2/02/2010

Mengimbau pengalaman silam dalam Tarbiyyah


Apabila ada rakan-rakan yang mengeluh dan bertanya tentang anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah agama, tetapi bila pulang ke rumah bercuti tidak mahu berjamaah di Masjid atau surau, sukar juga saya menjawabnya. Apakah silibus agama terlalu kurang atau tidak berkesan atau memang anak kita jenis malas dan sukar menerima pentarbiahan di sekolah? Saya pun keliru!


Bila soalan ini diajukan terus saja fikiran saya mengimbau suasana di sekolah agama tempat saya menuntut lebih kurang 25 tahun yang lampau. Pada asalnya memang semangat cintakan berjamaah dan perjuangan Islam tiada di dalam hati meskipun di dalam kelas, 90% pengajaran adalah subjek agama tulen. Namun pada hakikatnya tiadapun satu subjek yang menjurus kepada beramal dan berjuang. Lebih-lebih lagi kalau ustaz yang mengajar memang bukan kaki Masjid dan bukan seorang daie. Banyak pengajaran lebih cenderung kepada oreantasi peperiksaan. Oleh itu tidak hairanlah ramai pelajar-pelajar yang berfahaman agama tetapi amalannya agak suram dan bila pulang ke kampung tidak mampu menggerakkan masyarakat, bagi mereka apa yang penting belajar dan periksa, belajar dan periksa, kemudian masuk universiti untuk dapat kerja..
Namun apa yang mencetuskan kesedaran kepada saya ketika itu ialah dengan adanya pendakwah-pendakwah Al-Arqam yang datang ke sekolah menjual kaset nasyid dan majalah-majalah mereka yang banyak membicarakan tentang perlu kembali kepada amalan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan. Pengaruh penonjolan diri, nasyid dan bahan bacaan Al-Arqam ini sangat kuat menusuk ke dalam jiw, hingga pernah saya terdorong mengikuti kursus kefahaman Islam di Kampung Sempadan selama seminggu yang dianjurkan oleh Al-Arqam.

Kemudian dalam masa yang sama wujudnya pengaruh jamaah Tabligh di dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di surau sekolah turut memberikan kesan jangka panjang kepada saya. Selepas solat Maghrib ada 'bayan' yang disampaikan oleh senior dan akhirnya sayapun terpaksa melatih diri bercakap di depan khalayak melalui bayan ini. Kesannya, rasa malu dan takut hilang ketika bercakap di depan orang ramai. Ini ditambah pula dengan faktor sikap ustaz-ustaz yang sangat mengambil berat soal solat berjamaah. Terutama ustaz Abdullah Ahmad bekas pengetua yang turun padang menggerakkan pelajar-pelajar asrama untuk solat Subuh setiap pagi dan beliau turut sama berjamah dengan pelajar. Beliau bagi saya adalah seorang pengetua, ustaz dan pendidik yang sangat berjaya dan wajar dijadikan contoh oleh generasi baru.

Perubahan daripada seorang pelajar beroreantasikan peperiksaan kepada seorang pelajar mempunyai fikrah Islam dan memiliki ruh perjuangan pula tercetus apabila saya mula mengikuti usrah Cikgu Shaharom seorang aktivis Parti Islam yang tinggal di luar pagar sekolah. Meskipun bukan tenaga pengajar di sekolah saya, tetapi minatnya kepada tarbiah telah menjalinkan hubungan antara kami. Begitu juga dengan Ustaz Abu Qasim Manaf aktivis JIM ketika itu (sekarang menjadi ketua Dewan Ulama PAS Pahang). Beliaulah satu-satunya ustaz di sekolah saya yang berkorban masa untuk menghidupkan usrah dan tarbiah. Seorang lagi ustaz yang saya masih ingat ialah ustaz Hud. Beliau juga banyak menanamkan fikrah haraki kepada para pelajar melalui kuliah Maghribnya yang disampaikan di surau asrama. Ketiga-tiga murabbi inilah yang banyak membentuk fikrah saya hingga menjadikan saya seorang daie pada hari ini. Yang menariknya mereka semua mentarbiyyah dengan semangat perjuangan Islam tanpa menggadaikan kewajipan menuntut ilmu.

Alhamdulillah gabungan silibus agama yang luas di sekolah, sentuhan rohani oleh jamah Al-Arqam, latihan keberanian berdakwah oleh Tabligh, kesungguhan dan dedikasi ustaz-ustaz kemudian ditambah dengan tarbiah oleh Cikgu Shaharom dan Ustaz Abu Qasim adalah ramuan lengkap yang sentiasa menjadi panduan kepada saya sehingga kini....Jazakumullahukhairan.

Setelah saya mengimbau pengalaman silam ini, barulah saya temui jawapan kenapakah pelajar-pelajar sekolah agama hari ini kurang minat beramal dan tiada ruh perjuangan Islam? Setelah bertanyakan anak saya sendiri dan anak rakan-rakan di sekolah agama yang lain, mereka mengadu ketika ini begitu kurang aktiviti tarbiah dan seolah-olah hampir tiada! Ramai ustaz-ustaz yang hanya tahu mengajar sahaja tetapi kurang yang berkorban masa mentarbiyyah pelajar-pelajar mereka(maaf kalau sangkaan saya tidak tepat). Memanglah solat berjamaah ada tetapi ustaz-ustaz tiada bersama berjamaah, kelas hafazan ada tetapi usrah tiada. Maka inilah agaknya yang menjadi punca pelajar-pelajar ini, meskipun bersekolah agama namun ruh perjuangan untuk menegakkan agama tiada dalam diri mereka.

Kepada ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah agama khususnya (begitu juga sekolah biasa), kita seharusnya lebih proaktif, bersemangat dan bertanggungjawab dalam mentarbiyyah para pelajar kita. Gunakan kesempatan sebagai guru, yang dekat dengan pelajar untuk mendidik mereka supaya menjadi orang berilmu yang beramal dan menjadi ahli agama yang berjuang untuk agama dan bukan sebaliknya. Sudah ramai kita lihat lepasan sekolah-sekolah agama, yang berpada dengan jawatan dan gaji mereka tanpa melibatkan diri dalam dakwah dan perjuangan Islam...

3 comments:

Anonymous said...

Baca artikel ni seumpama membaca sejarah lampau diri sendiri. Cuma ada beberapa segmen yg berbeza, dan ianya sungguh mengaharukan diri.

Apa yang perlu sekarang adalah membanyakkan berbentuk tarbiyyah di luar kelas. Surau tidak harus dibiarkan sepi. Aktiviti kuliah di surau amat perlu sebagai tazkirah sampingan. Ustaz2 yg ada boleh mengajar kitab2 lain. Pilih saja, tafsir/hadis/fiqh dll.

Selain itu, pelajar juga (sekolah/universiti) perlu ada rasa bahawa ilmu yg dicari dikelas2 adalah tidak cukup dan ianya perlu ditambah. Rata2 sekarang ini begitu banyak pengisian dan kelas ilmu di surau/masjid. Peluang yg ada ini jgnlah dilepaskan hendaknya.

Anonymous said...

mantop la ust..sy pun jaga pelajar tapi hampir putus asa..hari2 gerak pelajar subuh tapi keadaan masih sama..sehari,dua hari,seminggu,sebulan,semester..tiada prubahan dan sya pon bukan lah seorang ust yg mungkin segelintir x segan dgn sy.saban hari sy makin risau melht keadaan pelajar sya yg agak kurang untuk solat berjemaah hanya 2% jer yg berjemaah..terbaca artikal ini memberi semangat untuk terus memberikan pengorbanan untuk agama..mudahan ust yang banyk ditempat kerja sy diberi hadayah untuk kerisauan atas perkara ini.
daie newbie

Al-Teminie said...

Terima kasih di atas respon sahabat2. Semoga kita sama2 berjuang dan berkhidmat untuk Islam...