8/26/2011

Solat berjamaah dalam masjid yang ada pintu atau hadangan antara imam dan makmum, camna hukumnya?




Dalam menziarahi beberapa buah surau dan masjid sempena Ramadan ini, saya dapati antara soalan yang sering ditanya ialah berkenaan dengan sejauhmana makmum boleh dianggap mengikut imam dalam situasi bangunan yang berdinding atau berpintu (sliding door) dan ada pengadang yang memisahkan makmum dan imam.
Berikut adalah pendapat fuqoha Al-Syafi ‘iyyah mengenai isu tersebut:
Disyaratkan sah ikut imam dalam solat berjamaah dengan maklumnya makmun segala pergerakan imam, samada dengan melihatnya, atau melihat sebahagian sof, atau mendengarnya, atau mendengar melalui muballigh (orang yang mengulang laungan takbir intiqal imam) walaupun dia tidak solat.
Jika imam dan makmum dalam satu masjid, sah mengikut imam walaupun jaraknya jauh lebih dari 300 hasta, atau terpisah dengan bangunan seperti dinding dan menara, atau ditutup pintu ketika solat. Kalau seseorang itu solat di hujung masjid dan imam di depan, sah mengikut imam dengan syarat antara keduanya tiada halangan untuk makmun sampai kepada imam seperti pintu yang dipaku (tidak boleh dibuka) sebelum ia mula solat. Termasuk dalam hukum masjid ialah bahagian atasnya dan juga bahagian luarnya (koridor).
Adapun jika imam dan makmum bukan di masjid, seperti di padang pasir maka sah solat berjamaah dengan syarat jarak antara imam dan makmum dan antara setiap sof tidak lebih dari 300 hasta dan tidak boleh ada pintu tertutup atau tingkap. Jika imam di dalam masjid dan makmum di luar masjid maka jaraknya tidak boleh lebih dari 300 hasta (iaitu jarak antara bangunan masjid dengan makmum di luar). Tiada masalah jika ada pemisah (antara imam dan makmum) seperti jalan atau sungai.
(Rujuk Al-Syarbinie, Mughni Al-Muhtaj, 1/248-251, Al-Zuhaily, Fiqh Islamiy, 2/231-232).

Bilakah waktu untuk bangun apabila Iqomah?

Seorang sahabat bertanya ketika Iqomah (Qamat) dilaungkan oleh muazzin, bilakah waktu kita bangun untuk solat berjamaah, apakah ketika mula Iqomah atau ketika sedang Iqomah atau selepasnya. Berikut pendapat para fuqaha mengenainya:
Fuqaha Al-Hanabilah (Mazhab Hanbali) berpendapat bahawa waktu bangun ialah ketika disebut “Qad Qomatis Solah”.
Fuqaha Al-Syafi ‘iyyah pula berpendapat ketika selesai Iqomah.
Manakala fuqoha Al-Malikiyyah berpandangan bahawa ia terpulang kepada keselesaan seseorang jamaah samada ketika sedang Iqomah, permulaannya atau selepas tamatnya. Kerana tiada nas mengenainya kecuali hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qutadah bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila diiqomahkan untuk solat maka janganlah kamu bangun melainkan apabila kamu telah melihatku”. (Rujuk Al-Zuhaily, Fiqh Islamiy, 2/169 ).

8/15/2011

Isu baca Al-Quran dan Tarhim sebelum solat

Saya tidaklah mengikuti isu panas yang timbul di Pulau Pinang, cuma dengar komen dari jamaah surau selepas solat Subuh pagi Ahad lepas. Bukannya tidak mahu ambil hal, tetapi tidak berapa berminat dengan isu politik perkauman yang semakin hari semakin kuat dimainkan oleh media, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Cukuplah para ustaz yang berkelibar menjawab dan mengulasnya. Cuma untuk berkongsi cerita, lama sebelum isu ini timbul, saya pernah solat di Masjid Bukit Rangin, Kuantan dan selesai solat saya meninjau-ninjau papan kenyataan di luar masjid, terkejut saya kerana terbaca satu nota bersaiz A4 bertulis tangan yang mengingatkan pihak masjid agar tidak memasang bacaan Al-Quran terlalu lama sebelum solat subuh kerana mengganggu anaknya tidur. Mula-mula rasa geram juga sebab surat tersebut ditulis oleh orang Islam (Bukit Rangin penghuninya Melayu Islam), namun dalam perjalanan pulang ke rumah, saya tertanya-tanya dalam fikiran, apakah ada nas yang menyuruh dikumandangkan al-Quran sebelum Subuh secara kuat dan mengambil masa yang lama seperti yang banyak diamalkan di Masjid2 atau surau....Mungkin banyak amalan2 yang sudah menjadi darah daging masyarakat Melayu kita di nilai semula dengan ilmiyyah dan ikhlas bagi menyandarkannya kepada nas-nas syarak, agar semua ibadah yg kita lakukan adalah jelas nas-nasnya dan sumber-sumber syaraknya. Justeru jika timbul isu seperti ini dengan mudah kita menghujjahkannya. Bagi saya soal azan kuat tiada kompromi dengan sesiapapun kerana nasnya jelas, cuma soal tarhim dan bacaan Al-Quran sebelum azan khususnya di waktu subuh (lama pulak tu) perlu disesuaikan dengan waqi dan dinilai perlaksanaannya secara berhikmah. Wallahuaklam.