6/25/2009

Menangani kejemuan (Al-Futur) dalam Dakwah



Pendahuluan
Manusia diciptakan Allah Taala dengan pelbagai sifat dan tingkahlaku yang menunjukkan betapa berhajatnya mereka kepada bantuan dan pertolongan. Sifat-sifat seperti resah gelisah, takut, kecewa, bosan, malas dan sebagainya adalah gambaran kelemahan diri manusia itu sendiri yang diciptakan sebagai hamba Allah. Kelemahan dan sifat serba kekurangan ini boleh mendedahkan manusia kepada keadaan murung dan berputus asa yang akhirnya akan membawa mereka kepada hilang pergantungan dengan rahmat Allah Taala. Sabda Rasulullah s.a.w:
إن لكل عمل شِرَّة، ولكل شِرَّة فترة
Maknanya: “Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa bersungguh(cergasa) dan setiap kecergasan ada masa jemu...”. Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Tirmizi.

Suasana persekitaran, pergaulan, kejahilan, kecintaan kepada dunia dan tiadanya murabbi adalah antara faktor kemurungan dan kebosanan dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Ia samada berkaitan dengan ibadah mahupun dalam kerja-kerja dakwah. Keadaan ini adalah perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan menjadikan seseorang itu hilang rasa nikmat beribadah dan berjuang di jalan Allah. Kertas kerja ini akan memberikan fokus perbincangan kepada kebosanan di dalam amal Islami yang sering melanda amilin dalam dakwah yang akhirnya menjejaskan gagasan yang telah digariskan di dalam perjuangan.

Definisi ’Al-futur’.
Menurut Mukhtar Al-Sihhah, Al-Futur itu bererti lemah, tumpul. Manakala Al-Raghib Al-Asfahani di dalam Mufaradat Al-Quran menyatakan bahawa erti Al-Futur ialah diam selepas bergerak cergas, lembut selepas keras dan lemah selepas kuat.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa Al-futur ialah:

" الملال استثقال الشيء، ونفور الناس عنه بعد محبته، وهو داء يصيب بعض العباد والدعاة وطلاب العلم، فيضعف المرء ويتراخى ويكسل، وقد ينقطع بعد جد وهمة ونشاط. وفي القرآن الكريم قال الله تعالى مثنيا على الملائكة: [ يسبحون الليل والنهار لا يفترون ]
Maksudnya:Bosan, berat untuk melakukan sesuatu dan orang lari darinya selepas awalnya suka kepadanya. Ia adalah penyakit yang menimpa sebahagian hamba, para daie dan penuntut ilmu. Seseorang itu akan jadi lemah, bertangguh dan malas. Seterusnya meninggalkan dari melakukan sesuatu selepas awalnya ia bersungguh dan cergas. Di dalam Al-Quran Allah Taala memuji para MalaikatNya dengan berfirman: (( Mereka (para Malaikat) bertasbih malam dan siang tanpa jemu )).

Sebab-sebab Al-Futur dalam Dakwah.
Bagi seseorang yang terlibat dengan gerakan dakwah ia tidak boleh lari dari sifat sebagai manusia biasa yang terdedah kepada kebosanan dan kejemuan dalam dakwah. Bahkan para sahabatpun ada yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah kemenangan akan tiba kerana sudah bosan dengan tentangan hebat dari golongan musyrikin. Dalam dakwah kebosanan berlaku samada akibat dari kelewatan mendapat kemenangan atau berpunca dari terjadi berbagai ujian yang berat kepada pejuang Islam. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 42:
Yang Maksudnya: Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”.

Kebosanan dan kejemuan dalam dakwah adalah berpunca dari dua faktor utama iaitu faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran:

A. Faktor-faktor dalaman
1) Kejahilan yang menimbulkan keraguan kepada kesahihan tanzim.
2) Lemah amal ibadah.
3) Kurang mengamalkan sunnah dalam kehidupan harian.
4) Berlumba memperolehi populariti dalam dakwah.
5) Tidak berdisiplin dan kerja tidak tersusun.
6) Sentiasa berburuk sangka sesama ikhwah.
7) Tidak menghadiri tarbiah.
8) Tidak menghadiri aktiviti jamaah.
9) Tidak bersederhana/melakukan sesuatu secara melampau.
10) Tiadanya aktiviti Istirahah Al-Nafs.

B. Faktor-Faktor Luaran.
1) Jamaah tidak memberikan peningkatan kepada diri.
2) Ikhwah dalam jamaah tidak bersifat terbuka.
3) Tanzim yang bercelaru.
4) Aktiviti yang membosankan.
5) Kepimpinan yang tidak memberikan contoh yang baik.
6) Perpecahan dalam jamaah.
7) Serangan bertubi-tubi dari musuh.
8) Kemewahan hidup yang menamkan rasa selesa dengan apa yang ada.
9) Pengaruh wanita.
10) Pengaruh keluarga dan anak-anak.
11) Tekanan di tempat kerja.
12) Kekalahan dalam peperangan dengan musuh.

Faktor-faktor di atas adalah penyebab kepada timbulnya Al-Futur di dalam diri pejuang-pejuang Islam. Sebagai contoh ialah kekalahan, ia boleh menyebabkan hilang keyakinan untuk meneruskan perjuangan seperti berlaku di dalam perang Uhud. Apabila umat Islam ditimpa kekalahan, ramai yang mula kecewa, hilang keyakinan dan rasa bimbang dengan masadepan Islam. Lalu Allah Taala menjelaskan sendiri mengapakah kekalahan berlaku dengan firmanNya:
Yang maksudnya: Dan Mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu Telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Darimana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, Maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman. Surah Ali-Imran : 165-166.
Dengan turunnya ayat di atas barulah para sedar bahawa kekalahan yang berlaku adalah berpunca dari kelakaun mereka sendiri yang tidak menuruti arahan Rasulullah s.a.w. Lantas selepas daripada itu mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama dan akhirnya Allah Taala kurniakan kemenangan dengan pembukaan Kota Mekah yang berlaku secara aman.

Penyelesaian.
Bagi menyelesaikan dan merawat penyakit Al-Futur yang menimpa ahli jamaah Islam maka terdapat beberapa tip yang boleh dijadikan sebagai panduan iaitu:

1) Membaca Al-Quran yang mengisahkan kesusahan perjuangan Anbiya.
2) Membaca Sirah Rasulullah s.a.w.
3) Membaca sejarah pejuang Islam masa silam.
4) Solat berjamaah.
5) Tingkatkan amalan sunat.
6) Hidupkan sunnah dalam kehidupan.
7) Meninggalkan amalan makruh.
8) Kurangkan menonton TV.
9) Selalu bersama solihin.
10) Hadiri majlis ilmu.
11) Selalu berhubung dengan ahli jamaah.
12) Amalkan pengurusan diri dan berdisiplin.
13) Menjaga masa.
14) Kreatif mempelbagaikan aktiviti jamaah.
15) Mengamalkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal.
16) Libatkan semua peringkat ahli jamaah Islam dengan tarbiah.

Kesimpulan.
Para Qiadah dalam jamaah Islam seharusnya bersifat peka terhadap perkembangan di kalangan ahli-ahli jamaah Islam yang mempunyai tingkah laku dan kecenderungan yang pelbagai. Kebijaksanaan qiadah amat perlu bagi memastikan faktor-faktor yang membawa kepada Al-futur dalam dakwah dapat ditangani dengan sebaiknya agar intima di dalam jamaah bukan sahaja kerana kebenaran yang dibawa tetapi kerana keseronokan bersama-sama memperjuangkan Islam. Qiadah yang tidak sensitif dengan perkara-perkara seumpama ini akan membawa kepada kecenderungan ahli jamaah meninggalkan perjuangan Islam.

6/20/2009

Memartabatkan Kepentingan Ilmu

Khutbah Jumaat disampaikan di Masjid UMP pada 26 Jamadil Akhir 1430H.


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،

أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.

Sidang Jumaat yg dirahmati Allah,

Dipanjatkan kesyukuran kerana Allah Taala menempatkan kita di sebuah institusi yang memberikan tumpuan kepada pemartabatan ilmu pengetahuan, kerana kewujudan kita di sini secara tidak lansung memberikan satu dorongan kepada kita menjadi seorang yang sedar akan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Suasana ilmiah yang wujud di UMP pastinya akan memberikan satu kelebihan kepada kita meskipun apa jua jawatan kita. Samada kita bergelar pelajar, kakitangan pentadbiran mahupun akademik, pastinya suasana sekeliling yang wujud di sini akan memandu kita ke arah menghidupkan budaya cintakan ilmu pengetahuan dan mengasihi golongan ilmuan serta menjadikan mereka sebagai contoh dalam kehidupan. Ilmu di dalam Islam sangat di pandang tinggi manakala golongan ilmuan sentiasa mendapat kedudukan yang mulia. Ini dibuktikan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11:
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات

Maksudnya: “Allah meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Sidang Jumaat sekelian,

Dalam mana-mana sejarah bangsa yang maju dan bertamadun sesuatu pencapaian itu tidak akan berlaku tanpa memartabatkan ilmu pengetahuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Tamadun Islam dan Tamadun Islam di Baghdad menjadi contoh yang nyata, bagaimana adunan kepelbagaian ilmu mampu menyumbang ke arah kemajuan dan kegemilangan ummat Islam. Namun akhirnya kedua-dua Tamadun ini runtuh apabila ilmu dan para ilmuan tidak diberikan kedudukan yang selayaknya dan dalam masa yang sama pegangan agama semakin luntur. Tamadun Islam di Andalusia runtuh akibat kecenderungan pemerintah Islam ketika itu hidup berfoya-foya serta cenderung kepada hiburan tanpa memikirkan soal halal dan haram serta memandang rendah akan hukum Tuhan. Akhirnya Tamadun Islam Andalusia rebah menyembah bumi di tangan tentera Salibiah.
Bagi mengangkat kembali maruah Islam seharusnya faktor ilmu diberikan keutamanaan. Faktor ilmu integratif terutama dalam soal penerokaan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus kepada umat Islam agar kita dapat melahirkan satu generasi yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni. Ini adalah kerana tanpa penerapan nilai-nilai agama dan akhlak dalam sistem pendidikan hanya akan melahirkan manusia yang bijak pandai tetapi terdedah melakukan sesuatu yang memudaratkan diri, masyarakat, negara dan yang lebih serius ialah melanggar batasan syariat Allah Taala tanpa sebarang rasa berdosa dan bersalah.
Justeru itu sesiapa sahaja yang terlibat secara khusus dalam pembangunan aktiviti keilmuan seharusnya bukan sahaja memberikan tumpuan kepada ilmu yang bersifat teknikal tetapi hendaklah turut menghambil berat soal nilai, tingkah laku, akhlak dan juga penghayatan agama di kalangan para penuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w:
[ من يرد الله به خيراً يفقّه في الدين] ( رواه البخاري).
Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya maka ia akan diberikan kefahaman dalam agamanya”. Hadis riwayat Imam Bukhari.

Sidang Jumaat sekelian,
Bagi memastikan hasrat melahirkan suasana pembudayaan ilmu seperti yang telah dinyatakan tadi dijelmakan, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diberikan tumpuan di dalam proses pembudayaan ilmu antaranya ialah:
1. Mengutamakan kebersihan jiwa dengan menghindari sifat hasad dengki, riak, sombong dan takabbur, kerana ilmu adalah cahaya Allah dan Allah Taala tidak mengurniakan cahayaNya kepada manusia yang kotor jiwanya.
2. Meninggalkan aktiviti maksiat dan bercanggah dengan prinsip Islam serta menjauhi tempat-tempat maksiat kerana ia akan menumpulkan akal dan membantutkan kecerdasan berfikir serta menyuburkan budaya yang meruntuhkan pembudayaan ilmu dan kecemerlangan.
3. Beradab dengan guru seperti merendah, mendahulukan ucapan salam kepada meraka, tidak mendahului guru ketika berjalan dan tidak menyampuk ketika guru berbicara serta tidak mengaibkannya. Ketika di belakangnya janganlah sekali-kali mengeji dan mengumpatnya atau meyebarkan fitnah memburukkan mereka.
4. Mengamalkan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan dan bukannya untuk jalan maksiat dan kemungkaran kerana ia akan menjamin kebahagian di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w:
(من سلك طريقاً يلتمس فيه علماً ، سهّل الله له به طريقاً إلى الجنّة) ( رواه مسلم)
Maksudnya: “Barangsiapa yang berjalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan langkahnya masuk ke dalam Syurga”.
5. Menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan perbualan serta perbincangan harian diwarnai dengan bayangan ilmu pengetahuan dan bukannya cakap kosong dan membuang masa.
6. Menyintai setiap perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan, seperti sukakan aktiviti ilmiah, suka menghadiri kuliah dan ceramah, suka membaca, suka melakukan kajian-kajian ilmiah dan sentiasa menyanjung tinggi orang-orang yang berilmu dan selalu berdampingan dengan mereka.
7. Sifat yang mesti ada pada orang yang berilmu ialah semakin tinggi kedudukan akademiknya maka semakin merendah dirilah ia dan bukan sebaliknya, seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Mudah-mudah Allah Taala mempermudahkan usaha kita dalam membina taman Ilmu di Universiti Malaysia Pahang ini dan melahirkan warga Universiti yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi turut cemerlang sahsiah serta keperibadiannya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

6/15/2009

Umpama air, jika dicincang tidak akan putus...

6/14/2009

Akhirnya jadi kenyataan.....













Pada hari Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu seramai 28 orang bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar (SMAPT) tahun 1984-1989 bersama keluarga masing-masing telah mengadakan hari Tautan Ukhuwwah sebagai usaha menyambung kembali persaudaraan sesama mereka. Syukur alhamdulillah kerana ada di kalangan mereka yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa selepas tamat pengajian dari sekolah berkenaan setelah masing-masing berpisah sekian lama dan pada hari tersebut dapat bersua muka. Pertemuan yang julung-julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua bekas pelajar berkenaan yang ingin melihat kembali hubungan sesama mereka terjalin dan berpanjangan. Kesemua bekas pelajar berkenaan hadir bersama ahli keluarga masing-masing yang menjadikan majlis yang diadakan di Tekam Plantation Resort, Jerantut itu sangat meriah. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis Ustaz Dahlan Mohammad, kemudian diikuti dengan persembahan multimedia 'Kenangan Lalu', kemudian ucapan wakil bekas pelajar Ustaz Zuridan Mohd Daud dan diikuti dengan ucapan oleh bekas guru SMAPT Ustaz Haji Zainudin yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Zai. Majlis yang bermula jam 9 pagi itu berakhir sekitar jam 1.30 tengahari namun masa dirasakan sangat singkat kerana banyak cerita yang nak dikongsikan. Pertemuan ini dianggap sangat bermakna kerana disamping dapat bertanya khabar, kesemua bekas pelajar berkenaan juga bersetuju untuk menyumbang kepada kemajuan Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar. Dengan kesepakatan semua satu program motivasi akan diadakan pada 18 Julai 2009 khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar yang akan dilaksanakan secara percuma. Insyaallah program Tautan Ukhuwwah ini akan dijadikan acara tahunan bagi bekas-bekas pelajar SMAPT 1984-1989 bagi menjamin hubungan sesama mereka berkekalan hingga ke akhir hayat!

6/02/2009

Dunia Yang Sepi....

(Ingatan untuk diri sendiri supaya ikhlas dalam bersahabat)

Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya

Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata

Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai

Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
(Lirik lagu Hijjaz)