10/31/2011

Catatan perjalanan ke Lepar Utara.


Pada hari Sabtu 29 Okt lepas saya dijemput memberikan ceramah di Felda Lepar Utara 01 .Ceramah ini adalah sempena program Penerangan Produk Islam BSN Pahang dengan kerjasama pengurusan Felda. Saya belum pernah ke sana, jadi saya bertolak jam 5.00 petang dari rumah kerana membayangkan Lepar Utara 1  ini letaknya berhampiran dengan Sg Tekam Utara, Jerantut. Lagipun saya sudah dua kali ke Sg Tekam Utara memberikan ceramah di Masjid. Dalam perjalanan saya agak rush kerana ingin sampai ke sana sempat solat Maghrib berjamaah. Ketika sampai di Sg Tekam Utara waktu dahpun Maghrib. Alamak! Felda Lepar Utara masih belum nampak! Ketika sampai dipersimpangan Gelanggi, saya berhenti untuk bertanya arah ke sana. Terkejut saya bila dimaklumkan perjalanan masih jauh iaitu kira-kira 60KM! Waktu Maghrib sudah hampir sepuluh minit berlalu sedangkan perjalanan hampir 45 minit lagi….Saya meneruskan perjalanan meredah malam yg semakin kelam dan hujan yang lebat. Perjalanan terasa semakin jauh apabila kereta saya mula meredah hutan belantara kiri dan kanan jalan. Betullah kata pemuda di warung tepi jalan tadi yang sempat saya tanya: “Encik jalan terus hingga ke hujung jalan!. Setelah melalui kira-kira 14 Lepar Utara, barulah akhirnya saya sampai ke Masjid Lepar Utara 1. Beberapa minit kemudian masuklah Isyak…dan selepas Isyak barulah ceramah bermula.
Setelah selesai ceramah dan menjamu makan malam bersama pengurus Felda dan kakitangan BSN saya bertolak pulang ke Kuantan kira jam 11.00malam. Jeng, jeng, jeng….sekali lagi saya terpaksa meredah malam, melalui perjalanan yang panjang dan dilaluan yang sunyi sepi…seorang diri

Himpunan Haji berbeza....



