1/30/2010

Dulu haram sekarang halal?


Alhamdulillah, setelah 20 tahun terlibat dengan sahabat-sahabat dalam dakwah di Pahang baru hari ini(30/01/10) saya rasa lega kerana mendapat kebenaran (tauliah) secara bertulis kebenaran mengajar agama dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan. Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Hamdan Yusi yang proaktif dalam usaha membuka seluas-luasnya medan dakwah di Kuantan khususnya. Kalau dahulu seolah-olahnya saya mengajar agama tanpa logo halal, tetapi dengan penerimaan sijil kebenaran mengajar ini mungkin kuliah saya sudah berlogo halal. Meskipun sijil ini hanya laku di daerah Kuantan dan perlu diperbaharui setiap tahun, tetapi ia amat bernilai bagi saya dan kawan-kawan pendakwah yang lain, kerana ketika ini terdapat segelintir umat Islam yang selalu mempertikai dan memperlekeh para pendakwah. Malah ada sesetengah Masjid yang tidak mengadakan kuliah dan majlis ilmu kerana ada ajk yang mendakwa para pendakwah tiada tauliah! Mudah-mudahan dengan kebenaran mengajar secara besar-besaran ini dapat merungkai perkara tersebut dan tidak timbul lagi ada Masjid di daerah Kuantan yang mempunyai simpanan wang beribu ringgit tetapi amat kedekut untuk mengadakan kuliah dan majlis ilmu.

Saya juga gembira kerana dengan adanya majlis pada hari ini (30/01/10) dapat bertemu dengan guru-guru, para ulama dan rakan-rakan ustaz. Ramai betul jumlahnya...Yang senior dan yang junior semuanya ada. Dalam hati saya berkata, jika semua tenaga pendakwah dalam anggaran 300 orang ini betul-betul berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya, saya yakin Kuantan akan dapat di tukar menjadi Bandaraya Islam yang baru selepas Kota Bharu, insyaAllah!

Dalam ucapan Tuan Kadi, saya amat tertarik dengan ideanya memilih tiga buah Masjid yang diterapkan sistem pengajian secara bersilibus yang lebih mirip kepada pengajian pondok. Ini satu idea yang sangat baik kerana semua masjid dan surau seharusnya menyusun sebaik-baiknya program pengajian ilmu yang diadakan agar benar-benar dapat memberi manfaat kepada ahli qariah. Malah sudah terbukti mana-mana masjid dan surau yang aktif dengan kuliah dan majlis ilmunya pasti ahli jamaahnya ramai. Lihat sebagai contoh Masjid Cenderawasih, surau Al-Ikhwan Bukit Setongkol, surau Ittifaqiyyah Inderapura dan lain-lain lagi....

Semoga usaha yang dilakukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan ini menjadi contoh kepada PAID di daerah-daerah lain di Pahang, kerana ia bakal memacu perkembangan dakwah di Pahang dengan lebih pesat....

Syukur kerana sekarang sudah ada sijil halal!

1 comment:

Anonymous said...

salam ustaz... moh la bg kuliah kat masjid bukit rangin..

~yang menagih ilmu~