10/05/2009

AKHLAK menjadi pembeza antara Parti Islam dan Parti Sekular


Islam mengutamakan soal akhlak dalam semua keadaan dan situasi kerana akhlak adalah cerminan keutuhan iman dan kedamaian jiwa di hati orang yang beriman. Semakin tinggi imannya maka semakin tinggi jugalah akhlak dan tingkah lakunya tetapi semakin lemah imannya maka semakin buruklah tingkah lakunya. Di atas kepentingan akhlaklah Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah SWT. Ini tergambar melalui sabda baginda :
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak”. Hadis sahih riwayat Al-Baihaqi
Islam bukan sahaja berbicara solat akhlak dalam hubungan dengan ibubapa, dengan guru atau hubungan suami isteri sahaja tetapi ia menjangkaui hubungan dengan musuh Islam sehinggakan dalam peperanganpun nilai-nilai akhlak wajib dijaga. Jika kita membaca sejarah peperangan dalam Islam maka akan terserlahlah bagaimana kehebatan akhlak para pejuang Islam ketika berperang dan kesannya ramai musuh Islam yang tertarik lalu akhirnya memeluk Islam.
Bagi pendokong dakwah di Malaysia akhlak sepatutnya tidak di pandang remeh dan diabaikan dalam memperjuangankan Islam. Meskipun berdepan dengan situasi runcing dan tertekan, akhlak tetap mesti dipelihara kerana akhlak sangat besar peranannnya dalam memberika kesan kepada sasaran dakwah. Malah ada ketikanya kehebatan Ilmu sahaja tidak mempunyai aura untuk menarik minat seseorang kepada Islam. Contohilah Rasulullah s.a.w yang menyabarkan para sahabatnya apabila seorang badwi kencing di dalam Masjid baginda. Lalu baginda mengarahkan sahabatnya mengambil air untuk dijiruskan kencing tersebut. Akhirnya si badwi yang melihat akhlak baginda itu terpegun lantas memeluk Islam!
Di Malaysia salah satu saluran terbaik bagi mengembalikan tertegaknya syariat Islam ialah melalui pilihanraya. Meskipun ianya adalah sistem ciptaan Barat yang pastinya mempunyai hasrat tersembunyi menggagalkan kebangkitan Islam namun kita seolah-olah terpaksa menerima kaedah ini dalam merealisasikan hasrat memartabatkan hukum Allah buat masa ini. Keterlibatan pendokong Islam di dalam kancah politik pilihanraya seharusnya didasari oleh satu prinsip yang utuh agar ia dapat membezakan dirinya dengan pendokong perjuangan sekular.
Bagi membezakan antara pejuang Islam dan pejuang yang tidak berpaksikan ajaran Islam maka akhlaklah yang menjadi garis pemisahnya. Justeru dalam situasi pilihanraya para pejuang Islam tidak boleh mengabaikan aspek akhlak dan tingkah-laku mereka. Tutur-kata, perbuatan dan penulisan mestilah sentiasa terpelihara daripada kejian dan fitnah. Ini adalah kerana pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah merupakan jerat terancang yang dipaksakan kepada umat Islam supaya umat Islam sentiasa terikut-ikut dengan rentak dan budaya yang tidak Islamik. Dalam konteks pilihanraya di Malaysia persoalan nilai dan akhlak sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Jika diteliti ianya bermula dari pemilihan calon lagi. Sudah menjadi budaya parti-parti politik mencalonkan mereka yang berpotensi menang sahaja meskipun akhlaknya hodoh dan jelek. Kerana pada tanggapan mereka media massa yang dikuasai boleh menjadikan sesiapa sahaja yang jelek akhlaknya bertukar menjadi manusia qudus yang baik dan berjiwa rakyat melalui propanganda 24jam samada dalam bentuk bercetak mahupun elektronik. Pengnyahan akhlak seterusnya berlaku dalam situasi ketika penamaan calon yang biasanya diwarnai dengan sorakan, penghinaan dan cercaan terhadap pihak lawan. Ketegangan ketika penamaan calon boleh memuncak apabila pemimpin parti yang bertanding dihina dan dicaci yang memarakkan lagi api kebencian. Dalam tempoh berkempen pula tubuh calon seolah-olah cuba ditelanjangi bagi memenangkan calon masing-masing meskipun ianya adalah fitnah dan adu domba semata-mata. Fitnah ini disemarakkan lagi apabila ada media massa yang sanggup diperkudakan bagi menjadi lidah kepada fitnah dan propaganda jahat. Situasi ini berterusan sehinggalah tamatnya waktu berkempen.
Inilah situasi yang didepani oleh parti Islam. Akibat penglibatan dalam politik pilihanraya maka situasi ini mesti dilalui namun ia mesti mempunyai kekentalan identiti agar tidak terpengaruh dengan suasana yang berlaku. Ketika inilah akhlak dapat membezakan antara parti Islam dan parti sekular. Bagi para pendokong parti Islam calon yang mereka ketengahkan mestilah yang paling baik akhlaknya dan paling kuat hubungannya dengan Allah. Bukan perasuah, bukan kaki perempuan, bukan orang yang tidak solat dan bukan yang buruk lakunya. Meskipun pandai bersyarah, pandai berhujjah, berjawatan, berpengalaman, berharta dan pandai berpolitik ia masih belum boleh jadi calon parti Islam sekiranya tidak berakhlak. Orang yang tidak solat berjamaah, tidak berusrah, kaki rokok dan tidak asas kefahaman Islam, tidak wajar dicalonkan untuk parti Islam kerana ia lebih banyak merosakkan imej parti Islam. Ketika penamaan calon, pendokong-pendokong Islam tidak wajar terikut-ikut dengan budaya dan rentak pendokong parti sekular. Perbuatan menyorak lawan dengan kata-kata kesat, menghina pemimpin mereka dengan celaan dan membuat isyarat-isyarat yang tidak elok hanya menyerlahkan ketidak pekaan pemimpin parti Islam mentarbiah para pendokong dan penyokong mereka. Jika ini berlaku ia hanya akan melahirkan persepsi bahawa parti Islam dan parti Sekular sama sahaja, tiada bezanya.
Sepatutnya ketika penamaan calon, himpunan para pendokong parti Islam diwarnai dengan gema zikrullah dan ungkapan-ungkapan yang bersemangat bukannya cacian dan celaan. Cacian, sorakan dan cercaan biarkan hanya berkumandang di pihak parti sekluar. Para pendokong parti Islam juga tidak boleh samasekali menghina batang tubuh calon lawan dan pemimpin-pemimpin mereka kerana kelak para pemimpin parti Islam pula yang akan dicerca dan dihina dengan cercaan yang lebih berat. Dalam situasi ini Allah Taala telah berfriman:
{ ولا تسبوا الذين يدعون من دون الله فيسبوا الله عدوا بغير علم } (الأنعام:108)