عن عائشة رضي الله عنها قالت: إنَّ رسول الله صلَّى الله عليه وسلَّم قال: ((مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يَعْتِقَ اللهُ فِيْهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة، وَإنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِيْ بِهِمُ الملائِكَةُ، فَيَقُوْل: مَا أرادَ هؤلاء؟
Aisyah RA meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak Allah membebaskan seorang hamba daripada api neraka daripada hari Arafah, sesungguhnya Dia turun kemudian para Malaikta berbangga dengan mereka, kemudian bertanya: “ Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu? Hadis riwayat Muslim.
Hari ini bermacam himpunan dan ijtima yang dilakukan dan dianjurkan oleh manusia. Ada yang berlatarbelakangkan hiburan, sukan, anutan kepercayaan atau fahaman politik. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan diseluruh pelusuk dunia oleh pelbagai latarbelakang manusia, dan dengan bermacam tujuan ini, meskipun besar saiznya namun ianya adalah bersifat terhad kepada tujuan duniawi. Penglibatan pula adalah dari kelompok manusia tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja. Justeru himpunan-himpunan tersebut mengangkat pelbagai slogan berbeza, warna bendera yang berbeza dan di perjuangkan oleh kelompok yang berbeza. Zahirnya berhimpun tetapi pada lumrahnya, batin berbeza!
Perhimpunan-perhimpunan sedemikian, meskipun ada yang menjangkau ratusan ribu manusia tetapi pada hakikatnya ia masih belum mampu menandingi himpunan ibadah terbesar umat Islam di Mekah iaitu ibadah haji. Himpunan atau tajammuk tahunan umat Islam ini amat istimewa kerana ia melangkau batasan warna kulit, bahasa, negara, politik, darjat, pengaruh dan status kekayaan. Ia adalah himpunan terbesar yang diatur oleh Islam bagi mempertemukan seluruh umat Islam di dunia bagi menyatakan kesatuan hati di atas warna aqidah yang sama dan laungan slogan yang sama.
عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ؛ أَفَلا نُجَاهِدُ؟ قَالَ: "لا! لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ".
Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Kami lihat jihad adalah sebaik-baik amalan, apakah kami tidak kena berjihad? Jawab baginda: Tidak! Tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur. Hadis riwayat Imam al-Bukhari.
Himpunan ibadah haji sangat istimewa kerana sesiapa yang menyertainya mesti menanggalkan segala bentuk pakaian kebesaran dirinya serta darjah kebesaran sebaliknya mesti memakai pakaian seragam yang sama iaitu kain ihram berwarna putih. Ia adalah simbolik bahawa pangkat dan harta adalah tipuan dunia semata-mata kerana semuanya bakal ditanggal secara paksa apabila maut sudah menjemput kelak. Pergerakan fizikal, zikir dan niatnya adalah sama, tiada tujuan yang lain melainkan untuk mendapat redha Allah Taala.
Ketika himpunan Haji, semua raja-raja dan pembesar dunia apabila sudah menjejakkan kaki ke bumi Mekah, mesti ingat bahawa yang paling berkuasa ialah Allah Taala! Tiada lagi slogan mengampu dan membodek yang diucapkan. Hanya satu sahaja slogan yang dikumandangkan iaitu:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَريْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إنَّ الحَمْدَ والنِّعْمَةَ لَكَ وَالملْكُ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ.
Maksudnya: “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu, Tidak ada sekutu bagiMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu.Tidak ada sekutu bagiMu.”

10/14/2011

Apa hukum wanita berkhitan?

Hukum Khitan Bagi Wanita Islam   [1]
Saya diajukan soalan berkaitan dengan khitan di kalangan wanita Islam. Alhamdulillah setelah mencari-cari bahan, saya terjumpa buku tulisan al-Syeikh Mustafa al-‘Adawi yang bertajuk Jami' Ahkam an-Nisa'. Berikut adalah terjemahan dari buku tersebut dengan beberapa suntingan bagi tujuan percambahan minda dan perkongsian ilmu.

Imam al-Bukhari meriwayatkan (5891):
Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus, menceritakan kepada kami Ibrahim bin Saad, menceritakan kepada kami Ibn Syihab dari  Sa’id ibn al-Musayyib dari Abu Hurairah RA, bahawa aku telah mendengar Nabi SAW bersabda:
الفِطْرَةُ خَمْسٌ الخِتاَنُ وَالاِسْتِحْدَادُ وَقَصُّ الشَارِبِ وَتَقْلِيْمُ الأظْفَارِ وَنَتْفُ الآباَطِ
Maksudnya: “ Fitrah itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”.
Definisi Khitan
Di dalam kamus 'Lisan al-'Arab' perkataan Khatana yang berasal dari kata kerja Khatana al-ghulaama wa al-jariyata, yakhtinuhuma, khitnan. Bentuk Ism (Katanama) nya adalah Khitan dan Khitanah. Seorang yang dikhitan (disunat) disebut makhtun. Ada yang mengatakan, al-khatnu untuk laki-laki sedangkan untuk wanita disebut al-khafdhu. Sedangkan kata khatiin ertinya orang yang dikhitan, baik lelaki mahupun wanita. Abu Manshur mengatakan: “Khitan adalah letak pemotongan dari kelamin lelaki mahupun wanita? Dalam hal ini, terdapat hadis masyhur yang bermaksud: “Bila dua khitan (alat kelamin lelaki dan wanita) telah bertemu(jimak), maka wajiblah mandi?

