9/15/2009

Khutbah Hariraya Aidil Fitri





Assalamualaikum wrh, sempena ketibaan Aidilfitri saya nukilkan khutbah Hariraya sebagai rujukan kepada para khatib yang akan membaca khutbah. Kullu Am Wa Antum Bikhair!












Khutbah Hariraya Aidil Fitri 1430 Hijriah



الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ للهِ الْوَاحِدِ اْلقَهَّارِ، اَلْمَنَّانِ عَلَى عِبَادِهِ اْلمُخْلِصِيْنَ اْلأَبْرَارِ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اْلعَزِيْزُ اْلغَفَّارُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَناَ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اْلمُخْتَارُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ اْلأَخْيَار.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبْ.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian,
Pada hari dan saat yang penuh dengan kegembiraan ini saya menyeru diri saya dan semua ahli jamaah agar sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Taala dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
Setelah sebulan berpuasa maka sewajibnya pada hari ini kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bertemu dengan 1 Syawal dan merayakan Aidil Fitri pada pagi yang indah ini. Inilah nikmat yang tiada tolok bandingnya dan mestilah sama-sama kita menadah tangan sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi. Pada hari ini juga marilah sama-sama kita berdoa agar amal ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan yang sudah berlalu diterima oleh Allah Taala dan kita berdoa agar disematkan sifat Istiqomah dalam diri kita supaya keseronokan beribadah di bulan Ramadan akan terus membara di dalam jiwa kita meskipun Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Ramadan berlalu dengan meninggalkan seribu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah Taala sahaja. Hanya Dia Yang Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang bertemu dengan lailatul qadar? Hanya Dia Yang Maha Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang diampunkan dosanya dan telah tertulis namanya dipintu syurga? Dan Hanya Dia Yang Maha Mengetahui siapakah di kalangan hambanya yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata kerana berpuasa tetapi tetap melakukan maksiat serta meninggalkan perintahNya. Malah Hanya Dia Yang Tahu siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang berbohong berpuasa di hadapan manusia tetapi tidak berpuasa di bulan Ramadan yang lalu.
Bulan Ramadan dilalui dengan pelbagai suasana dan kerenah manusia. Ada golongan yang benar-benar rindu dengan ketibaan Ramadan dan menjadikannya saat beribadah dan mengejar keampunan dari Allah dan sebaliknya ada pula golongan yang bencikan Ramadan dan melalui Ramadan dengan mencuri makan dan minum, melakukan maksiat seperti berjudi berzina dan sebagainya. Bagi yang taat kita doakan agar Allah Taala memberikan ganjaran pahala berlipat ganda dan semoga budaya ibadah di bulan Ramadan dapat diteruskan hinggalah selepas Ramadan. Manakala bagi mereka yang lalai dengan maksiat di bulan Ramadan dibukakan hati mereka agar kembali ke jalan Allah dan tidak terjerumus ke dalam sifat munafik yang menzahirkan keislamannya tetapi hakikatnya tidak berpuasa, tidak solat, tidak menutup aurat dan tidak suka kepada syariat Islam.
Ramadan bagi mereka yang taat adalah saat manis yang kedatangannya dirindui dan pemergiannya ditangisi kerana hanya di dalam Ramadan sahaja Allah Taala memberikan tawaran ganjaran pahala yang tiada tolok-bandingnya. Manakala bagi pelaku maksiat ketibaan Ramadan meresahkan mereka manakala perginya Ramadan dialu-alukan oleh mereka. Golongan pertama pastinya akan bergembira dengan kedamaian di hati mereka manakala bagi golongan kedua mereka pastinya akan resah dan gelisah akibat kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w :
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا اِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفَطْرِهِ وَاِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, apabila berbuka(berhariraya) dia bergembira dengannya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan (ganjaran yang diperolehi hasil dari) pahala puasanya”. Hadis riwayat Imam Muslim.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian,
Aidilfitri membawa erti kembali kepada fitrah. Yakni setelah sebulan umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang asalnya harus iaitu makan dan minum dan juga perkara lain yang membatalkan puasa seperti bersetubuh dengan isteri di siang hari maka apabila tibanya Syawal kesemua perkara tersebut diharuskan dan dihalalkan semula. Ini adalah merupakan satu latihan paling berkesan kepada seseorang muslim bagi menguji sejauhmanakah tahap penerimaannya terhadap perintah Allah sehinggalah melibatkan sesuatu yang menjadi kebiasaan kepadanya kemudian dilarang oleh Allah SWT melakukannya. Dengan tibanya Syawal bererti sesuatu yang menjadi fitrah manusia iaitu makan dan minum diharuskan kembali di siang hari namun segala macam bentuk maksiat yang lain terus diharamkan oleh Allah Taala kepada umat Islam daripada melakukannya.
Sebagai umat Islam, hariraya tidak seharusnya dijadikan tiket mengharuskan perkara-perkara yang tetap diharamkan oleh Allah Taala. Apa yang dapat kita lihat hari ini ramai di kalangan umat Islam yang menjadikan hariraya sebagai hari bersukaria dan berhibur tanpa mengenal batasan halal dan haram. Sepatutnya hariraya dimaknakan sebagai saat menambahkan ibadah melalui rasa syukur dan gembira yang dipamerkan di dalam ruang lingkup batasan syarak dan peningkatan dalam soal ibadah kepada Allah. Perbuatan seperti bersalaman dengan bukan mahram, memperagakan pakaian cantik mendedah aurat, menghabiskan masa di depan televisyen dengan menonton rancangan berbentuk hiburan yang melalaikan dan mempamerka budaya percampuran bebas lelaki dan perempuan adalah tidak sepatutnya berlaku. Begitu juga dengan amalan ziarah-menziarahi yang tidak mengenal waktu solat.. Semua ini hanya akan mencemarkan nilai dan erti sebenar hariraya iaitu sebagai hari kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang mengajak kepada maksiat.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Ikhwanil Muslimin,
Hari ini adalah merupakan saat kegembiraan bagi seluruh umat Islam sedunia. Kegembiraan ini bukanlah kerana saat beribadah sudah berlalu tetapi kegembiraan ini adalah merupakan satu simbolik kerana kita telah berjaya melaksanakan perintah Allah dengan penuh keimanan dan kerana kita telah berjaya menundukkan hasutan Syaitan yang mengajak kepada kesesatan dan kelalain. Kita bergembira pada hari ini kerana Ramadan telah Berjaya menginsafkan dan mendidik kita menjadi untuk manusia yang taat beribadah selama sebulan meskipun dalam keadaan lapar dan letih menahan diri dari makan dan minum. Kegembiraan ini juga adalah kerana kita yakin Allah Taala akan menunaikan janjiNya mengurniakan syurga bagi mereka yang benar-benar taat kepada perintahNya. Inilah kegembiraan sebenar yang mesti dihayati oleh umat Islam dan bukannya bergembira kerana merdeka melakukan dosa dan maksiat sepertimana yang disalah ertikan oleh sebahagian umat Islam yang menjadikan Syawal saat untuk berpesta, berpeleseran dan melakukan pembaziran. Laungan Takbir di pagi Syawal adalah lambang keagungan Allah yang mesti dibesar di agongkan oleh setiap umat Islam. Ia adalah merupakan satu simbolik kepada umat Islam agar sentiasa meletakkan kepentingan perintah Allah pada tempat yang tertinggi dan menjadikan syariatNya sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan manusia dan menolak setiap ideology yang bercanggah dengannya. Firman Allah Taala:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْماً لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: Apakah hukum jahiliah yang mereka inginkan? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang beriman? Sural Al-Maidah ayat 50.