Maksudnya: ”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan ”. Surah Al-An’am.
Ayat di atas memberikan satu amaran bahawa perbuatan mencerca sembahan orang kafir dan menghina mereka akan mengundang tindakan dan perbuatan yang sama terhadap Islam dan penganutnya. Meskipun pada dasarnya pembongkaran kemungkaran dan kemaksiatan adalah dituntut namun Islam melarang samasekali kata-kata nista dan cercaan dalam bentuk penghinaan.
Di dalam tempoh berkempen parti Islam wajar menggayakan rentak kempennya dengan suasana persaudaraan, kasih sayang, ilmiah, keprihatinan dan Islamik dan bukan sebaliknya. Inilah yang akan menambat hati para pengundi agar memberikan sokongan kepada calon parti Islam sebaliknya sikap ganas, agresif dan kasar hanya akan membibitkan kebenciaan dan mengundang penolakan kepada parti Islam.
Islam memberikan keutamaan yang sangat tinggi kepada akhlak, justeru itu setiap perjuangan yang mahu bersandarkan kepada Islam mestilah meletakkan akhlak sebagai asas utama perjuangan mereka. Jamaah Islam dan Parti Islam tidak boleh samasekali mengabaikan aspek terpenting ini yang berfungsi memberikan gambaran sebenar tentang keunggulan Islam.
Bagi sesebuah parti yang berpaksikan Islam, kalah dalam pilihanraya tetapi berjaya menjaga prinsip iman dan akhlak adalah lebih baik dari menang dalam pilihanraya tetapi gagal menjaga prinsip iman dan akhlak....

No comments: