10/14/2011

Apa hukum wanita berkhitan?

Hukum Khitan Bagi Wanita Islam   [1]
Saya diajukan soalan berkaitan dengan khitan di kalangan wanita Islam. Alhamdulillah setelah mencari-cari bahan, saya terjumpa buku tulisan al-Syeikh Mustafa al-‘Adawi yang bertajuk Jami' Ahkam an-Nisa'. Berikut adalah terjemahan dari buku tersebut dengan beberapa suntingan bagi tujuan percambahan minda dan perkongsian ilmu.

Imam al-Bukhari meriwayatkan (5891):
Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus, menceritakan kepada kami Ibrahim bin Saad, menceritakan kepada kami Ibn Syihab dari  Sa’id ibn al-Musayyib dari Abu Hurairah RA, bahawa aku telah mendengar Nabi SAW bersabda:
الفِطْرَةُ خَمْسٌ الخِتاَنُ وَالاِسْتِحْدَادُ وَقَصُّ الشَارِبِ وَتَقْلِيْمُ الأظْفَارِ وَنَتْفُ الآباَطِ
Maksudnya: “ Fitrah itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”.
Definisi Khitan
Di dalam kamus 'Lisan al-'Arab' perkataan Khatana yang berasal dari kata kerja Khatana al-ghulaama wa al-jariyata, yakhtinuhuma, khitnan. Bentuk Ism (Katanama) nya adalah Khitan dan Khitanah. Seorang yang dikhitan (disunat) disebut makhtun. Ada yang mengatakan, al-khatnu untuk laki-laki sedangkan untuk wanita disebut al-khafdhu. Sedangkan kata khatiin ertinya orang yang dikhitan, baik lelaki mahupun wanita. Abu Manshur mengatakan: “Khitan adalah letak pemotongan dari kelamin lelaki mahupun wanita? Dalam hal ini, terdapat hadis masyhur yang bermaksud: “Bila dua khitan (alat kelamin lelaki dan wanita) telah bertemu(jimak), maka wajiblah mandi?

Imam An-Nawawi di dalam kitab Syarah Shahih Muslim (1/543) berkata: “Yang wajib bagi lelaki adalah memotong seluruh kulit yang menutup hujung zakar hingga terbuka semua hujung tersebut. Sedangkan bagi wanita adalah memotong sedikit bahagian dari kulit yang di atas faraj.

Al-Hafizh Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath Al-Bari (10/340) berkata: Al-Khitan adalah bentuk mashdar (katanama terbitan) dari kata kerja Khatana, yaitu Qota'a (memotong). Sedangkan Al-Khatnu adalah memotong sebahagian tertentu dari anggota yang tertentu.
Al-Mawardi berkata: Khitan bagi zakar (lelaki) ialah memotong kulit yang menutup kepala zakar, dan digalakkan memotong kesemua kulit tersebut dari pangkal kepala zakar, manakal sekurang-kurangnya ialah memotong kulit yang hingga tidak menutup kepala zakar.
Imam al-Haramain (al-Juwaini) pula berkata: “Yang sepatutnya bagi lelaki ialah memotong ‘al-Qalfah’ iaitu kulit yang menutup kepala zakar hingga tiada lansung kulit yang menutupnya”.
Imam an-Nawawi berkata: “Khitan bagi lelaki dinamakan I'dzar sedangkan bagi wanita dinamakan Khafdh. Abu Syammah berkata: Menurut ahli bahasa, untuk sebutan semua (bagi lelaki dan wanita) digunakan I'dzar sedangkan Khafdh khusus bagi wanita.

Menurut al-Mawardi: “Khitan bagi wanita pula ialah memotong kulit yang berada di bahagian atas faraj iaitu di atas bahagian tempat masuknya zakar seperti butir atau balung ayam jantan dan yang wajibnya ialah memotongnya(mengguriskannya) sahaja tanpa membuang kesemuanya”.
Hadis-Hadis yang berkaitan dengan Khitan

Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “ Fitrah itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”. (HR Imam Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i dan Ibn Majah).

Hadis ini yang menjadi sandaran mengenai khitan adalah tidak secara jelas dalam isu khitan wanita, kecuali dari sisi makna umum yang apabila digabungkan dengan hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kaum wanita adalah sama dengan kaum lelaki”.

Kemudian hadis-hadis lain yang menjadi sandaran dalam isu ini juga tidak terlepas dari kritikan para ualam hadis, antaranya:

Hadis yang dikeluarkan Abu Daud dari Ummu 'Athiyyah, bahawasanya seorang wanita berkhitan di Madinah, lantas Nabi berkata kepadanya: “Janganlah engkau bebani dirimu sebab hal itu lebih menguntungkan wanita dan lebih dicintai suami”. Namun pada isnad hadis ini terdapat Muhammad bin Hassan. Abu Daud berkata: Dia adalah seorang yang Majhul (tidak dikenal identitinya).Abu Daud juga berkata: “Ia meriwayatkan hadits Mursal. Beliau kemudian mengkategorikan hadis ini sebagai dhoif.

