4/24/2009

Iktibar buat diri yang Alpa


Menjadi satu kelaziman apabila seseorang itu mempunyai kelebihan dari segi ilmu dan kedudukan ilmiahnya akan merasa tercabar bila disanggah pendapatnya atau apabila ada yang cuba memberikan pendapat yang berbeza lebih baik. Ilmu sebenarnya tidaklah dapat memastikan seseorang itu terus boleh menjadi seperti padi, "semakin berisi semakin tunduk". Ilmu juga tidak boleh menjamin suburnya nilai murni pada diri seseorang. Justeru Nabi Musa a.s telah diperintah oleh Allah Taala bertemu Nabi Khidir apabila Nabi Musa merasakan dirinya yang terbaik dan paling berilmu ketika itu. Setelah berada bersama-sama Nabi Khidir barulah Nabi Musa kenal diri sendiri bahawa ilmunya amat cetek jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang luas umpama air laut. Allah Taala secara tidak lansung mahu mendidik utusannya agar menjauhi sifat sombong dan ujub.
Ilmu selalu menjadikan seseorang bersifat ujub(ego), sombong dan angkuh. Orang berilmu apabila berbicara sering terdedah dengan rasa 'aku hebat'! Orang berilmu juga apabila ada yang lain memberikan pendapat akan berbisik di dalam hati 'lemahnya dia'. Ilmu juga boleh menjadikan seseorang bertindak di luar batasan akhlak islami. Cakapnya, muamalahnya, hatinya penuh dengan kekotoran mazmumah yang hanya menjadikannya tidak tinggi sepertimana yang sepatutnya ada pada orang berilmu. Sedangkan di dalam Al-Quran Allah Taala berfimran:((Allah mengangkat kedudukan orang yang berilmu dan orang yang beriman beberapa darjat kedudukan )).
Inilah akibatnya apabila orang berilmu meminggirkan aspek pembersihan hati atau tazkiyyatun nafsi. Al-Imam Al-Ghazali mengarang kitab 'Ihya ulumiddin' yang bermaksud 'Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama' bukan sekadar bermaksud mahu menghidupkan ilmu, tetapi beliau mahu mengfungsikan ilmu sebagai satu cara menghidupkan hati-hati ilmuan yang keras. Ilmuan yang cenderung mengkaji, menulis karya, bersyarah dan berdebat akan mengeraskan hatinya jika tidak diiringi amalan 'tazkiyyatun nasfi'. Sejarah telah membuktikan di mana ada golongan ilmuan yang akhirnya menjadi penentang agama kerana terlalu mengagungkan kebolehan dirinya lantas melahirkan ideologi 'Ilmaniyyah' (sekularisme).

Bagi memaknakan firman Allah Taala((Sesungguhnya orang yang takutkan Allah di kalangan hambanya ialah Ulama)),maka ilmuan semestinya tidak boleh meminggirkan aspek pembangunan jiwa. Ia boleh dilakukan melalui solat malam, zikrullah, membaca al-Quran, solat berjamaah di Masjid, bergaul dengan masyarakt awan dan berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Semua amalan ini akan mencernakan dalam diri sifat-sifat mulia seperti tawadhuk, baik sangka, hormat menghormati dan saling berkasih sayang. Kecenderungan menjauhi orang soleh dan alim serta tidak bergaul dengan masyarakat awam akan menjadikan ilmuan terus angkuh dan tenggelam dalam ilusi ilmunya yang tidak berpijak di bumi nyata. Benarlah seperti mana sabda Nabi s.a.w:
((Sesiapa yang merendah diri akan diangkat kedudukanya oleh Allah dan sesiapa yang besar diri akan dihinakan olehNya)).
Semoga ilmuan hari ini kembali merenung diri dan bertanya dari manakah datang kebolehan ilmu yang dimiliki. Apakah sememangnya ia milik kita atau pinjaman dari Allah Taala? Cuba bayangkan, tiba-tiba nikmat akal ini dicabut olehNya...apakah yang akan berlaku?

4/13/2009

Tahniah kepada PM baru!


Diucapkan tahniah kepada PM Malaysia yang baru. Semoga kepimpinan negara yang baru diberikan petunjuk oleh Allah Taala agar dapat mengurus negara bersumberkan wahyu Ilahi dan melaksanakan keadilan dalam pemerintahannya. Kerana, jika penduduk sesuatu negara beriman, pemerintahnya juga beriman dan bertingkahlaku mulia pasti rahmat Allah akan turun dari langit dan keluar dari bumi...

Untuk berkongsi cerita saya teringat akan kisah Sultan Murad ayahanda kepada Sultan Muhammad al-Fateh apabila beliau memegang pemerintahan Islam di Turki beliau merasa gusar kerana tidak berjaya membebaskan kota Konstantinopal. Beliau juga sangat susah hati dengan maksud hadis bahawa kota Konstantinopal hanya akan jatuh ke tangan Islam apabila wujudnya sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang pemerintah yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik! Beliau sering tertanya-tanya apakah tenteraku tidak baik dan rakyatku tidak baik sehingga setelah hampir 800 tahun ungkapan hadis tersebut namun masih belum berlaku. Lantas anaknya menasihati beliau supaya turun padang melihat situasi sebenar tentera dan rakyatnya kerana mungkin Sultan Murad membuat tanggapan salah terhadap realiti sebenar negara dan rakyat. Ia perlu turun padang bukan secara rasmi sebagai ketua negara tetapi menyamar sebagai si miskin. Akhirnya Sultan Murad, anakandanya turun padang mendengar rintihan rakyatnya dan kemudian barulah Sultan Murad dapat menyelami nasib rakyatnya yang sebenar di mana wujudnya ketidakadilan dalam perniagaan dan tingkah laku tenteranya yang buruk. Dari situlah beliau mula memperbetulkan keadaan dengan bersungguh-sungguh. Namun janji "Pemerintah yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik" hanya berlaku pada masa pemerintahan anaknya Sultan Muhammad al-Fateh yang akhir membawa kejayaan kepada kerajaan Islam Uthmaniah dalam membebaskan kota Konstantinopal yang terkenal dengan nama Istanbul sekarang.
Semoga sejarah pemerintahan dan kegemilangan kerajaan Islam lampau dijadikan panduan oleh pemimpin masakini!

4/08/2009

Pada pendapat saya...


Keputusan pilihanraya kecil Bkt Gantang, Bkt Selambau dan Batang Ai sudah diketahui umum. Begitulah adat perlumbaan dalam pilihanraya, ada yang kalah dan ada yang menang. Semalam (selepas Isyak 7 Mac 09) sempat saya menonton tv di warung syarbat Taman Sepakat Kuantan bersama sahabat selepas kuliah Fiqh di Masjid Al-Rasyidin. Meskipun keputusan di Bkt Gantang dan Bkt Selambau belum diumumkan dalam tv namun saya dah dapat makluman awal dari seorang sahabat di Perak berkenaan dengan keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Apa yang agak menarik minat saya ialah rancangan analisis pilihanraya di tv1 yang mengenengahkan seorang pensyarah dari USM dan seorang lagi dari UTM. Sepanjang analisis sementara menunggu keputusan, pensyarah dari UTM terus-terusan mengatakan keputusan pilihanraya Bkt Gantang khususnya, tidak mencerminkan kekuatan PAS kerana sepatutnta Ir Nizar menang lebih besar dan tidak menggambarkan penolakan rakyat kepada UMNO/BN. Malah katanya pembangkang hanya bercakap soal retorik dan janji kosong berbanding dengan BN. Namun demikian kenyatakan pensyarah dari USM pula berbeza dengan menegaskan bahawa keputusan pilihanraya semalam adalah memberi isyarat bahawa mood PRU ke 12 masih berterusan manakala golongan muda amat jelas menolak BN. Malah peningkatan undi kepada calon PAS menunjukkan bahawa semakin bertambah suara penolakan kepada BN!Katanya UMNO/BN perlu menerima kekalahan dan mengakui bahawa ada hikmah di sebalik keputusan tersebut.

Setelah semua keputusan dimaklumkan, sebelum tidur saya sempat berfikir bagaimanakah semua isu yang dimainkan semenjak berminggu-minggu di media massa dalam memburukkan pembangkang tidak berhasil lansung, malah pertukaran kepimpinan baru dalam negara dan turunnya Tun Mahathir tidak mampu menjejaskan sokongan majoriti pengundi kepada pembangkang terutama di Bkt Gantang dan Bkt Selambau, meskipun isu hangat yang dimainkan seperti sembah derhaka Ir Nizar, DAP baca Al-Quran dan sebagainya. Ini mungkin berpunca dari kuasa maklumat yang ada ditangan pengundi yang boleh mengakses terus dari internet tentang setiap isu yang dimainkan dan boleh membuat penilaian sendiri lalu diterjemahkan di kertas undi.

Bagi UMNO, jika masih mahu memenangi hati rakyat semula perlulah dibuat perubahan secara menyeluruh dan hendaklah ada badan luar yang melakukan analisis membedah kelemahannya seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya. Jika ia datang dari dalam pastinya keputusan post mortem masih tidak mengakui kelemahan yang datang dari UMNO sendiri, cthnya seperti analisis yang dibuat oleh pensyarah UTM tadi.

Jika boleh, saya ingin mencadangkan agar UMNO mengambil pendekatan 'tarbiyyah' iaitu dengan menyediakan satu program pentarbiahan ahli (muslim) secara konsisten. Ini boleh dilaksanakan dengan menghidupkan usrah, qiamullail dan juga program tamrin kerana melalui program ini dapatlah dijernihkan semula hati dan tingkahlaku ahli UMNO seterusnya membina semangat juang kerana Allah dan bukannya kerana pangkat dan harta. Kemudian ahli-ahli UMNO diterapkan dengan budaya solat berjamaah di Masjid atau surau, budaya mengikuti kuliah-kuliah agama, manakala bagi yang perempuan diterapkan budaya menutup aurat dan ini mesti bermula dari pemimpin di kalangan wanita dan puteri UMNO. Bagi saya ini sahaja jalan jika UMNO mahu mengembalikan kekuatannya kerana sudah terbukti dalam sejarah umat Melayu kuat dan hebat apabila Islam menjadi pegangannya dan rujukan utamanya. Pendekatan 'tarbiyyah' ini juga boleh menjauhkan UMNO dari budaya rasuah yang sedang mengakar di kalangan ahlinya. Inilah masanya ustaz-ustaz di dalam UMNO memainkan peranan mereka.

Akhirnya diucapkan syabas kepada wakil-wakil rakyat yang baru menang, ingatlah anda semua memikul amanah rakyat, maka korbankanlah diri untuk memperjuangkan nasib rakyat dengan penuh rasa tanggungjawab,jika tidak anda akan dihukum oleh rakyat dalam PRU ke13 akan datang!

4/07/2009

Wajah-Wajah MB Kelantan












Undi ANDA penentu masadepan Negara!


Selamat Mengundi kepada penduduk Bkt Gantang, Bkt Selambau dan Batang Ai, moga Allah Taala menaikkan pemimpin yang boleh berkhidmat untuk kemaslahatan rakyat dan menjatuhkan mereka yang hanya memburu kekayaan dan kuasa semata....

4/06/2009

Sahabat lama dari Sek Men Agama Pulau Tawar



Ustaz Azhar Ramli dan Ustaz Yunan Samad (kiri) senior SMAPT semasa program K-Saintis di Masjid UMP pada Jumaat 3 April 2009.

Hari Keluarga PBMSK mengeratkan Ukhuwwah





Pada 4 April 2009 Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan UMP telah mengadakan Hari Keluarga di Suria Beach Resort Cherating. Alhamdulillah ramai sahabat2 yang datang bersama usrah masing-masing. Banyak aktiviti diatur yang memeriahkan suasana. Semoga prgram ini dapat mengukuhkan team work di kalangan warga PBMSK.