Imam An-Nawawi di dalam kitab Syarah Shahih Muslim (1/543) berkata: “Yang wajib bagi lelaki adalah memotong seluruh kulit yang menutup hujung zakar hingga terbuka semua hujung tersebut. Sedangkan bagi wanita adalah memotong sedikit bahagian dari kulit yang di atas faraj.

Al-Hafizh Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath Al-Bari (10/340) berkata: Al-Khitan adalah bentuk mashdar (katanama terbitan) dari kata kerja Khatana, yaitu Qota'a (memotong). Sedangkan Al-Khatnu adalah memotong sebahagian tertentu dari anggota yang tertentu.
Al-Mawardi berkata: Khitan bagi zakar (lelaki) ialah memotong kulit yang menutup kepala zakar, dan digalakkan memotong kesemua kulit tersebut dari pangkal kepala zakar, manakal sekurang-kurangnya ialah memotong kulit yang hingga tidak menutup kepala zakar.
Imam al-Haramain (al-Juwaini) pula berkata: “Yang sepatutnya bagi lelaki ialah memotong ‘al-Qalfah’ iaitu kulit yang menutup kepala zakar hingga tiada lansung kulit yang menutupnya”.
Imam an-Nawawi berkata: “Khitan bagi lelaki dinamakan I'dzar sedangkan bagi wanita dinamakan Khafdh. Abu Syammah berkata: Menurut ahli bahasa, untuk sebutan semua (bagi lelaki dan wanita) digunakan I'dzar sedangkan Khafdh khusus bagi wanita.

Menurut al-Mawardi: “Khitan bagi wanita pula ialah memotong kulit yang berada di bahagian atas faraj iaitu di atas bahagian tempat masuknya zakar seperti butir atau balung ayam jantan dan yang wajibnya ialah memotongnya(mengguriskannya) sahaja tanpa membuang kesemuanya”.
Hadis-Hadis yang berkaitan dengan Khitan

Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “ Fitrah itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”. (HR Imam Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i dan Ibn Majah).

Hadis ini yang menjadi sandaran mengenai khitan adalah tidak secara jelas dalam isu khitan wanita, kecuali dari sisi makna umum yang apabila digabungkan dengan hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kaum wanita adalah sama dengan kaum lelaki”.

Kemudian hadis-hadis lain yang menjadi sandaran dalam isu ini juga tidak terlepas dari kritikan para ualam hadis, antaranya:

Hadis yang dikeluarkan Abu Daud dari Ummu 'Athiyyah, bahawasanya seorang wanita berkhitan di Madinah, lantas Nabi berkata kepadanya: “Janganlah engkau bebani dirimu sebab hal itu lebih menguntungkan wanita dan lebih dicintai suami”. Namun pada isnad hadis ini terdapat Muhammad bin Hassan. Abu Daud berkata: Dia adalah seorang yang Majhul (tidak dikenal identitinya).Abu Daud juga berkata: “Ia meriwayatkan hadits Mursal. Beliau kemudian mengkategorikan hadis ini sebagai dhoif.

Terdapat bukti lain bagi hadis Ummu 'Athiyyah di atas yang disebut oleh al-Khatib al-Baghdadi (5: 327) dari jalan riwayat Muhammad bin Sallam al-Jumahi dari Ummu 'Athiyyah tetapi di dalam isnadnya terdapat Za'idah bin Abi ar-Raqqad, seorang periwayat hadis Munkar sebagaimana dikatakan al-Hafizh Ibn Hajar di dalam kitabnya Taqrib at-Tahdzib.

Syamsuddin al-Haq al-‘Azim Abaadi, pengarang kitab 'Aun al-Ma'bud, syarah Sunan Abi Daud berkata: "Dan hadis tentang khitan wanita diriwayatkan dari banyak jalan riwayat semuanya adalah Dha'if (lemah) dan cacat, tidak boleh berhujjah dengannya.!"

Seperti yang dinukil dari Ibn 'Abd al-Barr, ia berkata, "Tidak terdapat Khabar (hadis) yang dapat dijadikan acuan dalam masalah khitan (wanita) dan tidak pula terdapat sunnah yang layak diikuti."

Usamah al-Hadzali berkata: Rasulullah bersabda: “Khitan itu adalah sunnah bagi kaum lelaki dan kehormatan bagi kaum wanita”. Namun ini adalah hadis lemah sebab ia dimuat di dalam Musnad Ahmad di mana berasal dari riwayat Hajjaj bin Artha'ah yang merupakan periwayat lemah dan seorang yang dikenal sebagai Mudallis.

Ibn Hajar di dalam kitab Fath al-Bari (10: 341) menyebutkan beberapa Syawahid(bukti), di antaranya hadis Sa'id bin Bisyr, dari Qatadah, dari Jabir, dari Ibn 'Abbas. Namun tentang periwayat bernama Sa'id masih diperselisihkan. Abu asy-Syaikh juga meriwayatkan hadis Ibn 'Abbas itu dari jalan yang lain. Demikian pula, al-Baihaqi mengeluarkannya juga dari hadis Abu Ayyub al-Anshari.

Menurut Syaikh Musthafa al-'Adawi, setiap jalan periwayatan hadis-hadis tersebut (mengenai khitan wanita) tidak terlepas dari kritikan dan kecacatan.

Pendapat Para Ulama Mengenai Masalah Khitan Di  Kalangan Wanita

1. Imam an-Nawawi  dalam Syarah Muslim, (1: 543) berkata: "Khitan hukumnya wajib menurut Imam asy-Syafi'i dan kebanyakan para ulama, sedangkan menurut Imam Malik dan para ulama yang lain adalah sunnah. Menurut Imam asy-Syafi'i, ia wajib bagi kaum laki-laki dan wanita juga."

2. Ibn Qudamah berkata di dalam kitabnya al-Mughni (1:85): "Ada pun khitan, maka ia wajib bagi kaum lelaki dan kehormatan bagi kaum wanita. Ini merupakan pendapat ramai ulama?" Imam Ahmad berkata, "Bagi lelaki lebih berat (ditekankan)." Kemudian beliau menyebutkan alasannya sedangkan bagi wanita menurutnya lebih ringan.

3. Ibn Taimiyah  di dalam Majmu' al-Fatawa(21/114): “Ketika ditanya tentang khitan wanita, beliau menjawab: "Alhamdulillah, Ya! Wanita dikhitan dan caranya adalah dengan memotong bahagian paling atas kulit yang dikenal dengan sebutan 'Arf ad-Dik (balung ayam jantan). Kemudian beliau menyebutkan hadis mengenai hal itu (Hadits Usamah al-Hadzali di atas), akan tetapi hadis tersebut adalah lemah.

3. Ibn Hajar berkata (Fath Al-Bari 1:340) bahawa Syeikh Abu Abdillah bin al-Hajj di dalam kitab al-Madkhal menyatakan adanya perbezaan terhadap khitan wanita di mana tidak dapat ditekankan secara umum, tetapi harus dibezakan antara wanita timur Arab yang berkhitan dan wanita sebelah Barat Arab yang tidak berkhitan...

Syeikh Musthafa al-'Adawi setelah menjelaskan pendapat para ulama dan dalil-dalil mereka mengenai khitan (khususnya wanita) membuat kesimpulan tidak terdapat dalil yang sahih dan sarih (secara terang-terangan) yang mewajibkan wanita berkhitan. Oleh itu sesiapa mahu melakukan adalah haknya dan sesiapa yang tidak melakukan tidak menjadi masalah. Wallahu Ta'ala a'lam.


[1] Mustafa al-'Adawi, Jami' Ahkam an-Nisa', 1992M, Dar As-Sunnah, juz 1, hal.17-23

9/29/2011

Jalan-jalan di Terengganu