Terdapat bukti lain bagi hadis Ummu 'Athiyyah di atas yang disebut oleh al-Khatib al-Baghdadi (5: 327) dari jalan riwayat Muhammad bin Sallam al-Jumahi dari Ummu 'Athiyyah tetapi di dalam isnadnya terdapat Za'idah bin Abi ar-Raqqad, seorang periwayat hadis Munkar sebagaimana dikatakan al-Hafizh Ibn Hajar di dalam kitabnya Taqrib at-Tahdzib.

Syamsuddin al-Haq al-‘Azim Abaadi, pengarang kitab 'Aun al-Ma'bud, syarah Sunan Abi Daud berkata: "Dan hadis tentang khitan wanita diriwayatkan dari banyak jalan riwayat semuanya adalah Dha'if (lemah) dan cacat, tidak boleh berhujjah dengannya.!"

Seperti yang dinukil dari Ibn 'Abd al-Barr, ia berkata, "Tidak terdapat Khabar (hadis) yang dapat dijadikan acuan dalam masalah khitan (wanita) dan tidak pula terdapat sunnah yang layak diikuti."

Usamah al-Hadzali berkata: Rasulullah bersabda: “Khitan itu adalah sunnah bagi kaum lelaki dan kehormatan bagi kaum wanita”. Namun ini adalah hadis lemah sebab ia dimuat di dalam Musnad Ahmad di mana berasal dari riwayat Hajjaj bin Artha'ah yang merupakan periwayat lemah dan seorang yang dikenal sebagai Mudallis.

Ibn Hajar di dalam kitab Fath al-Bari (10: 341) menyebutkan beberapa Syawahid(bukti), di antaranya hadis Sa'id bin Bisyr, dari Qatadah, dari Jabir, dari Ibn 'Abbas. Namun tentang periwayat bernama Sa'id masih diperselisihkan. Abu asy-Syaikh juga meriwayatkan hadis Ibn 'Abbas itu dari jalan yang lain. Demikian pula, al-Baihaqi mengeluarkannya juga dari hadis Abu Ayyub al-Anshari.

Menurut Syaikh Musthafa al-'Adawi, setiap jalan periwayatan hadis-hadis tersebut (mengenai khitan wanita) tidak terlepas dari kritikan dan kecacatan.

Pendapat Para Ulama Mengenai Masalah Khitan Di  Kalangan Wanita

1. Imam an-Nawawi  dalam Syarah Muslim, (1: 543) berkata: "Khitan hukumnya wajib menurut Imam asy-Syafi'i dan kebanyakan para ulama, sedangkan menurut Imam Malik dan para ulama yang lain adalah sunnah. Menurut Imam asy-Syafi'i, ia wajib bagi kaum laki-laki dan wanita juga."

2. Ibn Qudamah berkata di dalam kitabnya al-Mughni (1:85): "Ada pun khitan, maka ia wajib bagi kaum lelaki dan kehormatan bagi kaum wanita. Ini merupakan pendapat ramai ulama?" Imam Ahmad berkata, "Bagi lelaki lebih berat (ditekankan)." Kemudian beliau menyebutkan alasannya sedangkan bagi wanita menurutnya lebih ringan.

3. Ibn Taimiyah  di dalam Majmu' al-Fatawa(21/114): “Ketika ditanya tentang khitan wanita, beliau menjawab: "Alhamdulillah, Ya! Wanita dikhitan dan caranya adalah dengan memotong bahagian paling atas kulit yang dikenal dengan sebutan 'Arf ad-Dik (balung ayam jantan). Kemudian beliau menyebutkan hadis mengenai hal itu (Hadits Usamah al-Hadzali di atas), akan tetapi hadis tersebut adalah lemah.

3. Ibn Hajar berkata (Fath Al-Bari 1:340) bahawa Syeikh Abu Abdillah bin al-Hajj di dalam kitab al-Madkhal menyatakan adanya perbezaan terhadap khitan wanita di mana tidak dapat ditekankan secara umum, tetapi harus dibezakan antara wanita timur Arab yang berkhitan dan wanita sebelah Barat Arab yang tidak berkhitan...

Syeikh Musthafa al-'Adawi setelah menjelaskan pendapat para ulama dan dalil-dalil mereka mengenai khitan (khususnya wanita) membuat kesimpulan tidak terdapat dalil yang sahih dan sarih (secara terang-terangan) yang mewajibkan wanita berkhitan. Oleh itu sesiapa mahu melakukan adalah haknya dan sesiapa yang tidak melakukan tidak menjadi masalah. Wallahu Ta'ala a'lam.


[1] Mustafa al-'Adawi, Jami' Ahkam an-Nisa', 1992M, Dar As-Sunnah, juz 1, hal.17-23

1 comment:

Fatimah Naim said...

Assalamu'alaikum
terjemahan Jami' Ahkam an-Nisa' ada kt pasaran ke? Kalau ada, terbitan apa ye? Tapi kalau ada yg PDF, boleh bagi link nya x?