2/17/2010

Berarak Vs tidak berarak?


Sehari dua ini kita dipaksa oleh media memberikan tumpuan kepada isu keengganan kerajaan Pulau Pinang mengadakan perarakan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini. Soal betul atau salah dakwaan tersebut saya serahkan kepada Allah SWT Yang Maha Tahu setiap perkara. Cuma saya rasa soal berarak sempena Maulid ini tak perlulah diperbesarkan sangat kerana ada beberapa sebab, antaranya: 1) Ada negeri lainpun yang tidak buat perarakan Maulidur Rasul. 2) Berarak sempena Maulidur Rasul ini bukanlah sunnah Nabi SAW, cuma ia menjadi adat budaya orang Islam di Malaysia. 3) Menurut laporan Jabatan Meteorologi, cuaca sekarang sangat panas dan merbahaya terdedah begitu lama kepada cahaya matahari seperti berarak di tengah panas, maka dalam soal ini mengelakkan mudarat lebih baik dari mendedahkan diri kepadanya.

Oleh itu tak perlulah kita umat Islam menjadi begitu beremosi dan bertindak di luar kewarasan mengenai isu di Pulau Pinang ini. Lagipun yang buat cadangan itu orang Islam sendiri, manakala Ketua Menteri dahpun tarik balik cadangan tersebut dan InsyaAllah perarakan akan berlansung.

Pada hemat saya masih banyak isu-isu Islam yang lebih mendasar seperti gejala tidak solat, mendedahkan aurat di kalangan gadis-gadis Islam, berzina dan minum arak yang perlu ditangani secara lebih serius khusus di Pulau Pinang dan di Malaysia amnya.

Tidak mengadakan perarakan sempena Maulidur Rasul tidaklah mencacatkan imej Islam di Malaysia pada mata dunia. Malah negara-negara Islam seperti Jordan, Qatar, Bahrain, Maghribi, Arab Saudi dan lain-lain tak mengadakan perarakan seperti kita. Pada saya apa yang mencacatkan imej Islam di Malaysia bukanlah isu tidak berarak sempena Maulidur Rasul, tetapi isu pembukaan Kasino di Singapura yang di taja oleh syarikat Malaysia iaitu Genting Sdn Bhd, isu dadah di mana Malaysia sudah dianggap oleh sesetengah negara sebagai pusat transit penagih dadah antarabangsa, isu penangguhan hukuman sebat kepada peminum arak yang sudah merayu beberapa kali supaya dijatuhkan hukuman kepadanya, isu tuduhan liwat yang diolah secara tidak bermoral oleh media, isu bayi dibakar di dalam tong sampah dan bermacam-macam isu yang semakin menenggelamkan imej islamic Malaysia di mata dunia.....

Jadi bagi mereka yang mensensasikan isu ini bawak-bawaklah bertenang, buatlah muhasabah diri, sejauhmana kita benar-benar mempraktikkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan harian kita? Kalau solat masih tinggal, aurat anak isteri masih terdedah, fikiran masih sekular, masjidpun tak pergi, agak-agaknya sesuaikah kita begitu lantang mempertahankan isu berarak sedangkan ia bukanlah Sunnah Nabi SAW.....FIKIRKANLAH!

2/08/2010

Pengalaman dengan BSN


Pada hari Sabtu 6 Ferbruari 2010 saya diundang memberikan ceramah kepada kakitangan bahagian jualan Bank Simpanan Nasional di Gambar Resort City Kuantan. Pada mulanya saya teragak-agak menerima jemputan ini kerana saya bukanlah penceramah terkenal untuk menyampaikan syarahan kepada pengarah-pengarah BSN seluruh Malaysia dan seramai 450 orang kakitangan yang terlibat. Gementar, takut dan tidak yakin berbaur di dalam diri dan saya hampir-hampir menolak jemputan ini kerana yang bakal turut serta ialah kakitangan non-muslim kerana saya risau mereka tidak selesa melihat kelibat ustaz yang memberikan ceramah nanti. Namun setelah mendapat pandangan dari pegawai BSN yang berhubung dengan saya dan cubaan memotivasikan diri sendiri sedikit berjaya, saya beranikan menerima jemputan ini dengan niat dan azam untuk menyampaikan dakwah dan berkongsi pandangan. Moga Allah jua membantu saya...

Alhamdulillah pada hari berkenaan saya ke GRC dan sebelum masuk ke Ball room tempat ceramah sempat saya mimum bersama dengan Ketua Eksekutif Datuk Adinan Maning dan pengarah-pengarah BSN negeri. Salah seorang pegawai kanan BSN sempat berbual dengan saya dan mengatakan lebih baik panggil imam-imam kampung je bagi ceramah kerana lebih sedap jika dibandingkan dengan sesetengah penceramah popular. Lagipun penceramah popular ini kenakan charge tinggi contohnya ...... yang mengenakan bayaran RM10k untuk sekali ceramah! kata pegawai tersebut.

Kira-kira jam 10.30 pagi ceramah saya dimulakan dan saya amat bersyukur kerana Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya meskipun berhadapan dengan jumlah 450 orang kakitangan BSN yang pelbagai latarbelakang pendidikan, agama, bangsa dan juga fahaman politik. Ceramah tamat kira-kira jam 11.30am. Semoga Allah SWT membuka hati semua yang mendengar agar dapat menerima petunjuk-Nya.

Dalam perjalanan pulang, saya rasa kagum dengan perubahan yang berlaku di BSN kerana pihak pengurusan tertinggi sendiri sedar akan hakikat bahawa kakitangan BSN perlu dibangunkan juga aspek kerohanian dan sahsiah mereka supaya wujud keseimbangan dalam diri setiap kakitangan dan ini dapat menyumbang ke arah menaikkan lagi nama BSN.

Saya segera pulang ke rumah kerana ingin membuat persiapan memberikan motivasi kepada kakitangan sokongan BSN seluruh Pahang pada sebelah petang dan malam hari yang sama sempena Seminar Insaf Diri BSN Pahang selama 2 hari di Agro Semugi Resort Kuantan pada 6 & 7 Feb 2010.

2/02/2010

Mengimbau pengalaman silam dalam Tarbiyyah


Apabila ada rakan-rakan yang mengeluh dan bertanya tentang anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah agama, tetapi bila pulang ke rumah bercuti tidak mahu berjamaah di Masjid atau surau, sukar juga saya menjawabnya. Apakah silibus agama terlalu kurang atau tidak berkesan atau memang anak kita jenis malas dan sukar menerima pentarbiahan di sekolah? Saya pun keliru!


Bila soalan ini diajukan terus saja fikiran saya mengimbau suasana di sekolah agama tempat saya menuntut lebih kurang 25 tahun yang lampau. Pada asalnya memang semangat cintakan berjamaah dan perjuangan Islam tiada di dalam hati meskipun di dalam kelas, 90% pengajaran adalah subjek agama tulen. Namun pada hakikatnya tiadapun satu subjek yang menjurus kepada beramal dan berjuang. Lebih-lebih lagi kalau ustaz yang mengajar memang bukan kaki Masjid dan bukan seorang daie. Banyak pengajaran lebih cenderung kepada oreantasi peperiksaan. Oleh itu tidak hairanlah ramai pelajar-pelajar yang berfahaman agama tetapi amalannya agak suram dan bila pulang ke kampung tidak mampu menggerakkan masyarakat, bagi mereka apa yang penting belajar dan periksa, belajar dan periksa, kemudian masuk universiti untuk dapat kerja..
Namun apa yang mencetuskan kesedaran kepada saya ketika itu ialah dengan adanya pendakwah-pendakwah Al-Arqam yang datang ke sekolah menjual kaset nasyid dan majalah-majalah mereka yang banyak membicarakan tentang perlu kembali kepada amalan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan. Pengaruh penonjolan diri, nasyid dan bahan bacaan Al-Arqam ini sangat kuat menusuk ke dalam jiw, hingga pernah saya terdorong mengikuti kursus kefahaman Islam di Kampung Sempadan selama seminggu yang dianjurkan oleh Al-Arqam.

Kemudian dalam masa yang sama wujudnya pengaruh jamaah Tabligh di dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di surau sekolah turut memberikan kesan jangka panjang kepada saya. Selepas solat Maghrib ada 'bayan' yang disampaikan oleh senior dan akhirnya sayapun terpaksa melatih diri bercakap di depan khalayak melalui bayan ini. Kesannya, rasa malu dan takut hilang ketika bercakap di depan orang ramai. Ini ditambah pula dengan faktor sikap ustaz-ustaz yang sangat mengambil berat soal solat berjamaah. Terutama ustaz Abdullah Ahmad bekas pengetua yang turun padang menggerakkan pelajar-pelajar asrama untuk solat Subuh setiap pagi dan beliau turut sama berjamah dengan pelajar. Beliau bagi saya adalah seorang pengetua, ustaz dan pendidik yang sangat berjaya dan wajar dijadikan contoh oleh generasi baru.

Perubahan daripada seorang pelajar beroreantasikan peperiksaan kepada seorang pelajar mempunyai fikrah Islam dan memiliki ruh perjuangan pula tercetus apabila saya mula mengikuti usrah Cikgu Shaharom seorang aktivis Parti Islam yang tinggal di luar pagar sekolah. Meskipun bukan tenaga pengajar di sekolah saya, tetapi minatnya kepada tarbiah telah menjalinkan hubungan antara kami. Begitu juga dengan Ustaz Abu Qasim Manaf aktivis JIM ketika itu (sekarang menjadi ketua Dewan Ulama PAS Pahang). Beliaulah satu-satunya ustaz di sekolah saya yang berkorban masa untuk menghidupkan usrah dan tarbiah. Seorang lagi ustaz yang saya masih ingat ialah ustaz Hud. Beliau juga banyak menanamkan fikrah haraki kepada para pelajar melalui kuliah Maghribnya yang disampaikan di surau asrama. Ketiga-tiga murabbi inilah yang banyak membentuk fikrah saya hingga menjadikan saya seorang daie pada hari ini. Yang menariknya mereka semua mentarbiyyah dengan semangat perjuangan Islam tanpa menggadaikan kewajipan menuntut ilmu.

Alhamdulillah gabungan silibus agama yang luas di sekolah, sentuhan rohani oleh jamah Al-Arqam, latihan keberanian berdakwah oleh Tabligh, kesungguhan dan dedikasi ustaz-ustaz kemudian ditambah dengan tarbiah oleh Cikgu Shaharom dan Ustaz Abu Qasim adalah ramuan lengkap yang sentiasa menjadi panduan kepada saya sehingga kini....Jazakumullahukhairan.

Setelah saya mengimbau pengalaman silam ini, barulah saya temui jawapan kenapakah pelajar-pelajar sekolah agama hari ini kurang minat beramal dan tiada ruh perjuangan Islam? Setelah bertanyakan anak saya sendiri dan anak rakan-rakan di sekolah agama yang lain, mereka mengadu ketika ini begitu kurang aktiviti tarbiah dan seolah-olah hampir tiada! Ramai ustaz-ustaz yang hanya tahu mengajar sahaja tetapi kurang yang berkorban masa mentarbiyyah pelajar-pelajar mereka(maaf kalau sangkaan saya tidak tepat). Memanglah solat berjamaah ada tetapi ustaz-ustaz tiada bersama berjamaah, kelas hafazan ada tetapi usrah tiada. Maka inilah agaknya yang menjadi punca pelajar-pelajar ini, meskipun bersekolah agama namun ruh perjuangan untuk menegakkan agama tiada dalam diri mereka.

Kepada ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah agama khususnya (begitu juga sekolah biasa), kita seharusnya lebih proaktif, bersemangat dan bertanggungjawab dalam mentarbiyyah para pelajar kita. Gunakan kesempatan sebagai guru, yang dekat dengan pelajar untuk mendidik mereka supaya menjadi orang berilmu yang beramal dan menjadi ahli agama yang berjuang untuk agama dan bukan sebaliknya. Sudah ramai kita lihat lepasan sekolah-sekolah agama, yang berpada dengan jawatan dan gaji mereka tanpa melibatkan diri dalam dakwah dan perjuangan Islam...