Sidang Jamaah sekelian,
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan (puasa sebulan) dan kamu bertakbir membesarkan Allah di atas petunjuk yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”.
Laungan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil yang berkumandang di seluruh dunia pada saat ini adalah satu isyarat bahawa jika umat Islam bersatu hati seperti bersatunya laungan takbir, tahmid dan tahlil itu, pastinya Allah Taala akan memberikan kemenangan kepada umat Islam dan kejayaan kepada mereka. Namun sebaliknya jika umat Islam berpecah belah maka kehinaanlah yang akan menimpa mereka. Inilah hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh umat Islam pada hari ini. Akibat dari perpecahan dan keengganan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan dalam kehidupan mereka dan system pemerintahan Negara mereka maka Allah Taala timpakan kehinaan kepada mereka di dunia dengan dengan pelbagai musibah dan malapetaka yang berlaku kepada umat Islam. Rata-rata umat Islam hari ini hanya berpegang dengan sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain. Hukum berkaitan nikah kahwin, sembahyang, puasa, zakat dan haji diterima pakai, tetapi hukum-hakam yang berkaitan riba, undang-undang jenayah seperti hudud dan qisos ditolak kerana mendakwa ia tidak sesuai dengan zaman manusia bertamadun pada hari ini. Masjid, surau dan madrasah di bina tetapi pusat judi, kedai arak dan pusat-pusat hiburan maksiat turut disuburkan dan diberikan lesen untuk beroperasi. Al-Quran hanya dirasakan berguna ketika kematian dan musim kebesaran Islam sahaja sebaliknya dalam soal undang-undang, pentadbiran negara, hiburan dan selainnya , Al-Quran tidak dirujuk dan tidak dijadikan panduan utama. Inilah realiti umat Islam pada hari ini dan inilah punca utama kepada kehinaan yang menimpa mereka. Allah Taala berfirman:


أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya :Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan . Surah Al-Baqarah : 85.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Tiada jalan lain yang lebih baik dalam mengembalikan maruah umat Islam melainkan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sepenuhnya. Semakin berleluasanya jenayah pada hari ini adalah bukti kukuh betapa segala ideology ciptaan manusia sudah menemui kegagalannya. Nasionalisme, Sekularisme, Komunisme, Sosialisme, Demokrasi dan bermacam ideologi yang wujud pada hari ini kesemuanya sedang menuju kepada kegagalan. Lihatlah Negara-negara yang menjadikan ideologi-ideologi berkenaan sebagai paksi kehidupan mereka, masing-masing sedang menuju kepada suasana yang kacau bilau samada dari aspek ekonomi mahupun dari aspek moral. Hakikatnya apa yang belum dipraktikkan buat kurun ini ialah sistem kehidupan yang berpaksikan Islam. Meskipun semua Negara-negara Islam mendakwa mereka melaksanakan Islam namun pada hakikatnya Islam yang dilaksanakan adalah secara tempelan yang hanya menumpukan aspek-aspek tertentu sahaja. Pelbagai slogan untuk membuktikan perlaksanaan Islam namun ia hanya kosong dengan slogan sahaja. Oleh itu umat Islam mestilah sama-sama bangkit memperjuangkan tertegaknya kembali sistem pemerintahan Khilafah Islam yang sudah sekian lama berkubur .

Saudara-saudaraku kaum Muslimin sekelian,
Semangat dari pembukaan kota Mekah di tangan Rasulullah s.a.w yang melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil dan yang menjadi ikutan kepada kita setiap kali tibanya hariraya patut diterjemahkan di alam realiti dan bukan sekadar laungan yang berbentuk slogan semata-mata. Gema takbir, tahmid, tasbih dan tahlil ketika baginda s.a.w masuk ke dalam kota Mekah adalah tanda bermulanya perlaksaan syariat Islam secara menyeluruh dalam khidupan manusia yang akhirnya membawa kepada keamanan dan keharmonian hidup. Ini telah membuktikan kepada dunia bahawa tiada satu sistem yang lebih baik daripada sistem yangh berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ .النور: 55
Maksudnya: Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan yang beramal soleh bahawa Dia akan menjadikan kamu berkuasa di atas muka bumi ini sebagaimana diberikan kuasa kepada mereka yang sebelum …Surah An-Nur ayat 85.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ. وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Khutbah kedua

اللهُ أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، اللهُ أكبُر, وَللهِ الْحَمْدُ .
اَلْحَمْدُ للهِ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٌ. وَأَشهَدُ أَنَّ محمدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اَلرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالْمِصْبَاحُ الْمُنِيْرُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الأُمَّةِ، وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَه
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Bagi menjadikan sambutan Hariraya pada hari ini sebagai suatu amalan yang mendapat redha dari Allah Taala maka semestinyalah kita memelihara adab-adab berhariraya sepertimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Seawal pagi raya sepatutnya dimulakan dengan mandi sunat hariraya, kemudian mengerjakan solat Subuh secara berjamaah di Masjid-Masjid atau surau yang diiringi dengan melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil bersama-sama dengan jamaah. Kemudian hendaklah makan sedidkit makanan sebelum keluar ke Masjid untuk solat hariraya sebagai bukti bahawa puasa Ramadan telahpun tamat.
Melaksanakan solat Hariraya adalah merupakan amalan sunnah yang sangat dituntut dan ianya mesti disertai dengan mendengar khutbah hariraya. Ada di kalangan umat Islam yang terus pulang ke rumah selepas solat hariraya tanpa mendengar khutbah. Perbuatan ini akan menjadikan solat harirayanya sia-sia sahaja.
Amalan ziarah-menziarahi dan mengucapkan tahniah sempena ketibaan hariraya adalah digalakkan bagi menimbul suasana kemeriahan hariraya. Namun ia tidak sepatutnya dicemari dengan budaya pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram. Amalan menziarahi kekasih dan perempuan bukan mahram serta bersalaman dengan mereka adalah haram di sisi Islam. Begitu juga amalan memperagakan pakaian yang mendedahkan aurat dan mempamerkan sosok tubuh adalah perbuatan haram yang tidak seharusnya dilakukan oleh setiap orang Islam. Sebgai umat Islam sewajibnya kita menjauhi amalan-amalan yang telah disebutkan di atas kerana ia akan mencemarkan Hariraya dan menjadikan kita kembali berbuat dosa setelah berlalu Ramadan.
Adalah menjadi sunnah Nabi s.a.w setelah berhariraya dilaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal sebagai penerus kepada kehangatan berpuasa di bulan Ramadan. Sabda Baginda s.a.w:
" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ" رواه مسلم.

Ertinya: Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan kemudian mengikutinya (dengan) berpuasa enam hari daripada bulan Syawal nescaya mendapat pahala sepanjang masa. Hadis riwayat Imam Muslim.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ، يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.
اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
اللهم وفق برحمتك سلطاننا وولاة أمورنا وعلماءنا ودعاتنا لما فيه رضاك. واجعلهم سببا لصلاح البلاد والعباد برحمتك يا أرحم الرحمين.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات, اللهم أعز الاسلام والمسلمين, وأذل الشرك والمشركين ودمر أعداء الدين وانصر عبادك المؤمنين اللهم ألف بين قلوب المؤمنين, واجعل هذ البلد آمنا مطمئنا سنخاء رخاء وسائر بلاد المسلمين أجمعين
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

No comments: