9/27/2009

Ujian Buat Seorang Daie...

Berat rasanya bebanan apabila kemampuan untuk mendidik dan mentarbiah ahli keluarga terdekat tidak seperti kekuatan mentarbiah dan melagang dakwah di tengah masyarakat. Seringkali berlaku para Daie dipandang rendah akibat ketidakupayaannya memberikan contoh tauladan melaksanakan syariat Islam dalam keluarganya akibat dari ketidakmampuan mentarbiah usrahnya sendiri. meskipun ia menjadi Naqib memandu anak-anak usrahnya tetapi usrah hakikinya terabai dari tarbiahnya. Soal solat berjamaah, solat tepat pada waktunya, kerapian menutup aurat dan soal perjuangan selalunya tidak gugup bila diajukan kepada khalayak masyarakat. Tetapi apabila berdepan dengan ahli keluarga sendiri, anak-anak, adik beradik dan anak-anak-anak saudara ianya bagaikan ada batu besar yang menghalang hingga mereka terbiar dari panduan dan didikan tarbiah. Sedangkan Allah Taala telah menetapkan bahawa tertib dakwah adalah bermula di rumah dan bukannya bermula di luar. Firman Allah Taala:

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَ أَهْلِيكُمْ ناراً
Maksud: "Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka! Surah Al-Tahrim ayat 6.

Menjadi satu ujian besar apabila Daie berdepan dengan kerenah anak-anak yang terabai ibadah, meringankan aurat dan melakukan maksiat. Ia bukan sahaja menjadi bebanan malah menjadi tohmahan kepada seseorang Daie. Mana mungkin kewibawaan dan keunggulan berdepan dengan ummah tidak mampu mendorongnya memandu ahli keluarganya? Itulah soalan yang mungkin diajukan oleh masyarakat. Justeru para Daie tidak boleh memandang enteng soal keiltizaman ahli keluarga dan anak-anaknya terhadap pemeliharaan syariat. Ahli keluarga mesti diasuh menepati waktu solat. Anak-anak lelaki mesti dididik dengan solat berjamaah. Anak-anak gadis pula mesti diasuh memelihara aurat dengan sebaiknya dan bukannya seperti orang awam yang bertudung litup tetapi mengikut rentak fesyen moden yang menyerlahkan kecantikan dan bertabarruj. Anak-anak tidak seharusnya dibiar menjadi penggila televisyen dan hiburan-hiburan yang melalaikan. Amat malang jika kedapatan Daie yang sibuk berusrah tetapi dalam masanya yang sama anakl-anaknya menonton rancangan-rancangan lagho di kaca televisyen di rumahnya. Jikalau ini semua berlaku maka ia bukan sahaja menjadi pencemar nama seseorang Daie tetapi ia memberikan satu tasawwur kabur tentang Islam kepada mereka yang tidak memahami Islam.

Daie tidak seharusnya berbangga dengan usaha-usaha dakwah luarannya semata. Tetapi ia mesti mengusahakan agar tarbiahnya mengakar ke dalam rumahtangganya. Jika usahanya tidak berjaya ia mesti beruaha mengenalpasti apakah punca yang menghalang terakarnya tarbiah ke dalam rumahnya.....

Wahai para Daie "Tegakkanlah negara Islam dalam dirimu dan keluargamu pasti nantinya akan tertegak negara Islam di tanahairmu!".

3 comments:

al-mankaraqi said...

salam ziarah

Hanisah Safian said...

moga ustaz diberkatiNYA..
amin..

Sabri FKKSA di UNSW Sydney said...

Salam,
Salah satu usaha ana ialah memberikan kelonggaran (option) kepada isteri utk tidak bekerja bg memberikan tumpuan yang lebih kepada rumahtangga dan anak2.
Sedang mencari2 kerja utk isteri yg fleksibel masanya supaya kerja di rumah tidak terabai.
Ana bersetuju dan berusaha (insyaAllah) utk memandu sebaik mungkin keagamaan dlm usrah hakiki itu sebagaimana disarankan. Jazakallah khairan kathira.