9/27/2009

Ujian Buat Seorang Daie...

Berat rasanya bebanan apabila kemampuan untuk mendidik dan mentarbiah ahli keluarga terdekat tidak seperti kekuatan mentarbiah dan melagang dakwah di tengah masyarakat. Seringkali berlaku para Daie dipandang rendah akibat ketidakupayaannya memberikan contoh tauladan melaksanakan syariat Islam dalam keluarganya akibat dari ketidakmampuan mentarbiah usrahnya sendiri. meskipun ia menjadi Naqib memandu anak-anak usrahnya tetapi usrah hakikinya terabai dari tarbiahnya. Soal solat berjamaah, solat tepat pada waktunya, kerapian menutup aurat dan soal perjuangan selalunya tidak gugup bila diajukan kepada khalayak masyarakat. Tetapi apabila berdepan dengan ahli keluarga sendiri, anak-anak, adik beradik dan anak-anak-anak saudara ianya bagaikan ada batu besar yang menghalang hingga mereka terbiar dari panduan dan didikan tarbiah. Sedangkan Allah Taala telah menetapkan bahawa tertib dakwah adalah bermula di rumah dan bukannya bermula di luar. Firman Allah Taala:

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَ أَهْلِيكُمْ ناراً
Maksud: "Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka! Surah Al-Tahrim ayat 6.

Menjadi satu ujian besar apabila Daie berdepan dengan kerenah anak-anak yang terabai ibadah, meringankan aurat dan melakukan maksiat. Ia bukan sahaja menjadi bebanan malah menjadi tohmahan kepada seseorang Daie. Mana mungkin kewibawaan dan keunggulan berdepan dengan ummah tidak mampu mendorongnya memandu ahli keluarganya? Itulah soalan yang mungkin diajukan oleh masyarakat. Justeru para Daie tidak boleh memandang enteng soal keiltizaman ahli keluarga dan anak-anaknya terhadap pemeliharaan syariat. Ahli keluarga mesti diasuh menepati waktu solat. Anak-anak lelaki mesti dididik dengan solat berjamaah. Anak-anak gadis pula mesti diasuh memelihara aurat dengan sebaiknya dan bukannya seperti orang awam yang bertudung litup tetapi mengikut rentak fesyen moden yang menyerlahkan kecantikan dan bertabarruj. Anak-anak tidak seharusnya dibiar menjadi penggila televisyen dan hiburan-hiburan yang melalaikan. Amat malang jika kedapatan Daie yang sibuk berusrah tetapi dalam masanya yang sama anakl-anaknya menonton rancangan-rancangan lagho di kaca televisyen di rumahnya. Jikalau ini semua berlaku maka ia bukan sahaja menjadi pencemar nama seseorang Daie tetapi ia memberikan satu tasawwur kabur tentang Islam kepada mereka yang tidak memahami Islam.

Daie tidak seharusnya berbangga dengan usaha-usaha dakwah luarannya semata. Tetapi ia mesti mengusahakan agar tarbiahnya mengakar ke dalam rumahtangganya. Jika usahanya tidak berjaya ia mesti beruaha mengenalpasti apakah punca yang menghalang terakarnya tarbiah ke dalam rumahnya.....

Wahai para Daie "Tegakkanlah negara Islam dalam dirimu dan keluargamu pasti nantinya akan tertegak negara Islam di tanahairmu!".

9/15/2009

Khutbah Hariraya Aidil Fitri





Assalamualaikum wrh, sempena ketibaan Aidilfitri saya nukilkan khutbah Hariraya sebagai rujukan kepada para khatib yang akan membaca khutbah. Kullu Am Wa Antum Bikhair!












Khutbah Hariraya Aidil Fitri 1430 Hijriah



الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ للهِ الْوَاحِدِ اْلقَهَّارِ، اَلْمَنَّانِ عَلَى عِبَادِهِ اْلمُخْلِصِيْنَ اْلأَبْرَارِ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اْلعَزِيْزُ اْلغَفَّارُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَناَ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اْلمُخْتَارُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ اْلأَخْيَار.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبْ.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian,
Pada hari dan saat yang penuh dengan kegembiraan ini saya menyeru diri saya dan semua ahli jamaah agar sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Taala dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
Setelah sebulan berpuasa maka sewajibnya pada hari ini kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bertemu dengan 1 Syawal dan merayakan Aidil Fitri pada pagi yang indah ini. Inilah nikmat yang tiada tolok bandingnya dan mestilah sama-sama kita menadah tangan sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi. Pada hari ini juga marilah sama-sama kita berdoa agar amal ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan yang sudah berlalu diterima oleh Allah Taala dan kita berdoa agar disematkan sifat Istiqomah dalam diri kita supaya keseronokan beribadah di bulan Ramadan akan terus membara di dalam jiwa kita meskipun Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Ramadan berlalu dengan meninggalkan seribu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah Taala sahaja. Hanya Dia Yang Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang bertemu dengan lailatul qadar? Hanya Dia Yang Maha Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang diampunkan dosanya dan telah tertulis namanya dipintu syurga? Dan Hanya Dia Yang Maha Mengetahui siapakah di kalangan hambanya yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata kerana berpuasa tetapi tetap melakukan maksiat serta meninggalkan perintahNya. Malah Hanya Dia Yang Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang berbohong berpuasa di hadapan manusia tetapi tidak berpuasa di bulan Ramadan yang lalu.
Bulan Ramadan dilalui dengan pelbagai suasana dan kerenah manusia. Ada golongan yang benar-benar rindu dengan ketibaan Ramadan dan menjadikannya saat beribadah dan mengejar keampunan dari Allah dan sebaliknya ada pula golongan yang bencikan Ramadan dan melalui Ramadan dengan mencuri makan dan minum, melakukan maksiat seperti berjudi berzina dan sebagainya. Bagi yang taat kita doakan agar Allah Taala memberikan ganjaran pahala berlipat ganda dan semoga budaya ibadah di bulan Ramadan dapat diteruskan hinggalah selepas Ramadan. Manakala bagi mereka yang lalai dengan maksiat di bulan Ramadan dibukakan hati mereka agar kembali ke jalan Allah dan tidak terjerumus ke dalam sifat munafik yang menzahirkan keislamannya tetapi hakikatnya tidak berpuasa, tidak solat, tidak menutup aurat dan tidak suka kepada syariat Islam.
Ramadan bagi mereka yang taat adalah saat manis yang kedatangannya dirindui dan pemergiannya ditangisi kerana hanya di dalam Ramadan sahaja Allah Taala memberikan tawaran ganjaran pahala yang tiada tolok-bandingnya. Manakala bagi pelaku maksiat ketibaan Ramadan meresahkan mereka manakala perginya Ramadan dialu-alukan oleh mereka. Golongan pertama pastinya akan bergembira dengan kedamaian di hati mereka manakala bagi golongan kedua mereka pastinya akan resah dan gelisah akibat kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w :
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا اِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفَطْرِهِ وَاِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, apabila berbuka(berhariraya) dia bergembira dengannya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan (ganjaran yang diperolehi hasil dari) pahala puasanya”. Hadis riwayat Imam Muslim.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian,
Aidilfitri membawa erti kembali kepada fitrah. Yakni setelah sebulan umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang asalnya harus iaitu makan dan minum dan juga perkara lain yang membatalkan puasa seperti bersetubuh dengan isteri di siang hari maka apabila tibanya Syawal kesemua perkara tersebut diharuskan dan dihalalkan semula. Ini adalah merupakan satu latihan paling berkesan kepada seseorang muslim bagi menguji sejauhmanakah tahap penerimaannya terhadap perintah Allah sehinggalah melibatkan sesuatu yang menjadi kebiasaan kepadanya kemudian dilarang oleh Allah SWT melakukannya. Dengan tibanya Syawal bererti sesuatu yang menjadi fitrah manusia iaitu makan dan minum diharuskan kembali di siang hari namun segala macam bentuk maksiat yang lain terus diharamkan oleh Allah Taala kepada umat Islam daripada melakukannya.
Sebagai umat Islam, hariraya tidak seharusnya dijadikan tiket mengharuskan perkara-perkara yang tetap diharamkan oleh Allah Taala. Apa yang dapat kita lihat hari ini ramai di kalangan umat Islam yang menjadikan hariraya sebagai hari bersukaria dan berhibur tanpa mengenal batasan halal dan haram. Sepatutnya hariraya dimaknakan sebagai saat menambahkan ibadah melalui rasa syukur dan gembira yang dipamerkan di dalam ruang lingkup batasan syarak dan peningkatan dalam soal ibadah kepada Allah. Perbuatan seperti bersalaman dengan bukan mahram, memperagakan pakaian cantik mendedah aurat, menghabiskan masa di depan televisyen dengan menonton rancangan berbentuk hiburan yang melalaikan dan mempamerka budaya percampuran bebas lelaki dan perempuan adalah tidak sepatutnya berlaku. Begitu juga dengan amalan ziarah-menziarahi yang tidak mengenal waktu solat.. Semua ini hanya akan mencemarkan nilai dan erti sebenar hariraya iaitu sebagai hari kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang mengajak kepada maksiat.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Ikhwanil Muslimin,
Hari ini adalah merupakan saat kegembiraan bagi seluruh umat Islam sedunia. Kegembiraan ini bukanlah kerana saat beribadah sudah berlalu tetapi kegembiraan ini adalah merupakan satu simbolik kerana kita telah berjaya melaksanakan perintah Allah dengan penuh keimanan dan kerana kita telah berjaya menundukkan hasutan Syaitan yang mengajak kepada kesesatan dan kelalain. Kita bergembira pada hari ini kerana Ramadan telah Berjaya menginsafkan dan mendidik kita menjadi untuk manusia yang taat beribadah selama sebulan meskipun dalam keadaan lapar dan letih menahan diri dari makan dan minum. Kegembiraan ini juga adalah kerana kita yakin Allah Taala akan menunaikan janjiNya mengurniakan syurga bagi mereka yang benar-benar taat kepada perintahNya. Inilah kegembiraan sebenar yang mesti dihayati oleh umat Islam dan bukannya bergembira kerana merdeka melakukan dosa dan maksiat sepertimana yang disalah ertikan oleh sebahagian umat Islam yang menjadikan Syawal saat untuk berpesta, berpeleseran dan melakukan pembaziran. Laungan Takbir di pagi Syawal adalah lambang keagungan Allah yang mesti dibesar di agongkan oleh setiap umat Islam. Ia adalah merupakan satu simbolik kepada umat Islam agar sentiasa meletakkan kepentingan perintah Allah pada tempat yang tertinggi dan menjadikan syariatNya sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan manusia dan menolak setiap ideology yang bercanggah dengannya. Firman Allah Taala:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْماً لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: Apakah hukum jahiliah yang mereka inginkan? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang beriman? Sural Al-Maidah ayat 50.

Sidang Jamaah sekelian,
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan (puasa sebulan) dan kamu bertakbir membesarkan Allah di atas petunjuk yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”.
Laungan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil yang berkumandang di seluruh dunia pada saat ini adalah satu isyarat bahawa jika umat Islam bersatu hati seperti bersatunya laungan takbir, tahmid dan tahlil itu, pastinya Allah Taala akan memberikan kemenangan kepada umat Islam dan kejayaan kepada mereka. Namun sebaliknya jika umat Islam berpecah belah maka kehinaanlah yang akan menimpa mereka. Inilah hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh umat Islam pada hari ini. Akibat dari perpecahan dan keengganan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan dalam kehidupan mereka dan system pemerintahan Negara mereka maka Allah Taala timpakan kehinaan kepada mereka di dunia dengan dengan pelbagai musibah dan malapetaka yang berlaku kepada umat Islam. Rata-rata umat Islam hari ini hanya berpegang dengan sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain. Hukum berkaitan nikah kahwin, sembahyang, puasa, zakat dan haji diterima pakai, tetapi hukum-hakam yang berkaitan riba, undang-undang jenayah seperti hudud dan qisos ditolak kerana mendakwa ia tidak sesuai dengan zaman manusia bertamadun pada hari ini. Masjid, surau dan madrasah di bina tetapi pusat judi, kedai arak dan pusat-pusat hiburan maksiat turut disuburkan dan diberikan lesen untuk beroperasi. Al-Quran hanya dirasakan berguna ketika kematian dan musim kebesaran Islam sahaja sebaliknya dalam soal undang-undang, pentadbiran negara, hiburan dan selainnya , Al-Quran tidak dirujuk dan tidak dijadikan panduan utama. Inilah realiti umat Islam pada hari ini dan inilah punca utama kepada kehinaan yang menimpa mereka. Allah Taala berfirman:


أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya :Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan . Surah Al-Baqarah : 85.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Tiada jalan lain yang lebih baik dalam mengembalikan maruah umat Islam melainkan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sepenuhnya. Semakin berleluasanya jenayah pada hari ini adalah bukti kukuh betapa segala ideology ciptaan manusia sudah menemui kegagalannya. Nasionalisme, Sekularisme, Komunisme, Sosialisme, Demokrasi dan bermacam ideologi yang wujud pada hari ini kesemuanya sedang menuju kepada kegagalan. Lihatlah Negara-negara yang menjadikan ideologi-ideologi berkenaan sebagai paksi kehidupan mereka, masing-masing sedang menuju kepada suasana yang kacau bilau samada dari aspek ekonomi mahupun dari aspek moral. Hakikatnya apa yang belum dipraktikkan buat kurun ini ialah sistem kehidupan yang berpaksikan Islam. Meskipun semua Negara-negara Islam mendakwa mereka melaksanakan Islam namun pada hakikatnya Islam yang dilaksanakan adalah secara tempelan yang hanya menumpukan aspek-aspek tertentu sahaja. Pelbagai slogan untuk membuktikan perlaksanaan Islam namun ia hanya kosong dengan slogan sahaja. Oleh itu umat Islam mestilah sama-sama bangkit memperjuangkan tertegaknya kembali sistem pemerintahan Khilafah Islam yang sudah sekian lama berkubur .

Saudara-saudaraku kaum Muslimin sekelian,
Semangat dari pembukaan kota Mekah di tangan Rasulullah s.a.w yang melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil dan yang menjadi ikutan kepada kita setiap kali tibanya hariraya patut diterjemahkan di alam realiti dan bukan sekadar laungan yang berbentuk slogan semata-mata. Gema takbir, tahmid, tasbih dan tahlil ketika baginda s.a.w masuk ke dalam kota Mekah adalah tanda bermulanya perlaksaan syariat Islam secara menyeluruh dalam khidupan manusia yang akhirnya membawa kepada keamanan dan keharmonian hidup. Ini telah membuktikan kepada dunia bahawa tiada satu sistem yang lebih baik daripada sistem yangh berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ .النور: 55
Maksudnya: Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan yang beramal soleh bahawa Dia akan menjadikan kamu berkuasa di atas muka bumi ini sebagaimana diberikan kuasa kepada mereka yang sebelum …Surah An-Nur ayat 85.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ. وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Khutbah kedua

اللهُ أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، اللهُ أكبُر, وَللهِ الْحَمْدُ .
اَلْحَمْدُ للهِ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٌ. وَأَشهَدُ أَنَّ محمدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اَلرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالْمِصْبَاحُ الْمُنِيْرُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الأُمَّةِ، وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَه
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Bagi menjadikan sambutan Hariraya pada hari ini sebagai suatu amalan yang mendapat redha dari Allah Taala maka semestinyalah kita memelihara adab-adab berhariraya sepertimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Seawal pagi raya sepatutnya dimulakan dengan mandi sunat hariraya, kemudian mengerjakan solat Subuh secara berjamaah di Masjid-Masjid atau surau yang diiringi dengan melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil bersama-sama dengan jamaah. Kemudian hendaklah makan sedidkit makanan sebelum keluar ke Masjid untuk solat hariraya sebagai bukti bahawa puasa Ramadan telahpun tamat.
Melaksanakan solat Hariraya adalah merupakan amalan sunnah yang sangat dituntut dan ianya mesti disertai dengan mendengar khutbah hariraya. Ada di kalangan umat Islam yang terus pulang ke rumah selepas solat hariraya tanpa mendengar khutbah. Perbuatan ini akan menjadikan solat harirayanya sia-sia sahaja.
Amalan ziarah-menziarahi dan mengucapkan tahniah sempena ketibaan hariraya adalah digalakkan bagi menimbul suasana kemeriahan hariraya. Namun ia tidak sepatutnya dicemari dengan budaya pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram. Amalan menziarahi kekasih dan perempuan bukan mahram serta bersalaman dengan mereka adalah haram di sisi Islam. Begitu juga amalan memperagakan pakaian yang mendedahkan aurat dan mempamerkan sosok tubuh adalah perbuatan haram yang tidak seharusnya dilakukan oleh setiap orang Islam. Sebgai umat Islam sewajibnya kita menjauhi amalan-amalan yang telah disebutkan di atas kerana ia akan mencemarkan Hariraya dan menjadikan kita kembali berbuat dosa setelah berlalu Ramadan.
Adalah menjadi sunnah Nabi s.a.w setelah berhariraya dilaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal sebagai penerus kepada kehangatan berpuasa di bulan Ramadan. Sabda Baginda s.a.w:
" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ" رواه مسلم.

Ertinya: Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan kemudian mengikutinya (dengan) berpuasa enam hari daripada bulan Syawal nescaya mendapat pahala sepanjang masa. Hadis riwayat Imam Muslim.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ، يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.
اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
اللهم وفق برحمتك سلطاننا وولاة أمورنا وعلماءنا ودعاتنا لما فيه رضاك. واجعلهم سببا لصلاح البلاد والعباد برحمتك يا أرحم الرحمين.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات, اللهم أعز الاسلام والمسلمين, وأذل الشرك والمشركين ودمر أعداء الدين وانصر عبادك المؤمنين اللهم ألف بين قلوب المؤمنين, واجعل هذ البلد آمنا مطمئنا سنخاء رخاء وسائر بلاد المسلمين أجمعين
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

9/08/2009

Mengfungsikan kembali Al-Quran

Realiti umat Islam hari ini dalam beramal dengan Al-Quran adalah seumpama seorang pegawai keselamatan yang bersenjata tetapi terlupa akan senjatanya atau sengaja tidak mahu menggunakannya apabila berdepan dengan penjenayah. Akibatnya penjenayah tersebut tidak lansung merasa takut, malah berani melakukan jenayah sewenang-wenangnya!
Begitulah waqi umat Islam yang rata-rata tidak mampu bangkit menjadi satu kuasa yang boleh menggerunkan musuh-musuhnya malah tidak berdaya menangkis serangan demi serangan yang dlakukan ke atas umat Islam dan negara-negara Islam samada dalam bentuk serangan pemikiran mahupun serangan ketenteraan. Kelemahan yang melanda umat Islam ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada dalam aspek ekonomi, pendidikan, perundangan, ketenteraan mahupun politik. Ini ditambah pula dengan keruntuhan nilai dan budaya yang semakin parah melanda umat Islam. Semua ini adalah berpunca dari keengganan umat Islam kembali kepada sumber kekuatan mereka yang sebenar iaitu Al-Quranul Kareem.
Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam bukunya ‘Kaifa Nata ’aamalu Ma ’a al-Quran’ (Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran) telah menyatakan bahawa situasi umat Islam hari ini agak pelik kerana mereka hanya menganggap bahawa tanggungjawab terhadap Al-Quran ialah membacanya sahaja dan tidak melebihi halqum mereka. Maka tidak hairanlah pada hari ini majoriti umat Islam cenderung kepada mempelajari ilmu tajwid, bertarannum dan mengadakan musabaqah tilwayah. Malah jika terdapat golongan ilmuan Islam di menara gading yang mengkhusus dalam bidang Al-Quran mereka lebih cenderung menjadikan Al-Quran bahan untuk membuat kajian ilmiah sahaja tetapi amalan dan tingkah laku mereka tidak mencerminkan keperibadian al-Quran. Sedangkan erti membaca atau ’Qara a’ bukan sekadar tillawah malah ia memberi erti memahami dan bertadabbur seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai sumber kepada sistem kehidupan. Firman Allah Taala:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. Surah Shaad : 29.

Natijah dari kecenderungan menjdikan Al-Quran sebagai bahan bacaan dan bertarannum sahaja telah menyebabkan umat Islam hanya merujuk Al-Quran apabila tibanya majlis-majlis kebesara Islam, kematian, menjadi pembuka majlis, digunakan sebagai alat rawatan gangguan makhlus halus dan dijadikan perhiasan di dinding-dinding rumah sahaja. Ramai di kalangan umat Islam tidak memahami apa yang mereka baca dan tidak tahu apakah sebab turun ayat-ayat di dalam Al-Quran. Justeru itu umat Islam tidak mampu mengolah Al-Quran sehingga menjadi rujukan dalam menentukan asas kepada sistem kehidupan mereka dan panduan di dalam menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda umat Islam.
Fungsi Al-Quran sebenarnya telah dinyatakan sendiri oleh Allah Taala melalui firmanNya:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا. وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: Dan Katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. Surah Al-Isra:81-82.

Menurut ahli tafsir seperti Imam Al-Tabari yang dimaksudkan dengan Al-Hak (Kebenaran) di dalam ayat di atas ialah Al-Quran. Ini adalah kerana Al-Quran mengandung semua perkara kebenaran dan tiada sebarang pembohong kerana ianya merupakan kalam Allah Tuhan Yang Maha Suci dari sifat-sifat tercela seperti berbohong. Oleh itu segala kisah-kisah silam, hukum-hakam, panduan-panduan kehidupan dan khabar berita mengenai hari qiamat, padang mahsya, hisab, syurga dan neraka adalah benar semuanya.
Imam Ibnu Katsir pula telah menguraikan fungsi Al-Quran sebagai Syifa dengan katanya : “Allah Taala telah menerangkan tentang KitabNya kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa ia (Al-Quran) adalah merupakan penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Iaitu (Al-Quran) mampu membuag penyakit-penyakit di dalam hati manusia seperti rasa syak dan sifat munafik, syirik, penyelewengan dan kesesatan. Al-Quran menjadi penyembuh kepada semua penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi satu rajmat yang dengannya akan membawa kepada keimanan, hikmah, kebaikan dan keinginan tinggi untuk melakukan sesuatu kebaikan.
Berdasarkan huraian Imam Ibnu Katsir di atas adalah amat jelas kepada kita bahawa Al-Quran bukanlah kitab yang sekadar dituntut kepada kita membacanya sahaja. Tetapi ia berfungsi menjadi dasar kepada ilmu pengetahuan yang dengannya akan menjadikan umat Islam sentiasa bertindak di atas landasan ilmu dan rasional serta terhindar dari rasa ragu dan tidak percaya kepada hukum-hukum Allah yang memiliki sifat suci dari sebarang kelemahan. Rasa syak dari ragu kepada kemampuan hokum-hukum Al-Quran untuk dilaksanakan sepenuhnya pada hari ini adalah berpunca dari hati yang berpenyakit. Kerana keraguan seumpama ini adalah merupakan titik tolak kepada lahirnya sifat munafik seterusnya mewujudkan golongan munafik yang mendakwa diri mereka muslim dan kononnya mahukan Islam tetapi hati mereka amat ragu terhadap Islam malah menyimpan kebencian terhadap syariat Islam. Islam hanya dijadikan rujukan di dalam perkara yang dirasakan sesuai dengan hidup mereka sahaja. Manakala jika bertembung antara kehendak nafsu mereka dengan Al-Quran maka Al-Quran diabaikan dengan pelbagai alasan dan helah.
Allah SWT telah menempelak golongan yang mendakwa beriman tetapi mereka hanya mempraktikkan sebahagian hukum Al-Quran dan menolak sebahagian yang lain dengan firmanNya:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya :Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat . Surah Al-Baqarah : 85.

Ayat di atas meskipun diturunkan kepada kaum Yahudi namun pengajarannya adalah umum merangkumi umat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam ertikata lain sikap dan tingkahlaku golongan Yahudi yang menolak sebahagian hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat telah menyebabkan mereka menjadi bangsa yang hina . Begitulah juga apa yang bakal menimpa malah sudah menimpa umat Islam hari ini. Rata-rata umat Islam di mana sahaja mengkesampingkan dan menghadkan peranan Al-Quran. Malah ada yang merasakan bahawa Al-Quran hanya wajar dibaca untuk mendapat berkat sahaja dan untuk mengiringi orang yang baru meninggal dunia. Di peringkat pemerintah negara-negara Islam pula ramai pemimpin yang melihat Al-Quran sebagai bahan untuk bersumpah dan cara terbaik untuk berselindung bagi menzahirkan diri kononnya mereka mahukan kepada Islam agar sokongan orang Islam terhadap mereka terus kekal. Sedangkan dalam sistem ekonomi, pendidikan, undang-undang dan politik dirujuk kepada ideologi-ideologi ciptaan manusia yang bersumberkan falsafah yang sesat lagi menyesatkan. Malah tingkahlaku dan cara hidup mereka tidak mencerminkan keperibadian Al-Quran, sedangkan Nabi s.a.w sebagai contoh terbaik kepimpinan Islam apabila diminta kepada Asiyah r.a menceritakan akhlak baginda, Aisyah r.a berkata : ”Akhlak baginda adalah Al-Quran!.

9/07/2009

Destinasi terakhir guruku Ustaz Bahrin....

Pukul 12.30 pagi 17 Ramadan saya dikejutkan dengan mesej dari saudara Zali bahawa saudara Bahrin telah meninggal dunia. Saya baca berulang kali mesej tersebut kerana tidak percaya. Akhirnya saya menelefon Zali untuk kepastian dan ternyata berita tersebut adalah benar. Hati sangat hiba dan sedih yang teramat sangat kerana saya begitu tidak menyangka pertemuan dan gurauan dengannya semasa di Taman guru pada malam 16 Ramadan adalah saat terakhir mendengar bicara dan menatap wajahnya. Malam tersebut saya sempat berbual dengannya tentang anaknya yang kini belajar di UMP dan merupakan seorang Hafiz...beliau begitu berbangga dengan anaknya tersebut. Kemudian sempat juga bergurau tentang kematian! Rupa-rupanya itu adalah petanda pemergian beliau.



Arwah Bahrin 58 tahun adalah lulusan Ekonomi dari UM dan merupakan seorang aktivis Jamaah Islam yang sangat gigih di Pahang khususnya di Kuantan. Beliau sanggup meninggalkan jawatan demi berjuang menegakkan syariat Allah. Beliau adalah seorang yang tidak pernah mengenal erti jemu dan kecewa dalam perjuangan samada berjawatan mahupun tidak malah dengan adanya beliau telah memberikan nafas kepada dakwah di Kuantan dan menjadi sumber inspirasi generasi baru dalam dakwah termasuklah saya....kerana itulah beliau dikenali dengan gelaran ustaz malah beliau lebih hebat dari sesetengah ustaz yang lansung tidak melibatkan diri dalam Jamaah Islam.

Menurut rakan-rakan pada malam 6 September 2009 selepas solat tarawih, beliau berusrah dan ketika usrahlah beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri lalu terus di bawa ke HTAA. Saya dimaklumkan bahawa beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital.

Semenjak dari selepas subuh hari ini 7 September rumah beliau di Tanjung Lumpur dipenuhi dengan sahabat-sahabat yang begitu ramai dan kemudian solat jenazah yang diadakan di Surau dilakukan lebih dari 5 kali kerana ramainya jamaah yang datang menziarahinya. Arwah Bahrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan hadapan Yayasan Pahang di Tg Lumpur. Semoga rohnya bersemadi dengan damai di sana. Alangkah indahnya pemergian beliau....di bulan Ramadan, malam ke 17 Ramadan, ketika berusrah dan ketika beliau mewaqafkan dirinya untuk perjuangan Islam. Semoga ahli keluarganya tabah menghadapi ujian Allah ini.

Saya meyakini meskipun semua yang ditinggalkan di kalangan ahli keluarga dan sahabat seperjuangan meratapi pemergianya, saudara Bahrin pastinya tersenyum menerima lambaian nikmat syurga Ilahi yang menjadi idaman dan cita-cita setiap pejuang Islam sepertinya.

Ya Allah tempatkanlah sahabatku dan guruku ini di dalam Syurga Al-Firdaus...Al-Fatihah.

9/01/2009

Catatan Ramadan kali ini

Ramadan kali ini, saya berpuasa dalam cuti belajar. Jika tidak diatur jadual dengan sebaiknya, nampak gayanya tidur sahajalah. Kena betul-betul disiplinkan diri agar masa tidak terbuang begitu sahaja. Alhamdulillah kelas Kaedah Penyelidikan di UKM hingga setakat ini tak pernah ponteng. Bulan Ramadan ni kena kerja kuat sikit sebab proposal PhD kena submit dalam semester ini jugak.

Ramadan kali bermula dengan cukup meriah. Di Indera Sempurna, jamaah yang hadir ke surau diluar jangkaan, hingga ada yang solat di atas tangga malah ada yang terpaksa pulang kerana sudah tiada ruang. Indahnya Ramadan kerana semua umat Islam berlumba-lumba inginkan kelebihan pahala dari Allah. Rasanya di Masjid-Masjid dan surau-surau lainpun begitu juga, minggu pertama enjin masih panas lagi!

Ramadan kali ini, saya berbuka kurma dan kuih-kuih di surau bersama sahabat-sahabat kerana ingin mengejar solat Maghrib berjamaah dan kemudian baru pulang berbuka bersama keluarga. Kenalah korbankan masa bersama keluarga sikit bagi memastikan jamaah Maghrib dapat dihidupkan.

Ramadan kali ini, syukur kerana dapat menghidupkan suasana ibadah di rumah. Ruang solat kecil disediakan dengan kelengkapan sejadah dan al-Quran. Syukur juga kerana sekitar pukul 6.30 petang saya dapat bersama-sama isteri dan anak-anak bertadarus al-Quran dan mendengar bacaan tazkirah Ramadan yang dibuat oleh anak-anak secara bergilir-gilir hingga jam 7.10 petang. Alhamdulillah aktiviti ini dapat berjalan setiap hari. Jika saya tiada di rumah isteri yang mengepalainya. Anak-anak saya Ukashah, Asma dan Aisyah sudah mudah untuk diajak bersama untuk beribadah...kerana mereka semakin dewasa tidak seperti Ramadan yang lalu. Tetapi Sumaiyah, Fatimah dan Huzaifah masih belum kenal erti puasa...

Ramadan kali ini, kami sekeluarga mendapat berita sedih kerana abang ipar saya Ustaz Khairul Zaman dimasukkan ke HTAA selama seminggu kerana menjalani pembedahan akibat kanser usus. Lama juga beliau terlantar di ICU HTAA dan kami adik-beradik bergilir-gilir menziarahinya. Alhamdulillah setelah lebih kurang tujuh hari di HTAA, pada Ahad 30 Ogos beliau dibenarkan pulang ke rumah meskipun masih lemah namun keazamannya cukup kuat untuk solat dan berpuasa. Besar juga ujian buat Kak Hapzan, anak-anak pula akan ambil UPSR, PMR & SPM tahun ni, moga Allah berikan kekuatan kepadanya. Namun kami tetap bersyukur kerana Allah mengurniakan kesembuhan buat Ustaz Khairul Zaman selepas menjalani pembedahan yang memakan masa selama hampir enam jam. semoga Allah Taala memberikan kesihatan kepada beliau dengan segera agar dapat berpuasa dan berhariraya bersama kami di Kampung nanti.

Ramadan kali ini, sempat juga balik kampung selama 3 hari berpuasa bersama-sama bonda tercinta. Meskipun bonda sudah agak uzur namun air tangannya masih lagi seperti dulu, saya sentias rindukan masakannya dan di bulan Ramadan kuih yang saya paling minat ialah 'Serabai'(mungkin ramai yang tidak tahu). Anak-anak pula memang syok berpuasa di kampung bersama wan mereka, malah semenjak hari pertama puasa sudah bertanya bila akan balik ke Kg untuk berpuasa bersama Wan mereka? Moga Allah kurniakan kesihatan kepada bonda tercinta.

Ramadan kali ini, sempat juga memberikan tazkirah di Surau Al-Hidayah Kg Temin. Syukur kerana jamaah di Surau kembali ramai di bulan Ramadan ini dan dapat berjumpa saudara mara dan rakan-rakan di Kampung. Di Kampung meskipun jumlah jamaahnya tidak seramai di Indera Sempurna tetapi suasana lebih meriah kerana setiap malam ada jamuan moreh dibuat secara bergilir-gilir oleh penduduk kampung. Imam tarawih pula dijemput khas dari Maahad Tahfiz Sungai Salan.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi Yang mengurniakan nikmat berpuasa kali ini dan memberikan kesempatan meneruskan puasa hingga ke hari ini. Jika dibaca di dada-dada akhbar ada sahaja berita kematian dan kesedihan kerana tidak sempat meneruskan puasa, tidak kesampaian berbuka puasa bonda, tidak dapat merasai juadah berbuka kerana terlibat kemalangan dan tiada keceriaan berhariraya kerana hilangnya orang tersayang. Allah Taala masih lagi memberi ruang kepada diri ini untuk menebus dosa silam dan meningkatkan ibadah sebagai bekalan perjalanan selepas kematian nanti. Entahlah bila agaknya Malaikat Maut akan menjemput? Ya Allah berikanlah ruang untukku mengecapi kemeriahan Ramadan kali ini....Alhamdulillah!