من ربكم ومن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر) ﭽ ﭼ الكهف: ٢٩ )
Maksudnya: (( dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya...)).
Kemudian mereka kembali bertemu Abu Bakar r.a dan berkata kepadanya: Wahai Amir Al-Mukminin, apakah kamu Khalifah atau Umar? Engkau tuliskan untuk kami surat, kemudian dikoyakkan oleh Umar. Jawab Abu Bakar: Dialah khalifah kalau dia mahu[6].
Umar bin Al-Khattab r.a juga pernah berkata:
"كنا نؤلف حين كان الإسلام في ضعف، أما الآن وقد عز وقويت شوكته فلا حاجة بنا للتأليف"
Maksudnya: “Kami menjinakkan hati ketikamana Islam lemah, adapun sekarang ia telah muliah dan kuat, maka tiada keperluan lagi untuk menjinakkan (dengan zakat)”.
Mereka yang berpihak kepada pendapat kedua berpendapat bahawa dalil di atas menunjukkan bahawa Khalifah Abu Bakar r.a telah bersetuju dengan tindakan Umar Al-Khattab r.a dan menurut mereka tiada sebarang riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat termasuk Uthman Al-Affan r.a dan Ali r.a memberikan zakat bagi asnaf berkenaan[7].
Pendapat pertama pula ialah pandangan di kalangan Mazhab Hanbali yang melihat bahawa tindakan Umar Al-Khattab r.a dan para sahabat bukanlah pemansuhan kepada asnaf tersebut. Ia adalah penilaian semasa adakah wujud atau tidak keperluan memberikan zakat kepada asnaf berkenaan ketika itu. Pada zaman Umar Al-Khattab beliau melihat bahawa sebab pemberian kepada asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi menjinakkan hati sudah tidak wujud. Kerana Islam pada pendapatnya sudah kuat maka tidak perlu diberikan zakat kepada asnaf ini. Namun begitu bahagian zakat bagi asnaf ini tetap ada sepertimana disebut di dalam Al-Quran dan tidak dimansuhkan. Justeru jika wujudnya kembali sebab untuk menjinakkan hati bagi asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi memperkukuhkan dan mempertahankan Islam, maka golongan ini bolehlah diberikan zakat semula sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
[1] Al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Takwil Al-Quran, jilid 14 hlm 316.
[2] Hassan Ayub, Al-Zakah Fi Al-Islam,1973, Dar Al-Qalam Kuwait, hlm 107.
[3] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, 1997 Dar Al-quran Al-Karim, Beirut. hlm 107.
[4] Ibnu Jarir Al-Tobari, Jami Al-Bayan, jld10 hlm 157.
[5] Muhammad ‘Uqlah Al-Ibrahim, Al-Tatbiqat Al-Tarikhiyyah Wa Al-Mu’asirah Li Faridhah Al-Zakah, Dar Al-Dhiya, Beirut, hlm 79.
[6] إعلاء السنن 9/72 والذخيرة للقرافي 3/146.
[7] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, hlm 109.

No comments: