Khutbah Jumaat disampaikan di Masjid UMP pada 26 Jamadil Akhir 1430H.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،
أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.
Sidang Jumaat yg dirahmati Allah,
Dipanjatkan kesyukuran kerana Allah Taala menempatkan kita di sebuah institusi yang memberikan tumpuan kepada pemartabatan ilmu pengetahuan, kerana kewujudan kita di sini secara tidak lansung memberikan satu dorongan kepada kita menjadi seorang yang sedar akan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Suasana ilmiah yang wujud di UMP pastinya akan memberikan satu kelebihan kepada kita meskipun apa jua jawatan kita. Samada kita bergelar pelajar, kakitangan pentadbiran mahupun akademik, pastinya suasana sekeliling yang wujud di sini akan memandu kita ke arah menghidupkan budaya cintakan ilmu pengetahuan dan mengasihi golongan ilmuan serta menjadikan mereka sebagai contoh dalam kehidupan. Ilmu di dalam Islam sangat di pandang tinggi manakala golongan ilmuan sentiasa mendapat kedudukan yang mulia. Ini dibuktikan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11:
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات
Maksudnya: “Allah meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Sidang Jumaat sekelian,
Dalam mana-mana sejarah bangsa yang maju dan bertamadun sesuatu pencapaian itu tidak akan berlaku tanpa memartabatkan ilmu pengetahuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Tamadun Islam dan Tamadun Islam di Baghdad menjadi contoh yang nyata, bagaimana adunan kepelbagaian ilmu mampu menyumbang ke arah kemajuan dan kegemilangan ummat Islam. Namun akhirnya kedua-dua Tamadun ini runtuh apabila ilmu dan para ilmuan tidak diberikan kedudukan yang selayaknya dan dalam masa yang sama pegangan agama semakin luntur. Tamadun Islam di Andalusia runtuh akibat kecenderungan pemerintah Islam ketika itu hidup berfoya-foya serta cenderung kepada hiburan tanpa memikirkan soal halal dan haram serta memandang rendah akan hukum Tuhan. Akhirnya Tamadun Islam Andalusia rebah menyembah bumi di tangan tentera Salibiah.
Bagi mengangkat kembali maruah Islam seharusnya faktor ilmu diberikan keutamanaan. Faktor ilmu integratif terutama dalam soal penerokaan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus kepada umat Islam agar kita dapat melahirkan satu generasi yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni. Ini adalah kerana tanpa penerapan nilai-nilai agama dan akhlak dalam sistem pendidikan hanya akan melahirkan manusia yang bijak pandai tetapi terdedah melakukan sesuatu yang memudaratkan diri, masyarakat, negara dan yang lebih serius ialah melanggar batasan syariat Allah Taala tanpa sebarang rasa berdosa dan bersalah.
Justeru itu sesiapa sahaja yang terlibat secara khusus dalam pembangunan aktiviti keilmuan seharusnya bukan sahaja memberikan tumpuan kepada ilmu yang bersifat teknikal tetapi hendaklah turut menghambil berat soal nilai, tingkah laku, akhlak dan juga penghayatan agama di kalangan para penuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w:
[ من يرد الله به خيراً يفقّه في الدين] ( رواه البخاري).
Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya maka ia akan diberikan kefahaman dalam agamanya”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
Sidang Jumaat sekelian,
Bagi memastikan hasrat melahirkan suasana pembudayaan ilmu seperti yang telah dinyatakan tadi dijelmakan, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diberikan tumpuan di dalam proses pembudayaan ilmu antaranya ialah:
1. Mengutamakan kebersihan jiwa dengan menghindari sifat hasad dengki, riak, sombong dan takabbur, kerana ilmu adalah cahaya Allah dan Allah Taala tidak mengurniakan cahayaNya kepada manusia yang kotor jiwanya.
2. Meninggalkan aktiviti maksiat dan bercanggah dengan prinsip Islam serta menjauhi tempat-tempat maksiat kerana ia akan menumpulkan akal dan membantutkan kecerdasan berfikir serta menyuburkan budaya yang meruntuhkan pembudayaan ilmu dan kecemerlangan.
3. Beradab dengan guru seperti merendah, mendahulukan ucapan salam kepada meraka, tidak mendahului guru ketika berjalan dan tidak menyampuk ketika guru berbicara serta tidak mengaibkannya. Ketika di belakangnya janganlah sekali-kali mengeji dan mengumpatnya atau meyebarkan fitnah memburukkan mereka.
4. Mengamalkan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan dan bukannya untuk jalan maksiat dan kemungkaran kerana ia akan menjamin kebahagian di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w:
(من سلك طريقاً يلتمس فيه علماً ، سهّل الله له به طريقاً إلى الجنّة) ( رواه مسلم)
Maksudnya: “Barangsiapa yang berjalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan langkahnya masuk ke dalam Syurga”.
5. Menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan perbualan serta perbincangan harian diwarnai dengan bayangan ilmu pengetahuan dan bukannya cakap kosong dan membuang masa.
6. Menyintai setiap perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan, seperti sukakan aktiviti ilmiah, suka menghadiri kuliah dan ceramah, suka membaca, suka melakukan kajian-kajian ilmiah dan sentiasa menyanjung tinggi orang-orang yang berilmu dan selalu berdampingan dengan mereka.
7. Sifat yang mesti ada pada orang yang berilmu ialah semakin tinggi kedudukan akademiknya maka semakin merendah dirilah ia dan bukan sebaliknya, seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Mudah-mudah Allah Taala mempermudahkan usaha kita dalam membina taman Ilmu di Universiti Malaysia Pahang ini dan melahirkan warga Universiti yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi turut cemerlang sahsiah serta keperibadiannya.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment