6/14/2009

Akhirnya jadi kenyataan.....













Pada hari Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu seramai 28 orang bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar (SMAPT) tahun 1984-1989 bersama keluarga masing-masing telah mengadakan hari Tautan Ukhuwwah sebagai usaha menyambung kembali persaudaraan sesama mereka. Syukur alhamdulillah kerana ada di kalangan mereka yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa selepas tamat pengajian dari sekolah berkenaan setelah masing-masing berpisah sekian lama dan pada hari tersebut dapat bersua muka. Pertemuan yang julung-julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua bekas pelajar berkenaan yang ingin melihat kembali hubungan sesama mereka terjalin dan berpanjangan. Kesemua bekas pelajar berkenaan hadir bersama ahli keluarga masing-masing yang menjadikan majlis yang diadakan di Tekam Plantation Resort, Jerantut itu sangat meriah. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis Ustaz Dahlan Mohammad, kemudian diikuti dengan persembahan multimedia 'Kenangan Lalu', kemudian ucapan wakil bekas pelajar Ustaz Zuridan Mohd Daud dan diikuti dengan ucapan oleh bekas guru SMAPT Ustaz Haji Zainudin yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Zai. Majlis yang bermula jam 9 pagi itu berakhir sekitar jam 1.30 tengahari namun masa dirasakan sangat singkat kerana banyak cerita yang nak dikongsikan. Pertemuan ini dianggap sangat bermakna kerana disamping dapat bertanya khabar, kesemua bekas pelajar berkenaan juga bersetuju untuk menyumbang kepada kemajuan Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar. Dengan kesepakatan semua satu program motivasi akan diadakan pada 18 Julai 2009 khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar yang akan dilaksanakan secara percuma. Insyaallah program Tautan Ukhuwwah ini akan dijadikan acara tahunan bagi bekas-bekas pelajar SMAPT 1984-1989 bagi menjamin hubungan sesama mereka berkekalan hingga ke akhir hayat!

No comments: